Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

ku lihat kuning ..

  • neddo
  • 13 years ago
  • 3,034

 

“Awak ni … kerja apa?”

Si penguatkuasa undang-undang tu bertanya. Rasa macam nak senyum sinis, tapi aku tahan. Kenapa orang suka tanya benda yang dia dah tahu? Katanya ni memang sifat orang kita. Dah nampak jiran sebelah tengah basuh kereta, kita tanya, “Basuh kereta, bang?”

“Pensyarah,” jawab aku, ringkas.

“Suka jadi pensyarah?” dia tanya. Dah macam sesi suai-kenal first date la pulak.

“Alhamdulillah,” sekali lagi jawapan aku ringkas.

Dia senyum mengejek. “Mestilah suka, dapat ajar budak-budak macam-macam. Benda bukan-bukan habis diajarnya,” katanya.

Aku … ada cakap macam tu ke? Kalau tak silap, aku kata “Segala puji bagi Allah” tadi … tak paham bahasa Arab kot. Patut aku cakap Melayu tadi …

“Saya tak faham apa maksud encik,” balas aku.

“Aii … tak paham? Kata pensyarah! Pensyarah bukan orang cerdik-pandai ke?” oh, sindiran ni. Bukan la aku nak sangka buruk kat penguatkuasa undang-undang ni, tapi aku rasa pendidikan yang aku dapat dah cukup untuk bezakan pujian ikhlas dengan sindiran …

Jadi, memandangkan tu sindiran, aku rasa aku tak perlu jawab apa-apa.

“Dulu kerja apa?” dia tanya lagi.

“Doktor,” jawab aku.

“Kenapa berhenti? Tak tahan?” dia tanya, nada menyindir tu masih ada.

“Bukan. Saya pilih kerjaya lain, yang lebih sesuai dengan saya,” jawab aku.

“Fikir diri sendiri je. Sebelum berhenti, tak fikir mak-bapak? Tak fikir sikit punya ramai rakyat negara ni perlukan doktor?”

Wah … rupanya kat tempat ni sediakan khidmat ceramah. Lagi hebat daripada masjid. Tapi pintu masjid sentiasa terbuka. Pintu kat sini, silap haribulan kalau dah tutup, tak tahu bila pulak nak buka.

“Dah fikir panjang. Dah selidik pun,” jawab aku. Rasanya tak guna aku pertaruhkan statistik dan fakta-fakta yang aku dah kaji. Dia tak nampak macam berminat pun. Dia dah ada persepsi dia yang tersendiri terhadap aku sedangkan dia baru jumpa aku hari ni.

Dia senyum meleret. Mengejek. “Buat rugi je belajar tinggi-tinggi jadi doktor, lepas tu berhenti, buat kerja lain. Baik tak payah buat kursus perubatan. Buat habis duit kerajaan je. Kerajaan bagi duit dulu supaya keluar universiti dapat tolong orang ramai. Ni sijil tu simpan buat pekasam je”

“Mintak maaf cakap, saya tak setuju dengan pendapat tu. Saya masih bagi sumbangan pada masyarakat, tetapi dengan cara saya tersendiri. Saya mengajar pun budak-budak kursus perubatan. Jadi, encik anggap macam nilah … doktor-doktor yang encik kata bakal tolong orang ramai tu … ada di antaranya hasil tunjuk ajar saya,” balas aku.

“Oo, banggalah tu,” ujar dia.

Dapat mengajar anak-anak harapan negara, memanglah bangga. Tapi cara dia cakap macam aku tak patut bangga je. Yelah, kerja aku taklah sehebat kerja dia -penguatkuasa undang-undang. Tinggi pangkatnya tu. Aku mengajar je. Dia jaga keselamatan rakyat satu negara.

“Masa belajar nak jadi doktor dulu, pengajian kursus siapa tanggung?”

“Jabatan Perkhidmatan Awam,” jawab aku lagi.

“Ha! Habis tu? Tak reti nak kenang budi?” suara dia dah naik sikit.    

“Kenang budi siapa?”

“Kenang budi orang yang bagi awak biasiswa tu lah!” jerkah dia.

Makin berkerut dahi aku. Hairan. Rasa macam ayam bercakap dengan itik. “Orang yang bagi biasiswa yang encik maksudkan ni … siapa?”

“Eh eh budak ni! Kerajaan lah! Jabatan yang awak sebut tu kerajaan punya, takkan tak tahu!” marah benar bunyinya.

“Nama jabatan tu kan Jabatan Perkhidmatan Awam,” kata aku.

“Memanglah! Duit tu awak ingat datang dari mana? Dari langit? Dari kerajaan lah!”

Eh? Pelik. “Bila encik kata duit tu dari kerajaan … maksud encik, duit tu datang dari poket ahli-ahli kabinet? Ataupun diambil dari gaji diorang bulan-bulan?”

Aku nampak dia tersentak sikit, tapi cepat-cepat tayang muka bengis balik semula. “Jangan nak tunjuk pandai kat sini,” dia seolah-olah bagi amaran.

Sudah! Tadi dia sendiri kata aku golongan cerdik pandai. Bila aku cuba kongsi kepandaian, marah pulak. 

“Duit kerajaan bukan datang dari rakyat? Jadi, bila duit tu disalurkan semula ke rakyat … dalam bentuk biasiswa ke, prasarana ke … tu namanya bukan budi. Tu namanya hak,” dah makin panjang-lebar jawapan aku. Yelah, pensyarah. Dah terbiasa mengajar. Kena pulak kalau nampak orang yang tak berapa pandai atau tak berapa faham, naluri cikgu aku menggelegak je.

Sekali lagi aku nampak macam dia tak tentu arah. Lepas tu dia soal, “Inilah yang awak cuba sebarkan pada pelajar-pelajar awak? Benda bukan-bukan macam ni lah?”

“Benda yang saya cakap pada encik tu … benda salah ke?” aku soal balik.

“Awak cuba nak pengaruh orang! Awak gunakan kelebihan yang ada pada awak tu untuk hasut orang!” dia herdik lagi. Soalan aku tak juga dijawabnya.

“Kalau saya sampaikan benda yang betul … itu dikira hasut ke? Kalau macam tu, encik kena tahan semua pensyarah dalam negara ni! Hari-hari diorang menghasut,” balas aku, tenang. Nak tergelak pun ada sebenarnya, menengokkan encik tu merah padam mukanya. Mungkin marah, mungkin malu.

Pang! Dia tepuk meja. Oh, marah lah tu kot. Kalau kat parlimen, tepuk meja ni tandanya menyokong.

“Patutnya awak tu sebagai pendidik, ajar diorang menurut kata! Ajar kenang budi!”

Aduhai … balik-balik suruh kenang budi. Menurut kata pun masuk sekali.    

“Encik, saya ni ajar budak-budak universiti. Bukannya budak-budak tadika. Kalau budak tadika, apa yang kita cakap semua dia ikut. ‘A’ kata kita, ‘A’ lah. Tapi ni masing-masing dah besar panjang. Dah boleh berfikir. Tugas saya sebagai pendidik, bentangkan pada diorang A, B, C dan mungkin juga D. Terserah pada diorang nak buat pilihan. Ikut akal masing-masing yang dah dikurniakan dek Tuhan,” kan … aku dah bersyarah.

“Jadi, kalau diorang nak terjun bangunan, awak biarkan?” dia tanya.

“Saya ajar benda yang masuk akal,” balas aku.

“Kalau memberontak, menyusahkan orang ramai … tu masuk akal?”

“Saya tak ajar diorang memberontak. Saya ajar diorang untuk berani menegakkan kebenaran. Saya ajar diorang memperjuangkan hak …”

“Lagi-lagi hak!” dia membentak. “Orang lain ada hak jugak! Hak untuk hidup aman, tak porak-peranda!”

“Betul! Saya setuju dengan encik,” kata aku.

Mati akal dia sekejap. Tak sangka aku akan bersetuju dengan dia agaknya. Kalau dah benda betul, aku setuju la. Orang bodoh je yang tak setuju dengan benda betul.

“Habis tu, kenapa ajar budak-budak awak yang demonstrasi tu betul?”

“Saya cuma suruh diorang fikir apa maksud demonstrasi, apa definisinya …”

"Ha, yelah! Lepas tu diorang turut serta! Itu yang awak nak kan?”

“Saya dah cakap kat encik. Diorang ni dah besar panjang. Ada otak, diorang pakai. Setelah diorang kaji, diorang dapati benda tu tak salah …”

“Mana boleh tak salah! Kita dah kata benda tu haram!”

“Haram sebab apa?”

“Sebab tak ada permit!”

“Kenapa tak boleh bagi permit?”

“Sebab berkumpul ramai-ramai macam tu, nanti huru-hara!”

“Kenduri kahwin nak kena ada permit?”

“…”

“Reunion sekolah, nak kena ada permit?”

“Itu semua lain! Itu tak ada tunjuk perasaan!”

“Oh … kalau pergi tengok perlawanan bola ramai-ramai, angkat banner, angkat sepanduk … Jerit “Hidup Harimau Malaya!” kuat-kuat … itu tunjuk perasaan jugak kan? Kena ada permit?”

“Itu benda positif! Bersatu untuk negara!”

“Sama-sama minta masa depan yang lebih cerah untuk negara … itu bukan positif? Bukan bersatu untuk negara?”

“Sekarang ni masa depan tak cukup cerah ke? Awak hidup merempat ke sekarang ni?”

“Sekarang mungkin tak. Tapi kalau keadaan berterusan macam ni, satu hari nanti mungkin orang sekolah tinggi pun belum tentu boleh sara hidup,” jawab aku.

“Huh, orang macam awak ni memang dari golongan tak bersyukur! Semua benda pun tak puas hati! Semua benda pun tak cukup!” dengus dia.

Aku diam. Bukan sebab tak tahu nak cakap apa, tapi aku bagi dia peluang luahkan perasaan dia.

“Kalau negara kita ni jadi macam Indonesia, macam India … barulah awak rasa!”

“Rasa apa?”

“Rasa hidup kat negara susah!”

“Jadi, sebelum kita jadi macam tu … tak boleh ke usaha untuk tak jadi macam tu?”

“Usaha mesti nak berdemo? Negara-negara yang saya sebut tadi tu semua suka berdemo, alih-alih tak jadi apa pun!”

“Tak jadi apa-apa sebab pekikan rakyat jatuh ke telinga tuli. Kita nak jadi macam tu jugak?” soal aku.

Diam dia.

“Encik, kita ni sama-sama sayangkan negara. Matlamat kita kan sama. Kenapa encik perlu berdendam dengan orang macam saya?”

Dia masih diam. Aku masih sabar menunggu jawapan.

Sehingga akhirnya dia buka mulut. Perlahan.

“Sebab saya … saya …”

Kringgg!!!

Arghhh!!! Stress!!! Kenapa mimpi aku mesti berhenti saat-saat genting! Kan aku dah tak tahu dah encik tu punya sebab apa. Nampaknya kena lah buat pertandingan melengkapkan slogan, nak bagi puas hati.

Amacam? Ada berani?

Sila lengkapkan ayat encik di atas … “Sebab saya …” [tidak lebih daripada 15 patah perkataan] =p
   

Baca perbualan