Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Diari Adam Untuk Hawa.

 

DIARI ADAM UNTUK HAWA

 

Cinta.

            Apakah dia erti cinta?

            Klise.

            Dah banyak kali soalan itu ditanya. Kata orang cinta itu subjektif. Macam mana tu?

            Entahlah.

            Lain orang lain pandangannya tentang cinta. Lelaki. Perempuan. Kanak-kanak. Orang miskin. Orang kaya. Apakah erti cinta bagi mereka?

            Manis. Pahit. Bahagia. Sengsara.

            Boleh jadi semua sekali.

            Ada yang kata kita akan mengenali erti cinta apabila kita mengalaminya sendiri. Bukan mudah untuk digambarkan dengan kata-kata semata.

            Itulah cinta.

            “ Muka hensem, takkan takde awek kot?”

            Soalan yang sudah beberapa kali menjengah cuping telingaku. Tapi, takkan sebab muka hensem mesti ada awek?

Memang aku jawab tidak.

Ye, setiap kali.

Sebab itulah hakikatnya.

Bab muka hensem tu aku pun tak pasti. Aku sendiri pun tak rasa aku ni hensem atau macho atau sewaktu dengannya. Mungkin sesetengah orang sahaja yang beranggapan begitu. Kecantikan itu kan subjektif.

Mungkin sebab itulah aku tak ada awek. Sebab aku tak yakin aku boleh. Aku tak rasa aku layak. Hensem ke aku ni?

Oh ye. Kecantikan itu subjektif.

Atau mungkin memang aku belum temui cinta yang mampu mengajarku erti cinta. Mungkin kalau aku bersabar, sekali cuba terus dapat yang terbaik. Siapa tahu?

Panggil aku Kai. Ini kisahku.   

 

“ Assalamualaikum!” salam yang dilaung mengalihkan pandanganku daripada buku kerja matematik tambahan yang sedang terbuka di atas meja. Aku meletakkan pen lalu melangkah membuka pintu papan hadapan.

“ Waalaikumussalam…” aku menjawab lalu mengucup tangan ayah yang baru pulang dari kerja. Dia masuk. Beg komputer riba diletakkan di atas sofa sambil punggung terbenam dengan selesa di sebelahnya.

“ Kai, ni tolong bagi kepada jiran-jiran semua eh? Ni jemputan dan borang derma untuk majlis sambutan maulidur rasul kat surau kita tu…” jelas ayah sambil menghulurkan seikat sampul surat putih.

Aku menjenguk ke luar. Masih agak cerah. Kalau tak memang aku minta tangguh esok. Tapi tak apalah. Kata orang kerja bertangguh tak menjadi. Aku mengangguk, kerja-kerja macam ni memang sudah sebati dengan aku dan adik-adik.

Maklumlah ayah merupakan salah seorang ahli penting dalam AJK surau Al-Ghufran, surau mukim kami. Dia adalah timbalan pengerusi surau itu merangkap timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat. Ye, memang dia rajin bekerja. Aku? Hmmm…

Aku mengayuh basikal sambil tangan kiri menggenggam sampul-sampul itu. Setiap rumah aku pergi. Kalau tak ada orang aku masukkan ke dalam peti surat. Kalau ada, aku berikan terus kepada tuan rumah. Sambil-sambil itu, boleh aku berkenalan serba sedikit dengan jiran-jiran setaman.

Bukan sekejap kami tinggal di kawasan perumahan itu, cuma tak berapa rapat dengan jiran-jiran. Tak berapa rapat bukanlah bermaksud kami selalu bertelingkah atau kutuk- mengutuk. Cuma tak berapa meriah atau kata orang happening. Maklumlah mungkin semua sibuk. Tapi alhamdulillah kalau berjumpa tu mesra sahaja.

Lalu aku tiba di sebuah rumah. Tak jauh pun. Dari rumah aku terus dan belok ke kiri. Rumah Encik Azmi. Setahu aku dia ada seorang anak perempuan. Sebaya. Siapa nama dia? Zaleha? Saleha? Tak pasti. Tapi yang pasti aku pernah juga nampak dia. Dari jauh. Tak pernah berdepan. Tak pernah bersapa.

