Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Surat buat Cinderella

 

Cinderella,

 

Apa khabarmu di sana? Aku yakin engkau bahagia dan gembira dengan kehidupanmu sekarang. Aku juga tumpang bahagia. Sudah lama rasanya kita tidak bertemu. Aku kira engkau semestinya sudah berbadan dua, atau mungkinkah sudah pun menimang cahaya mata. Tidak kira anakmu itu seorang putera atau seorang puteri, aku yakin dia akan tetap secantik dan secomelmu.

 

Mungkin engkau tertanya-tanya mengapa tiba-tiba sahaja aku mengirimkan surat ini kepadamu. Tiada alasan lain yang dapat kuberikan hanyalah aku sangat merinduimu. Aku cuma merinduimu! Tentu sekali engkau terkejut dengan kedatangan surat ini. Tentu juga engkau tidak menjangkakan surat ini datangnya dari aku. Aku tahu, engkau semestinya sudah melupakanmu. Aku juga tahu engkau semestinya tidak mahu lagi mempunyai apa-apa kaitan denganku. Aku mengerti dan aku tidak sesekali menyalahkanmu. Aku sememangnya layak dilayan sebegitu! Jika aku menjadi engkau, aku semestinya akan berbuat perkara yang sama.

 

Cinderella,

 

Aku ingin berterima kasih kepadamu. Terima kasih kerana berjaya menyedarkanku. Keadaan berubah semenjak engkau meninggalkan kami. Ibu jatuh sakit kerana terlalu merinduimu. Baru dia sedar bahawa selama ini dia amat menyayangimu. Namun, dia pergi terlalu awal. Dia tidak berpeluang berjumpa denganmu. Bukan tidak mahu, tetapi dia malu kerana selama ini dia tidak bersikap adil kepadamu. Kakak? Aku tidak tahu di mana kakak berada. Dia menghilangkan diri kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa engkau berjaya mencuri hati sang putera idaman. Aku sedih dengan keadaannya, tetapi hidup perlu diteruskan. Aku kini hanya tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan. Rumah agam peninggalan bapa terpaksa dijual untuk menampung wang perubatan ibu. Namun aku rasa aku lebih tenang tinggal di pondok ini. Walaupun sederhana aku bahagia.

 

Memang benar, diriku tidak lagi disaluti emas. Pakaianku bukan lagi dari kain yang mahal seperti yang engkau sarungkan ketika ini. Pakaianku hanya layak disarung oleh seorang hamba. Namun, aku berbangga kerana segalanya yang aku perolehi adalah dari tittik peluhku sebagai seorang peniaga buah-buahan. Ah, pastinya engkau sedang mentertawakanku ketika ini. Seorang gadis dari keluarga kaya kini menjadi penjaja buah-buahan. Aku hanya memetik buah-buahan yang tumbuh di sekitar pinggir hutan untuk dijual di sebuah pasar kecil di pekan berhampiran. Di sanalah aku banyak belajar tentang kehidupan. Pelbagai jenis manusia sudah kulihat, daripada yang miskin hinggalah yang kaya.

 

Cinderella,

 

Aku yakin api cintamu terhadap putera raja masih lagi membara di dalam hatimu. Manakan tidak, sang puteramu sememangnya seorang yang tampan. Bukan itu sahaja, kebaikan hatinya pasti membuatkan setiap gadis terpesona. Aku masih ingat lagi apabila engkau dan dia sanggup melepaskan kami bertiga dari hukuman gantung kerana telah berlaku kejam terhadapmu. Sekalung terima kasih aku ucapkan kepada kamu berdua. Aku mungkin tidak menemui atau tidak akan dapat menemui lagi lelaki setampan puteramu itu, tetapi aku sudah bertemu dengan putera hatiku yang sanggup menerima baik burukku. Oh, jangan salah sangka! Dia bukan putera raja bagi kerajaan besar. Dia hanya pembuat kasut yang sama-sama menjual hasilnya di pasar tempat aku berjualan. Sejujurnya aku mengakui dia tidak setampan putera rajamu itu. Dia hanya seorang lelaki biasa yang menyarungkan pakaian buruk sama seperti pakaianku juga. Benar, pada mulanya aku sangat benci melihatnya kerana bagiku dia tidak layak buatku. Aku layak mendapat lelaki yang lebih kaya dan tampan malah aku pernah berjanji pada diriku untuk mendapat lelaki yang lebih baik dari putera rajamu itu. Namun, jauh di sudut hati aku mengakui keikhlasannya untuk berkawan denganku. Menurutnya, dia berasa kasihan melihatku yang keseorangan tidak berteman dan dia mahu menjadi temanku. Pada mulanya aku menolak dengan sombong tetapi selepas berlakunya satu peristiwa, aku mulai sedar bahawa dia sememangnya seorang lelaki yang budiman.

