Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Sigaraning: Belahan jiwa seorang Ali Imran

 

 

Sigaraning oleh Imaen
kredit kepada: Jemari Seni Publishing

 

Aku mengerti kini, kadang-kadang Tuhan menghantar seorang yang jahil untuk menjadi guru kepada seorang yang lebih alim (Ali Imran, Sigaraning, m/s 239)

 

Petikan di atas adalah antara yang paling berbekas buat diri saya selepas membaca Sigaraning, karya Imaen. Sigaraning beerti ‘belahan jiwa’ dalam bahasa Jawa. Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakan review novel ini kerana ini adalah review novel saya yang pertama. Saya akan mulakan review ini dengan memberi serba sedikit sinopsisnya.

Sigaraning mengisahkan tentang Ali Imran, seorang pengusaha pasar mini MusliMart yang mencintai Salina, wanita yang dikenalinya semenjak di alam kampus lagi. Kasihnya terhadap Salina sehingga dia memanggil wanita itu dengan gelaran Sigaraning Nyawa. Namun begitu, Salina mahu berpisah dengan Ali Imran dengan alasan pekerjaan Ali sebagai pengusaha pasar mini tidak menjamin masa depan mereka kelak. Ali Imran bukan seorang yang mudah berputus asa. Dia melakukan pelbagai perkara untuk menambat kembali hati Salina namun gagal sehinggalah dia ditangkap oleh pihak polis kerana dituduh cuba mengganggu ketenteraman Salina di hadapan rumah Salina sendiri. Hal ini sangat memalukannya lebih-lebih lagi yang menghubungi pihak polis tersebut adalah Salina sendiri.

Pertemuan semula dengan Vivian, wanita kacukan Melayu Serani sedikit sebanyak berjaya mengubat sedih akibat perbuatan Salina.Berskirt pendek dan tidak berpegang kepada mana-mana agama, Vivian bukanlah wanita impian Ali untuk dijadikan isteri. Lebih-lebih lagi dua pertemuan pertama mereka berlaku dalam suasana yang kurang mesra. Namun, pertemuan demi pertemuan mewujudkan semacam satu perasaan suka di hati Ali.

Selepas pulih daripada dimalukan oleh Salina, Ali berhadapan dengan satu masalah besar. Dia diburu oleh geng dadah gara-gara mengambil bungkusan berisi dadah dan wang RM 2 juta. Niatnya hanya untuk meminjam seketika bagi membantu bapanya menebus kembali tapak rumah bapanya yang digadaikan kepada Pak Riffin. Namun, tanpa disedari ‘pinjaman’ itu bakal meragut nyawanya dan mungkin seluruh keluarga dan orang-orang yang disayanginya. Bagaimana pengakhiran kisah kehidupan seorang Ali Imran? Sempatkah dia menyatakan perasaannya kepada Vivian? Semuanya di dalam novel Sigaraning karya Imaen.

 

“Saya sukakan watak Nurul!”

Itulah perkara pertama yang menerjah keluar dari minda  selepas saya tamatkan Sigaraning. Nurul merupakan rakan baik (dia lelaki, ye) kepada Ali Imran. Bagi saya Nurul bolehlah dianggap sebagai ‘peneutral’ kepada Ali. Nurul mempunyai kuasa untuk menarik Ali ke pH neutral jika dia berada dalam keadaan terlalu ‘beralkali’ atau ‘berasid’. Dan, apa yang menariknya di sini Ali boleh menerima teguran Nurul (kalau boleh dikatakan sebagai teguran) dengan terbuka. Mungkin cara Nurul menyampaikannya tidak ekstrem atau pedas, malah berfakta. Contoh yang paling saya suka ambil di sini ialah apabila Ali mengatakan bahawa cinta dan duit itu sinonim kerana dia tidak kisah sekiranya Salina menerimanya atas dasar wang semata-mata. Maka, Nurul telah membalas dengan kata-kata:

Kalau harta tu perkara nombor satu dalam rumah tangga, aku rasa Tuhan buat Nabi Muhammad tu kaya raya. Tapi tak, Tuhan buat Nabi tu miskin dan kau bukan tak tahu, rumah tangga Nabi tu rumah tangga yang paling bahagia”  (Nurul, Sigaraning, m/s 55).