            \"Assalamualaikum!\" salam diberi. Aku menanti di atas basikal. Suara seorang wanita menjawab salam.

 

Emaknya. Mak cik Salmah.

 

Kali pertama aku melihat mak cik Salmah. Agak muda orangnya. Keputihan. Senyuman tak lekang di bibir. Ramah. Aku yang muka serius. Ramai dah orang yang cakap begitu. Tapi dalam hati ada pesta flora antarabangsa.

 

\" Mak cik, ni ada jemputan dan borang derma untuk sambutan maulidurrasul kat surau. Nanti duit derma saya kutip esok.\" sampul surat putih bertukar tangan.

 

\" Em, ni rumah Saleha ye?\" Entah kenapa tiba-tiba soalan itu terpancul dari bibir. Ah, lantak. Aku tanya je walaupun aku dah tahu itu memang rumahnya. Biasalah, orang Malaysia ni memang suka tanya benda yang obvious. Orang tengah makan pun ditanya lagi \" tengah makan eh?\". Bukan apa, soalan-soalan itu sebagai pembuka bicara. Lebih baik daripada straight to the point agaknya.

 

\" Ha\'ah. Tapi dia takde harini. Ada jamuan pengawas dekat Hotel Pelican. Kenapa? Nak kirim salam?\" soalnya kembali sambil tersenyum. Mengusik agaknya. Siap tawarkan nak kirim salam lagi. Bukan selalu jumpa mak bapak macam ni. Aku? Layan saja.

 

\" Dia kenal saya ke?\"

 

\" Kenal...\" jawabnya ringkas. Aku sendiri pun tak kenal dia. Kira popular juga aku ni. Haha.

 

\" Em, bolehlah. Terima kasih ye makcik!\" kataku lalu membawa diri.

 

Betul ke apa yang aku buat ni? Kadang kala aku ni terlalu banyak berfikir. Terlalu banyak risaukan perkara yang tak perlu dirisaukan. Contohnya, apa agaknya yang difikir orang yang dikirim salam tu? Apa agaknya reaksinya? Bukan mengharapkam apa-apa, cuma memang mindaku begitu.

 

 

Keesokan hari...

 

Aku kembali mengetuk-ngetuk pintu rumah jiran tetangga. Harapnya mereka tak rasa terganggu. Aku cuma mengikut arahan. Rata-rata sudah mengisi borang derma dan disertakan sekali sejumlah wang. RM10. RM 50. RM 100. Ada ke RM 100?.

 

Entah. Tak ingat.

 

Lalu aku kembali ke rumahnya. Salam diberi sambil menunggu di atas basikal. Aku menanti, menunggu mak cik Salmah. Dia keluar dari rumah. Eh, sekejap. Itu bukan mak cik Salmah.

 

Saleha.

 

Kali pertama aku bertemu dengannya. Memandang wajahnya. Aku bukanlah jenis yang suka menilai paras rupa, tetapi dia ni...

 

PERFECT.

 

Sempurna bagiku. Di sekolah pun tak pernah aku jumpa seseorang secantik dan seayu hamba Allah ni. Mungkin ada tapi aku saja yang tak pernah jumpa. Muka iras-iras Heliza AF tapi lagi lawa. Dari gayanya aku boleh melihat kesopanan dan sifat lemah lembut. Tak tahulah kalau aku silap menilai, tetapi begitulah pandanganku terhadapnya. Boleh tahan kencang jantungku berdegup. Macam ice blended (mungkin perumpamaan ni kurang sesuai). Haha.

 

Saleha. Rupanya ini tuan punya nama.

 

\" Er, nak mintak derma majlis...\" aku membuka bicara.

 

Borang dan wang derma dihulurkan. Aku menyambut sambil kotak fikiranku memproses sesuatu yang tidak ku sangka akanku lakukan. Satu soalan dituju terus tanpa beralas.

