Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kisah Setia

 

 

 

‘Dia bawa satu kisah, bersamanya seribu erti. Kasih bertaut, hati bersatu. Dan dia, tidak pernah sangkaku bahawa dia yang satu…’

 

Jari-jemarinya halus. Tidaklah setanding model-model yang menjadikan tangan-tangan mereka punca pencarian sehari-hari, tetapi cukup indah buat aku belai dengan mataku. Putih, bagai kulit anak Cina. Hujungnya merah, kuku dirias kemas, pendek. Matanya yang terpejam, bibir pucat. Kulit yang cerah membuatkannya hanya kelihatan lebih lemah, lebih menderita. Dan aku, aku turut menderita bersamanya.

 

Gadis ini telah lama aku kasihkan, tetapi tidak seinci tubuhnya pernah aku sentuh, cuma mata yang mampu sampai kepadanya. Tiada yang dapat menghalalkan perbuatan ini, sekiranya aku bersentuhan dengan dia, kulit ke kulit. Gelodak jiwa meronta-ronta mahu membelainya, namun warasku hingga kini enggan mengalah, amaran jadi permainan. Aku ini tidak halal baginya. Aku bukan muhrim. Aku cuma seorang lelaki, dan hanya nikah yang mampu merapatkan jurang tatasusila dan adab agama itu. Tetapi itu sesuatu yang agak sukar. Bukan buat aku. Aku sanggup. Dia ratuku. Tetapi bondaku mengugut. Katanya, mengapa mesti aku mengambil isteri yang sudah pasti hayatnya akan berakhir, sebelum sempat pun seri rumahtangga menyinar? Aku telah cuba pertahankan cintaku, tetapi rasa tanggungjawabku terhadap bonda, sebagai satu-satunya anak lelaki, tidak dapat aku tinggalkan. Maka tinggallah aku hanya dapat mengasihinya dari jauh, terbatas dalam segenap perbuatan. Aku redha, walaupun aku siksa.

 

Dan kekanda. Dia amat memahamiku. Sungguhpun teman berlainan jantina, dia lebih terbuka fikirannya berbanding bonda. Pernah cuba dinasihati bonda, amarah yang diterimanya. Pernah cuba mengubat luka silaturrahim, halau yang didapatinya. Kekanda tidak pernah mengalah. Dia tempat aku pohon bantuan, pertolongan. Dia setia, sebagai pendengar, sebagai rakan. Dia tidak lokek. Dia penyayang, dan aku berani katakan, dia lebih memahamiku daripada bonda. Sungguhpun aku terhalang daripada menghalalkan hubungan ini, kekanda tidak pernah meminta, atau mencadangkan agar kami melakukannya senyap-senyap nun di sempadan utara. Dia amat menitik-beratkan nilai maruah, tetapi dia tetap tidak pernah menghalangku mencintainya. Malah dia menyokong keputusanku, alasannya kesetiaan merupakan sesuatu yang patut aku banggakan. Ya, aku setia, tetapi kadang-kala tetap terlintas kiranya nilai setia berbaloi aku pertaruhkan sebegini rupa. Dan kekandalah yang akan berulang-kali mengingatkan ku bahawa kesetiaan tidak bermaksud kebahagian. Tetapi ia sesuatu kepuasan. Memori yang indah. Sedikit nasihat, dia sentiasa berjaya membuat aku kembali mengingati keindahan kisah kasih yang singkat ini.

 

Ayahanda, dia tidak banyak merungut. Dia lebih senang mendiamkan dirinya, tetapi nasihatnya tidak mungkin aku abaikan. Dia seperti kekanda. Memahami, tetapi dia tidak seberani atau selantang anak gadis sulungnya. Dia akan biarkan bonda menang, tetapi dibelakangnya sokongannya hanya untuk aku. Katanya, mengasihi seorang kekasih, hingga akhir hayatnya, hanya seorang pencinta yang setia mampu melakukannya. Dan dalam dunia serba baru ini, kesetiaan sukar dicari. Aku milikinya. Tidak mengapa jika dia tidak akan kekal lama di dunia ini, tetapi nilai itu lebih penting dari segala-galanya. Apalah maruah, jika dibandingi kesetiaan. Lelaki, walau tidak semua, semakin hilang rasa setiannya. Dan kesetiaan, itu bakal meletakkan seorang lelaki setingkat lebih tinggi dari yang lainnya. Kata-kata ayahanda aku yakini. Dia setia pada bonda. Mungkin aku warisinya dari ayahanda. Kadang-kala aku terfikir, bukankah kami dalam situasi yang sama? Cuma wanita yang kami kasihi berbeza, dan aku, aku tidak akan dapat bersama lama dengannya. Ajalnya dekat, hayatnya pendek. Tidak akan wujud kebaikan dalam hubungan sebegitu. Aku menyangkal kata bonda, walau tidak secara depan. Aku sedar aku lebih mencontohi ayahanda, tetapi itu bukan masalahnya. Aku yakin pada kesetiaan, dan aku bakal setia.

