Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

BTN Lanjutan Di Kem Teratak Buana, Mersing.

 

KEM TERATAK BUANA, MERSING

20 - 22 Jun 2008



     Dengar je nama aku naik untuk pergi ke BTN Lanjutan, hati aku dah berbelah bahagi samada nak pergi atau tak. Maklumlah, masa kitorang pergi ke BTN Asas yang kat Ulu Tiram, Johor Bahru yang penuh dengan ceramah kenegaraan, tak sanggup rasanya nak pergi lagi kalau masih lagi mendengar ceramah yang super-membosankan itu. Bayangkanlah kitorang ingatkan ada aktiviti yang mencabar, tapi sebaliknya sepanjang di kursus tu kitorang cuma mendengar ceramah pasal kenegaraan semata - mata dan terpaksa memakai baju formal alias baju kurung bagi peserta wanita. Manalah kitorang ada bawak banyak baju kurung. T - Shirt adalah. Lagipun kat jadual yang disertakan pun tak bagitahu yang kitorang tiada terlibat dengan aktiviti outdoor. Huh, tak macam bengang plak bila terpaksa memakai baju kurung yang sama sepanjang 3 hari ada LDK. Nasib baik aku bawak 2 pasang. Ada member aku tu, bawak sehelai je. Sabar jelah..

     Disebabkan ada desas - desus yang mengatakan Diploma akan ditahan kalau tak pergi, terpaksa jugaklah aku pergi menyahut seruan kerajaan. Fikir positif beb! Lagipun kata mereka, BTN kali ni dah takde dah aktiviti mendengar ceramah, sebaliknya penuh dengan aktiviti outdoor. Semogalah hendaknya. Kalau tak, tak kuasa aku nak tahan mata mendengar ceramah.

     Kami bertolak dengan 2 bas dengan muatan seramai 78 orang pelajar tidak termasuk encik pemandu bas. Memandangkan pemandu bas tu ikut jalan lama, lalu Kluang pulak tu kitorang pun sampai lambat ke destinasi. Ala, kalau dah bertolak pun dekat pukul 11 pagi, memangla sampai lambat kan.. Peserta wanita sampai lebih awal berbanding peserta lelaki sebab bas diorang pancit kat tengah jalan. Kesian diorang. Berat dosa agaknya, hehehehe..

     Sampai je di KemTeratak Buana, kitorang disambut dengan pemandangan indah lautan yang terbentang luas di hadapan kem dan pasir yang memutih berserta bunyi ombak yang sungguh menenangkan. Selesai pendaftaran kami diarah untuk meletakkan beg di dalam satu dorm besar yang memuatkan beberapa buah katil yang rasanya cukup untuk kami peserta wanita tidur. Pada mulanya aku pun ingat kitorang tidur kat dalam dorm tu. Walaupun dah nampak ada banyak khemah yang dah siap didirikan kat tepi pantai. Rupanya malam tu kitorang tidur khemah daa.. Kitorang diberi taklimat untuk aktiviti keesokan harinya. Nak tahu apa aktiviti itu? Kitorang akan diberi papan kayu dan pelampung untuk dibuat rakit, dan kitorang akan menyeberangi laut untuk pergi ke sebuah pulau. Untuk malam yang pertama tidak banyak aktiviti yang dilakukan selain daripada membahagikan kumpulan, membuat bendera kumpulan, mencipta slogan dan mencari fasilitator kumpulan masing - masing. Malam itu aku tidur dengan perasaan yang bercampur baur mengenangkan kami akan berakit untuk ke pulau. Ingat dekat ke? Berakit pulak tu!

     Aku bangun seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan peralatan untuk dibawa bermalam di sana. Barang - barang akan dibawa pergi oleh bot sementara kami akan berakit untuk sampai ke sana. Tapi malang sekali pengalaman berakit tu tak dapat kitorang rasa. Yelah, cuba bayangkan. 1 kumpulan dah ada 10 orang. Setiap rakit mempunyai 3 pelampung dan dianggarkan yang menaiki rakit itu adalah seramai 8 orang. Bila kumpulan yang pertama naik, rakit tu tenggelam! Kalau dah yang naik tu semua bak Adibah Noor, Malik Noor dan Rosyam Noor, mana rakit tu tak tenggelam? Jadi, rancangan berubah. Tak jadi naik rakit, kitorang semua naik bot ke pulau. Kata fasilitator pun, "Kalau korang naik rakit, aku tak tau le sampai pukul berapa, dok berpusing kat situ je macam propeller!"


     Aku ialah antara orang yang diarahkan untuk pergi awal ke pulau untuk menyediakan barang - barang. Mereka yang lain akan dibawa kemudian. Yang kelakarnya tu, disebabkan rancangan asal ialah berakit ke pulau, kebanyakan peserta telah siap menghantar kasut - kasut mereka menaiki bot dan berkaki ayam. Setelah rancangan diubah, mereka diturunkan di pesisir pantai dan dikehendaki untuk meredah hutan menuju ke tempat perkhemahan. Dalam erti kata lain, mereka semua akan berkaki ayam meredah hutan! Kesiannya.. Mereka bergerak menuju ke tempat perkhemahan sebagai tentera dan akan menyerang kubu fasilitator - fasilitator yang bertindak sebagai pihak musuh menggunakan botol kosong + karbait + air laut yang dijadikan bom tangan. Setelah berjaya menawan kawasan markas pihak musuh, kami diarah untuk membina tiang bendera untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Tak sempat siap bendera, hujan telah turun dengan lebatnya dan kami terpaksa berlindung di bangunan kayu tempat barang - barang ditempatkan. Makan tengahari kami pun lewat, pukul 4 petang baru dapat makan. Itu pun terpaksa makan sambil berdiri sebab ruang yang cukup sempit tak membenarkan kami untuk duduk bersila di lantai kerana hujan masih lebat di luar sana. Pertama kali makan nasi sambil berdiri, teruk betul rasanya! Tapi nak buat camana, makan ajelah. Masing - masing pun memang tengah lapar.