 

\" Boleh mintak nombor telefon?\"

 

\" Nombor telefon rumah ada.\" jawabnya, lambat sedikit selepas soalan itu ternoktah. Barangkali sedang berfikir \" biar betul mamat nih, tiba-tiba mintak nombor\".

 

\" Nombor henpon senang sikit nak call. Kita kan jiran.\" aku beralasan sambil menggunakan ayat \"Kita kan jiran\" sebagai frasa yang spontan. Kalau dah minat takkan nak cakap depan-depan. Minatkah aku kepadanya? Adakah ini yang dinamakan cinta? Jiwang sudah.

 

Lalu dia pun meyebut digit-digit itu satu persatu sambil aku memicit-micit pad kekunci telefon bimbit Nokia lalu menyimpan dalam senarai di bawah nama Saleha. Aku berterima kasih lalu mengayuh pulang.

 

Yes! Aku berjaya!

 

Berjaya mendapatkan nombor telefon gadis tercantik yang pernah aku kenal pada pertemuan kali pertama. Tak pernah seumur hidup aku buat begitu. Dengan rakan-rakan perempuan di sekolah pun mungkin ada yang dah dua atau tiga tahun kenal tak pernah minta nombor telefon. Sebab, perasaan yang dialami lain. Dengan rakan lain, dengan dia lain. Tapi...

 

Sekarang ni aku nak buat apa?

 

Aku masih baru dalam hal ini. Jadi aku berfikir sejenak. Fikir. Fikir. Fikir. Dapat. Mungkin aku patut tunggu dua atau tiga hari baru contact dia. Kalau baru dapat nombor balik-balik terus contact, nampak sangat. Itulah perancanganku. Tak adalah genius sangat, tapi lebih baik daripada tak ada langsung.

 

Tiga hari pun berlalu.

 

Waktu malam aku memegang telefon bimbit. Masih lagi ragu. Nak ke tak? Nak ke tak? Ah, buat saja. Kalau tak, sia-sia minta nombor. Aku mula menaip SMS.

 

\" Salam, ni Saleha ye?\"

 

Seperti biasa, orang Malaysia memang suka tanya perkara yang obvious. Aku menghantar SMS itu sewaktu kelas tuisyen fizik sedang berlangsung lebih kurang jam 9 malam. Teruk juga perangai aku ni.

 

Penantian aku tidak lama. Sekejap sahaja mesej dibalas lalu aku memperkenalkan diri. Nampaknya dia pun seperti berminat untuk meneruskan perbualan. Banyak juga yang dibualkan. Terutamanya mengenai diri masing-masing. Memang aku teringin sangat hendak mengenalinya.

 

Katanya, kami selalu juga bermain badminton dengan jiran-jiran di taman sewaktu kecil dulu. Tapi seriously, memang aku tak ingat. Tak mengapalah kalau dia ingat. Hebat juga memorinya.

Dan perbualan itu terus meleret sehingga hampir tengah malam. Aku yang tamatkan sebab tak tahan ngantuk. Aku memang jenis yang tak biasa tidur lambat sangat. Paling lambat pun dalam pukul satu pagi bolehlah. Kalau mencecah jam dua atau tiga, alamatnya esok pagi bangun mulalah demam ke, selesema ke.

 

Malam itulah detik permulaan hubungan kami. Bukan hubungan serius. Tapi sejak malam itu, sekali sekala dia akan SMS aku. Memang selalunya begitu. Dia yang mulakan dahulu. Kenapa?

 

Sebab aku malu. Bukan sombong. Malu. Adalah takut sikit. Takut apa?

 

Takut dia ingat aku minat padanya sedangkan dia tak ada perasaan langsung padaku. Aku tak nak nampak sangat macam aku ada perasaan pada dia. Mungkin dia memahami. Atau mungkin juga dia pun ada perasaan yang sama. Entah. Tanya khabar, pengalaman, berbual-bual. Itulah isi perbualan kami saban hari. Macam kawan biasa.

