Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Menulis Lebih Baik - Panduan 02

 

Panduan 01


Dalam entri lepas, saya ada berbicara tentang tanda baca. Kepentingan tanda baca dalam penulisan tidak boleh dinafikan kerana setiap tanda baca itu mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri kerana ia memberikan nada dan rentak pada sesuatu diksi dalam sebuah karya.

Soal tatabahasa, saya yakin ramai yang tahu mengenainya jadi tidak perlulah saya mengulas lebih lanjut. Justeru dalam entri kali ini saya mahu berkongsi tentang struktur dalam penulisan cerpen. Sepertimana yang saya jelaskan di dalam beberapa review yang lepas, saya ada menyentuh tentang struktur cerpen.

Apa itu struktur? Kamus Pelajar mendefinisikan struktur sebagai kaedah penyusunan sesuatu atau dalam erti kata yang mudah cara yang digunakan untuk menyusun sesuatu. Contohnya seperti membuat sebuah rumah. Pastinya asas pembinaan dalam sebuah rumah adalah tapak, kemudian dinding dan bumbung.

Cuba kita susunkan secara terbalik yakni bumbung di bawah, dinding dan kemudian tapak. Bolehkah ia dianggap sebuah rumah? Ya, tetapi dipandang serong. Begitulah dengam menulis cerpen. Jika strukturnya berterabur, maka cerpen itu akan tampak sangat mengelirukan dan lompang di sana-sini. Oleh sebab itu, sebelum menulis cerpen, pastikan struktur yang diguna-pakai itu mantap dan kemudian barulah dijana idea, latar, watak dan sebagainya.

Guru saya ada menyatakan bahawa terdapat tiga struktur  dalam cerpen, pada pandangan beliau. (Mungkin ada lebih dari itu). Struktur-struktur tersebut adalah struktur 90/100, struktur kronologi dan struktur 1-2-3 bang!

 

Struktur 90/100

Adalah satu struktur di mana pendahuluan yang sehampir boleh dengan penamat, yakni kedudukannya sekitar 90% dari keseluruhan cerita. Dalam erti kata mudah, plotnya tidak berkembang jauh dan hanya tertumpu pada satu plot, satu konflik dan satu sudut pandangan sahaja selain mempunyai krisis dan penyelesaian konflik dan penutup cerita biasanya merupakan penyambung semula kepada pendahuluan.

Contoh cerpen yang menggunakan struktur 90/100 – Berapa Lama Lagi Harus Aku Tunggu?, karya Kamalia

 

Struktur Kronologi

Struktur ini mempunyai segala elemen sepertimana yang dinyatakan di atas tetapi pendahuluannya tidak berada di paras 90 tetapi dari 0! Bermakna cerpen ini bermula dari awal yakni pendahuluannya tidak hampir dengan penamat. Ia bermula dengan pengenalan, pengembangan, konflik, klimaks dan penutup.

Cerpen ini tampak mudah dikarang tetapi sebenarnya ia lebih mencabar kerana penulis perlu memastikan pendahuluan yang ditulis tampak menarik supaya pembaca tertarik untuk meneruskan pembacaan dan mengikuti jalan ceritanya hingga ke akhir. Diulangi, pendahuluan yang menarik!

Contoh cerpen yang menggunakan struktur kronologi – Gerimis dan Pelangi, karya Upenyu

 

Struktur 1-2-3 bang!

Adalah struktur di mana penyusunan plotnya berbeza dari struktur biasa iaitu struktur kronologi. Susunan plot dimulai dengan konflik. Kemudian konflik yang semakin memuncak yang menuju penyelesaian dan akhirnya bang! Penamat yang ‘twisted’. Kebiasannya, penulis lelaki gemar menggunakan struktur cerpen begini.

Contoh cerpen yang menggunakan struktur 1-2-3 bang! – Anak Merdeka, karya Petak

 

Sesuatu genre dalam penulisan cerpen juga bergantung pada struktur mana yang sesuai digunakan. Contonya genre cinta romantis, lebih sesuai menggunakan struktur kronologi kerana pengenalan watak dan perwatakannya sangat penting. Genre aksi dan seram pula lebih sesuai menggunakan struktur 1-2-3 bang!

Namun terpulang pada penulis itu mahu mengaplikasikan struktur yang mana dirasakan sesuai dengan cerpen yang dikarang kerana setiap struktur mempunyai halangan dan cabaran yang berbeza. Saya jarang menulis cerpen menggunakan struktur 1-2-3 bang! dan lebih selesa menggunakan dua struktur yang lain kerana mengaplikasikan struktur ini bergantung pada pemahaman dan konsep cerita.

Hal ini penting bagi mengelakkan cerpen itu tampak mendatar dan sekaligus tidak menarik perhatian pembaca. Selain dari stuktur yang dinyatakan di atas, anda mungkin mempunyai struktur yang anda buat sendiri. Asalkan anda selesa dengan struktur anda dan hasilnya diterima dan disukai pembaca, maka tidak mengapalah.

Apa yang baik dari perkongsian ini, ambillah jadikan teladan. Yang kurang baik, sama-sama kita perbaiki. Sekian dulu untuk kali ini.

 

Salam mesra.

ridhrohzai


Rujukan:

1) Diolah dari artikel asal tulisan Puan Maria Kajiwa

2) Kamus Pelajar

Baca perbualan