Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Abah..

  • sezzy
  • 18 years ago
  • 2,971

 

..arwah mak pernah cerita, masa mak dan abah kehilangan anak sulung(Abang Faizal) , abah lah orang yang paling sedih.

2 tahun kemudian, abah dan mak menerima kehadiran akak dalam hidup kalian. Mak cakap, masa mak sakit nak bersalin, abah hampir pitam. Kesian abah.. Kemudian, abah hanya dukung akak sewaktu nak qamatkan ke telinga akak je. Selepas dari tu, abah tak pernah lagi dukung akak. Mak cakap, abah takut tersalah dukung. Takut tulang akak patah,sebab akak kecik sangat.

Mak cakap lagi, akak dah umur 6 bulan barulah abah pandai dukung akak. Masa tu abah kerja sebagai cikgu Alam dan Manusia dekat Sekolah Kebangsaan Air Tawar 2, Kota Tinggi. Mak pulak kerja dekat JKR sebagai jurutaip. Disebabkan abah kerja sampai tengahari saja,abah akan gunakan masa sebelah petang untuk jaga akak. Patut la akak paling manja dengan abah.

Mak pun ada cakap, dulu rumah kita depan padang bola. Tiap kali abah nak pergi main bola dengan kawan-kawan abah waktu petang, abah akan usung akak dalam kereta sorong dan tinggalkan tepi padang sementara abah main bola. Mak banyak kali marah abah, takut akak kena culik. Tapi akak tau, walaupun abah sibuk main bola, mata abah tetap perhatikan akak.

Masa kecik-kecik, akak suka bila abah geselkan misai abah dekat telinga akak. Tajam! Geli tau, abah! Kadang-kadang, petang abah akan bawak akak naik motor, pergi jalan-jalan.

Kemudian kita pindah Mersing. Kita duduk rumah Atuk dan Mak Jang sementara menunggu rumah kita sendiri siap dibina. Akak ingat lagi, atuk selalu mintak abah tadah air hujan dalam tempayan besar untuk kegunaan kalau waktu bekalan air paip terputus.Tiap kali hujan dan waktu abah nak tadah air hujan tu, abah mesti bawak akak sekali. Kemudian kita sama-sama main hujan. Mak pun tak larat dah nak marah abah. Mak kata, kalau akak demam, abah kena bertanggungjawab. Esoknya, akak demam. Tapi abah tak mungkir janji dengan mak. Abah jaga akak. Abah 'jerang' kepala akak dengan air sejuk,layan karenah akak yang kuat merengek, pujuk makan ubat sehinggalah akak baik dari demam.

Mak mengandungkan Ayet,mak mengidam makan buah nipah. Tak sangka, abah yang selama hari ni tak pernah di ajar pegang parang(sebab abah anak bongsu,manja) abah nekad jugak cari buah nipah untuk mak. Balik dari cari buah nipah, tapak kaki abah berdarah-darah kena hiris dengan ranting kayu dan akar pokok bakau. Betis abah semua bengkak-bengkak kena gigit nyamuk. Kesian abah.. Tapi akak tau, abah lakukan sebab abah sayang mak dan anak abah yang bakal lahir.

Bila Ayet dah masuk 2 tahun,akak pernah bagi dia makan gula-gula Kopiko. Ayet tercekik , kemudian abah sebat tangan akak. Akak nangis, akak marah dekat abah. Akak cakap, abah dah tak sayangkan akak lagi. Abah sayangkan Ayet pulak. Tapi sekarang baru akak sedar, abah cuma nak mengajar akak supaya lebih bertanggungjawab pada adik-adik. Abah nak didik akak jadi kakak yang baik. Sebab akak anak sulung.Kalau ada apa-apa terjadi pada abah dan mak, akak boleh pikul tanggungjawab menjaga adik-adik.

Masa darjah 1, akak belajar disekolah tempat abah mengajar. Sekolah Kebangsaan Sawah Datu', Mersing. Seronok sebab boleh 'eksyen' dengan kawan-kawan yang akak anak cikgu. Tiap kali waktu rehat, akak dapat minum air botol free dari makcik kantin sebab nanti abah bayar kemudian!Lepas tu, abah kena tukar sekolah, naik pangkat jadi Penolong Kanan 1 di Sekolah Kebangsaan Sri Mersing. Akak pun ikut abah sekali sebab senang abah tengok-tengokkan akak. Abah cakap akak nakal. Memang nakal pun, masa darjah 5, akak kena sebat dengan rotan depan kawan-kawan kat sekolah dengan abah sebab akak main kapur dalam kelas dengan kawan-kawan. Balik rumah, abah jelaskan pada akak sepatutnya akak tak boleh buat macam tu sebab akak anak abah. Kalau orang tau anak abah nakal macam tu,jatuh air muka abah . Abah cakap lagi, di sekolah, abah adalah cikgu akak. Walau siapa pun akak, abah kena berlaku adil. Akak dah buat salah, jadi akak mesti kena hukum macam orang lain juga. Tak ada dasar terkecuali.

Setiap kali peperiksaan besar, akak dapat keputusan cemerlang. Tapi abah tak pernah benarkan akak masuk sekolah berasrama penuh walaupun banyak kali peluang terbuka untuk akak. Akak marah. Tapi kemudian , akak sedar abah tak sanggup berpisah dengan akak..Semuanya selepas mak terangkan, abah akan menangis kalau berpisah dengan akak dan adik-adik walaupun untuk sehari. Kalau boleh abah nak anak-anak abah di sisi abah 24jam.

Bila kemalangan yang meragut nyawa mak 3 tahun lalu, abah adalah insan yang paling terluka. Abah rasa bersalah pada kami bertiga sebab tak mampu menyelamatkan mak. Tapi abah, itu semua takdir Tuhan. Kemalangan itu banyak memberi kesan kepada kita sekeluarga, tapi tengok lah sekarang, betapa berdikarinya anak-anak abah kini.

Akak bersyukur sangat abah terselamat dalam kemalangan tu.Kalaulah Tuhan ambil abah sekali, akak tak boleh bayangkan betapa susahnya hidup kami tiga beradik. Sudahlah sedara-mara kita tak ambil peduli tentang kita. Bila abah masuk Hospital Pakar tu pun, akak dah tak boleh tidur malam. Akak asyik teringat pesan abah tentang semua bon-bon saham dan wang simpanan abah yang abah cerita dekat akak jika sesuatu terjadi pada abah. ...Mak dulu pun ada pesan serupa macam abah malam sebelum kemalangan tu,jadi akak takut bila memikirkan sejarah akan berulang. Akak tak sanggup kehilangan abah.

Sekarang, abah..akak dah kembali di sisi abah. Akak nak jaga abah. Akak nak buat abah gembira. Nak teman abah main golf, teman abah makan, shopping sama-sama,tengok wayang sama-sama. Akak takkan tinggalkan abah. Percayalah. Akak akan bayar setiap keringat abah yang abah titiskan untuk membesarkan kami tiga beradik, insya-Allah. Berkat doamu abah, akak akan berjaya.

Selamat Hari Bapa, abah.

Baca perbualan