 

Tapi jauh di sudut hati aku rasa dihargai. Rasa senang hati setiap kali dapat ber-SMS dengannya. Entah kenapa, rasa macam ada komitmen yang tersirat di sebalik setiap itu. Bukan tak pernah berhadapan dengan mesej-mesej daripada perempuan. Ada juga beberapa:

 

Mira- pengawas sekolah. Muda setahun. Datang sendiri padaku untuk minta nombor telefon (gentle tu). Aku tak berapa minat dengannya. SMS yang dia hantar ternampak oleh mama. Kesian dia kena sound. Kahkah.

 

Sha- pelajar biasa. Hantar mesej tiba-tiba. Nombor tak tahu dapat dari mana. Selepas beberapa perbualan, aku nampak tujuannya. Terus tak dilayan.

 

Fisah- aku kena fitnah. Ingat nak minta alamat Myspace macam kawan-kawan biasa. Tiba-tiba dia sendiri sebar fitnah aku couple dengannya dan bermacam-macam lagi. OMG! Rupanya kepala dia tak berapa betul. Nasib baik ramai yang tahu kebenarannya.   

 

Aku sedar. Aku sedang mengejar dua perkara. Perkara yang berlainan haluannya. Seperti sedang bertapak di sebuah jalan lalu tiba pada suatu titik, jalan itu berpecah kepada dua.

 

Adakah aku perlu memilih salah satu sahaja?

 

Kalau aku pilih satu, bolehkah aku patah balik untuk melalui jalan yang satu lagi?

 

Atau mungkinkah kedua-dua jalan itu akan bertemu kembali di hadapan nanti?

 

Kalau benar kedua-dua jalan itu akan bertemu, tak kira mana satu jalan yang aku pilih pasti akan sampai ke destinasi yang sama. Aku tak mahu mengecewakan ibu bapaku. Pada masa yang sama aku menaruh perasaan pada si dia. Kalau aku teruskan, mungkin ada masa hadapan dengannya. Kalau aku biar begitu sahaja, entah di mana aku nak cari yang serupa dengannya.

 

Di sinilah otak yang satu ini mula memainkan peranan. Fikir. Fikir. Fikir. Macam mana kalau aku kejar kedua-duanya sekali? Macam mana kalau aku boleh mengelakkan kekecewaan dalam kedua-dua perkara ini sekaligus?

 

Boleh. Mudah saja.

 

Teruskan hubungan dengannya yang penting tak mengganggu pelajaran. Wah, macam senang saja bunyinya! Definisi tak mengganggu pelajaran di sini ialah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Keputusan cemerlang dalam SPM pula bermaksud 10A. Ye. Straight A. Mampukah aku?

 

Add Math pun terkapai-kapai. Nak dapat 10A? Guess what?

 

Aku berjaya!

 

Atas rezeki yang dilimpah aku berjaya mencapai objektif. 8A+, 1A, 1A- . Alhamdulillah. Mungkin atas sebab itu, aku mampu berbual tentang Saleha dengan lebih terbuka. Tak perlu lagi bersembunyi untuk ber-SMS dengannya. Malah, selalunya kalau mama tahu aku sedang ber-SMS dengannya, mama akan kata “ kenapa tak call je, kan senang?”

 

Tidak. Itu bukan perli. Mama ikhlas. Sejak Saleha dan keluarga berkunjung ke rumah semasa majlis marhaban, mama lebih mengenali mereka. Nampaknya boleh dikatakan aku dah peroleh restu mama. Ayah? Ayah tak kisah.

 

Hari bersilih ganti. Semakin banyak perbualan. Semakin rapat rasanya. Aku dapat merasakan yang aku jadi tempat mengadu. Selalu juga dia mengadu yang ramai lelaki cuba tackle dia. Aku pernah bertanya. Takkan tak ada yang dia minat?

 

Memang jawapannya tidak. Aku mulai perasan Mungkin dia dah percaya padaku sebab tu selalu perihal sebegitu dikongsi. Selalu mesej. Pergi ke kelas tuisyen yang sama. Datang ke rumah untuk study group. Setiap kali hari jadi, masing-masing berbalas hadiah. Lebih hebat lagi dia sanggup pos hadiah dari Muar ke Selangor sewaktu aku belajar di UIAM. Wake up man! Don’t you see it already?