 

Aku terbaca. Kesetiaan boleh merosakkan seseorang, jika ia tidak membawa kebaikan. Ia membawa seribu satu bencana, atau seribu satu kebaikan. Terlalu setia, dan kau akan terlepas segala keseronokan hidup. Tidak setia, kau akan menderita, tetapi dengan cara berlainan. Aku kadang-kadang keliru. Kesetiaan dijadikan alasan untuk tidak setia. Kesetian kadang-kala merosakkan hidup yang lain. Kesetian juga boleh membawa bahagia. Jadi baguskah, burukkan nilai kesetiaan itu? Hingga kini aku masih mencari.

 

Nafasnya telah lama lemah, tetapi beberapa ketika kebelakang ini, semakin kritikal. Kini dia kembali bermaustatin di hospital. Masa sedarnya semakin singkat. Senyumannya sukar aku tangkap. Lemah. Beberapa ketika dia menangis, tetapi malang bagiku, tiada apa yang dapat aku lakukan selain menemaninya siang dan malam, dan meminta maaf kiranya kami tidak dapat bersama. Kerja aku terbengkalai, tetapi pengurus amat memahami situasiku. Noh tidak banyak menyoal tindakanku, malah merelakannya. Sebagai abang, telah menjadi satu impian baginya untuk melihat adiknya bahagia. Apatah lagi pada ketika-ketika penghujung hayatnya. Siapa sangka, aku akan jatuh cinta pada dia, bila mana singgahannya dari kampus buat abang tersayang setiap petang Jumaat sentiasa membuat aku terpesona dengan keletah bersahaja itu. Mereka bukanlah dari kalangan berada, sungguhpun berjaya. Perkenalan dengannya melalui Noh tidak disangka bertapak di tingkat ini. Aku tidak pernah cuba-cuba mendekatinya. Dia adik Noh. Siapa kan berani? Dan dia kelihatan terlalu suci buat aku, aku percaya, tetapi Allah itu Maha Mengetahui. Kasih bertaut. Noh merestuinya. Aku gembira. Kami gembira. Tetapi itu tidak kekal.

 

Bonda menyalahkan Noh dan ‘dia’ kerana tidak memberitahu aku tentang musibah ini. Fikir bonda aku tidak mungkin punya perasaan padanya, kiranya aku tahu pada awalan perkenalan. Dan Noh, dipersalahkan lebih lagi kerana, menurut bonda, mempergunakan dan mempermainkan perasaan aku agar jatuh cinta pada gadis yang akan pergi ini. Aku bangkang, tetapi bonda keras. Sabarnya Noh, aku mengaguminya. Tanpa membantah, Noh menelan cercaan bonda bulat-bulat, tidak pernah diluah semula. Perkenalan itu bukanlah dengan niat sebegitu, aku tahu. Noh tidak pernah sangka kami akan bertaut. Kiranya jika masih mahu dipersalahkan, silapnya pada pertemuan kami selepas-lepas perkenalan itu. Dan salahkanlah takdir, susunan Allah S.W.T. Beranikah, seorang Muslim yang waras berkata begitu? Bonda mungkin tidak melisankannya, tetapi tindakannya seolah begitu. Aku tersepit. Sungguh, aku kecewa, tetapi hatiku terikat pada tanggungjawabku. Aku anak bonda, jauh sekali mahu digelar derhaka…

 

Tetapi dia, tidak mungkin aku mungkir kasihku padanya.

