Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Dunia Sastera Pelbagai Disiplin

 

Bila membaca  http://www.kapasitor.net/community/post/2878, tulisan Sekopi, ingin saya kongsikan artikel ini:-


JOSE RIZAL (1861 – 1896) pejuang kemerdekaan Filipina yang terkenal dengan dua buah  novelnya Noli me tangere dan El filibusterismo merupakan doktor pakar oftalmologi. Sejak kecil Rizal berminat dengan dunia sastera. Rizal dikatakan dapat membaca ketika berusia tiga tahun lagi. Ketika berusia lapan tahun, Rizal menggubah puisi dan mendemontrasikan pembacaannya. Ketika berusia 16 tahun, Rizal memasuki University of Santo Tomas untuk mempelajari bidang perubatan. Semasa menuntut, Rizal terus menghasilkan puisi, drama, dan esei. Karya Rizal merupakan protes dan kecaman terhadap penjajahan Sepanyol ke atas Filipina. 

    Pada tahun 1882, Rizal meninggalkan Manila dan menghabiskan masanya selama tujuh tahun di universiti-universiti di Madrid, Heidelberg, dan Berlin dalam jurusan perubatan yang mengkhusus pada bidang oftalmologi. Dalam masa yang sama, Rizal terus menulis, membaca dengan banyak, dan menguasai 22 bahasa dunia. Pada tahun 1887, novel sulung Rizal, Noli me tangere diterbitkan. Novel ini secara terang-terangan mengecam ketidakadilan penjajahan Sepanyol dan merupakan satira tajam yang menceritakan kebobrokan golongan peribumi yang korup dan menjual negara dan bangsa kepada penjajah yang kuku besi. Pada tahun yang sama Rizal mula menyiapkan sebuah lagi novel, iaitu El filibusterismo yang diterbitkan pada tahun 1891. 

    Karya Jose Rizal akhirnya diharamkan di Filipina. Namun hal itu tidak memberikan sebarang kesan pada Rizal. Akhirnya Rizal dibuang ke Dapitan, yang terletak di sebuah daerah yang jauh. Di sini Rizal menyumbangkan kepakaran perubatan kepada penduduk tempatan dan terlibat membina sekolah baharu yang mengajarkan metologi pertanian yang tersusun. Selepas empat tahun dalam buangan, Rizal dilepaskan dan dihantar untuk doktor tentera dalam perang Revolusi Cuba. Namun beberapa hari sebelum Rizal dilepaskan, penjajah Sepanyol memperoleh bukti bahawa Rizal terlibat dalam gerakan rahsia Katipunan untuk menggulingkan penjajah Sepanyol. Akhirnya dalam perjalanan ke Havana, Sepanyol memintas kapal yang dinaikinya, menangkap dan membawa Rizal pulang ke Manila. Rizal dituduh sebagai pemberontak dan dihukum bunuh oleh penjajah Sepanyol. Malam sebelum dihadapkan ke skuad penembak, Rizal menulis sajak yang terkenal “Mi ultimo adios” (Salam Terakhirku) dan keesokan harinya Rizal dihukum tembak di Padang Bagumbayan, Manila. 

    Jose Rizal merupakan salah seorang daripada beberapa banyak sasterawan agung yang tidak lahir sebagai “orang sastera”. Jose Rizal doktor pakar, tetapi jiwa kesenimanannya tidak membataskannya untuk hidup dalam dunia “otak kiri”. Namun pada masa dahulu, ketika zaman kegemilangan pemikiran Yunani mahupun pada zaman keemasan pemikiran Islam, sastera tidak dilihat sebagai bentuk yang terpisah daripada apa-apa bentuk pemikiran yang bersifat teras kemajuan dan perkembangan masyarakat. Ahli falsafah, golongan karyawan (ahli seni bina, perubatan, guru-guru dan sebagainya), serta tenaga elit yang menggerakkan tamadun Yunani sebahagian besarnya sasterawan ulung. Begitu juga pada zaman keemasan tamadun Islam, Ibnu Sina contohnya, selain merupakan doktor, ahli falak, dan saintis yang terulung pada zaman itu, beliau ahli sastera yang terkemuka. Begitu juga al-Farabi, saintis politik yang menguasai bukan sahaja sastera malah ilmu muzik. Pernah dalam suatu majlis, al-Farabi menegur permainan muzik yang dipersembahkan lalu bangun mempersembahkan muziknya. Semua yang hadir terpegun dengan keahlian al-Farabi. 

