http://www.kapasitor.net/community/
Article  Information  Life  Opinion  Relationship  

Integrasi Antara Kaum (Setelah 51 Tahun Merdeka)

iklaneka
 

Petaling Jaya, September 2008


Saya adalah seorang remaja berbangsa Melayu, yang cukup segak bila mengenakan teluk belanga di tubuh, dengan songket dan capal, serta songkok tinggi di kepala. Makanan kegemaran saya pula semestinya lontong, mi bandung Muar dan laksa Johor. Saya juga pernah 3 kali jatuh hati pada gadis-gadis yang sebangsa dengan saya, mungkin kerana tertarik dengan budi bahasa dan sopan santun yang tidak pernah lekang daripada gadis Melayu itu sendiri.

Namun saya bukanlah seorang yang bersifat perkauman. Ini kerana Rasulullah S.A.W sendiri tidak memperjuangkan bangsanya - iaitu Quraish. Sebaliknya Rasulullah S.A.W memilih untuk memperjuangkan agama Islam, dan dalam masa yang sama menghormati penganut agama lain supaya akhlak penganut Islam tidak menimbulkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri.

Saya menjalani musim pra-persekolahan di tabika Kemas, yang semua penuntutnya adalah berbangsa Melayu. Oleh sebab itu, pergaulan saya dengan penuntut daripada bangsa Cina dan bangsa India hanya bermula ketika saya di dalam darjah satu.

Ketika di sekolah rendah, sahabat karib saya ialah seorang India yang bernama Hari Arun. Kami jadi rapat mungkin kerana kami berkongsi cita rasa yang sama iaitu bermain bola sepak. Kami sama-sama menempah jersi pasukan kami di Kompleks PKNS Shah Alam. Pasukan kami dianggotai oleh murid-murid darjah 6 Seroja dan pasukan kami dikenali sebagai 'Black Hawk'.

Di alam persekolahan menengah pula, saya bersahabat karib dengan seorang Cina bernama Ng Kai Rong. Sekali lagi persahabatan kami dirintis oleh cita rasa yang sama - muzik. Saya masih ingat lagi saat Ng Kai Rong mempromosikan kaset XPDC yang bertajuk 'Kita Peng-Yu' kepada saya. Menurut Kai Rong, 'Peng-Yu' di dalam bahasa Cina bermaksud 'kawan' dan tambahnya lagi, XPDC adalah Metallica Malaysia. Saya juga masih ingat ketika kami bergilir-gilir membaca majalah Ujang ketika guru sedang mengajar di hadapan kelas, dan saya masih ingat juga saat kami sama-sama menghisap rokok di tandas sekolah ketika kebosanan menjelma.

Tamat tingkatan lima, pelajar-pelajar Cina dan India terpaksa mengambil STPM untuk melayakkan mereka ke Universiti, sementara kebanyakan pelajar melayu ditempatkan di Bahagian Matrikulasi dan saya sendiri melanjutkan pengajian di UiTM.

Sepanjang persahabatan saya dengan Hari Arun dan Ng Kai Rong itu, bahasa pertuturan sesama kami ialah Bahasa Melayu. Kami hanya menggunakan Bahasa Inggeris ketika di dalam kelas Bahasa Inggeris.

Saya bekerja selama setahun di Bank Rakyat yang keseluruhan pekerjanya berbangsa Melayu dan apabila saya berhijrah ke RHB, saya kembali bersahabat dengan kaum Cina dan India. Malangnya suasana persekolahan dan suasana kerja adalah amat berbeza sekali, saya tidak lagi menggunakan Bahasa Melayu ketika bertutur dengan rakan-rakan Cina dan India, sebaliknya bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Ini adalah disebabkan kebanyakan orang Cina dan India tidak lagi fasih berbahasa Meayu dan pertuturan dengan mereka menjadi lebih selesa dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Itulah yang terjadi kepada warganegara Malaysia setelah 51 tahun Malaysia merdeka.

Saya kira situasi ini haruslah diperbetulkan, Saya kira Bahasa Melayu haruslah diangkat kembali menjadi bahasa pertuturan rakyat Malaysia dan Bahasa Inggeris haruslah kekal menjadi bahasa kedua.

Saya merasakan bahawa Tabika Kemas haruslah dipupuskan dan setiap tabika mestilah disertai oleh ketiga-tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India dan bahasa pendidikan haruslah menggunakan Bahasa Melayu.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan juga haruslah dipupuskan, tetapi pelajar boleh memilih untuk mempelajari Bahasa Mandarin, Tamil ataupun Arab sebagai bahasa ketiga di semua Sekolah-Sekolah Kebangsaan.

Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh haruslah membuka ruang yang lebih banyak untuk pelajar Cina dan India selain Melayu. supaya ketiga-tiga bangsa ini tidak dipisahkan seperti yang berlaku di zaman 'pecah dan perintah' dahulu.

UiTM dan Bahagian Matrikulasi juga haruslah membuka ruang untuk pelajar Cina dan India supaya mereka dapat bersama-sama membina ilmu bersama penuntut Melayu dan seterusnya melahirkan warganegara yang berjiwa Malaysia.

Peluang kerja di sektor kerajaan juga haruslah ditawarkan dengan lebih banyak lagi kepada orang Cina dan orang India sementara peluang kerja di sektor swasta ditawarkan dengan lebih banyak lagi kepada orang Melayu. Dan semestinya urusan surat menyurat, temuduga kerja dan sebagainya haruslah dibuat dalam Bahasa Melayu secara total.

Akhir kata, saya berharap 49 tahun dari sekarang, ketika kemerdekaan menjejak usia 100 tahun, bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain akan menjadi begitu patriotik dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai paksinya.

Malaysia Untuk Rakyat Malaysia! 


Share!Email

about the author

Marius

Au Revoir!
hassanayat | Add hassanayat as your friend | Send Message

my other posts
Cinta Agung | 556 reads
Pasaran Bebas Dalam Ekonomi Tertutup | 282 reads
Hatiku Di Terengganu | 1536 reads
Semi-Pro Dalam Kenangan | 2027 reads
Fashion Revolution - Project Runaway | 2033 reads
Teaching English As A Second Langguage | 691 reads
Hassan Ayat Production House | 1327 reads
View all
Comments From Facebook

Comment
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda

advertise@karyamedia.net
advertise@karyamedia.net

subscribe to kapasitor

KapaSTORE
Creative Content Marketplace

BUY NOW: Red Rabbit


admin blog