 

*           *           *

 

Bebelan bonda diluar wad cuma mengeruhkan suasana. Noh menjadi mangsa, manakala aku terhenyak, tidak bermaya, berhadapan dengannya. Aku tidak mampu melihat padanya, bondaku lagi. Aku tidak mahu derhaka, tetapi selagi mataku bertautan dengannya, kesedihan tidak mungkin aku bendung lagi. Aku sedar, kuatnya aku di awalan krisis tidak bertahan. Semangat aku kian layu, bersama layunya hayat dia. Aku terdengar bonda menuduh Noh bersengkol dengan pawang-pawang, menyihirku jadi begini. Aku dengar Noh mengucap, dan suara kekanda berteriak terkejut. Sedihnya tidak dapat aku gambarkan lagi, kali ini air mata jatuh tanpa dapat ditahan. Buat kali ini ego aku punah, hancur berkecai. Antara tanggungjawabku pada bonda, kasihku pada dia, aku tersepit. Semangat aku yang layu semakin mati. Maruah aku sebagai lelaki tercalar. Aku benar-benar terseksa.

Kekecohan jadi parah, para doktor berlaluan sedaya upaya cuba menenangkan keadaan. Dari ekor mata aku nampak Noh terjelepuk dilantai. Tangannya dipekup di pipi. Kelihatan kekanda merayu-rayu bonda agar berhenti, dan bonda, lagaknya bagai dirasuk hantu. Pastinya Noh telah ditampar. Kelibat ayahanda berlari-lari anak mendapatkan mereka. Mataku jadi kabur, airmata melimpah-limpah.

Cuma kerana cintaku? Pecahnya silaturrahim, musnahnya kasih, hilangnya waras?

Sekali-kali ingin aku beritahu bonda. Seadanya dia bersyukur aku telah pilih untuk mengikuti permintaanya. Walaupun tidak akan aku nikahi gadis ini, sekurang-kurangnya biarlah aku temaninya sehingga akhir hayat. Kasihanilah aku, wahai bonda, dan aku ingin sungguh raungkannya di depan wanita itu. Tetapi aku tidak melakukannya. Bukan enggan, tetapi tidak terdaya. Lemah. Layu. Semangat aku hilang. Laksana mati. Lebih baik aku ini bukan masih bernyawa.

Jeritan bonda yang bingit mensasarkan aku hilang pertimbangan. Mata aku tidak mungkin menangkap imej-imej sempurna. Airmata terlalu membasahi, bilamana aku melangkah menghala ke pintu. Tiba-tiba aku nekad. Telah aku rasakan penghujungnya, tidak mungkin aku biarkan ianya berlanjutan begini, mengeruhkan suasana. Satu jalan penyelesaian hinggap di benak. Tidak semestinya baik, tetapi aku terlalu buntu. Aku tidak mahu berfikir lagi, dan saat aku menolak daun pintu, suasana kecoh jadi senyap. Sunyi, tenang seketika. Tetapi lukaku sudah parah. Nekadku kukuh, walaupun untuk bonda tidak mungkin aku merubahnya. Pandanganku jadi tersasar pada bonda yang terduduk diatas lantai, kekanda dan ayahanda disisinya. Dia terkejut, jelas sekali di wajahnya. Para doktor memerhati. Perasaan mereka tidak mungkin aku tafsirkan. Lalu aku berlutut di hadapan wanita itu, aku cium tangannya. Cuma seungkap maaf terpacul dari mulutku, bilamana aku salami tangan ayahanda, dan kekanda. Lantas aku bangkit, dan Noh aku berikan pandangan seribu erti. Dia masih diam membisu, wajahnya tertanya-tanya bilamana aku berlalu pergi. Demi Allah, itulah kali terakhir aku bersua muka dengan mereka, insan-insan yang paling aku sayangi…

 

*           *           *

 

8 tahun kemudian.

 

Sewaktu aku menekan punat suis komputer riba niat aku hanya untuk memuat turun spesifikasi pelan bagi projek terbaru kami – mereka-bentuk dan pengubahsuaian sebuah ‘mansion’ di pinggir kota bandaraya Manchester, tetapi email dari pengirim bernama Noh Khusyairil menggamit perhatianku terlebih dahulu. Tarikhnya cuma berjarakkan beberapa jam sebelum aku mengakses email aku, dan aku jadi tertanya-tanya…

Bagaimanakah email ini boleh sampai kepadaku?

