Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Gerabak Merah Jambu

 

Gerabak Merah Jambu [kredit: JS Adiwarna]


BLURB GERABAK MERAH JAMBU

Hujan yang turun pada setiap hari Selasa selalunya berwarna-warni. Macam pelangi. Sepuluh saat pertama, air hujan akan mencurah-curah warna merah tetapi bukanlah seperti darah. Sekejap-sekejap hujan turun warna jingga. Kadang-kadang kuning, hijau, biru, indigo dan akhir sekali warna ungu. Kalau langit rasa gembira, hujan turun dengan pelbagai warna secara serentak. Sesungguhnya, langit memang baik hati kerana memang selalunya warna-warna hujan bercampur-campur setiap kali hujan turun. Dia tahu waktu itu langit sangat gembira. Dia juga tahu hari ini dia akan gembira.

Bagi sesetengah orang, gerabak wanita boleh saja menjadi tempat yang paling indah di dunia.

Ikhwan tidak sedar, pada pagi Selasa sambil diiringi oleh hujan yang lebat dia telah tersalah naik gerabak yang dikhaskan untuk wanita. Namun, mindanya terus sahaja melenyapkan kesalahan tersebut apabila tanpa disangka-sangka dia telah bertemu dengan gadis paling cantik di dunia.

Sophia namanya.

Bila Khaleel beritahu Sophia bahawa mereka berdua perlu berpisah atas sebab-sebab yang dirasakan sangat klise, Sophia seperti bakal hilang sebahagian nyawanya. Khaleel, si sahabat baik mahu meninggalkannya tapi Ikhwan si lelaki gila sanggup menjadi pengganti.

Di dunia yang lain, Zulaika hanya mampu makan hati berulam jantung apabila mengenangkan hati Ikhwan bukanlah untuknya. Hanya Azimah, jirannya yang separuh gila itu sahajalah yang memahami perasaannya.

 

Tiba-tiba Ikhwan merasakan yang hampir semua orang yang ada di dalam koc tersebut memandangnya dengan pandangan yang aneh. Bukan pelik yang terpegun ya, kalian. Aneh yang... memang anehlah! Macam Ikhwan ini adalah manusia yang tiba-tiba menjelma menjadi makhluk humanoid jantan yang berpakaian skirt pendek merah jambu. Tidak ke pelik, tu? Tapi Ikhwan bukanlah jelmaan humanoid tersebut. Dia masih lagi seorang manusia berjantina lelaki (dan ada rupalah juga) yang normal. Tiada cacat celanya. Cuma dia basah kuyup dan menggigil kesejukan. Dan itu bukan sesuatu perkara yang pelik. Takkanlah mereka semua ini tidak pernah tengok orang yang basah kuyup dan menggigil. Mustahil! (m/s: 11)

 

Jiran-jiran di kawasan perumahan kos rendah tempat Azimah tinggal sekarang ini semuanya baik-baik sahaja dengan Azimah. Mereka tidak pernah hendak kecoh-kecoh mahu ambil tahu masa silam Azimah. Sebenarnya mereka pun nak ambil tahu juga. Tapi sebab hal diri sendiri pun tidak terurus, mereka diam sajalah. Ada juga beberapa orang yang rajin senyum-senyum atau melayan ala kadar Si Azimah itu. Okeylah tu. Tapi jangan risau, Azimah tidak gila. Azimah cuma rindukan Azam sahaja. Salahkah? (m/s:  55)

 

“Ketua dewa tu potonglah manusia kepada dua bahagian. Disebabkan setiap manusia sudah terpotong kepada dua bahagian, jadi setiap bahagian tu merindui dan mencintai antara satu sama lain. Bahagian yang terpisah tu perlu bertemu semula untuk mengisi kekosongan kedua-dua bahagian yang terpisah tu. Setiap bahagian yang terpisah perlu mencari sebahagian daripada mereka semula dan menjadi satu.”  (m/s: 62)

 

 

“Siapa yang menang tapi tetap merendah diri dan siapa yang kalah tapi tetap tersenyum. Itu bermakna dia bermain dengan rasa cinta. Cinta tidak bermusuh. Cinta itu aman.” (m/s: 205)

 

Malam itu, pulang ke rumah Ikhwan terus sahaja menghempas pintu dengan penuh dramatik lalu menghempas badan ke katil. Dia menekup mukanya dengan bantal lalu tanpa dapat ditahan-tahan lagi dia menangis teresak-esak. Janganlah disalah erti akan perlakuan Ikhwan ini. Dia juga manusia yang punya hati dan perasaan yang kadangkala halus seperti tisu. Walaupun dia seorang lelaki dan lelaki selalunya kelihatan aneh apabila menangis dia tetap tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh berderai menimpa bumi. (m/s: 228)

 

Pagi-pagi lagi Zulaika sudah bangun daripada tidur. Dia bangun lebih pagi daripada biasa iaitu lima minit sebelum azan subuh berkumandang. Selalunya setengah jam selepas azan subuh barulah matanya terbuka. Nampak sangat Zulaika tak berapa hendak tidur sangat. Biasalah, soal hati dan perasaan ini bukan senang hendak ditangani lebih-lebih lagi kalau fasal hati terluka. Memang kadang-kadang boleh buat hidup huru-hara. Tetapi, Zulaika masih okey lagi sekurang-kurangnya buat masa sekaranglah. Lagipun dia sedar, hal-hal hati manusia ini tidak elok sangat kalau ambil terlalu serius. Boleh rosak badan, binasa hati. (m/s: 234)

 

 

P/S: Cerita tentang watak Azimah di dalam novel ini sebenarnya diambil daripada cerita asal cerpen saya, iaitu Azimah oh Azimah yang disiarkan di Kapasitor 3 tahun lepas. Adakah pengakhiran hidup Azimah di dalam Gerabak Merah Jambu sama seperti dalam cerpen tersebut? Saya pun tak tahu...hehehe. Kena baca sendiri.

 

Maklumat lanjut: www.jsadiwarna.com

 


Baca perbualan