Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Reviu Filem: Up In The Air

 

Perasaan saya masih berbekas, seolah-olah ada lompong kosong di hati saya sesudah menonton cerita ini. Realitinya, hidup ini indah. Dan terus indah.


Up In The Air; ramai antara kita mengenali filem ini dari pencalonan di Academy Awards a.k.a. Oscar. Mungkin bukan kamu tapi saya mengenali filem ini dari Oscar. Filem ini diarahkan oleh sutradara John Reitman; yang juga mengarahkan Juno dan Thank You For Smoking. Bagi mereka yang pernah menonton dua filem ini pasti mendapati terdapat cara Rietman mengendalikan filemnya supaya berkesan di hati.

Filem Up In The Air berkisar mengenai Ryan yang bekerja sebagai agen perubahan kerjaya atau dalam bahasa Inggerisnya; career translation agent. Apakah yang dimaksudkan oleh Agen Perubahan Kerjaya? Itu bahasa industri yang juga bermaksud dalam bahasa pasarnya; pemecat pekerja. Ryan digaji oleh CTC sebagai pegawai yang mewakili syarikat yang mahu mengecilkan operasi syarikat mereka. Dalam erti kata lain, Ryan bekerja dengan memecat pekerja lain.

Saya tidak mahu menyentuh bagaimana proses lantik luar (outsourcing) ini sedang berkembang maju tetapi kerjaya Ryan memerlukan beliau mengembara ke seluruh Amerika dan kadang kala ke Eropah untuk menjalankan proses pemecatan. Ryan percaya kepada hidup tanpa komitmen terhadap hubungan dan harta benda. Hidup bagi Ryan adalah seperti sebuah beg sandang yang sekiranya kita mengisi dengan pelbagai perhubungan dan harta benda (termasuk memori silam), kita takkan dapat bergerak ke hadapan.

Dalam perjalanan Ryan, beliau terserempak dengan Alex; juga seorang yang selalu ke luar kawasan demi urusan kerja. Antara Alex dan Ryan terbina hubungan kasual sebagai pasangan yang selalu keluar kawasan. Realitinya, Ryan amat menggemari hidup ke luar kawasan dan merasakan seperti di rumah sendiri apabila dia bergerak ke sana ke mari.

Keselesaan Ryan bagaimanapun terganggu apabila Natalie; seorang staff graduan Universiti Cornell cuba memperkenalkan sistem pemecatan pekerja melalui konferensi video. Ryan berasa terancam dan "mengalu-alukan" Natalie dengan memperkenalkan Natalie kepada relaiti industri yang dihuni Ryan selama ini. Akhirnya, Ryan diarahkan untuk mengajar Natalie berkenaan industri mereka dengan membawanya ke lapangan kerja. Pengalaman yang dikecapi oleh Natalie memberikan kesedaran bahawa industri ini adalah sesuatu yang sangat meletihkan dan mencabar emosi. Semacam kerja yang perlukan interaksi berhadapan yang tidak boleh dikecapi melalui sistem yang dicadangkan oleh Natalie.

Di dalam lapangan bekerja, teman lelaki Natalie memutuskan hubungan mereka. Natalie menangis teresak-esak dan di titik itulah pertemuan pertama Alex dan Natalie apabila Ryan cuba menenangkan Natalie. Natalie ditenangkan oleh Alex dan Ryan dan akhirnya mereka bertukar-tukar pandangan. Alex dan Ryan membawa Natalie untuk menyertai parti anjuran sebuah expo IT di hotel yang mereka diami. Natalie melepaskan segala beban dihatinya dan menikmati parti di hotel berkenaan.

Pendapat saya:

Filem ini memberatkan penceritaan berkenaan nilai kekeluargaan. Nilai kekeluargaan yang berkurangan di dalam diri Ryan akhirnya berjaya merubah Ryan. Walaubagaimanapun, setiap perubahan yang terjadi pasti terdapat harga yang perlu dibayar. Adakah kita bersedia melepaskan keselesaan kita dan membayar harga untuk perubahan itu?

