Kerap kita mendengar bahawa seorang anak yang dilahirkan adalah suci seperti kain putih. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan kehidupan anak tersebut. Justeru, apa sahaja corak yang digayakan oleh si anak semasa dia telah dewasa, pihak yang bertanggungjawab kepada corak kehidupannya adalah si ibu dan si bapa.
Walaupun kita kerap memberi penekanan kepada pendidikan anak seawal di dalam rahim ibu, namun pada hakikatnya tanggungjawab mencorakkan masa depan anak bermula jauh lebih awal dari saat anak di dalam kandungan. Pernah dinyatakan bahawa seorang ibu atau bapa perlu menunaikan hak anak dengan mencari pasangan yang tepat yang bakal menjadi ibu atau bapa kepada anak tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan, amat sukar untuk kita memastikan bahawa orang yang kita pilih merupakan insan yang terjamin mendatangkan kebaikan kepada kehidupan berkeluarga kita di masa depan. Dalam perkara ini, Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam memilih pasangan hidup.
Al-Quran ada menyatakan bahawa seorang perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya. Berdasarkan ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa untuk memastikan kita mendapat pasangan yang memiliki ciri-ciri idaman, kita terlebih dahulu harus memiliki ciri-ciri tersebut. Jadi, untuk mendapatkan pasangan yang baik, kita sendiri terlebih dahulu harus berusaha untuk menjadi insan yang terbaik.
Pada masa yang sama, hadis Nabi SAW menggariskan empat kriteria yang perlu diambilkira dalam memilih pasangan; keturunannya, paras rupa, kedudukan dan agama. Namun ditekankan bahawa agama perlu diutamakan kerana dengan adanya agama yang membawa makna iman, ia akan menjamin tiga ciri yang pertama dimiliki pasangan. Mungkin tiga ciri tersebut tidak ada semasa insan tersebut menjadi pasangan kita, namun dengan iman yang dimilikinya Insya'Allah akan memastikan rumah tangga yang bakal dibina akan dirahmati dengan keturunan yang baik, paras rupa yang menyejukkan hati dan kedudukan yang sentiasa terjaga.
Walaupun begitu, jodoh pertemuan adalah ditentukan Allah. Allah Maha Mengetahui apakah yang terbaik untuk hambanya walaupun mungkin pada mata kasar tidak begitu. Apabila sesuatu pasangan telah dijodohkan sebagai suami isteri, yang penting adalah untuk menerima pasangan kita seadanya dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Insya'Allah dan WallahuA'lam. |