    Sastera pada waktu itu hidup sebagai entiti sosial yang sangat penting. Sastera bukan sahaja berkaitan tentang ilham yang unggul malah tentang realiti hidup. Sastera memberikan semacam ruang intelektual kepada manusia untuk membangkitkan rupa ketamadunan mereka. Lantaran sastera wujud sebagai bekas atau acuan yang mengumpulkan seluruh disiplin ilmu, mengharmoni, melakur, dan membentuk wajah ketamadunan yang sempurna daripada aspek fizikal mahupun rohani. Sastera sentiasa bergabung baik dengan sebarang disiplin ilmu termasuk tasawur Islam.
 
    Pada awal abad ke-17, di bumi Nusantara lahir seorang ulama ulung yang merupakan tokoh sastera agung yang tidak tertanding hingga kini, iaitu Hamzah Fansuri. Beliau merupakan tokoh gerakan tasawuf dan sastera yang besar yang memainkan peranan penting dalam usaha menyebarkan pemikiran Islam tasawuf ke Alam Melayu. Walaupun diselubungi pelbagai kontroversi berkaitan ajarannya, namun tidak dapat dinafikan bahawa beliau ulama ulung pada zaman itu. Pemikiran tauhidnya disebarkan secara mendalam dan berseni melalui syairnya yang indah lagi mengagumkan. Hamzah membawa pembaharuan bukan sahaja dalam bentuk pemikiran keislaman malah dalam dunia sastera. Hamzah Fansuri dikatakan orang pertama yang memperkenalkan syair sebagai puisi empat baris dengan skema a-a-a-a. Dengan menggabungkan – yang dilihat dari sudut struktur – ruba’i Parsi dan pantun Melayu, Hamzah memperkenalkan dan mempopularkan syair sebagai bentuk pengucapan sastera yang tinggi mutunya. Dari sudut puitika dan estetika Melayu, pengaruh yang ditinggalkan oleh Hamzah Fansuri mendasar kuat ke dalam karya penulis hingga abad ke-20. Sebahagian daripada penulis Angkatan Pujangga Baru di Indonesia seperti Sanusi Pane dan Amir Hamzah yang cenderung kepada nada Islam, dikatakan membawa pengaruh kesan daripada karya Hamzah Fansuri. 

    Perkembangan sastera turut membawa bersama yang disebutkan sebagai lambang jiwa manusia terhadap pergolakan batinnya, yang biasanya menjadi ruang seni bagi manusia menyalurkan pemikiran dan manifestasi kreatifnya. Lantaran itu sebarang pembahagian atau dikotomi yang diciptakan untuk meletakkan manusia sebagai “orang sastera” dan “orang bukan sastera” akan gagal. Manusia yang mempunyai manifestasi kreatif yang tinggi akan tetap mencari saluran yang bertepatan dengan cita rasanya. Bahkan saluran yang seni inilah yang akan memantapkan bentuk rasional, imej, ilham, idea dan ikon dalam sebarang bentuk fakulti pemikiran manusia. Sehubungan dengan itu, dunia immaterial selalu dilihat sebagai pembina dunia material, kerana imej yang menggerakkan pemikiran atau disebut sebagai mundus imaginalis itu merupakan pencipta bayangan untuk direalisasikan dalam alam kasar. Tanpa mundus imaginalis, bentuk dalam alam kasar. 

    Kelahiran karya sastera yang besar dilihat turut dihasilkan oleh mereka yang tidak mempunyai latar belakang yang formal tentang sastera. James Joyce membesar dalam dunia pengurusan kewangan. Iqbal, penyair agung Pakistan, merupakan ahli undang-undang di sebalik latar belakang pendidikan falsafahnya. John Grisham, penulis fiksyen terkenal merupakan peguam. 