 

Aku tidak menyangka peristiwa kakiku berdarah telah membuka mataku terhadapnya. Gara-gara tidak memakai alas kaki yang elok, kedua-dua belah kakiku terpijak duri tajam. Lelaki itu yang mengetahui kejadian tersebut segera membawaku berjumpa dengan tabib. Dia membawaku tinggal di pondoknya sehingga aku sembuh. Aku masih buta dengan kebaikannya pada masa itu sehinggalah aku sedar selama aku terlantar kesakitan dia telah bertungkus-lumus menyiapkan aku sepasang kasut agar kakiku tidak lagi mengalami kecederaan. Benar, dia tidak mampu menghasilkanku sepasang kasut kaca seperti mana yang engkau miliki. Namun, aku merasakan kasut itulah kasut yang paling cantik pernah aku lihat. Malang sekali, aku tidak dapat memakai kasut tersebut. Duri yang mencederakan kakiku terlalu bisa dan kakiku terpaksa dipotong agar bisanya tidak merebak keseluruhan badan. Keadaan ini menyebabkan pergerakanku terbatas, namun lelaki itu tidak sekali-kali meninggalkanku. Dia setia disampingku mengendongku ke mana sahaja. Aku hairan dengan sikapnya kerana selama ini aku bersikap kasar dengannya.

 

Pada suatu hari, aku bertanya kepadanya mengapa dia terlalu baik terhadapku. Jawapan yang diberikan telah membuatku menangis semahu-mahunya. Dia hanya menjawab, “Aku tahu engkau seorang gadis yang baik. Aku dapat melihat dari raut wajahmu. Aku menyukaimu dan berikan aku kesempatan, biarkan aku menjadi kakimu”. Suatu malam aku menangis lagi. Aku menangis sendirian. Bukan menangis kerana mengenangkan nasibku tidak sebaikmu, tetapi aku menangis syukur kerana aku ditemukan dengan manusia yang sangat murni hatinya. Semurni wajahnya. Kini aku yakin bahawa aku tidak keseorangan di dunia ini.

 

Cinderella,

 

Aku mungkin tidak secantikmu, aku mungkin tidak semewahmu namun aku sangat bahagia dengan kehidupanku kini. Aku ingin memohon maaf, berjuta maaf kepadamu kerana selama ini aku bersikap kasar kepadamu. Aku juga ingin berterima kasih kepadamu sekali lagi kerana sepanjang pemergianmu aku banyak belajar tentang kehidupan. Aku sangat merinduimu namun aku malu untuk bertemu denganmu. Aku memohon maaf sekali lagi jika surat ini mengganggumu. Aku berjanji ini merupakan surat pertama dan terakhir buatmu. Aku mendoakan agar engkau sentiasa dikurniakan kebahagian sehingga ke akhir hayat. Salam sayang dariku.

 

 

Yang sentiasa merindui,

 

Kakak tirimu.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wahhhh!!!! very nice... saya rasa macam surat ni bagi kat saya plak~ alahai.... hhehehe....
  • 2) dah lama Teja tak tulis surat...last tulis masa jawab soalan UPSR 1992....=)

    Kamalia, idea yang menarik & unik...
  • 3) uhum. unik!
    i like creative minds. hehe
  • 4) huhu...best.....
  • 5) baru baca.. hmm.. kreatif..imaginatif..

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia