Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kapasitor MS : Ulasan Seksyen Puisi

 

Reviu Seksyen
Puisi Bulan Julai 2010
Apun (zinggof) dan Dayya
Kapasitor MS


Tajuk : Bahasa Mengungkap, Budaya Beradab.

Bulan Julai adalah bulan Piala Dunia, tidak banyak polemik, tidak banyak kes antarabangsa, masalah sosial yang gempak dan gempar pun tidak banyak. Semua sebab Piala Dunia. Jadi, pendek kata, bulan Julai adalah sedikit perlahan berbanding bulan Jun. Malah, ini dicerminkan dengan penurunan 4.2% penghantaran puisi, iaitu dari 143 buah puisi, kepada 137. Dengan purata 4.4 puisi sehari, sebenarnya seksyen puisi lebih dapat dihayati dengan tenang.

Namun, sebenarnya, ketenangan ini cumalah berlaku sehingga pertengahan Julai, selepas Johari Rahmad dan Kapasitor mendapat ruang khas di Kosmo, sehingga sekarang, kita telah menghadapi flood besar sehingga pada waktu saya menulis ini. Purata 10 puisi sehari. Maka, saya berharap, agar rakan-rakan yang ada karya ingin dipamer dan dikongsikan, sila bersabar dahulu untuk menghantar lebih dari dua karya sehingga flood ini reda. Ini kerana, beberapa penulis baru sedang ghairah menghantar semua karya mereka di blog dan ini mengakibatkan karya anda mungkin tidak mendapat komen, bacaan dan nilaian yang baik.

Flood tidak hanya berlaku pada ahli baru. Ahli lama juga sebenarnya telah memulakan flood ini sejurus perjumpaan Santai di FnD lalu. Rizzy dan Paktam adalah yang paling ghairah membuat kolobrasi. Ini menarik, namun menjadi sebaliknya apabila dilitupi bakat mereka dengan puisi lain. Jadi, untuk mendapatkan komen, bacaan dan nilaian yang baik pada waktu begini, ikutlah strategi Paktam dalam puisi "Bersyukurlah". Paktam telah menggunakan strategi ”Lobi YM dan Facebook” dan berjaya mendahuli carta nilaian. Berikut tiga puisi paling dinilai pada bulan Julai sehingga ini.

Bersyukurlah : paktam85 Chrysalis : Kurusawa pelarian : zInggOf

Malah, dari segi komen dan populariti juga, dua puisi Paktam berjaya melobi tiga puisi teratas. Berikut puisi paling banyak dikomen sehingga kini.

mungkin sampai besok : zInggOf Bersyukurlah : paktam85 Sambut tanganku bidadari(.feat Akma n Choco) : paktam85(dan rakan-rakan) Terjemahan Ringkas Cinta : uculer

Puisi terbaik, adalah tetap yang terbaik di hati saya dan Dayya. Berikut adalah puisi terbaik pilihan Dayya (1~5) dan saya (6~10)

Bas oh Bas! : choco Hujan : ckgunikmie Kekasihku Maha Pengampun : gopabahari Dusta dunia : Fiona Spektrum : kurusawa Kala Rau dan gerhana : ralpha dialog suami yang mati pucuk dan isteri yang tiada susu : teratak Rusak : Rizzy sehalus zarah : ummufatiha akhirnya kita temui : enarif

 


Tak kenal, tak cinta, tak tahu, tak faham.

Dalam kegharaian kita menerima begitu banyak puisi malah yang mempunyai idea dan bahasa yang baik, banyak pula kelemahan kecil yang kita endahkan. Maka dengan rendah hati saya bertanya, tujuan apa kita berpuisi. Kalau hanya ingin meluahkan perasaan kita boleh menulis diari. Dari dulu, puisi adalah medan untuk kita berbahasa dengan adab dan ada stail. Puisi, sajak, pantun mempunyai ciri dan cara tersendiri yang kita tahu ataupun tidak. Metafora, analogi, simili, perbandingan, genre, moden, klasik, absurd, seram, satira, diksi, sosialis, politikus, tatabahasa, molankolik. Semua ini adalah antara beberapa perkara yang kita harus (tidak wajib) tahu. Jika tidak, kita seperti juragan yang tidak kenal kapal dan tidak tahu membaca bintang. Sesat wal-hanyut.

Puisi Teratak, “dialog suami yang mati pucuk dan isteri yang tiada susu ”, tidak akan mudah difahami jika tidak menguasai bahasa, lenggang dan jenis puisi. Teratak gemar bermain dengan absurd dan satira. Perlambangan, dan perbandingan dalam puisinya selalunya menjalar jauh dari imaginasi normal. Puisi bertajuk panjang ini sebenarnya cuma pantulan emosi apabila berlaku penyelarasan subsisi, kenaikan harga gula dan petrol pertengahan bulan lepas. Lihat, ini adalah jenis satira yang baik, meninggalkan klu jelas pada ayat

“Akan aku perlahan-lahan menyelaraskan dan merasionalisasi rumah ini
supaya rumah tidak ada lubang dan baju ini aku sendiri menjahitnya tanpa mengupah dengan sesiapa”

Malah Teratak bukan hanya berbicara tentang rasionalisasi subsidi, tetapi sebab dan kesannya. Lihat baris-baris akhir puisi

“Inilah masanya jiwa kita untuk menambah subur”
“Aku terpaksa melakukan untuk anak dan cucu kita”
“Pulangku bukan membawa kenaikan kedaratan tetapi aku memperdalamkan sungai yang cetek ini”
“Lumrahlah jika kamu terkejut, marah dan menolak”
“Apa pun kamu harus menerima dan berharap aku adalah dewa segala dewa”

Baris ini dengan jelas dan terang, menceritakan alasan/sebab berlaku rasionalisasi bukan untuk naik harga tapi mengurangkan bebas kerajaan, untuk kemajuan generasi mendatang. Kesannya, rakyat (isteri) memang akan marah dan terpaksa menerima perkara ini.

Karya Teratak begitu gah pada saya, dan satu-satunya karya yang mampu mengatasinya adalah karya Ralpha, “Kala Rau dan Gerhana”. Kala Rau dan Gerhana adalah karya mudah, cerita mitos, namun tidak akan difahami langsung kalau tidak membuat kajian lanjut. Puisi ini menceritakan kaitan mitos Bali, Kala Rau dengan kejadian gerhana. Cuma mengikut kajian saya, sepatutnya mitos ini berkaitan dengan gerhana bulan, namun Ralpha bercerita tentang gerhana matahari mengikut latar masa tengahari pada rangkap awal.

Ralpha membawakan puisi ini dengan cara penceritaan, pemuisi berbicara kepada anak kecil tentang cerita Syaitan Kala Rau mahu minum Tirtha Amertha, air yang membolehkan dia hidup abadi. Namun dia dibunuh oleh Dewa Wisnu yang mengetahuinya dari Indera Ratih, dengan memenggal kepala Kala Rau, namun kepala itu terkena Tirtha Amertha dan dapat hidup abadi. Kala Rau mengejar Indera Ratih kerana mengadu, jika tertangkap maka dikatakan jadilah gerhana bulan. Oleh kerana Kala Rau adalah spesies penanggal, maka Indera Ratih bakal terlepas dari perut, itulah penamat gerhana (baris akhir puisi).

Namun, mengikut mitos Hindu, si pengadu ada dua, Surya dan Candra. Satu tertangkap jadi gerhana bulan, satu lagi jadi gerhana matahari.

Saya syorkan Ralpha meletakkan huruf besar bagi kata nama khas, agar mudah untuk kita bezakan antara perkataan dan kata nama. Selesai membuat kemasan, hantar ke Dewan Sastera.


Sedap dijamah rasa, indah dipandang mata.

Menulis, terutama puisi memang mudah. Tapi bukanlah alasan untuk ambil mudah. Seumpama kek, kek yang sedap namun hancur dan tanpa tata-rias yang menarik tidak akan dijamah dengan enak. Begitu juga menulis, jika kita sudah letak perisa, gula dan bahan yang cukup, kita uli dengan baik, namun kemasan dan jagaan struktur gagal, kita sebenarnya menafikan bakat kreatif kita sendiri. Puisi adalah dari tangan, hati dan minda, ambil berat untuk melakukan kemasan. Betulkan susunan, bahasa dan tatabahasa. Malah, masalah sekecil noktah dan koma juga perlu ambil berat.

Lihat puisi GopaBahari, “Kekasihku Maha Pengampun”. Puisi ini ringkas dan mudah. Namun perhatikan cara Gopabahari membuat susunan dan pemerengganan. Membaca puisi ini seperti mendengar nasihat dengan nada yang baik. Lihat baris akhir,

akan diberinya
rasa ketenangan
kelapangan
di dalam setiap
dada insan.

Ayat ini dipotong dengan baik, dan memberikan nada baca yang sesuai. Malah lihat, ruang antara baris, adalah rapat. Ada ramai penulis menggunakan Enter untuk membuat baris baru, ini akan memberikan ruang kosong (gap) yang besar, gunakan Shift+Enter, dan baris anda dalam setiap rangkap akan rapat. Gunakan Enter untuk membuat rangkap baru.

Malah, Gopabahari memulakan ayat baru dalam baris dengan huruf kecil untuk menunjukkan baris itu bersambung dengan baris sebelumnya. Malah, rangkap juga dimulakan dengan huruf kecil, untuk juga menunjukkan, sebenarnya seluruh puisi ini adalah satu ayat. Ini adalah perkara minor, namun teknik inilah yang mesti ada dalam pemuisi. Bila harus membuat baris baru? Rangkap baru? Bila mahu meletakkan koma, titik, huruf besar, kecil?


Falsafah biar setinggi seni.

Anda boleh melanggar semua ini dengan poetic licence (sila google untuk yang tak tahu). Namun adakah itu menjadikan karya anda gah? Karya Fiona, “Dusta dunia” perlu dikemaskan dengan lebih baik. Namun itu tidak menghalang atau menutup falsafah dalam puisinya.

Dusta Dunia, bercerita tentang porak peranda dunia, dari aspek moral dan fizikal. Perenggan awal menceritakan keluhan Fiona

dusta dunia
alam nasut yang alpa
lalai akan hala tuju
yang mereka kejar cuma harta
dunia yang penuh propaganda
kebuasan menjadi watak utama
dalam sinetron dunia

Fiona mengutuk dunia yang penuh drama dan dipenuhi materialist yang menjadi punca pelbagai permasalahan di dunia. Dia menutup puisi ini dengan harapan semua ini berakhir.

Permasalahan sama, turut menjadi tema bagi puisi penyanyi puisi, Rizzy. Puisi “Rusak” bertulis tentang manusia yang tonggang-terbalik

Haram kau wajibkan.
Wajib kau haramkan.
Harus kau rosakkan.
Makruh kau raikan.

Rizzy dan Fiona sama mengatakan bahawa tipudaya adalah norma dan normal dalam kehidupan mainan material juga wang pada zaman ini.

Dua puisi ini adalah berbeza dari rentak, susunan dan seni. Jika kita andaikan seperti perabot di rumah, puisi ini sangat kurang ukir dan bentuk namun mempunyai kualiti dalam bahannya. Alangkah hebat, jika kayu yang berkualiti, keras dan sukar diukir, dapat dibentuk dengan baik. Inilah yang dilakukan oleh Ummufatiha dalam puisi sehalus zarah ”.

Sehalus zarah bertemakan penyesalan. Pemuisi bercerita tentang seseorang yang dirundung penyesalan dengan kesalahan masa lalu. Namun perasaan itu ditutup dengan kesedaran bahawa amalan sehalus zarah bakal dihitung. Seperti ada satu titip semangat agar si penyesal itu segera melakukan amalan baik.

Puisi ini membimbit nasihat yang baik, menggunakan perlambangan dan analogi. Namun, pemilihannya perlu lebih kukuh. Ummufatiha seakan hanyut dalam puisi sendiri, lihat pemilihan kata, lembar > pena > dakwat > darah > sungai > api.

Lembar, pena dan dakwat adalah diksi yang selari dan baik, namun tiba-tiba terpesong kepada sungai dan api. Saya andaikan mungkin ummufatiha terpengaruh dengan perkataan dakwat merah, namun latar yang lari dalam puisi yang pendek sebenarnya mengusutkan pembaca. Jika mahu menulis tentang sungai atau api, pilih perkataan yang berkisar tentangnya dari awal, samalah, jika mahu menulis tentang lembar penyesalan, pilihlah perkataan yang sesuai untuk menurutinya.


Mengalir ke jiwa, menyentuh minda.

Puisi Enarif, “akhirnya kita temui ” mempunyai contoh kawalan lebih rapi. Sama seperti Ummufatiha, Enarif turut menyuburkan bulan sya'ban ini dengan puisi keinsafan. Akhirnya kita temui membawa analogi rakit dan sungai. Kawalan puisi agak rapi dalam pemilihan kata. Namun sedikit saya tidak dapat merungkai apa kaitan “menggonggong temulang” dengan latar sungai/rakit.

Namun nasihatnya baik, Enarif berkata, biarpun perlahan dan lambat, namun kita pasti akan mendapat kebaikan selagi berusaha.

Puisi yang mengalir baik, dapat lebih menyentuhi pembaca, mudah difahami dan lebih menarik perhatian. Puisi “Bas oh Bas!”, mendapat impak yang baik dari pembaca. Karya ini mempunyai rentetan yang bersih, penceritaan beralur. Choco, keluar dari klise melankolia dalam bercerita tentang cinta dan dia membuat kritikan umum kepada para desperado. Malah, seperti Choco sedang mengeluh kepada seseorang yang menasihatinya untuk menyambar apa saja cinta yang lalu. Jelas pada ayat terakhir

Orang itu kata
Tunggu cinta bagai tunggu bas
Jika sudah tiba, Usah banyak soal Naik saja!

Aku pula kata Bas oh bas!

Kata saya, Bas itu ada dalam istikharah.

Namun, tidak semua puisi perlu mengalir ke hujung tulisan. Ckgunikmie, dengan karya “Hujan” contohnya, adalah puisi jenis literasi setompok. Puisi ini cuma berkisar tentang hujan dan setiap rangkap adalah sudut pandang yang lain kepada hujan. Dia bercerita tentang hujan baik dan hujan jahat membawa kita berfikir tentang hikmah kejadian hujan. Namun kunci utama puisi ini adalah perenggan terakhir.

datangmu menyuci sisa kederhakaan makhluk kepada Pencipta
membasuh dosa-dosa silam sesuci embun pagi di hujung dedaunan

lembut titismu namun keras aturanmu
tersungkur keliatan hati dibasihi doa bersamamu
itulah hujan sesekali menjengah mindaku

Ckgunikmie, pada rangkap akhir, menutup khayalan kita tentang hujan, dengan membawa kita kepada hujan di dalam hatinya. Juga antara puisi yang harus dikemaskan dengan lebih rapi.


Kreatif menjadi, Menjadi kreatif.

Untuk mendapatkan ramuan yang baik untuk puisi, kita perlu menjadi kreatif. Juga memastikan kekreatifan kita itu menjadi.

Puisi adalah dari hati, kata Kurusawa. Maknanya kreatif itu juga mesti datang dari hati. Lihat puisi “Spektrum”. Aspek citra ditonjolkan dengan unik dalam puisi ini. Kurusawa melibatkan unsur warna (nur) yang menggambarkan warna-warni dalam hati seorang kekasih. Kegembiraan si kekasih telah membuatkan pemuisi iri hati. Namun, pada perenggan kedua, Kurusawa melemparkan persoalan pada ayat

Ah! Berat di bahu tak terpandang di mata yang lain
wah! sekarang terbentang jalan yang berliku

Kegembiraan yang terlihat itu, menutup beban yang tak tertampak dek orang lain. Malah turut dilanda dilema.

Puisi pendek ini cumalah satu persoalan mudah. Namun mencerminkan kreativiti Kurusawa dalam bermain dengan spektrum warna dan masalah jiwa remaja.

Itulah, 10 puisi terbaik dan sebab juga bedah puisi ringkas. Akui, penulisan adalah dunia yang luas, namun celah manapun, tanpa ilmu, adab, peraturan dan kemasan, tidak akan menjadi sesuatu yang baik. Tulislah dari idea yang baik, membawa ilmu, tema, persoalan yang baik, dengan cara yang baik dan dikemaskan dengan baik. Kerana kita mahu yang terbaik dan menjadi yang baik-baik.

-tamat-


*10 puisi pilihan bukanlah 10 puisi terbaik dan terhebat sepanjang bulan. Tetapi, 10 puisi menarik untuk diketengahkan dari 10 penulis berlainan. Ada antara penulis yang tersenarai mempunyai puisi lain yang sama baik. Sila klik kepada senarai puisi mereka untuk membaca karya hebat

Turut baca karya kami :

Dayya : Tuhan Beri Cinta Ridhrohzai : Pesona Rindu Paktam : Muhasabah Apun : Jalan ke rumah besar


Baca perbualan