Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Bakti Tokoh Pewaris Bangsa Diiktiraf Negara

 


Pak Ali menunjuk ajar anak muridnya Mohd Rezlan Abdul Wahid.

Kepakaran dan kemahiran dalam seni budaya tempatan tiada tandingan

SABAN tahun kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) memberi pengiktirafan buat anak seni yang berjaya dan berjasa.

Namun, ramai yang tidak tahu, selain seniman, kerajaan turut mengiktiraf tokoh yang terbabit dalam seni budaya sebagai salah satu cara menghargai jasa dan kepakaran mereka memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara.

Pada 25 Julai lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan lima tokoh seni budaya tokoh sebagai Warisan Orang Hidup.

Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, ada empat kategori dalam Daftar Warisan Kebangsaan iaitu Tapak Warisan, Objek Warisan, Warisan Orang Hidup dan Warisan Bawah Air.

Mengikut akta itu, “Pesuruhjaya hendaklah mewujudkan dan menyenggarakan suatu daftar yang dikenali sebagai Daftar Warisan Kebangsaan seperti ditetapkan mengandungi senarai butiran warisan yang didaftarkan.”



Setiap warisan yang tersenarai di dalam Daftar Warisan Kebangsaan disebut sebagai "butiran warisan". Butiran warisan yang tersenarai mempunyai dua status berbeza, iaitu Warisan atau Warisan Kebangsaan.

Lima tokoh yang diberikan pengiktirafan sebagai Warisan Orang Hidup 2008 adalah penglipur lara, Ali Badron Sabor, atau Pak Ali Badron; penggiat boria terkenal, Abu Bakar Jaafar atau Pak Kan dari Pulau Pinang; bobohizan' atau pawang wanita masyarakat Kadazan Dusun terkenal di Sabah, Losimin Majanil; bapa gendang Malaysia, Tan Hoo Song, dan penari serta pereka tari tarian klasik India, Bharathanatyam, Vatsala Sivadas.

Namun, Tan yang dikenali sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’ meninggal dunia pada 26 Julai lalu sehari selepas namanya diumumkan sebagai Warisan Orang Hidup.

Sebelum ini, seorang tokoh turut menerima pengiktirafan yang sama tahun lalu, iaitu tokoh bangsawan, boria, ronggeng dan kebudayaan Baba dan Nyonya, Mohd Bahroodin Ahmad. Namun, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Baha meninggal dunia 28 Jun lalu.

Cikgu Baha berpeluang merasai keistimewaan kepada Warisan Orang Hidup dengan mendapat rawatan di wad kelas pertama, Hospital Pulau Pinang sepanjang beliau dirawat di sana.

Semua tokoh Warisan Orang Hidup diberikan sijil pengiktirafan, bayaran honorarium selain keistimewaan lain seperti layanan kelas pertama di hospital kerajaan.

Apakah yang menyebabkan kelima-lima tokoh itu mendapat pengiktirafan berkenaan? Jabatan Warisan menyatakan pengiktirafan itu berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka kepada seni dan budaya masyarakat tempatan.

Pak Ali Badron, 66, berpengalaman dalam bidang sastera lisan sejak 1960-an adalah penglipur lara terkenal yang menjadi rujukan penuntut dan ahli akademik dalam sastera lisan.

Beliau adalah seorang pesara guru dan aktif sebagai penceramah dalam bengkel khusus mengenai sastera lisan di pusat pengajian tinggi, maktab perguruan serta majlis anjuran Majlis Kebudayaan Negeri.

Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kebudayaan Negeri Johor, Pak Ali Badron juga menjadi Pengerusi kumpulan Teater Sri Penggaram. Beliau terkenal di selatan tanah air terutama Johor dengan sastera lisan klasik ‘Surat Kapal’.

Keunikan Pak Ali kerana beliau bercerita sambil memukul gendang mewarisi kebolehan gurunya Pak Arab. Masih aktif sebagai penglipur lara, beliau kini mewariskan bakatnya kepada anak muridnya yang menjadi juara kebangsaan penglipur lara yang diadakan di Perlis baru-baru ini.

Mengulas pengiktirafan itu, Pak Ali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan anugerah berkenaan kepadanya yang disifatkannya hadiah bermakna kerjaya seninya yang tidak pernah difikirkannya.

“Saya melakukan ini (penglipur lara) bukannya kerana mahu mendapatkan pengiktirafan tetapi minat mendalam dalam seni dan budaya,” katanya.

