Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Tips Penulisan dan Penghantaran Karya : 11

 

Salam ceria.

Topik kali ini akan menyentuh sejauh manakah penggunaan bahasa luar/asing di dalam penulisan. Berapa persenkah atau banyak manakah ianya dibenarkan oleh penerbit? Dalam konteks ini, tentulah penggunaan Bahasa Inggeris yang menjadi tumpuan dan kerap kali digunakan dalam penulisan novel masa kini. Kedapatan juga penggunaan bahasa lain tapi amat sedikit jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris. Tapi apakah itu merupakan suatu yang wajar?

Kita lihat alasan-alasan yang diberikan :

1. Untuk menunjukkan pembaca bahawa mereka adalah orang asing atau latar tempat itu adalah di luar dari kawasan Malaysia.

2. Untuk menggambarkan watak itu adalah seorang yang bijak pandai.

3. Untuk menggambarkan bahawa watak-watak tersebut terdiri dari kalangan orang berada.

4. Gaya masa kini.

5. Realiti kehidupan di kota memang begitu, jadi apa salahnya ia dilakukan dalam penulisan?

6. Untuk memberikan kesan/impak yang lebih kepada pembaca.

7. Merasakan itu adalah suatu kewajaran dan merasakan tiada apa-apa kesalahan dengannya.

8. Pelbagai lagi.

Baik, persoalan yang timbul ini telah lama. Selalu juga orang bertanyakan kepada saya tentang perkara ini. Jadi, saya yang bermula dengan menulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, merasakan tentu ada jalan penyelesaian tentang perkara ini. Antara cadangan dan alasan saya mengapa karya kita harus dinukilkan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Kecualilah untuk nama-nama khas dan nama tempat, maka itu dibenarkan dalam tatabahasa. Saya fikir ini perlu dijelaskan kerana kedapatan manuskrip yang saya baca hampir keseluruhan dialog ditulis dalam Bahasa Inggeris. Pernah juga saya terjumpa dengan penulis yang menulis dialog dalam bahasa Itali!

1. Adakah orang luar itu (bahasa orang yang kita tuliskan dalam novel) itu menggunakan bahasa Melayu sehingga begitu banyak di dalam dialog? Jadi, kita tidak perlu merasa bangga sama sekali menggunakan bahasa luar demi merasakan bahawa karya kita lebih mantap dan mengesankan pembaca.

2. Penggunaan bahasa luar itu sebenarnya tidak langsung menunjukkan kecerdikan seseorang penulis bahkan akan menampakkan kelemahannya dalam penguasaan Bahasa Melayu serta kurangnya perbendaharaan kata dalam bahasa pengucapan harian kita.

3. Sekaligus ia menggambarkan bahawa seseorang penulis itu amat kurang membaca karya-karya penulis lain yang ditulis dalam bahasa kita. Juga amat kurang membaca buku-buku umum atau akhbar atau apa sahaja bahan penulisan dalam bahasa Melayu.

4. Siapa lagi yang kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita sendiri?

5. Cuba beritahu saya sekiranya terdapat mana-mana penulis besar bahasa luar yang hampir keseluruhan dialognya ditulis dalam bahasa luar.

6. Bahawa sanya bahasa itu jiwa bangsa. Perbuatan kita mencampuradukkan bahasa itu secara tidak langsung menjadikan kita sebagai seorang yang tidak patriotik serta mindanya terjajah secara tidak disedari. Saya beri contoh bahawa siri kartun Jepun yang popular, pada asalnya ditulis dalam bahasa Jepun. Kemudian barulah diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Tapi adakah Jepun menggunakan dialog-dialog luar dengan begitu banyak sekali? Hatta kartun mereka orang asing tapi bahasa percakapannya adalah bahasa Jepun.

7. Ujar Menteri Kebudayaan dahulu, Dato' Rais Yatim, "Sekiranya kamu mahu berbahasa Melayu, gunakan Bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Dan jika kamu mahu berbahasa Inggeris, gunakanlah Bahasa Inggeris sepenuhnya. Jangan sekerat-sekerat. Salahkah menggunakan perkataan 'saya', 'awak', 'aku', 'kau'? Apakah dengan menggunakan 'I' atau 'you' itu menggambarkan bahawa kita seorang yang cerdik dan elit?"

8. Cintailah bahasa kita sendiri. Orang lain takkan mendaulatkan bahasa kita melainkan bangsa kita sendiri.

9. Cintailah bahasa Melayu sepenuh hati!

10. Kewujudan fakulti-fakulti di luar negara yang mengkaji adat, seni, budaya dan bahasa Melayu.

Baiklah, antara penyelesaian yang saya gunakan adalah seperti berikut :

1. Di dalam dialog, sebagai contoh - "Kau fikir ini adalah suatu permainan!" Viktor menyergah aku dengan dialek Scotland nya yang pekat. Jadi, dengan cara ini, dapatlah pembaca memahami bahawa dialog seterusnya adalah dalam bahasa Scottish tetapi ditulis dalam Bahasa Melayu.

2. Jadikan mana-mana kamus, terutamanya Kamus Dewan sebagai teman yang paling akrab.

3. Gunakan bahasa luar itu hanya untuk nama-nama khas dan sebagainya. Seboleh-bolehnya minimakan pengunaan bahasa luar. Ini akan lebih mencantikkan karya kita.

4. Perbanyakkan membaca karya-karya penulis lain.

5. Berlatih menulis dalam bahasa Melayu dengan indah dan cantik. Berlatihlah dari sekarang dengan menulis di blog dengan bahasa Melayu yang penuh. Meskipun nampak janggal tetapi itulah bahasa kecintaan kita.

Begitulah antara perkara yang dapat saya kongsikan bersama dengan rakan-rakan semua. Semoga ia menjadi manfaat kita bersama. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Baca perbualan