Dan Noh Khusyairil, nama yang tidak mungkin aku lupakan…

Seketika, aku terkedu. Kenangan lama kembali berputar, lagaknya bagai filem lama. Aku kembali merasaai keperitan itu. Amarahku menyumpah-nyumpah email itu, tetapi hati aku terpanggil untuk mendahulukannya dari pelan yang sesungguhnya penyebab aku mengakses email ini. Pada ketika kursor diarahkan pada ‘link’ email itu, jantung aku berdegup amat laju. Pada masa aku menekan punat tetikus itu, seluruh tubuh aku rasakan menggigil, kepayahan lama aku kembali rasai…

Satu persatu baris aku baca, penuh dengan tandatanya, dan kepayahan yang tidak mungkin diungkapkan…

 

‘Kehadapan Firdaus.

 

Aku tahu kau tidak sekali mengharapkan kiriman ini, apatah lagi, dariku. Tidak akan adil kira kau melepaskan segala-galanya begitu sahaja. Lapan tahun kau menghilang. Tiada berita. Alamat email ini aku perolehi dari kawan sekulliyah yang kini berkhidmat di Dublin. Aku tidak harapkan alamat ini masih boleh digunapakai, dah aku tidak harapkan ianya sampai kepada kau. Syukur kepada Allah kiranya ia berjaya menemui kau. Sekurang-kurangnya usaha aku untuk menjejaki kau sejak lapan tahun lalu tidak berakhir dengan kehampaan. Tetapi ketahuilah juga, Fir, sesungguhnya aku tidak harap kau akan kembali membalas kiriman ini. Kau putuskan hubungan kerana tersiksa. Kau lari dari segala-galanya. Aku tidak salahkan kau, tidak mungkin sekali-kali, tetapi kau perlu tahu. Lapan tahun ini satu penyiksaan bagi aku, dan mereka-mereka yang menunggu kepulangan kau. Dan lapan tahun! Aku tidak fikir apa-apa dari kiriman ini akan mengubah pendirian kau, Fir!

 

Seberangkatnya engkau pada Khamis malam Jumaat itu, bonda kau tidak berhenti-henti meraung meminta maaf. Dia menyebut nama kau berdua berulang-ulang. Keletihan, dia akan pengsan, atau tertidur. Kembali terjaga, dia meracau. Keadaan bonda kau amat membimbangkan, Fir. Aku kasihankan dia, maka aku cuba juga usaha menjejaki kau, dengan bantuan kekanda kau. Tetapi aku gagal. Bonda kau menderita sepanjang-panjangnya. Aku terima berita bahawa kau berada di Amerika, tetapi rakan itu gagal menjejakimu. Aku menerima banyak berita tentang kau, tetapi tidak sekali aku dapat menghubungi kau. Aku dapat tau kau berkerja sebagai ‘freelance architect’, dan itu secara tidak langsung menyukarkan aku untuk menjejaki kau. Berikutan laporan yang kau sering dilihat di kotaraya London, sudah berkali-kali aku terbang kesana kerana mengharapkan pertemuan, biarpun sesaat, dengan kau. Tetapi hasrat itu tidak pernah ditunaikan Allah. Mungkin masih belum rezeki, aku pulang dengan hampa setiap kali. Kemudiannya aku dapat tahu kau menggunakan nama samaran daripada seorang arkitek antarabangsa, menyukarkan urusanku. Setiap kali aku hampir dapat menangkap ekor kau, kau akan sentiasa terlepas. Kau licik. Kau sukar dihubungi, dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Aku hampir putus asa, tetapi doa kekanda kau setiap kali dia bersolat kembali menyuburkan harapan aku untuk membawa kau kembali ke pangkuan keluarga kau…

Dan tahukah kau, aku telah melangsungkan perkahwinan dengan kekanda kau? Kami selamat diijabkabulkan dua tahun yang lepas. Kekanda kau sedang berbadan dua, dia sentiasa rindukan kau. Bonda kau, tiada nama lain yang disebut melainkan nama kau. Siang dan malam. Bonda telah berubah, Fir! Perubahannya hanya berarahkan kebaikan! Dan ayahanda, dia amat uzur kini. Harapan mereka tidak pernah luntur demi mahu melihat kau kembali sebelum tamatnya hayat mereka yang tinggal sedikit lagi itu. Malahan, dalam penuh keuzuran itu mereka berkeras berangkat ke Tanah Suci Makkah demi mendoakan kepulangan kau! Bukan sekali, tetapi berulang-kali! Dan mungkin dapatnya aku alamat maya kau ini hasil doa-doa mereka. Aku yakin, Fir! Allah itu Maha Pemurah, lagi Mahaa Mengasihani. Mereka meminta untuk melihat kau lagi sebelum mereka meninggalkan alam ini. Tidakkah kau mengasihani mereka, Fir?

 

Dan, Fir, aku tidak pasti jika ini tindakan yang sebaiknya, atau seburuknya. Tujuh hari selepas kau menghilangkan diri, Aishah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sehari selepas kau pergi, dia secara mengejut kembali sedar dari tidurnya yang panjang. Aku benar-benar terkejut. Dia kembali peroleh kekuatan untuk berbicara, dan menulis, berjalan…aku rasa seolah-olah segalanya telah kembali normal walaupun hati kecilku membisikkan bahawa masanya akan tetap tiba tidak lama lagi. Dalam tempoh 6 hari, cuma tiga kali dia bertanyakkan kau. Kami tiada pilihan lain selain memberitahunya bahawa kau tidak dapat dijejaki. Dia tidak menangis, walau sekalipun, malah dengan cukup tenang memberitahuku bahawa kau tetap bersamanya. Bonda tidak henti-henti memohon maaf dari Aishah, dan dia tanpa sebarang keberatan memaafi bonda. Aku cukup terharu. Buat pertama kali dalam hidupnya, selaku anak yatim, Aishah berpeluang merasai kasih sayang seorang ibu dan ayah – iaitu bonda dan ayahanda. Hari ketujuh, Aishah tertidur di meja kau. Aku biarkan sahaja, memikirkan mungkin dia keletihan setelah sehari suntuk berjalan-jalan. Namun pagi itu kami akhirnya tersedar bahawa dia telahpun diambil pergi oleh malaikat maut, dalam tidurnya, jari-jemarinya merangkul gambar-gambar kau. Pemergiaannya kami terima dengan redha hati. Malam itu, aku temukan sepucuk surat dialamatkan pada kau. Ia ditulis oleh Aishah. Aku tunjukkan surat itu pada kekanda kau, Umairah, dan bermula dari situ kami berusaha mencari kau. Surat itu masih aku simpan. Untuk kau, aku imbaskan setiap helaian darinya. Jika aku kembali menyuarainya, kau akan tuduh aku mengada-ngadakan sesuatu yang tidak wujud, jadi aku enggan berkata banyak. Tulisan Aishah, kau kenal, bukan? Nah! Bacalah. Aku yakin nukilan buat kau ini akan mengubah segala-galanya…

 

-          attached: aishahletter_0.jpeg

-          attached: aishahletter_1.jpeg

-          attached: aishahletter_2.jpeg

-          attached: aishahletter_3.jpeg

 

*           *           *

 

Diari catatan Nurul Umairah

20 Ogos 2006

 

Aku masih tidak dapat percaya bahawa semua yang aku kenal telah pergi. Aku kini cuma punyai Noh, dan anak kami, Ashraf. Pemergian kedua ibu-bapaku, dan satu-satunya saudara kandungku Nur Firdaus Umar buat satu ketika hampir-hampir membunuh semangatku. Jika bukan pada Noh, aku mungkin sudah hilang warasku. Setahun sudah berlalu dari detik itu. Ashraf sudah pandai bertatih. Dia mengingatkan aku pada Firdaus pada ketika bayinya. Sesekali kesedihan masih menyukarkan aku meneruskan hidup ini, tetapi demi Noh, dan Ashraf, perlu aku tabahkan hati ini. Aku dan Noh sama-sama tidak punya saudara yang lainnya di dunia ini. Kami anak yatim piatu, dan pergantungan kami hanyalah pada antara dua jiwa ini. Kami perlukan satu yang lain. Aku perlukan Noh, dia perlukan aku. Dia suami dan aku isterinya yang sah.

