Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Blindness: buta zahir atau buta batin?

 


(http://karyawanluarnegara.com)

 

No food, no water, no government, no hierarchy, no obligation, no order. This is not anarchy, this is blindness.

Membaca ‘Blindness’ karya Jose Saramago, penerima Hadiah Nobel Sastera 1998 dari Portugis, memberi saya satu pengalaman yang aneh. Ceritanya bermula dengan keanehan. Bergerak dengan keanehan. Dan berakhir dengan keanehan. Keanehan yang sama saya rasai ketika menonton ‘The Happening’ yang ditulis M. Night Shyamalan (walaupun filem ini diterima dingin oleh pengkritik). Kadangkala pula membaca naskhah ini membuatkan saya rasa bagaikan membaca salah satu karya Shahnon Ahmad, yang punya banyak sisi dan berlapis-lapis. Cara penulisan dengan naratif yang terperinci dan ayat yang panjang-panjang juga menjadikannya lebih mirip lagi. Tetapi ‘Blindness’ tetap punyai kekuatan yang unik terutama dari segi jalan ceritanya yang luar biasa.

Novel yang telah diadaptasi kepada filem (dengan judul yang sama) pada 2007 ini membawa pembaca ke sebuah negara yang tak bernama yang dilanda epidemik ‘buta’ secara tiba-tiba. Berbeza dengan buta yang kebiasaannya penglihatan menjadi gelap, wabak ini menjadikan penglihatan menjadi putih seperti susu. Pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan tiba-tiba menjadi buta. Doktor yang sedang membaca tiba-tiba menjadi buta. Dan penyakit ini merebak dengan cepat, sekelip mata tanpa ada vektor atau pembawa, seterusnya menimbulkan huru-hara dalam komuniti yang tak bernama itu.

Hal ini mewujudkan ketegangan, lalu mereka yang menghidapi wabak ‘blindness’ ini dikuarantin di sebuah tempat khas dengan dikawal oleh tentera. Walaupun dikurung, namun konflik baru muncul antara tentera yang mengawal dengan para penghidap pesakit ‘blindness’ yang terkurung. Rasa curiga, marah, dan takut menyebabkan para pengawal (tentera) mula bertindak di luar batas, lebih-lebih lagi apabila ada di antara mereka yang mula dijangkiti penyakit itu. Ini menjadikan tempat itu sarat dengan tekanan psikologi dan emosi sehingga terjadinya pembunuhan yang kejam.

Secara tersiratnya ‘Blindness’ menyinggung sindrom ‘buta’ yang menular dalam masyarakat hari ini. Kehancuran sistem hidup bermasyarakat ini digambarkan Jose Saramago melalui keharu-biruan keadaan di pusat tahanan tersebut yang mana jenayah mula bermaharajalela, kebuluran, penyakit, dan pelbagai lagi penyakit jiwa. Apatah lagi sekumpulan ‘penjenayah’ telah mengambilalih pusat tersebut, menyebabkan para tentera lari, dan akhirnya berlaku rusuhan sehingga berlakunya kebakaran.

Seperti mana buta mata (secara harafinya) meranapkan kota tak bernama tersebut, begitu juga ‘buta hati’ akan membawa kemusnahan yang serupa terhadap organisasi sosial kita pada hari ini. Cubaan watak-watak dalam novel ini untuk terus hidup selepas keluar dari pusat tahanan, (bandar tersebut ketika itu sudahpun porak poranda kerana wabak ‘buta’) adalah satu alegori dan sindiran terhadap pergulatan hidup kita pada hari ini dalam dunia moden yang serba membingungkan.

Setelah kejayaan novel ‘Blindness’, saya kini mencari-cari sekuel novel Jose Saramago ini yang berjudul ‘Seeing’, yang terbit edisi terjemahan Inggerisnya pada 2006. Bagi yang ingin menikmati cerita, sudah tentunya ‘Blindness’ ini turut dibekalkan dengan suspens, ajaib, keanehan, dan rentetan tanda tanya. Bagi yang ingin menikmati pemikiran pula, ‘Blindness’ mampu menghantar anda ke alam polemik yang kritis tentang tatacara hidup jiwawi kita pada hari ini yang semakin digugah kebutaan.

Ya…BUTA!

Baca perbualan