Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ulasan Buku : Tidak Pernah Ada Manusia Yang Berseorangan

 













Kredit gambar: Jemari Seni Publishing


Bumi.

Bukan kamu berlari di perutnya,

Tetapi ia berlari di bawah telapak kakimu

Hukum.

Bukan kamu yang dibatasinya,

Tetapi kamu yang membatasinya.

Cahaya.

Bukan kerana sinar ia terang,

Tetapi kerana kamu sebenarnya cahaya.

Masa.

Bukan kerana ia ada,

Tetapi kerana kamu ada.

Kamu.

Bukan berada di dunia,

Tetapi dunia yang ada denganmu.

Bumi, hukum, cahaya, masa dan kamu... ada

di tanganmu.

 

Ini adalah bait-bait puisi yang terdapat di dalam novel penulis Xarine yang bertajuk Yuda di Padang Maya terbitan Jemari Seni Publishing. Novel ini merupakan novel kedua penulis dan tidak silap saya novel bergenre fantasi pertama terbitan Jemari Seni Publishing. Ia bukanlah sebuah novel fantasi biasa kerana novel ini membawa para pembaca menjelajah ke satu alam yang berbeza, iaitu alam jin.

Okey, mula-mula sekali kita pergi dulu kepada sinopsis novel ini secara ringkas.

Novel ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Azmi yang mempunyai kebolehan luar biasa seperti mengetahui soalan peperiksaan yang akan keluar dan merawat penyakit terutamanya yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Kelebihannya ini adalah kerana dia mempunyai pendamping yang sentiasa membantunya. Namun begitu, kehadiran pendamping tersebut kadangkala membuat Azmi berasa kurang selesa.


Semasa berada di universiti, Azmi telah berkenalan secara tidak sengaja dengan tiga orang pelajar senior iaitu Zamsari, Riduan dan Amsyar setelah melihat Azmi membantu seorang pelajar perempuan yang terkena histeria. Peristiwa itu juga telah membawa Azmi berkenalan dengan Balqis, pelajar perempuan yang sangat cantik pada pandangan Azmi. Balqis telah meminta Azmi menolongnya merawat ibunya, Mastura yang dikatakan terkena buatan orang sejak bertahun-tahun lamanya. Mulai dari situlah Azmi telah terperangkap di dalam dunia jin, malah telah memasuki ke dalam seekor jasad jin yang sangat ganas yang digunakan untuk menghancurkan satu negara jin Islam iaitu Tranta. Kerana persahabatan juga, Zamsari, Riduan dan Amsyar telah ke alam jin untuk menyelamatkan Azmi.


Sekarang ini, kita pergi secara ringkas tentang apa yang menarik tentang novel ini menurut pendapat peribadi saya sendiri:


1)      Saya suka Xarine mengaitkan teknologi alam jin dengan pengetahuan sains terutamanya Fizik. Membuatkan cerita ini kelihatan logik walaupun ia dikategorikan sebagai fantasi. Mungkin latar belakang beliau sebagai seorang jurutera sangat membantu.

2)      Sepanjang pembacaan saya, saya rasakan imaginasi Xarine sangat luas tetapi mengikut garis-garis panduan agar tidak terpesong dengan akidah.


3)      Xarine menerangkan secara terperinci tentang setiap negara, watak dan perwatakan setiap makhluk jin tersebut. Siap ada ilustrasi lagi tentang jin-jin yang mendiami alam jin tersebut.


4)      Sesiapa yang meminati kisah pengembaraan, digalakkan untuk membaca novel ini memandangkan cerita ini banyak berkisar tentang pengembaraan manusia ke alam jin.


5)      Sepanjang saya membaca novel ini, saya sering kali teringat akan pengarang Turki terkenal, Harun Yahya dan novel Advencer Si Peniup Ney karya Faisal Tehrani. Xarine menerangkan mengenai persepsi-persepsi dunia berdasarkan tafsiran otak manusia serta realiti dunia fizikal atau material di dalam novel ini sama seperti apa yang saya baca di dalam buku-buku Harun Yahya.


6)      Novel ini banyak mengambil latar di alam jin sama seperti karya Faisal Tehrani, iaitu Advencer Si Peniup Ney. Cuma tema kedua-duanya sahaja yang berbeza.


7)      Percintaan mustahil di antara manusia dan jin


8)      Saya sangat menyukai blurb yang terdapat di kulit belakang novel tersebut. Sememangnya menarik perhatian saya untuk membaca.


9)      Saya suka ilustrasi kulit depan novel ini!


Mari pula kita pergi secara ringkas tentang beberapa perkara yang kurang memuaskan tentang novel ini menurut pendapat peribadi saya:


1)      Terlalu banyak watak sehingga kadang kala mengelirukan saya.


2)      Saya merasakan susunan ayat Xarine di dalam novel ini mampu dipertingkatkan lagi agar lebih menarik. Memandangkan ini adalah novel kedua Xarine, jadi perkara tersebut masih dalam proses pembelajaran.


3)      Ada beberapa watak yang tidak dikembangkan secara terperinci. Contohnya watak Balqis dan Syafiqa.


Jadi, sesiapa yang berminat bolehlah mendapatkan novel Xarine, Yuda Di Padang Maya ini di kedai-kedai buku berhampiran atau boleh memesan terus di http://www.jemariseni.com/01/


P/S: Bak kata Xarine di dalam novel ini: tidak pernah ada manusia yang berseorangan.




 

Baca perbualan