Pada ketika ini, genap setahun pemergian Firdaus. Siapa sangka, adinda yang telah menghilang tanpa berita selama lapan tahun, tatkala kembalinya dia, segera dipanggil Allah pulang ke Rahmatullah. Bonda dan ayahanda turut dijemput sama pada ketika yang tidak langsung berantakan. Ketiga-tiga mereka pergi pada masa yang dekat, cuma saat yang memisahkan…

Segala-galanya bermula pada pagi 20 Ogos 2005. Firdaus yang telah lama menghilang akhirnya bersetuju untuk kembali, buat menemui bonda dan ayahanda. Aku sungguh terharu. Akhirnya usaha aku dan Noh berhasil. Tanggal 20 Ogos 2005, dia dijadualkan tiba. Atas nasihat Noh, aku tidak mengikutnya ke lapangan terbang bagi menjemput adinda yang amat aku sayangi dan rindui. Namun takdir Allah melebihi segala-galanya. Dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, mereka terlibat dalam kemalangan. Kedua-duanya parah. Dan aku pula secara tiba-tiba jadi sakit, dengan sepenuh kuderat aku kerahkan segala-gala yang aku ada, memandu ke Pusat Perubatan University Malaya. Aku disahkan akan melahirkan dalam tempoh terdekat, dan dimasukkan ke wad. Menantikan kelahiran anak sulung sesungguhnya mendebarkan, tambahan lagi dengan kehadiran Firdaus, segala-galanya pasti lebih meriah. Bonda dan ayahanda sampai agak lewat, kerana mereka bertolak dari rumah kekanda sulung ayahanda di Bangi setelah menyampaikan jemputan ke majlis kenduri kesyukuran bersempena kembalinya Firdaus ke pangkuan keluarga. Kami diselubungi keriangan, namum semua itu hancur berkecai sebaik kami menerima berita tentang kemalangan ngeri itu. Noh parah di pinggangnya, dan matanya, dah hatinya hancur. Dah Firdaus, kecederaan di dadanya dan lehernya tidak memungkinkan dia selamat. Kami gempar. Aku menangis. Aku jadi takut. Seluruh intipati diri ini jadi tidak keruan. Tubuhku kesakitan yang amat sangat, menaggung dugaan melahirkan, dan hatiku luluh mengenangkan kedua-dua lelaki yang paling aku sayangi. Dalam keadaan hampir melahirkan, aku mengugut agar dibawa berjumpa mereka berdua. Meskipun keberatan, mereka akur. Kedua mereka masih sedar tatkala aku sampai di wad mereka, diiringi seorang doktor dan dua orang jururawat. Bonda dan ayahanda, yang telah terlebih dahulu melawat kedua anak lelaki mereka, berangkat ke surau. Kata mereka hendak sembahyang hajat agar kami bertiga selamat. Aku relakan sahaja, meskipun hatiku meronta mahukan bonda temani aku tatkala aku hadapi dugaan melahirkan ini. Rasa sakit jadi hilang, cuma hati yang pedih bagai dicucuk duri apabila melihat kedua mereka terbaring lesu. Firdaus tidak dapat berkata banyak, cederanya terlalu parah, tetapi Noh sempat memarahi aku atas kedegilan ini. Aku cuma mampu ketawa, pada mana tangisku berterus-terusan tanpa tersekat. Sakit yang datang bertalu-talu aku endahkan. Perhatian hanya buat mereka berdua. Aku terlupa sejenak tentang anak yang bakal lahir pada bila-bila masa itu. Doktor hanya berjaya mengheret aku ke katil kosong dalam bilik yang sama apabila aku secara tidak sengaja meneran sewaktu sedang duduk di atas kerusi roda, beralasan bahawa tindakan aku boleh membawa kematian buat bayi itu. Sedang berbaring, sempat pula si doktor marahkan aku, kerana katanya kepala bayi sudah separuh keluar. Aku berjuang bermati-matian melahirkan Ashraf, diperhati oleh Firdaus dan Noh dari ekor mata mereka. Aku lihat kedua lelaki itu menangis tatkala gema tangisan memenuhi bilik. Ashraf diazankan oleh ayahnya yang parah, diperhati oleh Firdaus. Sebaik Ashraf diletakkan dalam pangkuan Firdaus, dia lalu mencium dahi Ashraf dan sesaat kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir. Aku tidak mampu berkata-kata lagi melihat perginya adinda kesayanganku, dan pabila para jururawa dan doktor gempar tentang kematian dua warga emas lelaki dan perempuan, dalam keadaan bersujud di surah hospital, tidak setitik airmata pun jatuh membasahi pipi. Aku tidak mampu menangis lagi, dan pemergian mereka, aku redhakan. Noh sempat membisikkan agar aku terima seadanya pemergian mereka secara serentak, sebelum dia juga kehilangan sedarnya. Dan kenduri kesyukuran yang dijadualkan langsung bertukar kenduri arwah. Alangkah peritnya, tetapi aku gagahi jua.