     Setelah bendera berjaya dinaikkan, lagu Negaraku dinyanyikan dalam hujan yang masih renyai - renyai. Rasa macam terharu lah pulak. Petang merupakan aktiviti bebas, dan ramai yang mengambil kesempatan untuk mandi laut. Aku pun sebenarnya nak mandi jugak, tapi mengenangkan nanti takde air yang bersih untuk membilas badan setelah mandi laut, terpaksalah aku lupakan je niat nak mandi tu. Yelah, bekalan air bersih kat situ cuma ada sebuah perigi je untuk kegunaan semua. Airnya pun tak banyak mana, dan orang yang mandi laut tu semua memang tak bilas balik dengan air bersih sebab dah takde air. Aku tak dapat bayangkan camana diorang tidur malam tu dengan badan yang berlengas air masin.


     Makan malam kitorang malam tu sampai lewat sebab bot tak dapat nak hantar makanan dengan keadaan angin yang kencang. Seperti yang dijangkakan, ribut melanda malam tu dengan angin yang kuat. Aku tak putus - putus berdoa agar khemah kami tak runtuh ditiup angin. Mujurlah kami selamat. Fasilitator mengejutkan kami dengan cara yang paling kejam. Bom karbait tu dibaling berdekatan dengan khemah kami. Bayangkan betapa terkejutnya aku bangun dari tidur mendengar bunyi bom! Kami merobohkan khemah pada pagi itu dan bersiap - siap untuk berangkat pulang ke daratan. Aku ingatkan akan naik bot sekali lagi, tapi rupanya jangkaan aku silap. Kami sebaliknya meredah hutan sekali lagi, dan tiba di persisiran pantai. Aku hampir pengsan apabila mengetahui yang kami akan meredah air laut untuk sampai ke seberang darat. Dan tambah menakutkan lagi, kami diberitahu agar berjaga - jaga dengan obor - obor yang berwarna merah kerana sekarang adalah musimnya. Obor - obor itu akan menyengat sesiapa yang melanggarnya. Aku tiada pilihan, aku sangkutkan sport shoes di atas life jacket, berkaki ayam dan mula mengharung air.

     Pada mulanya, kami berjalan di atas selut. Aku berjalan dengan Yayah yang merupakan teman serumahku. Tidak jauh pun aku meninggalkan pantai, kakiku tiba - tiba terasa seperti terkena renjatan, dan pedih. Aku tak tahu apa yang aku rasakan ketika itu, namun aku mendapat jawapannya apabila Yayah tiba - tiba terjerit kecil. "Alamak, aku dah terkena obor - obor!" Sepanjang perjalanan meredah air yang separas pinggang, peserta - peserta di hadapan dan di belakang kitorang ramai yang terjerit - jerit kerana terpijak atau terlanggar obor - obor yang berada di dasar laut dan termasuklah aku dan Yayah jugak. Sedaya upaya memang aku dan Yayah cuba elakkan tapi kalau dah namanya di dasar laut, terkena jugaklah. Bukan kitorang nampak pun. Yang timbul di permukaan tu bolehla kitorang elakkan. Pada mulanya pergerakan aku dan Yayah agak laju sebab kitorang mengejar orang di hadapan. Tapi bila dah asyik - asyik terlanggar obor - obor, secara automatik kitorang jadi perlahan. Sebab kaki dah tak tahan nak tanggung rasa pedih. Ada di antara peserta perempuan diapungkan dan ditarik oleh peserta lelaki kerana dah tak boleh tahan rasa sakit. Sudahnya aku dan Yayah tiba di pantai setelah mengharung air sejauh 2 km. Kaki aku luka terpijak batu dalam selut, Yayah pulak terkena banyak kesan sengatan obor - obor. Malah lagi banyak daripada kaki aku.

     Sampai je kat pantai, Tuhan je yang tau betapa leganya hati aku. Bila aku tengok balik laut yang baru aku redah tadi, rasa macam tak percaya aku sememangnya meredah laut untuk sampai ke darat. Tak cukup adventure ke redah laut dan disengat obor - obor? Bukan semua orang sanggup nak buat. Setelah sarapan, aku bergegas untuk mandi, dan bersiap - siap untuk pulang ke Muar setelah 3 hari di Mersing. Kami diberi sijil di Majlis Penutupan, dan makan tengahari sebelum naik bas dan balik ke Muar.

     Kepada para fasilitator yang mungkin membaca post ini, saya ingin mengucapkan berbanyak - banyak terima kasih dan penghargaan di atas segala tunjuk ajar sepanjang berada di BTN Lanjutan Kem Teratak Buana pada 20 - 22 Jun 2008. Cik Mal, Cik Jo, Pak Akob, Pak Bakar, (sekadar menyebut beberapa nama) terima kasih daun keladi, semoga kita berjumpa lagi!



p/s : sepatutnya ada gambar, tapi atas sebab - sebab yang tak dapat dielakkan, tak dapatlah aku nak letak gambar kat sini.. sorry eh..


Baca perbualan