Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kapasitor MS: Buletin Jun 2009

 

Aluan
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat warga Kapasitor khususnya penggiat seksyen Kapasitor MS.

Kata orang, sekali bah sekali pantai berubah. Dalam kes saya pula, pantainya berubah bukan kerana bah, tetapi dek tugas yang diamanah!

Ketika buletin ini ditulis saya sedang ralit menghitung jam. Esok (Isnin), saya akan memulakan kehidupan baru, di sebelah pantai timur pula. Tiga bulan di Kuantan, kemudian akan menetap di Kemaman. Kalau nak jumpa saya kelak, jemputlah ke Pangkalan Laut Maritim Daerah Kemaman. Kata nak jumpa dengan pencacai pangkalan ni. Hehe.

Justeru saya memohon ampun dan maaf sebab sebulan ini, saya amatlah kurang meluangkan masa membaca entri-entri yang dihantar oleh anda semua. Tak lama lagi, bila saya sudah stabil dan settle down di tempat baru, insya Allah saya akan aktif seperti biasa. Mengikut jangkaan, seminggu dua lagi.

Baiklah, sepanjang bulan Mei yang lalu, seperti yang kita sedia maklum banyak benda yang telah terjadi. Tidak, saya tak maksudkan perpindahan Kaka dan mungkin tak lama lagi, Ronaldo ke Real Madrid. Walaupun memang rasa gatal tangan nak mengulas tentang itu, di sini bukan tempatnya. Malah, itu isu bulan Jun. Kita sekarang nak cerita Mei.


Pertembungan Budaya

Pertembungan budaya merupakan acara tahunan di sini. Tiap-tiap tahun pasti akan ada kemuncak pertembungan yang mampu menghasilkan beberapa entri luahan rasa, pangkah-memangkah dan terasa hati.

Kemuncak pada tahun ini jatuh pada bulan Mei. Bolehlah diklasifikasikan sebagai yang paling hangat ekoran respon yang diterima.

(Perbezaan budaya dan nawaitu ahli berkomuniti di sini pernah saya sentuh dalam entri ini dan ini) (Terbaru sekali baru je bulan Mac 2009 hari tu? Ironik).

Mungkin salah pihak pengelola kerana tidak begitu serlah dan jelaskan konsep Kapasitor hingga ramai yang terpinga-pinga. Sewaktu kami membuka Kapasitor dahulu impian kami adalah menyediakan platform yang menghimpun pelbagai jenis budaya ini.

Secara tidak formalnya, kami bersetuju Kapasitor yang sedang kami bangunkan ini akan menjadi saluran bagi semua peringkat:

i. mereka yang takut menulis, tapi teringin.
ii. mereka yang banyak menulis, tapi tak berani kongsi.
iii. mereka yang hebat-hebat tetapi sudah bosan dengan segala hukum-hakam dan ingin lari lalu menulis sesuka hati buat seketika.
iv. mereka yang ingin mencuba tulisan-tulisan baru, terutama untuk memanfaat trend medium bacaan di monitor yang mengurangkan attenstion span seseorang berbanding bacaan atas kertas.

.. dan yang paling kami hargai , v. semestinya mereka yang memperjuang bahasa, menulis untuk kebaikan, bermatlamat arus perdana dan mempunyai hala tuju dalam penulisan.

Kesimpulannya, Kapasitor mendukung mereka yang berpengetahuan, berpengalaman dan mampu menjadi contoh buat yang ingin belajar di dalam laman ini. Malah golongan yang bermatlamat arus perdana dan ingin maju inilah pada saya yang paling banyak di dalam Kapasitor ketika ini.

Cuma, janganlah dicantas, dihina, dimomok, ditekan mereka yang berlainan budaya, kelompok usia dan tahap pengetahuan dengan kita.
Buat yang sealiran, kita bantu mereka menjadi maju.
Buat yang berlainan, kita lapangkan hati kenali budaya baru.
Buat yang baru bertatih, berilah ruang bagi mereka untuk mencari arah tuju.