Dari segi komersial, filem ini amat menghiburkan. Lebih komikal berbanding Juno dan tidak terlalu perlahan biarpun ada beberapa adegan perbualan yang agak membosankan. Secara keseluruhan, skripnya ditulis dengan baik sambil diselitkan unsur humor yang santai dan menyenangkan. Perhubungan antara Ryan dan Alex amat serasi menyaksikan perhubungan mereka berjalan lancar sepanjang cerita. Hubungan Natalie dan Ryan juga berkembang secara mantap menyaksikan keserasian antara Ryan dan Alex.

Kesimpulannya, saya amat mencadangkan filem ini untuk tontonan ramai. Sebuah filem santai yang membina minda. :)

Untuk lebih lanjut (keterangan jalan cerita a.k.a. SPOILER, sila skrol ke bawah).

Terima kasih.

 

 

<SPOILER ALERT>

Ryan dan Natalie berada dalam perjalanan pulang ke Omaha apabila Ryan terfikir berkenaan perkara yang dibincangkan dengan Natalie. Ryan mengambil keputusan untuk mengajak Alex ke perkahwinan adiknya di Wisconcin selepas bertemu dengan Alex di Vegas. Ryan merasakan hidupnya terasing dari hidup adik beradiknya. Situasi janggal memenuhi sepanjang situasi Ryan di Wisconsin. Ryan cuba untuk mengembalikan dirinya ke posisi ketua keluarga mereka dengan menawarkan untuk menemani Jill ke altar di hari perkahwinan Jill. Walaubagaimanapun, Jill telah memilih keluarga jauh untuk menemaninya.

Semasa Ryan membawa Alex ke sekolah tingginya untuk berpacaran, Ryan dikejutkan oleh panggilan telefon oleh Kara memberitahu bahawa Jim; bakal suami Jill mengalami ketidaktentuan fikiran berkenaan proses perkahwinannya dengan Jill. Ryan diarahkan oleh Kara supaya cuba berusaha untuk mendekatkan diri dengan keluarga mereka dan inilah peluang Ryan untuk menebus kembali pemisahannya dari keluarganya. Ryan selama ini bercerita dan menjalani hidup seorang diri dan terasing merasa tidak yakin dapat meyakinkan Jim untuk mengahwini Jill tetapi demi menebus kembali dirinya kepada keluarganya, Ryan akhirnya berjaya meyakinkan Jim.

Ryan dan Alex berpisah ke rumah masing-masing di lapangan terbang. Ryan tiba di Omaha dan menjalani proses peralihan di dalam bidang kerjanya apabila sistem yang dicadangkan oleh Natalie diterima oleh syarikat mereka. Ryan mula merasai hidupnya kosong apabila dipaksa menetap di Omaha tanpa dapat mengembara lagi. Di suatu majlis motivasi, Ryan seharusnya memberikan ceramah mengenai hidup tanpa komitmen tetapi merasakan tidak sesuai dan berlari keluar dari dewan ceramah. Ryan menuju ke Chicago untuk bertemu dengan Alex.

Apabila sampai di Chicago, Ryan tiba di hadapan rumah Alex dan mendapati Alex telah berumah tangga. Ini adalah tamparan besar bagi Ryan yang berada dalam proses merubah hidupnya. Ryan pulang ke Omaha dan dalam perjalanannya, dia mencapai 10 juta batu perjalanan di dalam program "Frequent Flyer" oleh syarikat penerbangannya. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh Ryan selama ini tetapi disaat-saat seperti ini, Ryan merasa kaku. Ini adalah titik kesedaran dalam emosi Ryan bahawa hidupnya selama ini adalah yang terbaik untuk dirinya; bersendiri dan mengembara ke seluruh Amerika memecat pekerja.

Sampai sahaja di Omaha, Ryan diberitahu yang Natalie berhenti kerja apabila seorang pekerja yang dipecat oleh Natalie membunuh diri. Program yang dirancang Natalie diteliti balik dan CTC mengarahkan Ryan kembali mengembara untuk memecat pekerja. Di akhirnya, Ryan memberikan surat rekomen kepada syarikat dimana Natalie memohon kerja menyokong bakat dan kesungguhan yang dimiliki oleh Natalie.

Baca perbualan