Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Muzik Bukan Sekadar Roman

 

Seperti yang dipetik dari Toksikzine.


“I don't see it in terms of changing things, but rather using language and music as weapons for fighting a mainstream media which is predominately right wing, and loyal to the political framework and its corporate interests.”

 

Itu kata Thom Yorke.

 

Kita. Apa kesedaran yang kita ada pada muzik?

 

Adakah cukup sekadar hiburan?

 

Sumbat telinga kamu. Memilih untuk menjadi pendengar yang pasif, malah paling teruk mendidik anak-anak supaya menerima muzik seadanya. Melatih anak-anak bahawa muzik yang keluar daripada radio itulah yang paling betul.

 

Andaikata ianya begitu, maka pucatlah semua! kita sedang koma. Kritikal.

 

Berbaloikah seni muzik itu jika sekadar bertujuan hiburan?

 

Kita semua tahu cerita tentang Woodie Guthrie yang menjadikan muzik sebagai medium berprotes. Bersama mesej kekal di gitarnya yang tertulis "This Machine Kills Fascists" beliau melancarkan perang ke atas fasis yang pada waktu itu begitu gah sayapnya semenjak Mussolini yang kemudian berjangkit kepada Hitler kemudian membawa pula kepada Spanish Phalanx yang ditemukan pada tahun 1933.

 

Kita? Beberapa puluh tahun selepas itu, kita mungkin cuma kenal M. Nasir, orang Singapura yang kita harapkan sebagai wakil muzik rakyat yang merebel di Malaysia sekitar 80an dengan lirik-lirik politikal yang sinis kerana pada waktu dunia sedang berjuang menggunakan muzik, muzik kita terlalu sibuk digunakan untuk menghiburkan istana.

 

Kegagalan kita memanfaatkan muzik terus terbukti pada penciptaan lagu kebangsaan. Bagaimana kita mampu dikatakan patriotik walhal anak-anak apabila ditanya siapakah pencipta lagu Negaraku terus tergaru-garu kepalanya, lama berfikir, tergagap-gagap tuturnya kerana tidak yakin. Hatinya kebas. Malah saya yakin di kalangan menteri juga ada yang bodoh piang tentang asal-usul negaraku mengalahkan anak-anak itu.

 

Saya tidak mempersoalkan penggunaan Negaraku untuk negara ini. Apa yang saya kesalkan ialah mengapa lagu negara tidak punya latar yang jelas? Bagaimana sebuah material yang tidak jelas boleh dijadikan lagu kebangsaan?

 

Apa kita tidak nampakkah perbezaannya? Tidak perlu pergi jauh. Tolehlah ke seberang atau tonton sahaja filem Laskar Pelangi, lihat dan dengarkan betapa lancar dan yakinnya anak-anak apabila ditanya siapakah pencipta lagu Indonesia Raya? Nah! kan jelas di situ. Mungkin hati kecil kita ragu, Laskar Pelangi itukan cuma novel dan filem?

 

Nah! Sekali lagi, bukankah ianya sastera? Maka sastera ialah rakaman kehidupan oleh penulisnya? Tidak begitu?

 

Mungkin sebab kita dijajah oleh Jepun dan faktor larangan bermain radio menyebabkan orang-orang tua kita cuma pandai menghafal lagu kebangsaan Jepun dan lupa untuk berfikir bahawa muzik itu mempunyai potensi penyatuan yang sangat digeruni. Masakan orang Jepun cuma melatih jajahannya dengan lagu kebangsaan mereka sahaja?

 

Kita perlu bangun, muzik bukan sekadar berdondang sayang. Apa tidak cukup-cukupkah berdondang semenjak dari zaman piring hitam membawa ke era MP3? Tidak mualkah bercerita tentang cinta yang gagal, merindui kekasih, cinta dibenci ibu bapa, dan segala haram jadah yang menanahkan telinga?

 

Orang kulit hitam pada era hamba khususnya menggunakan muzik sebagai medium luahan kesengsaraan, melalui genre blues, jazz. Kita tidak malu meminjam genre tersebut untuk bercerita tentang cinta? Masalah cinta sesama manusia?

 

Orang kulit putih yang lebih selesa dengan folk, pemprotes seperti Walter E. Rollins atau Jack Rollin, Bob Dylan, pemuzik seperti Johnny Cash, Jonathan Richman yang menulis tentang inspirasi. Rakaman kehidupan sepanjang mereka bernafas.

 

Generasi baru seperti RATM menggunakan muzik sebagai medium berpolitik, membongkar kejahatan kerajaan Amerika. Korn pada awal-awal material mereka juga ada menyentuh tentang isu semasa, penyalahgunaan dan penganiayaan kanak-kanak. Teguran sinis terhadap ketidakadilan dan kebangsatan ahli politik seperti yang dilakukan oleh Sex Pistol dan The Ramones.

 

Dorothy Height, pejuang civil movement yang diabadikan di dalam sebuah tribute mengatakan muzik adalah medium yang tepat untuk menyedarkan golongan muda.

 

Ah! Contohnya terlalu banyak di luar sana.

 

Kita mungkin mengambil masa untuk menghadam syarahan, ceramah, pidato, bahan bacaan dan sebagainya. Tetapi muzik cuma memerlukan kurang daripada 5 minit untuk membuatkan kita terkesan.

 

Mungkin kita tidak dapat mengubah rutin yang sedia ada, tetapi adalah lebih baik jika kita melakukan sesuatu walaupun kecil seperti tulisan ini daripada langsung tidak membuat apa-apa.

Baca perbualan