Saya ada berbual dengan mereka yang mengaku ‘frinjian’, ‘fringe’ atau menulis melanggar norma format tulisan biasa ini, apa sebenarnya yang mereka cari? Ada yang kata, penulisan beliau sekadar satu komponen dari menyiapkan diri untuk menjadi pengarah filem.

Wow! Okey. Saya terkejut mendengar iltizam beliau. Siapalah saya untuk menghalang perancangan dan cita-cita beliau. Malah kalau banyak ruang untuk saya tulis, sebenarnya pelbagai lagi nawaitu penulis-penulis ini ingin saya kongsikan.

Saya juga ada bertanya pendapat orang ‘senior’ di dalam penulisan ini, apa pendapat beliau tentang fenomena karya ‘frinjian’ yang melata di Kapasitor ketika ini. Kata beliau, walaupun beliau kurang selesa dengan kebanjiran karya seperti ini tetapi seperti muzik underground dan independant yang dulunya massa tak hairan, kini siapa yang tak kenal band Hujan? Perkara-perkara ini terlalu subjektif.

Tapi, buat yang nakal dan terlalu teringin mencuba,  janganlah sampai melepasi hadnya ya! Hormatilah norma asas dan sensitiviti warga secara keseluruhannya.

Semoga peristiwa terbaru ini membuatkan kita lebih saling mengenali, lebih bertoleransi dan sedar akan had kebebasan yang harus kita ikuti.


Adra Persembahkan Hati

Isu yang kedua, berita baik buat peminat-peminat cik Adra Adlina kita. Novel pertama beliau sudah diterbitkan! Saya mewakili barisan pengendali Kapasitor ingin mengucapkan TAHNIAH di atas kejayaan tersebut.

Novel setebal 519 mukasurat terbitan Buku Prima ni telah beliau hantar manuskripnya pada November 2008. Alhamdulillah, semuanya lancar. Selang 7 bulan, Kupersembahan Hati kini sudah menerobos pintu-pintu kedai buku dengan harga RM18.90.

TAHNIAHHH SEKALI LAGII ADRAA! :D

(Tak sabar nak menunggu novel Jojo dan ahli-ahli lain pula diterbitkan).

 
Kak Maria Mengundur Diri

Selepas menabur bakti selama 3 bulan, Kak Maria meminta untuk mengundur diri sebagai Kru Pengelola Kapasitor MS kerana kesibukan kerja dan kekangan waktu.

Walau hanya 3 bulan, Kak Maria atau Kapasitor IDnya mr_kajiwa sempat berkongsi pelbagai ilmu berguna dan menyentuh banyak hati di sini sebagai kakak sulung.

Kami mendoakan Kak Maria berjaya dalam apa yang diusahakannya dan bila kelapangan jemput-jemputlah menjenguk kami di sini.

 

Kejutan
Kejutan istimewa dari Kapasitor MS yang saya utarakan pada buletin lepas nampak gayanya belum dapat dilaksanakan. Orang yang bersama-sama saya ingin realisasikan benda itu belum mempunyai kelapangan waktu yang cukup. Harap bersabar ya!


Ulasan dari Kru Pengelola

Bagi seksyen puisi, saya memetik kata-kata Apun:

“Bulan ini seperti biasa, masih kebanjiran karya dari ahli baru. Dalam kebanyakan ahli baru, perhatian aku berikan kepada adreena, lihat saja kepada my.k, dan penerangannya. Mungkin kita patut berguru dengannya juga.

Juga, sedikit atau tidak, masih ada yang sibuk dengan puisi “egois”. Penulis sememangya harus egois, namun harus juga bersifat menerima, toleransi dan imaginatif. Kurangkan penulisan caca-marba, banyakkan pembacaan.

Tambah, kepada pembaca, rajin-rajinlah menekan bintang-bintang tersedia. Amat menyedihkan jika karya yang hebat dan cantik, tidak berbintang. Satu atau lima, bukanlah persoalan, tetapi lebih kepada apresiasi. ( ingat lagi tema ulang tahun? “Apresiasi Maya” bukan? ). Ada karya komennya ramai, tetapi rating-nya seorang-dua. :)

Jadilah penulis bertanggungjawab dan pembaca yang memberi impak.”