    Sementara itu di Malaysia senario “orang sastera” dan “orang bukan sastera” memperlihatkan tembok tipis apabila melihat kemunculan karya yang baik dan bermutu tinggi daripada golongan profesional di luar bidang dan pendidikan sastera. Barisan nama yang terdiri daripada doktor atau pakar perubatan dan sains seperti Rahmat Haroun, Hashim Yaacob, Wan Ahmad Tajudin, Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Shahrol Lail Sujak merupakan penulis-penulis yang menghasilkan karya bermutu dan sehebat karya “orang sastera”. Isa Kamari, penulis muda yang terkenal dari Singapura merupakan arkitek, begitu juga Rosie Haslinda Nasir juga  arkitek. Jurutera teknologi maklumat (IT) negara yang terlibat dalam penulisan kreatif terdiri daripada Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, Lee Keok Chih, Fudzail, Saharil Hasrin Sanin, Sharkawi Che Din dan beberapa nama penulis yang lebih muda. Aminah Mokhtar seorang jururawat terlatih, Nisah Haji Haron seorang peguam, bahkan Mawar Shafei geologis sebelum menukar haluannya memasuki dunia kesarjanaan sastera. 
    Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar merupakan profesor dan dekan Multilingual Information Technology, Information Systems DeparITent di Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia (UIT). Beliau memperoleh ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang Electronics Engineering daripada Essex University, United Kingdom; sarjana Computer Engineering, daripada California Polytechnic State University USA; dan doktor falsafah Electrical Eng. (A.1.) daripada UIT. Yang menarik tentang Dr. Ahmad Zaki adalah penglibatan beliau dalam dunia sastera. Melihat daripada sudut akademiknya, agak sukar mempercayai Dr. Ahmad Zaki merupakan sasterawan, lantaran dikotomi yang dibina untuk memisahkan itu menyebabkan orientasi berfikir melihat suatu tembok antara sastera dengan sains. Namun di sebalik itu, Dr. Ahmad Zaki telah menghasilkan banyak karya dan antaranya novel Wira Pesona Avatari (UPND, 1997) dan Dendam Siber (Pustaka Cipta, 1997). Wira Pesona Avatari memperolehi anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Karya-karya Dr. Ahmad Zaki dilihat memainkan peranan memperkenalkan dan membina penulis dan khalayak sastera dalam usaha mendekati dunia multimedia. Iltizam Dr. Ahmad Zaki kepada dunia sastera sangat kuat. Beliau sering hadir dalam aktiviti seminar dan dialog sastera dan turut menyumbangkan fikiran yang bernas pada dunia sastera. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa Dr. Ahmad Zaki merupakan penulis yang mempunyai penguasaan jalur estetik yang amat baik, walaupun beliau tidak pernah mengikuti sebarang pendidikan sastera secara formal. 

    Daripada sudut akademik Dr. Ahmad Zaki merupakan saintis. Beliau pernah menyatakan bahawa dunia sastera harus membuka pintu selebar-lebarnya kepada disiplin lain untuk masuk dan mencernakan pemikiran yang lebih luas. “Orang sastera” harus mengambil sikap yang lebih positif terhadap kehadiran penulis yang bukan daripada kalangan mereka kerana hal ini akan memberikan keuntungan kepada dunia sastera khususnya. Dr. Ahmad Zaki beriltizam membangunkan sastera dalam dunia IT seperti menjadi penasihat Pustakamaya.net, sebuah portal sastera yang bertujuan membawa sastera Melayu ke dalam dunia IT yang luas. 

    Lee Keok Chih yang berasal dari Selising, Pasir Puteh, Kelantan, mendapat biasiswa daripada Syarikat Perkapalan Malaysia (MISC) untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan marin. Setelah tamat, Lee bertugas di MISC sebagai jurutera perkapalan hingga mencapai taraf Kejuruteraan Pertama Kelas 1 (Chief Engineer). Setelah itu Lee mengambil ijazah sarjana muda dan sarjana dalam IT. Lee mendapat sarjana daripada Mastracht University, Belanda. Beliau menamatkan kariernya dengan MISC lalu memulakan tugas dalam bidang kejuruteraan IT di sebuah syarikat perunding antarabangsa. Bagi Lee, kehadiran penulis luar latar belakang sastera memberikan nafas baharu, pengalaman baharu, dan pemikiran baharu dalam dimensi seni kesusasteraan. Hal ini demikian kerana kekuatan penulis tidak serupa dan berbeza dari segi orientasi pengalaman dan persekitaran antara satu sama lain. Jika dunia sastera hanya dihidupkan dengan nafas orang sastera, skop dunia sastera akan menjadi kecil. 

