Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mini Secret Story: How To Win Friends & Influence People

  • Choco
  • 14 years ago
  • 1,994

 

Sekadar satu perkongsian ilmu, tentang ilmu yang diperolehi, tentang kemahiran hidup.

Pagi tadi saya berpeluang mengikuti Mini Secret Story di mana mereka mengupas beberapa perkara di dalam buku-buku terpilih selama sejam. Hari ini mereka memetik tiga poin daripada buku "How to Win Friends and Influence People", telah ditulis oleh Dale Carnegie.

Sebelum itu, kita perlu faham yang terdapat tiga tahap perhubungan seseorang iaitu ALT (Acceptable, Likeable, Trustable). Pada peringkat awal perhubungan ia akan bermula di tahap acceptable (diterima). Untuk kita diterima, kadang-kadang mengambil masa yang lama, bergantung kepada tindakan kita. Selepas kita diterima, kita akan menganjak ke tahap likeable (disukai). Pada peringkat itu kita mungkin sudah boleh bergurau senda dengan individu tersebut. Tahap berikutnya adalah trustable (dipercayai). Apabila tahap ini telah dicapai di dalam perhubungan, individu lebih senang menceritakan sesuatu yang lebih personal atau meletakkan kepercayaannya kepada kita. Perlu diingat, tahap ini ada turun naiknya bergantung kepada tindakan kita.

Perkara pertama yang dibincangkan adalah SENYUM. Ya, kita memang perlu senyum, dan itulah sebenarnya rahsia untuk menarik orang mendekati kita dan menerima kita - lebih-lebih lagi untuk diterima orang yang baru ditemui. Contoh, jika kita sering senyum kepada makcik 'cleaner' di pejabat setiap hari sebelum memulakan kerja, ada kemungkinan makcik 'cleaner' tersebut sedar jika anda tidak ke pejabat pada waktu biasa. Orang yang tidak lokek dengan senyuman juga mudah menarik orang untuk memulakan perbualan pertama.

Seterusnya, jadilah pendengar yang baik dengan tidak menyampuk ketika seseorang sedang bercakap walaupun kita mempunyai sesuatu untuk diperkatakan. Dengan berbuat begitu, kita mendorong orang lain untuk berkongsi dengan kita dan merapatkan hubungan dengannya. Untuk mendorong seseorang bercerita, kita boleh mengajukan soalan yang dapat membuatkan seseorang itu terus bercerita. Kadang-kadang, perkara yang diperkatakan itu sudah kita ketahui, tetapi kita usah terlalu cepat menyampuk. Beri dia peluang menyudahkan ceritanya (mungkin terdapat maklumat tambahan di belakang cerita yang kita sudah ketahui, kan?). Ya, untuk tidak menyampuk ketika seseorang sedang bercakap seperti sukar dilakukan, lebih-lebih lagi jika kita memang gemar bercakap dan bercerita tetapi untuk menarik orang menerima dan menyukai kita, belajarlah untuk mendengar dengan baik (tanpa menyampuk, sudah tentu!).

Akhir sekali, jika kita bersalah, segera akuinya. Mengakui kesalahan yang dilakukan merupakan cara mematikan perbalahan dengan cepat. Perkara ini pernah saya lakukan ketika salah seorang peserta program Khalifah sesat dan memarahi saya kerana katanya saya tidak memberi panduan jalan yang betul untuk ke Khalifah Institute. Saya cuma senyum, mengucap maaf dan mengakui ianya silap saya kerana saya belum biasa dengan keseluruhan kawasan Ampang (walaupun di dalam hati saya terselit rasa marah dan mahu memberi alasan - saya manusia biasa!). Peserta tersebut terus diam dan mendaftarkan diri tanpa menyebut lagi tentang hal itu. Ketika mengakui kesilapan, usah disusuli dengan perkataan 'tapi' kerana ia merupakan permulaan kepada satu (atau beribu-ribu) alasan dan alasan memang menjengkelkan dan membuat orang marah (jaki?).

Saya sekarang dalam proses membaca buku Dale Carnegie tetapi judulnya "How to Stop Worrying and Start Living". Sudah selesai membaca yang itu, mahu membeli buku "How to Win Friends And Influence People" pula. PTS Professional Publishing Sdn Bhd sudah menerbitkan judul tersebut versi Bahasa Melayu jika sesiapa berminat mendapatkannya.

Kawan-kawan, jika mahu berkongsi cerita dan pengalaman berkaitan poin-poin yang dinyatakan di atas, silalah komen ya :)

Wallahua'lam.

Baca perbualan