Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

BILA KUANTITI MULA MENGUASAI KUALITI

 

Salam semua.

Sebelum kata-kata saya terus melancang bahasa mencincang rasa, saya mohon maaf kerana ada kemungkinan apa yang bakal saya utarakan ini mengusik hati mana-mana pihak. Saya sedar bakat saya tidak melangit, tidak aktif di Kapasitor, tenggelam timbul, tulis novel pun berhenti separuh jalan. Tetapi itu tidak bermakna saya ketinggalan pada perkembangan Kapasitor baik dari segi karya, ahli mahupun aktiviti. Dan saya juga hormat pada setiap karya yang dihantar. Saya hormat pada idea, kesungguhan dan kesudian mereka untuk berkongsi. Untuk itu, terima kasih diucapkan kepada semua ahli Kapasitor.

Upenyu sudah banyak kali bersuara tentang hal ini tetapi masih ada sesetengah penulis baru yang "masuk tak beri salam terus mahu duduk makan!". Tidak peduli untuk mengambil-kira nasihat Upenyu dan rakan Kapasitor lain yang jauh lebih berpengalaman terutama mereka yang dari sidang pengelola, terus menghantar karya-karya yang entah apa-apa, tiada tema, penceritaan sangat longgar dan dari bait perkataan yang dipilih, dapat dirasa kegopohan si penulis mahu menghantar karya.

Itu belum disentuh soal ejaan, tanda baca dan tatabahasa. Okey. Saya pun hadapi masalah ini dulu waktu awal menjadi ahli tetapi kalau anda tidak pasti, silalah, tolonglah rujuk pada karya penulis yang lebih senior, perhatikan gaya bahasa, penceritaan dan tatabahasa yang mereka gunakan. Tidak perlu tema yang tinggi dan terlalu abstrak, tema yang ringkas, yang mudah pun jika dikembangkan dengan baik, boleh jadi cerita menarik yang akan diingat disebut-sebut sepanjang masa.

Mungkin anda berkata,"Ah.. Bukannya aku nak terbitkan buku pun. Cuma nak meluahkan rasa.."

Okey. Kalau nak meluahkan rasa, dipersilakan buka blog anda sendiri. Melambak yang percuma, Blogger, Wordpress, Xanga, Blogdrive dan Facebook pun ada ruangan Notes yang boleh anda tumpahkan perasaan anda tanpa peduli pada struktur bahasa dan penggunaan kata.

Kapasitor adalah ruang untuk anda kembangkan minat, asah bakat dan belajar. Jika sudah berderet cerita pendek dan puisi dihantar, dengan kualiti yang sama, kesilapan yang sama, apa guna Kapasitor dan komen-komen ahli lain? Adakah dengan mendapat nilaian 4.0 sudah cukup memuaskan ego anda dan cukup kukuh untuk buat anda fikir yang bakat anda sungguhlah hebat hingga tidak perlu mendengar teguran ahli lain?

Adakalanya, saya marah sangat pada penulis-penulis begini yang tidak bertanggungjawab pada karya mereka. Bila dikomen, mulalah dicipta pelbagai alasan-alasan tidak logik untuk menutup sikap sambil-lewa mereka. Seorang penulis harus cukup masak dengan karyanya dan paling penting, BERTANGGUNGJAWAB pada karya. Anggap karya itu seperti seorang anak yang harus diberi perhatian serta kasih sayang sepenuh jiwa. Normal jika dikritik atau disoal ideanya, janganlah mudah nak melatah. Pemikiran anda akan jadi lebih sempit jika terus bersikap keanak-anakkan begini.

Akhir kata, karya yang ikhlas dicipta akan dirasai keikhlasannya oleh sesiapa saja yang membaca. Terpulang pada anda untuk menilai dan memikir. Saya hanya menyuara rasa tidak senang yang semakin membuak-buak dalam benak saya. Kepada mereka yang cemerlang berkarya, tahniah, saya sangat hargai karya anda dan semoga terus tingkatkan usaha. Kepada ahli baru, tolong jangan ambil mudah pada kredibiliti Kapasitor!



Sekian,
Hulubalang.

Baca perbualan