    Dunia sastera bagi Lee harus mempunyai skop yang luas, kekuatan pelbagai disiplin yang utuh, dan keterbukaan pandangan yang sangat fleksibel. Walaupun penguasaan bahasa penulis dari luar disiplin sastera mungkin tidak semantap penguasaan estetika bahasa “orang sastera”, tetapi jika dilihat dari sudut kepelbagaian fikiran dan pandangan, kehadiran penulis di luar latar belakang sastera menghadirkan warna-warna yang indah dan menarik dalam dunia sastera. 

    Saharil Hasrin Sanin penulis muda yang sedang mencipta nama dalam dunia sastera, pernah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Berunsurkan Islam dan yang terbaharu menerbitkan kumpulan cerpen Cerpen-cerpen Underground 2 bersama-sama Faisal Tehrani. Beliau merupakan penulis berbakat besar yang tidak dilahirkan dalam formaliti sastera. Saharil merupakan lulusan kejuruteraan pembuatan yang berkaitan dengan dunia perindustrian Cardiff University, United Kingdom. Kini Saharil bertugas sebagai jurutera di Tenaga Nasional Berhad. Ditanya pendapatnya tentang kehadiran penulis yang tidak lahir daripada dunia pendidikan sastera, Saharil berpendapat bahawa ini merupakan perkembangan yang baik. Kerana menurutnya fenomena ini akan membawa masuk perkara-perkara baharu ke dalam dunia sastera. Seseorang penulis mungkin terpaksa membaca dan mencari maklumat apabila ingin merakamkan pengalaman berkaitan dunia kejuruteraan dan sebagainya. Namun, apabila jurutera sendiri yang menulis, dia akan melihat dunia kejuruteraan itu daripada pengalamannya yang asli. Karya atau tulisan itu akan menjadi lebih real dan konkrit. Bagi Saharil, hal ini memberikan kepelbagaian pandangan, pengalaman, dan pemikiran dalam dunia sastera. 

    Seseorang yang lahir di luar tradisi sastera akan menulis tanpa terikat pada sebarang ikatan teori mahupun pendekatan sastera. Hal ini akan menjadikan sesebuah karya melanggar sebarang bentuk konvensi dan melahirkan sama ada karya yang amat baik ataupun sebaliknya. Namun yang penting bagi Saharil, penulis harus mempunyai kepelbagaian sudut pandangan dan tidak harus terikat pada sebarang bentuk konvensi. Sesebuah karya harus berdiri bebas dalam ruang kreativitinya yang tersendiri. Maka terlihat kepentingan pelbagai disiplin dunia sastera, kerana hal ini akan memberikan banyak pilihan kepada penulis, seterusnya mendorong suasana yang positif bagi melahirkan karya besar. 

    Mawar Shafei, penulis dan sarjana sastera melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang amat positif. Menurutnya, kehadiran penulis daripada pelbagai disiplin ilmu dapat memberikan pelbagai sudut pandangan dalam dunia sastera. Sewajarnya pula hal ini meluaskan dan membesarkan dunia sastera bukan sahaja dari segi kapasiti pemikirannya malah kapasiti khalayaknya. Kehadiran penulis disiplin luar sastera turut menarik khalayak luar dunia sastera. Sebagai contoh, penulis yang terlibat dalam kepakaran IT membawa masuk ke dalam karyanya “peristiwa-peristiwa” dunia IT. Hal ini membawa khalayak celik IT ke dalam dunia sastera kerana mereka tertarik membaca kisah yang berkaitan dengan minat mereka. Begitu juga penulis dalam disiplin lain seperti doktor perubatan contohnya, akan memberikan pandangan yang tepat tentang dunia perubatan dan hal ini tentunya menarik khalayak yang mempunyai minat terhadap dunia perubatan. Mawar menyebutkan hal ini sebagai “mempelawa khalayak daripada lapangan lain”. 

    Kehadiran penulis pelbagai disiplin ini akan membentuk yang disebutkan sebagai sinergi, istilah dalam terma dunia dagang, yang bermaksud gabungan dua entiti yang saling berkaitan bagi membentuk entiti besar yang lebih efektif dari segi kos dan margin. Kehadiran penulis pelbagai disiplin tersebut memberikan sinergi pada dunia sastera. Sinergi dalam dunia sastera bermakna wujudnya gabungan pelbagai disiplin dan ilmu yang akan membentuk dunia sastera yang lebih besar dan kuat sebagai entiti sosial dan wadah intelektual. Dan hal ini akan membawa dunia sastera ke era yang lebih besar. 

    Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa dunia sastera akan menjadi lebih kuat dan besar apabila wujud ruang interaksi antara pelbagai disiplin ilmu. Seyyed Hossein Nasr, tokoh intelektual Islam yang tidak asing lagi, bukan sahaja terkenal dalam dunia intelektual Islam malah mencapai status yang tinggi dalam strata intelektualiti dunia. Beliau mempunyai pandangan yang sangat dominan terhadap falsafah dan seni. Seyyed Hossein Nasr sebenarnya lulusan jurusan matematik dan fizik daripada MIT, Cambridge, Amerika Syarikat, sebelum memperolehi doktor falsafah dalam bidang sains dan falsafah daripada Universiti Harvard. Kajian dan pemikiran Seyyed Hossein Nasr sangat kuat dan dominan kerana keupayaan beliau melihat daripada pelbagai sudut dan disiplin. Beliau bukan sahaja mengungguli kajian dunia falsafah dan sains malah mengungguli kajian tentang dunia seni dan sastera. Pandangan beliau tentang dunia seni dan sastera melangkau pemikiran konvensional yang wujud selama ini. Hal ini berlaku kerana wujudnya pandangan yang luas hasil daripada gabungan pelbagai disiplin ilmu dan pemikiran yang dipunyai oleh Seyyed Hossein Nasr. 

    Bertolak daripada pandangan di atas, dunia sastera sewajarnya melihat bukan lagi dari sudut jiwa sasteranya yang kecil malah daripada mata yang pelbagai hala yang berdiri di atas jiwa terbuka yang besar. Dunia sastera abad ke-21 harus menerima dengan berani kemasukan “suasana-suasana” baru ke dalam dunianya. Adalah naif mempercayai bahawa sempadan-sempadan negara-bangsa kini diruntuhkan dan dikoyakkan oleh globalisme. Namun menolak kepercayaan bahawa globalisme akan mempengaruhi dan menukar cara dan gaya hidup pula adalah kepercayaan daif. 

    Tidak dapat tidak dunia sedang berubah secara drastik ke satu arah yang belum ada sebarang penetapan yang tepat, dan meninggalkan dunia era perindustrian dengan ekonomi fahaman Keynesian menjadi mesin buruk yang berat dengan karat. Kepantasan pergerakan maklumat akibat keajaiban teknologi maya menjadikan dunia kecil semakin cepat menjadi terkebelakang. Dunia sastera pada akhir abad ke-20 merupakan satu daripada dunia-dunia kecil tersebut. Apabila memasuki fasa baharu abad ke-21, dunia sastera menjadi dunia kecil yang menjadi terkebelakang jika pemahaman rigid terhadap idealisme kesasterawanan yang membuta tuli terus menjadi pegangan. Sebarang tindakan dan sikap menutup pintu bukan sahaja menjadikan “orang sastera” sebagai fosil tamadun malah menjadikan dunia sastera sebagai “the lost world” yang dipenuhi dinosaur dan haiwan misteri yang telah pupus. 

    Kehadiran penulis daripada disiplin di luar sastera bukan sahaja dialu-alukan malah harus digamit dan dibawa masuk bagi membentuk sinergi yang akan menjana margin intelektual dalam dunia sastera, dan seterusnya meneruskan kelangsungannya dalam ruang dan kapasiti yang berbeza daripada dahulu demi menyesuaikan dan mewujudkan entiti utama dalam pembangunan peradaban. Perubahan tidak dapat tidak akan tetap berlangsung, sama ada menerima dan menatangnya dengan kekuatan yang baharu atau terus hidup dalam aliran mimpi nostalgia. Dunia sastera harus berubah dengan kekuatan yang baharu walaupun terpaksa mengorbankan kuasa lama yang bersembunyi dalam kota semangat parokial dan idealisme yang hampir menjadi fosil demi membina dunia realiti abad ke-21. Dunia sastera abad ke-21 bukan lagi dunia ideal yang hanya melakarkan impian tetapi dunia realiti yang harus menerima dan memperlihatkan wajahnya secara berani.


Sumber:  Dewan Sastera.

Baca perbualan