Melalui Ali Imran pula, yang merupakan watak utama dalam novel ini,  saya banyak belajar sekurang-kurangnya serba-sedikit tentang fiil lelaki. Yang bagusnya, penulis novel ini juga seorang lelaki J. Secara peribadinya saya tidak merasakan Ali Imran seorang yang romantis walaupun dia sanggup memborong semua bunga mawar merah khas diberikan kepada Salina. Walaupun dia sanggup menunggu lama di hadapan rumah Salina untuk bertemu dengan wanita itu. Dan, walaupun dia sanggup menggelar Salina dengan Sigaraning Nyawa. Ali Imran bagi saya seorang lelaki yang terdesak semasa dia masih lagi mabuk cinta terhadap Salina. Hal ini jelas apabila dia tidak kisah Salina menyukainya hanya kerana wang, yang penting dia dapat memiliki Salina.

“Aku Nurul, asal dia mahu aku balik cukuplah. Aku tak kisah apa-apa lagi. Kalau satu dunia panggil dia perempuan materialistik pun aku tetap mahu dia. Aku tak peduli. Lagipun itu realiti masa kini. Kau ingat ada lagi ke cinta suci hari ni?” (Ali Imran, Sigaraning, m/s 54)

 

Sebagai seorang pembaca perempuan saya merasakan Ali Imran tidak cukup macho apabila berkata seperti di atas. Ali Imran seorang yang pesimis dalam bercinta, walaupun dia pernah memberitahu Salina bahawa dia tidak akan berputus asa terhadap Salina. Dia seolah-olah takut jika Salina pergi meninggalkan dia, tiada siapa lagi yang boleh mencintainya (adakah Salina benar-benar mencintai Ali Imran?). Atau sekurang-kurangnya tiada siapa yang boleh dicintainya sama seperti dia mencintai Salina, Sigaraning Nyawanya. Saya mengandaikan Saudara Imaen sememangnya sengaja mewujudkan watak sebegini iaitu watak anti-hero kerana watak sebeginilah mudah mendapat belas simpati pembaca.

 

Pertemuan semula Ali Imran dengan Vivian telah membuka lembaran baru buat diri Ali Imran sendiri. Pada masa ini saya melihat Ali Imran mula berhati-hati memberikan ‘belahan jiwanya’ kepada wanita. Mungkin kerana ciri-ciri Vivian tidak menepati kuota untuk dimuatkan dalam senarai calon isterinya. Namun, bila hati sudah terpaut tulislah seberapa banyak pun senarai wanita/lelaki idaman, semuanya sudah tidak diperlukan lagi. Bagi saya, pertemuan Ali Imran dan Vivian adalah satu situasi menang-menang. Ali Imran dan Vivian banyak belajar di antara satu sama lain. Di sini dengan jelas penulis ingin memberi hint awal  kepada pembaca bahawa sesuatu yang tidak disangka akan berlaku kepada mereka berdua (saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut apa yang berlaku kerana anda perlu membacanya sendiri).

 

Kehadiran Razan, mengundang tanda tanya kepada saya. Walaupun memang dijelaskan di dalam novel bahawa Razan merupakan pekerja baru Ali Imran namun kehadirannya seperti tidak berbekas. Adegan Ali Imran membawa Razan ke Restoran Pak Tam sambil berbual mesra adakah sebagai mengubat kekecewaan Ali Imran terhadap Vivian? Memandangkan Razan sememangnya menepati ciri-ciri wanita idaman Ali Imran seperti bertudung dan bersopan-santun.

 

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan novel Sigaraning ini memang berbaloi untuk dibaca. Bukan sahaja kisah pencarian belahan jiwa Ali Imran yang dijamu di dalam naskhah ini. Kisah persahabatan, semangat setia kawan, dan mafia turut termuat di dalam naskhah ini.

 

Untuk keterangan lanjut boleh ke laman berikut:

http://imaen.blogdrive.com/

http://www.jemariseni.com/01/

Baca perbualan