Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kapasitor MS: Ulasan Seksyen Cerpen Bulan Jun 2011

 

Anda tidak menulis kerana anda mahu katakan sesuatu tetapi anda menulis kerana anda ada sesuatu yang mahu dikatakan – F. Scott Fitzgerald

 

KITA bertemu lagi dalam ulasan seksyen cerpen untuk buletin Jun. Sepanjang bulan Mei yang lalu, kami lihat tema yang diungkapkan dalam kebanyakan cerpen adalah lebih kepada tema kasih sayang dan kerohanian. Masih terdapat variasi dalam genre yang ditulis. Justeru, setelah membaca dan meneliti setiap cerpen yang dihantar, saya dan Kamalia telah sepakat memilih enam buah cerpen terbaik yang dikirimkan sepanjang bulan Mei berdasarkan kriteria dan kreativiti yang ditonjolkan. Berikut adalah cerpen-cerpen yang dipilih berserta sedikit ulasan.

 

Dari Sudut Sepasang MataPETAK

Penulis banyak mengungkap kisah-kisah kehidupan yang jarang diketengahkan dalam setiap cerpennya. Jelas kreativiti yang diselitkan dalam setiap karya menjadikan pembaca tertarik dan menanti setiap tulisan penulis.

Cerpen ini memaparkan persoalan tekanan perasan yang dialami watak utama yang mana berhalusinasi tentang berjumpa dengan seorang rakan lama. Diksi yang dipilih ringkas dan pendek, sesuai dengan tema cerita yang ringan. Kali ini tidak banyak gaya bahasa yang digunakan kerana plot cerpen ini hanya sebabak, tidak berbingkai. Justeru, saya kira struktur yang digunakan lebih tepat kepada 1-2-3 bang!

 

Aku Hanya Seorang Dustin BieberAZIMTYPING

Cerpen pertama yang dihantar oleh penulis di Kapasitor ini, mengungkap tema perubahan dalam kehidupan. Kisah tentang watak utamanya yang punya pengetahuan dalam bidang agama tetapi jahil dek kerana mengikut telunjuk nafsu. Watak utama bertemu dengan seorang gadis yang mahu mendalami agama.

Sudut pandangan pertama sesuai digunakan dalam cerpen begini kerana banyak monolog yang digunakan. Cerpen ini bergerak secara kronologi dengan pendahuluan, perkembangan, konflik dan penamat yang kemas. Namun begitu, saya agak terganggu dengan penggunaan dialog yang hampir 90% menggunakan Bahasa Inggeris. Mungkin ia mahu disesuaikan dengan perjalanan cerita tetapi saya kira molek jika menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

 

Sepatutnya Itu AkuUCULER

Cerpen ini menggunakan struktur 90/100. Temanya tentang cinta yang tidak kesampaian. Persoalan yang ditonjolkan adalah tentang perasaan sedih watak utama apabila teman lelakinya pergi buat selamanya sehingga sepatutnya dia merasakan dia yang patut pergi kerana dirinya menghidap barah otak.

Istimewanya cerpen ini adalah kerana diksi dan susunan ayatnya. Perhatikan perenggan di bawah:

Perasaan ditimpa air hujan tidak membawa sebarang perubahan yang ketara pun. Tidak seperti yang selalu dihebohkan di dalam buku cerita cinta. Sejuk, basah dan menyusahkan. Hati Aisha tidak berubah menjadi lebih tenang. Sebaliknya, gadis itu terasa bodoh.

Gambaran perasaan watak utama jelas. Inilah kelebihan penulis di mana susunan ayat yang biasa menjadi bermakna dengan meletakkan ‘kejujuran’ dalam setiap patah kata.

 

Itrah Al-MusthafaTOTI

Penulis banyak mengetengahkan aspek kerohanian dalam setiap karyanya. Tidak terkecuali dengan cerpen kali ini. Setiap tulisannya sentiasa diselitkan dengan falsafah yang mendokong jalan cerita. Kali ini persoalannya lebih kepada mengubat hati yang rawan. Watak utama yang punya teman baik yang banyak ilmunya yang membantu memberi semangat dan dorongan.

Cerpen ini punya gaya bahasa yang mantap. Diksi yang digunakan sangat lembut. Perhatikan perenggan ini:

Husain khali sejenak. Mengamati gembur merah tanah dipusara ibunya. Langit petang itu mendung menampung muram. Sudah sebulan Ibunya pergi mengadap tuhan. Selama itu juga dia dilanda kewalangan yang menguji iman. Fikirannya menerawang jauh dari jasad. Jauh menerobos ke dalam sisa-sisa kenangan. Saat penghuni kuburan itu masih bernafas. Ketika kerongkongan renta wanita itu masih mampu menghantar kata.

Ada unsur personifikasi dan metafora yang digunakan.

Cuma jika terlalu banyak info-dump atau dalam kata mudahnya kebanjiran fakta, ia menjadikan sesebuah cerita itu agak meleret. Kadang-kala sebagai penulis, kita perlu ‘kedekut’ tentang fakta kerana pembaca tidak perlu tahu semuanya, hanya apa yang sesuai untuk menggerakkan plot cerita.

 

Kaki Tangan - KURUSAWA

Bagi yang selalu membaca karya penulis ini, pastinya sudah sedia maklum tentang kreativti penulis dalam melakar jalan cerita. Cerpen ini menarik hati dengan olahan yang tersendiri. Memaparkan kisah mat rempit yang kehilangan anggota badan tetapi diganti oleh sepasang anggota badan yang lain milik seorang yang baik pekertinya. Sebuah kisah santai yang banyak teladannya. Tetapi, jika boleh kiranya penggunaan tanda baca dan huruf kecil-besar itu dimolekkan.

 

Kegembiraan untuk 45 minit26LIFE

Penulis punya olahan yang sedikit ‘keras’ dalam cerpen ini. Memaparkan tema penyesalan dengan beberapa persoalan seperti keseronokan duniawi dan kebejatan gejala sosial, menjadikan cerpen ini sesuai untuk kategori dewasa.

Gaya bahasanya tidak terlalu keterlaluan, disesuaikan dengan latar dan plot cerita yang padat. Lebih banyak monolog yang digunakan untuk menguatkan alur cerita ini.

 

Begitulah serba-sedikit ulasan yang dapat kru pengelola kongsi bersama. Moga dapat membantu untuk menulis dengan lebih baik. Andai ada yang terkhilaf, mohon dimaafkan. Sekian.

 

Salam karya,

ridhrohzai & kamalia

Kru Pengelola Kapasitor MS

Baca perbualan