 

Untuk cerpen pula, Abang Shamsul memberikan ulasan ini:

“Terdapat peningkatan yang begitu ketara dari segi jumlah cerpen yang dihantar ke Kapasitor. Berbanding dengan bulan sebelumnya, bulan Mei 2009 sekali lagi menyaksikan pertambahan jumlah bilangan cerpen yang dihantar oleh ahli-ahli Kapasitor.

Sebanyak 48 cerpen  telah dihantar oleh ahli-ahli Kapasitor berbanding hanya 37 cerpen pada bulan April.  Seramai 19 orang ahli Kapasitor terdiri dari ahli-ahli lama dan muka baru begitu aktif menghasilkan karya-karya dalam pelbagai tema. Kehadiran beberapa penulis cerpen lelaki turut sama memeriah seksyen cerpen bahasa Malaysia kali ini.

Namun begitu, walau pun jumlah karya-karya genre cerpen ini meningkat, kualiti cerpen yang dihasilkan secara keseluruhannya didapati tidaklah begitu menunjukan peningkatan yang dari segi kualiti. Jurang perbezaan antara karya-karya yang dihasilkan di Kapasitor dengan karya yang tersiar di media arus perdana masih ketara. Mungkin perbandingan ini dilihat agak keterlaluan, tetapi ianya hendaklah dianggap sebagai satu cabaran kepada ahli-ahli Kapasitor untuk menjadikan hasil karya yang tersiar di media arus perdana sebagai penanda aras kepada kualiti karya-karya yang tersiar di Kapasitor. Keinginan untuk melihat karya-karya di Kapasitor tersiar di dada-dada media arus perdana hendaklah diletakan sebagai sasaran setiap ahli Kapasitor.

Menjelang usia 5 tahun Kapasitor, adalah menjadi impian semua ahli-ahli Kapasitor untuk mengangkat Kapasitor dan penulis-penulisnya ke satu peringkat yang lebih tinggi.”

Ha, kalau Apun menekankan sokongan dan dorongan, Abang Sham pula mencabar kita semua untuk meningkatkan tahap penulisan agar mencapai kualiti arus perdana sesuai dengan usia kematangan Kapasitor. Jangan baca saja, SAHUTLAH SARANAN MEREKA! :D

Baiklah, sampai sini saja. Kita jumpa lagi dalam buletin akan datang!

 

Karya Pilihan Kru Pengelola Sepanjang bulan Mei 2009

Puisi
1. Luruh – oleh Syud
2. Purnama-Rindu Gerhana – oleh Nurie
3. Rindu – oleh Kurusawa
4. Ku Definisikan – oleh Rizzy
5. Al – oleh _theRain_
6. Aku Ingin Terbang – oleh Adreena
7. Cinta Kita – oleh Musafirjua
8. Bunting – oleh Mokai
9. Masihkah Berharap – oleh Myelina
10. Selebele – oleh Tengku (Reviu oleh Myelina)

*Terima kasih Kak Mas dan Apun kerana menyediakan senarai ini! :D

Cerpen
1. Harga Serelung Kesabaran – oleh Adreena (Reviu oleh Upenyu)
2. Kisah Cinta Tak Berwajah – oleh Myelina (Reviu oleh pereviu jemputan, Adra)
3. Ellyna – oleh Syud
4. Selamat Hari Guru Mama – oleh ridhrohzai
5. Janji, Cinta dan Sebuah Pondok-Pondok – oleh upenyu (Reviu oleh Cahatomic)
6. MenemuiMu – oleh cahya_aina

*Terima kasih Abang Sham dan saya sendiri! :p Abang Sham kata, karya yang beliau pilih kali ini berdasarkan kepatuhan kepada etika penulisan cerpen serta tema cerita.


Sekian!

Cahatomic,
Kapasitor MS

Baca perbualan