Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ayat-ayat Cinta!

 

Ayat-ayat Cinta

Kulit Buku

Penulis : Habiburrahman El Shirazy
ISBN : 983-2672-36-8
Harga : RM22.90
Penerbit : Ar Risalah
- PEMENANG PENA AWARD NOVEL TERPUJI NASIONAL 2005
- PEMENANG ANUGERAH PENGHARGAAN "THE MOST FAVOURITE BOOK" 2005

Terus terang aku katakan, pada awalnya tak terlintas di fikiran aku, aku akan berjaya habiskan pembacaan buku ni. Apalagi untuk berasa apa yang aku sedang rasakan sebaik menyudahkannya; termotivasi, terilham, terinsaf lalu tertulis reviu untuk menyeru pembaca lain agar cari, beli dan baca sekali buku ini!

Dengan corak pembacaan lewat beberapa tahun ini yang lebih cenderung ke arah buku berbahasa Inggeris, terutamanya karangan mendiang Sidney Sheldon, buku Ayat-ayat Cinta garapan Habiburrahman El-Shirazy berjaya menongkah segala persepsi dan trend yang aku dukung sekarang untuk menjadi Book of The Year buat aku tahun ini!

Melihat dari kulitnya yang cheesy ketika awal meminjam, aku terpana pada senarai nama orang yang telah memberi testimoni. Ada nama A. Samad Said tercatat, dengan pujian yang aku kira agak melangit. Kemudian ada petikan dari Majalah Muslimah, yang memilih buku ini sebagai The Most Favorite Book mengalahkan buku Harry Potter. Begitu juga dengan deretan penghargaan lain dari individu berkredibiliti dalam arena penulisan.

Maka aku yang turut teruja untuk membaca buku yang dipinjam dari adikku ini akhirnya berbaring di atas karpet sambil menunggu perlawanan bolasepak di TV dan mula membaca bab satu. Kesannya? Aku terus tertidur sebelum sempat bab satu aku habiskan!

Esoknya, buku itu aku letakkan di atas almari cermin, dengan harapan setiap kali aku berdandan, aku sentiasa ingat ada satu buku yang belum aku habiskan bacaannya. Tapi selepas dua bulan berlalu buku ini telah berubah menjadi dataran menadah habuk yang efisien.

Dari bab satu yang sempat aku baca, aku tahu buku ini bukanlah genre kegemaranku. Penulisan yang meleret, yang penuh perincian, berkisarkan kehidupan di Timur Tengah – ah, bagaimana ia boleh membantu aku yang Belanda dan sedang mencari mood dan ritma untuk berkarya di Kapasitor.Net?!

Namun akhirnya, di satu hari yang bosan aku capai juga buku yang telah berhabuk ini, dengan niat memberi peluang sekali lagi dan membacanya dengan lapang dada.

Hasilnya? Aku tidak boleh berhenti membaca! Selepas berjaya mengharungi bab satu yang memberi pengenalan agak panjang lebar tentang latar belakang dan konsep cerita, aku akhirnya tertarik dengan perkembangan yang dibawa dalam bab dua. Begitu juga dalam bab tiga dan seterusnya!

Penulisan ini menceritakan tentang kehidupan Fahri Abdullah, mahasiswa Sarjana di Universiti Al-Azhar yang penuh suka duka. Dalam diam-diam kehidupannya sehari-hari, beliau rupanya diminati oleh empat orang gadis yang latar belakang dan mentaliti mereka terhadap cinta cukup unik dan berbeza.

Di sinilah bermulanya segala konflik dan ragam yang sebenarnya digarap penulis untuk memberi iktibar kepada pasangan muslim yang bercinta hari ini. Bagaimana prinsip cinta yang sebenar dalam islam, apakah erti pengorbanan yang dituntut syarak dan banyak lagi. 

Lebih istimewa, setiap perbuatan, setiap keputusan, setiap kata yang diluahkan oleh Fahri akan disulam dengan ayat Al-Quran, Hadith atau contoh ikutan ulama terdahulu.

Aku hairan dengan diri aku. Aku mengaku aku bukanlah orang yang boleh membaca buku agama setebal ini. Aku bukanlah dari jenis yang tegar mata untuk menghadap sebegitu banyak sisipan nilai murni dari sudut keagamaan seperti yang terkandung dalam buku ini.

Tapi percubaan yang dilakukan Habiburrahman dalam penulisannya, mengasimilasikan unsur dakwah, cinta, kemanusian, nasihat dan sindiran dalam satu mahakarya begitu terkesan! Secara tidak langsung mengajak aku banyak berfikir, muhasabah diri dan memberi aku gambaran tentang keindahan kehidupan muslim sejati.

Buku ini pada aku, sangat sesuai untuk remaja dan belia yang belum berkahwin. Buat ingatan tentang batas-batas pergaulan. Buat inspirasi untuk menjalani satu kehidupan yang lebih diberkati.

Aku tahu bagi yang kurang minat dan cepat bosan dengan bacaan berunsur keagamaan mungkin tidak akan tergerak hati untuk membaca. Percayalah, aku juga pernah berasa seperti itu. Tapi berilah diri sendiri peluang untuk menghadam suatu halwa jiwa yang sangat unik ini. Sekurang-kurangnya cuba dulu tiga bab pertamanya, kalau selepas itu memang mahu mengalah, terpulang! Tapi terus-terang aku katakan, jalan cerita yang menarik dengan ending yang segar tanpa klise ini menyebabkan kita berbangga menghabiskannya!




"Sesekali dalam ketenangan sastera Indonesia datang mengejut gelora seni yang tidak tersangkakan. Jika dulu pernah hadir "Ateist", "Perburuan", "Pulang", "Merahnya Merah" dan "Bumi Manusia", kini tampaknya gelora itu datang dalam bentuk "Ayat-Ayat Cinta" pula. Ternyata ia adalah sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan. Dengan bahasa yang sederhana mengalir, novel ini menghadapkan kita kepada sekelompok mahasiswa Indonesia yang tidak saja tekun menangguk ilmu, malah berupaya mengisi kehidupan dengan penuh sabar. "Ayat-Ayal Cinta" memangnya pintar mengheret kita menjejaki — malah menghidu — perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara.

Rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.

Maka itu, tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di iuar dan di dalam negaranya."

A. Samad Said
Sasterawan Negara

Baca perbualan