Sementara itu, Losimin, 83 pula diberikan pengiktirafan berkenaan kerana beliau adalah satu-satunya bobohizan wanita tertua dan mampu merawat penyakit misteri mengikut kepercayaan kaumnya.

Dikenali kerana mempunyai ilmu yang cukup hebat, mewarisi tradisi ritual pribumi Kadazan Dusun sejak berusia 16 tahun. Losimin masih aktif dan menjadi bobohizan mengetuai ritual Kaamatan peringkat negeri dan kebangsaan.

Malah, beliau amat memahami rejang, resa, simbol dan firasat tradisional kaumnya serta mahir dalam bidang nyanyian dan ritual yang sudah tiada lagi pada orang lain selain, mampu menggerakkan segala ragam dalam tarian Sumazau, simbol jati masyarakatnya.

Seorang lagi tokoh, Abu Bakar Jaafar, 84 tahun yang kini uzur dan menerima rawatan di hospital. Dikenali sebagai Pak Kan, dipilih kerana satu-satunya tukang karang boria yang masih hidup.

Bergiat dalam boria sejak berusia 12 tahun, Pak Kan mewarisi bakat bapa dan abangnya yang turut menjadi tukang karang boria terkenal.

Pernah menyertai dan memenangi pertandingan Dendang Rakyat peringkat Pulau Pinang dan Kebangsaan sebanyak lapan kali. Malah, Pak Kan turut menerima Anugerah Seni Pulau Pinang dan Tokoh Budaya Pulau Pinang pada 2003.

Tan dipilih kerana beliau diberi pengiktirafan masyarakat Cina Malaysia sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’. Beliau menerima pengiktirafan itu kerana berjaya mencipta kesenian gendang yang mempunyai ciri-ciri istimewa Malaysia, dinamakan ‘24 Gendang Perayaan’.

Beliau juga menjadi orang pertama melagukan Puisi Mahua (Sastera Cina Malaysia) yang pertama kali diperkenalkan kepada masyarakat Cina Malaysia pada 70-an.

Pernah menerima Tokoh Puisi Lagu Mahua dan Tokoh Penggalakkan Muzik Tradisi oleh beberapa pertubuhan Cina.

Sementara itu, Vatsala Sivadas dipilih menerima pengiktirafan itu kerana sumbangan besarnya dalam seni tarian klasik India dikenali sebagai Bharatanatyam.

Vatsala mempunyai akademi tarian sendiri yang menerapkan nilai Malaysia dikenali sebagai Temple Fine Arts. Malah, Shakuntala, karya lagenda klasik Kalidasa digarap dengan variasi tempatan apabila lagu Melayu melatari persembahannya untuk Perdana Menteri India, Indra Ghani.

Apa yang pasti kepakaran dan kemahiran yang dimiliki kelima-lima tokoh berkenaan memang tiada tandingannya dan selayaknya mereka menerima pengiktirafan berkenaan.

INFO

18 Tapak Warisan

Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Bandaraya
Bangunan Ibu Pejabat Keretapi ( Ibu Pejabat KTMB)
Bangunan Jabatan Kerja Raya (PWD)
Bangunan Parlimen
Bangunan Pejabat Pos Besar (GPO)
Bangunan Residensi (Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia Pertama)
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Bangunan Sultan Abdul Samad
Batu Caves dan Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam
Carcosa dan King's House (Seri Negara)
Dewan Perhimpunan Cina Selangor
Gereja St. George
Istana Negara
Masjid Negara dan Makam Pahlawan
Taman Negara Kinabalu
Taman Negara Mulu
Tapak Tiang Bendera Negara Dinaikkan Buat Pertama Kali
Tugu Negara

32 Objek Warisan
Bangsawan
Bunga Raya (Hibiscus Rosa-sinensis)
Cogan Agama
Cogan Alam
Cokmar
Cokmar Dewan Negara
Cokmar Dewan Rakyat
Dondang Sayang
Gandik Diraja
Hukum Kanun Melaka
Jalur Gemilang
Jata Negara
Joget Melayu
Kalung Diraja
Keris Panjang Diraja
Keris Pendek Diraja
Mak Yong
Manuskrip Hikayat Hang Tuah
Manuskrip Sejarah Melayu
Negaraku
Ngajat
Panji-Panji Diraja
Pending Diraja
Perak Man
Rumah Terbuka Malaysia
Seni Persilatan Melayu
Sewang
Sumazau
Tarian Singa Atas Tiang
Tengkolok Diraja
Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan
Wayang Kulit

 

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian. com.my

source: apresiasi_sastra (komuniti sastra nusantara)

Baca perbualan