Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kapasitor MS: Ulasan Sekyen Puisi

  • dayya
  • 14 years ago
  • 3,115

 

Puisi: Perkongsian Jiwa

Oleh:
Dayya
Zinggof

Mari dekat! Kita kongsi semua, biar jelas kian terang. Mana kabur disuluh-suluhkan. Ewah, intro yang… (sila isikan tak lebih dari 3 patah perkataan). Hahaha. Baik, cukup-cukup bermain. Eh, sebelum membuncah semua cerita, lebih elok saya mulakan dengan kalam Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum untuk semua warga Kapasitor!

Ada yang rindu saya tak di sini?



Ok, tak ada. Tak apalah. Tugas tetap tugas. Maaf buat semua sebab jarang berada di laman sesawang tercinta ini. Buat penulis-penulis baru; terutamanya yang aktif menulis di seksyen puisi, ampun dan maaf kerana masih belum sempat nak hai-hai kalian. InsyaAllah, selepas ini saya akan lebih selalu beramah mesra. Takut ada yang tak larat nak layan je nanti. Hehehe.

Puisi yang dipersembahkan oleh para pemuisi pada bulan ini menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 143 buah puisi berbanding 108 buah puisi pada bulan lepas. Sangat signifikasi nombor 143 itu. Adakah itu tandanya para pengkarya puisi sangat mencintai laman ini? Kalau suka, jom sama-sama ucapkan tahniah dan terima kasih pada Jojo.

“Terima Kasih Encik Jojo! Muka baru Kapasitor sangat menarik untuk diulang pandang.” hahha.

Sebenarnya ini kali pertama saya menulis reviu untuk seksyen puisi, maka sangat tidak tahu mahu mula dari mana. Maaf ambil sedikit masa, mententeramkan perasaan gemuruh yang entah apa-apa ini.

Baiklah, 10 buah puisi telahpun dipilih dan setiap satu persembahan dari penulis-penulis ini sangat istimewa. Pertama sekali, mari kita berikan tepukan gemuruh buat empat jejaka dan seorang gadis.  Disebabkan empat itu lebih ramai, maka biar saya perkenalkan siapakah empat jejaka itu.

Zinggof, Paktam, Rebelliben dan Kurusawa merupakan antara penulis puisi lelaki yang selalu menjadi pilihan pembaca. Mereka akan sentiasa hadir dengan puisi-puisi yang menawan perasaan. Penulis-penulis inilah yang selalu mewarnai dunia puisi di sini, dengan penuh bergaya menghasilkan puisi-puisi mampan di Seksyen Puisi, malah tidak keterlaluan saya katakan; “biarpun berbeza cara, namun mereka sudahpun berada dalam liga tersendiri!”

Seorang lagi gadis yang mempunyai bakat mendalam dalam bidang puisi ialah Enarif. Beliau adalah seorang lagi penulis wanita di laman ini yang kian bersinar. Meskipun masih belum ada karya beliau yang menghiasi media prima, namun secara penilaian mata kasar saya selaku seseorang yang mencintai puisi; saya melihat bahawa beliau ini merupakan penulis yang sudah matang dan karya-karya beliau jika diikut-ikutkan sudah layak ke media cetak.

Mari kita ke puisi Uculer; Tuhan Baru. Puisi ini pada saya sangat sinikal. Meski puisi-puisi tulisan beliau bukan terlalu bersifat teknikal, namun setiap puisi yang dihasilkan oleh penulis ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tuhan Baru misalnya merupakan puisi yang berunsurkan perhambaan kepada wang dan harta. Teruskan perkongsian anda, Uculer. Secara personal saya akui daya fikir anda sangat kritis. Tahniah! :)

Seterusnya puisi tulisan Kekasih dan Iz_za menarik perhatian saya apabila persembahan puisi mereka dilihat mempunyai ego yang tersendiri. Ego pada puisi sangat perlu bagi menyampaikan luahan yang terpendam. Imaginasi Rindu dari Kekasih adalah puisi ego sang anak yang menilai, mentafsir, mencari, mendengar dan meluah rasa buat seorang bapa yang telah pergi. Alunan perasaan ini diadun secara telus sehingga terhasilnya paket rasa yang mendalam. Di sini, penulis dengan jayanya telah mengadun perasaan-perasaan itu sebati dengan ego yang penulis miliki, dan akhirnya berjaya menghasilkan air tangan yang beridentiti. Tulisan Iz_za, Kau Yang Di Situ, Kau Salah menampilkan ego seorang wanita yang menolak cinta seorang lelaki. Drama puisi ini sangat biasa namun kerana kehadiran ego penulis di situ, penulis berjaya mengangkat puisi ini menjadi lebih bermakna.

Taman Bonda nukilan Ummufatiha merupakan puisi lembut, namun penuh bermesej. Imejan puisi ini jelas menunjukkan bahawa penulis merupakan seorang wanita. Meski gaya bahasa yang dipaparkan dalam puisi ini bersifat sederhana, namun penyampaian cerita di dalam puisi ini penuh dengan sejuta maksud yang tersendiri. Membaca puisi ini membuatkan pembaca seolah-olah di dekati, malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa puisi ini berjaya membuatkan pembaca merasa dekat dengan si penulis.

Gopabahari dengan tulisan Singkatnya Waktu Berlalu merupakan puisi perkongsian visual yang sangat bermutu tinggi. Puisi ini mempunyai taraf yang tinggi dari segi susun atur perkataan, seni memperhalusi perasaan, pentakrifan irama dalam adun luahan, semuanya saya lihat bersatu dalam puisi ini. Sangat singkat waktu berlalu, sudah banyak juga rasanya telah saya celotehkan.

Mantap-mantap bukan hasil karya yang terpilih bulan ini?

Baiklah, 10 puisi pilihan bulan ini, (yang saya war-warkan semenjak tadi) di sini:


1.         Sampan Harapan- Enarif
2.         Mujahid Mavi- Kurusawa
3.         Anak Metropol (Cerita Anak Kampung)- Zinggof
4.         Cinta Agung Anarkis- Rebelliben
5.         Tuhan Baru- Uculer
6.         Taman Bonda- Ummufatiha
7.         Biar Hati Ini Menulis- Paktam
8.         Singkatnya Waktu Berlalu- Gopabahari
9.         Imaginasi Rindu- Kekasih
10.       Kau Yang Di Situ, Kau Salah- Iz_za

Selamat membaca! :) Saya mohon undur diri dulu.

 

Baca perbualan