Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

KARYA SASTERA - FORMAL DAN TRANSCENDENTAL

 

 

Seni atau dalam bahasa Inggerisnya disebut art sebenarnya sudah digunakan sejak beratus tahun dahulu, sama ada dengan definisi-definisi yang tertentu, sama ada dengan penghasilan karya-karya yang tertentu, juga sama ada dengan apresiasi-apresiasi yang tertentu dan pengajaran-pengajaran yang tertentu. Para seniman yang terlibat atau para pengajar seni yang terlibat, ada yang mengaturkan batas-batas tertentu mengenai pengertian atau definisi tentang seni ini.

Perkataan seni amat selalu dikaitkan dengan perkataan "halus", "indah", "murni", "menarik", "cantik". Seni juga selalu dihubungkan dengan perkataan "luar biasa", "abstrak", "melampaui jangkauan fikir", "ajaib" dan "ghaib". Semuanya ini
berhubung secara intim dengan kewujudannya sendiri yang berkaitan dengan material, mental dan spiritual (kebendaan, pemikiran dan kerohanian). Justeru seni selalunya merupakan manifestasi daripada pengalaman, keintelektualan, kebijaksanaan dan kerohanian manusia. Bagaimanapun tulisan ini tidak akan membicarakan tentang ciri-ciri seni secara  mendasar tetapi membincangkan mengenai kewujudannya daripada sudut yang lain berasaskan unsur-unsur formal dan  transcendental.

Unsur formal yang dimaksudkan merujuk kepada segala unsur material, unsur luaran atau unsur lahiriah. Dalam seni lukis umpamanya, unsur formal itu meliputi alatan yang digunakan, komposisi warna-warna, subjek yang menjadi bahan memenuhi kanvas, keseimbangan atau kewajaran persembahan lukisan. Unsur formal ini lebih cenderung kepada penciptaan karya-karya realisme, karya-karya naturalisme dan karya-karya berbentuk potret.

Jika dalam seni lagu, unsur formal lebih menjurus kepada segala yang menyentuh indera luaran, yakni pendengaran dan perasaan pendengar. Ia berkaitan dengan penyusunan irama, penyusunan atau gubahan nada suara, tinggi rendahnya, nyaring lembutnya dan apa yang sangat ingin dicapai ialah supaya lagu itu sedap didengar oleh khalayak.

Dalam seni kesusasteraan pula unsur formal membabitkan karya sastera yang mempunyai unsur-unsur yang telus dan mudah dinikmati. Dengan sekali atau dua kali baca, ia sudah dimengerti maksudnya. Tidak ada nilai-nilai yang terselindung yang membingungkan. Karya-karya sastera yang berunsur formal ini banyak pada karya-karya sastera protes, karya-karya sastera romantis, juga karya-karya sastera yang berunsur falsafah.

Karya-karya seni yang mengandungi unsur-unsur transcendental ialah karya-karya seni yang lebih sukar untuk dihayati sekali pandang (bagi karya seni lukis), sekali dengar (bagi karya seni lagu) atau sekali baca (bagi karya seni sastera).  Transcendental mempunyai pengertian dalam bahasa Melayu: mempunyai sifat-sifat melebihi atau melampaui batas-batas pengetahuan biasa; mempunyai sifat-sifat luar biasa; melangkaui pengalaman atau bukti pengetahuan manusia; melebihi atau melangkaui realiti yang dihayati atau dialami manusia biasa; merupakan pemikiran dan pengalaman yang amat kerohanian, yang sukar difahami oleh manusia biasa; sesuatu yang amat abstrak bagi pengetahuan manusia; sesuatu yang tidak dapat dianalisis dengan akal tetapi dapat dirasai oleh pengalaman atau perasaan.

Karya-karya seni yang transcendental ini dianggap sebagai puncak daripada karya-karya seni. Inilah yang selalu diburu oleh para tokoh seniman yang telah membuktikan kegemilangan mereka dalam dunia kesusasteraan. Dan inilah karya-karya yang selalu menjadi karya-karya seni yang kekal dan disanjung oleh sesuatu masyarakat dan bangsa di dunia ini. Jika mahu dijadikan modelnya bagi negara kita tentulah buku-buku seperti “Sejarah Melayu”, “Hikayat Hang Tuah”, “Syair Siti Zubaidah”, “Al-Amin” (sekadar menyebut beberapa karya) boleh dijadikan contoh.

Kedua-dua unsur ini, sama ada yang formal atau yang transcendental mempunyai peranan penting masing-masing, sesuai dengan suasana dan zamannya masing-masing. Karya-karya yang formal seperti yang ditunjukkan oleh karya-karya seni protes, amat berguna bagi masyarakat membendung ketidakadilan dalam sesebuah masyarakat, kejahatan penjajahan dan pencerobohan, juga menjadi alat penentangan terhadap keburukan peperangan, misalnya. Karya-karya seni protes ini amat berperanan untuk membangkitkan kesedaran masyarakat supaya menjadi orang yang
berpihak kepada keadilan dan kebenaran.

Karya-karya seni yang formal biasanya amat telus dan terbuka untuk dihayati oleh sebilangan masyarakat. Karya yang mudah dan telus ini ada yang kekal abadi dan disanjung oleh masyarakat. Namun demikian karya seni yang formal ini biasanya tidak dianggap oleh para seniman atau oleh ahli seni sebagai hasil seni yang tinggi mutu seninya berbanding dengan hasil seni yang transcendental.

Hasil seni yang transcendental itulah sebenar-benarnya hasil seni. Ia menjadi hasil seni yang kekal abadi bukan kerana sejarahnya atau kerana kisah atau peristiwa yang dipaparkannya tetapi lebih kerana nilai kebenaran yang diungkapkan. Nilai kebenaran ini yang membuat hasil seni yang transcendental itu hidup dan terus menggoda serta mempesona hati rohani para pembacanya dari waktu ke waktu. Para peminat hasil seni akan berkali-kali melihatnya dan kalau ia sebuah drama atau filem maka drama atau filem itu akan berulang kali dipentaskan, ditonton lagi, dari zaman ke zaman. Contoh yang paling ideal tentulah seperti filem-filem Tan Sri P.Ramlee yang boleh dianggap sebagai hasil seni yang tak lekang dek panas dan tak reput dek hujan, klasik dan tidak mudah ditelan usia.

Ini kerana ia mengandungi seni yang melampaui batas-batas pengetahuan manusia biasa, mengandungi seni yang melampui batas-batas realiti dan pengalaman biasa, ia merupakan suatu pengalaman kerohanian yang menyentuh hati nurani manusia, ia merupakan sesuatu yang sukar dinyatakan dengan perkataan tetapi amat menyentuh perasaan, ia juga merupakan suatu pengalaman abstrak yang sukar dinyatakan dengan kata-kata apa pun, ia mungkin saja suatu pengalaman perasaan yang pelik, yang ajaib, tetapi benar.


Sumber rujukan: Dewan Sastera (DBP)  

 

Baca perbualan