 

Ye. Aku dah nampak. Cuma belum pasti. Macam mana kalau soalanku dijawab dengan perkataan tidak? Luar boleh nilai. Hati siapa tahu. Sehinggalah pada suatu malam…

 

 

Aku menanggalkan kopiah lalu meletakkannya di atas meja cermin di bilik belakang. Televisyen dihidupkan lalu aku rebah di atas katil.

 

“ Mr. Bean? Layan jelah. Ni kalau tengok berapa kali pun masih kelakar…” telefon bimbitku berbunyi. Ada mesej.

 

Saleha.

 

Seperti biasa kami bualkan tentang pengalaman masing-masing dan dia buka cerita tentang lelaki yang selalu mengganggunya. Biasalah, orang lawa memang ramai peminat. Aku tak pernah rasa terganggu dengan aduannya. Aku pun memberi cadangan yang aku anggap munasabah. Aku menghantar SMS.

 

“ Kalau tak nak orang ganggu cakap je awak dah ada minat orang lain…” lalu dia reply.

 

“ Tapi saya takut kalau saya minat kat orang tu, dia tak minat kat saya…”

 

“ Oh, kalau macam tu tanya je lah kan senang…” balasku. Lalu dia membalas semula…

 

“ Ok. Jawab dengan jujur. Awak suka saya tak?”

 

Woah! Ye. Betul. Woah! Jantung mula berdegup laju bak turbin pesawat. Bro, dia dah tanya bro! Dia nak kau jawab jujur bro! Sejujurnya aku masih tak bersedia lagi. Rasa macam terlalu awal. Tapi, sekurang-kurangnya kalau dah luah, mungkin terangkat sedikit beban yang aku pikul selama ini. Aku cuba berlengah sedikit dan cuba tukar topik. Tapi inilah peluang aku. Kalau tak, melepas jawabnya. Jadi aku pun balas.

 

“ Saya suka awak walaupun awak tak suka saya.” Lalu dia reply dengan sedikit unsur saspen.

 

“ Maaf, tapi saya suka awak jugak..” lebih kurang begitulah.

 

Woooohooooo!!!

 

Akulah lelaki paling bahagia dalam dunia di saat itu. Bahagia bahagia juga. Secara tak langsung, sebuah janji termeterai. Tapi aku tak boleh berpegang pada janji yang aku sendiri tak pasti. Jadi aku kata..

 

“ Saya tak nak awak jadi girlfriend saya. Saya tak nak couple. Sebab kalau ada jodoh, saya nak awak jadi teman hidup saya…”

 

KALAU ADA JODOH.

 

Sebab kita masih muda. Banyak lagi perkara yang belum dipelajari. Belum diterokai. Bukan mudah untuk menjalin hubungan. Berat lagi untuk mengekalkannya. Siapalah kita untuk menjanjikan sesuatu yang tidak pasti. Jodoh. Hidup. Mati. Kita usaha. Allah merancang. 

 

 

Beberapa bulan berlalu…

 

Hubungan seakan-akan semakin renggang. Mungkin aku ada tersilap di mana-mana. Entah. Salah sendiri sebab tak tanya. Atau mungkin cuma perasaan sendiri. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Dunia sendiri. Siapalah aku untuk menilai. Lama juga tak berbual. Bosan kot. Tapi bukti luahan hati bukan pada kata semata. Ada juga dia post di Facebook.

 

“ Kalau suka tak semestinya bercinta. Kalau bercinta tak semestinya ada jodoh. Kalau jodoh takkan ke mana.”

 

Ada kemungkinan kata-kata ini memang khas buatku. Cuma dia tak beritahu secara langsung. Ada kemungkinan saja. Andaian tanpa bukti.

 

Kalau dia sanggup menungguku, aku rela menanti. Kalau dia pilih haluan lain yang lebih baik, aku doakan kesejahteraannya. Kerana hidup ini banyak pilihan…

 

Buat adam dan hawa.   

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan