Telah dua minggu selera makan saya terganggu. Setiap kali berhadapan dengan hidangan, saya hanya menjamah sedikit. Akibatnya, saya sendiri kelaparan. Kemuncaknya pada Isnin lepas. Saya tak sempat ambil sarapan. Pukul sepuluh pagi badan saya rasa lemah semacam. Selepas solat zohor saya terus bergegas ke kantin dan menghabiskan semangkuk mee sup. Saya elakkan order nasi campur kerana yakin ia tidak akan mendapat perhatian dan saya akan menderita kelaparan.
Saya ingat cerita akan tamat selepas saya makan. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Saya mula berasa mual. Nasib baik saya air limau saya cukup masam untuk meneutralkan keadaan. Memang kebelakangan ini air limau kasturi menjadi pilihan setiap kali saya ke kantin. Selalunya saya ke kantin hanya untuk minum sahaja menghilangkan bosan duduk terperap di pejabat sepanjang pagi.
Dua hari lepas saya dan anak-anak menemani suami menghadiri bengkel di salah sebuah hotel di tepi pantai. Saya ingat masalah selera saya akan selesai. Al-maklum, menu hotel kan mengancam. Tetapi sebaliknya, selera saya semakin terbantut. Saya hanya makan roti kosong berserat dengan jus oren. Malahan, rasa loya saya semakin teruk menjelang malam.
Akhirnya saya terpaksa berbincang dengan suami. Saya syakkan sesuatu dan perlu mendapatkan kepastian. Awal pagi semalam selepas melalui malam yang panjang, saya bergegas ke bilik air sebaik sahaja mencelikkan mata. Dan keputusannya memang di luar jangkaan seperti yang dijangkakan. Dua garis yang terpapar jelas pada peralatan kecil saya tayangkan di depan mata suami sebelum mengejutkannya dari tidur. Ha ha ha. Cara tersendiri untuk memaklumkan perkara yang paling penting.
Tengahari itu kami berjumpa doktor. Menurut imbasan yang dilakukan, Puan Doktor berpendapat masih awal untuk mengesan usianya dengan lebih tepat, tetapi berdasarkan saiznya yang masih hasil halus, kemungkinan dalam anggaran lima minggu. Doktor menetapkan temujanji seterusnya pada minggu pertama September untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat.
Zasss... Dunia yang kami lihat terus berubah 360 darjah. Mulai detik ini, setiap langkah dan pelan kami harus mengambil kira kehadirannya. memang kehadirannya amat tidak dijangkakan kerana kesukaran untuk mendapatkan anak yang sulung dan usia anak kedua yang telahpun mencecah tiga tahun Julai lepas. Namun, itulah anugerah Allah. Bermula dari detik ini saya akan sentiasa ditemaninya dan rutin saya tidak lagi seperti biasa. Walaupun telah mengalami keadaan yang serupa dua kali sebelum ini, saya yakin pengalaman yang ketiga tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri. Malahan akan saya nikmati dengan sebaik-baiknya kerana kemungkinan besar ini merupakan pengalaman yang terakhir kerana sebelum ini saya telah menjalani dua pembedahan.
Anak Mama. Kehadiranmu adalah anugerah Illahi. Semoga Mama akan sentiasa kuat sepanjang tempoh kita bersama. Saat ini selera saya masih tidak menentu namun perlu sentiasa makan untuk mengelakkan perut masuk angin. Jadi, terpaksa memastikan sebotol air kosong dan biskut kraker berserat sentiasa berada di dalam simpanan. |