Walaupun tragedi menimpa aku bertalu-talu setahun yang lalu, aku cukup bersyukur, sekurang-kurangnya aku masih punyai Noh dan Ashraf. Alhamdullillah Allah belum mahu mengambil Noh dari dunia ini. Aku bersyukur. Aku turut bersyukur atas kurnianya buat Noh, yakni, tatkala doktor mengishtiharkan bahawa satu-satunya cara bagi Noh menebus kembali segala kecederaannya adalah melalui pembedahan pemindahan organ, Firdaus tanpa berfikir panjang telah menandatangani surat kebenaran yang membolehkan sebilangan organnya di pindahkan pada Noh, sebagai penama pertama, sekiranya dia didapati sesuai dengan organ-organ dermaan Firdaus. Allah itu Maha Kaya. Mereka didapati serasi, dan hati, buah pinggangnya serta korneanya didermakan buat Noh. Semua itu telah menyelamatkan Noh, dan aku tidak mungkin membayar kembali jasa adindaku itu. Dia seorang anak yang baik, namun dia terperangkap antara cintanya buat Aishah, dan kasihnya buat bonda, serta tanggungjawabnya untuk tidak menderhakai bonda. Pabila dia tinggalkan kami, tindakan itu tidak mengundang sebarang pertikaian, mahupun musibah. Malahan tindakan drastik itu berjaya merubah bonda ke jalan yang lebih baik. Tiada apa lagi yang dapat aku katakan di sini, dan tiada cara dapat aku balas budinya, melainkan dengan Al-Fatihah jua.

Dan Firdaus, dia akan sentiasa hidup dalam hati kami, selama-lamanya…

Dan kesetiaannya, akan kami abadikan…

 

*           *           *

 

Secebis dari surat Siti Aishah buat Firdaus

‘…mungkin jodoh kita bukan disini, maka tidak dapatlah Aishah persoalkan kedudukan kita. Aishah yakini perasaan Firdaus, dan Aishah yakini Allah. Masa kita di dunia amatlah singkat, tetapi nun di syurga, selama-lamanya adalah buat kita. Aishah akan sentiasa tunggu Firdaus, sebagai seorang bidadari, buat Firdaus, yang pada hayatnya telah banyak bersabar ke atas semua di sekelilingnya. Firdaus, tabahkan hati. Aishah akan tunggu Firdaus di atas sana…’

 

*           *           *

 

Since this is my first attempt, to everyone who ever read this, a thousand thanks. Forgive me for everything that i lack of.

-Iasa

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) uhmmm . 1st post eh iasa? kool!
    the idea is ok, penceritaan is beautifully crafted. kemas and teratur.

    as for the area of improvement, try to compact kan lagi cerita.
    :)

  • (Penulis)
    2) thank u cahatomic. :)

    uh mind elaborating on the 'compactkan lagi cerita'?

    *is new and learning haaha*
  • 3) like it! all da best =p
  • 4) wa....huhu ...sedeynyer.....tp best.....:p
  • 5) sayunye....bt interesting..gud job
  • 6) alamak..tisu.. nak nangis!!!

  • 7) nice....

  • (Penulis)
    8) @ my_ellye: haha yea, it was meant to be sedih. thank you for reading it :D

    @ puterimyra: thank you! really appreciate your time baca the whole thing ;)

    @ pinkyunki: kasi tisu. ek jangan la nangis...ini cerita saja ;)

    @ stabbeD: thank you :D

Cerpen-cerpen lain nukilan Iasabelle

Read all stories by Iasabelle