Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

M01S04: Dua Dunia

 

 

Projek Cerpen Bersiri Tajaan Apun

Untuk siri sebelumnya, klik pautan di bawah:

M01S01 - Urusan Seri Paduka Baginda
M01S02 - Menyusuri Sungai Nil

M01S03 - Misteri Surat Kulit Kambing

---

 

Surat keempat ini ditemukan di dalam botol bersumbat gabus,
terdampar di celah terumbu Gold Coast.
Adapun bila dikaji tidaklah diketahui akan nama pengarangnya,
melainkan hanya hikayat kesucian empunya pena.

Dikatakan juga surat ini ditulis melalui firasat sufi,
sambil bertafakur di dalam perut platipus raksasa di lautan hindi.
Tiada gelaran diraja mahupun pangkat panglima penguat kredibiliti,
sekadar memenuhi amanah diberi,
... untuk bacaan bertema duniawi.


---

 

Mesir,
Zaman oneng-oneng yang masih belum mengenal formula pemecahan atom oleh Albert Einstein.

Sahibul hikayat, berita kematian Utusan Darat diRaja Mesir (UDRM) Sang Otaku Durjana akhirnya tiba ke pendengaran Firaun Remeses II. Maka galau dan nestapalah hati baginda akan mengetahui keadaan mayat si Otaku yang diperlakukan seperti jenayah perang kerajaan badwi Mongolia .

“Khabarkan pada beta wahai pembesar yang gemar mengipas dan mengusap punggung, gerangan manusia apakah yang sanggup menista jenazah utusan kerajaan sebegitu rupa?” Bingkas baginda sambil mencegil barisan menteri dan datuk panglima yang ada.

Permaisuri Nefertari, isteri beliau yang paling rupawan, paling ternama, bersemayam tanpa bicara. Amarah suami jangan diusik, kelak jawabnya beradu di luar bilik.

“Ini semua angkara Hang Qey Choh, puteri terbuang dari negeri China tuanku.” Sembah seorang pembesar memberi penjelasan. Kayu berukir tulisan cina yang diambil dari tempat jenayah dipertonton kepada Firaun Remeses II.

Maka diambil Haman, sang penasihat berkepala botak berperut boyot akan penanda kayu tersebut lalu dibelek-belek.

“Puteri negeri China ini sudah melampau. Mentang-mentang selama ini kita menutup sebelah mata, diberi betik mahu mangga pula.” Haman bernada bengis. Ditayang penanda kayu tersebut pada baginda, sambil jari menunjuk ukiran tertera.

Pembunuh kelas 1: PHQC
(^^)v.. pis!

“Ini tak boleh dibiarkan. Kita boikot barangan mereka tuanku!” Jerit seorang pembesar lain lalu disambut sorakan mereka yang ada. Bergegar balai rong istana akibat tempikan dan hentakan kaki.

“Sabar wahai pembesar sekalian. Sabar.” Firaun Remeses II melambaikan tangan untuk mereda. “Kurang enak rasanya kita hendak menuduh puteri negeri China. Mana mungkin dia berani membuat onar di negeri beta. Penanda sebegini bukannya cukup untuk dijadikan bukti.”

“Ah, tuanku. Selalunya perkara yang tidak jelas pun tuanku sudah menghukum tanpa usul periksa. Inikan pula yang sudah terpampang di depan mata.”

“Tidak, tidak. Bukan begitu.” Sempat baginda mengisyaratkan pengawal membawa pembesar yang berkata tadi untuk dipancung. “Firasat beta kuat mengatakan kejadian kali ini angkara orang lain. Hang Qey Choh itu tidak berupaya untuk membunuh, apalagi jika orang itu seorang utusan beta.”

“Tuanku jangan terlalu pasti, apa buktinya bukan dia yang melakukan?” Soal satu lagi suara. Kali ini pembesar wanita.

“Beta tahulah.” Bentak Firaun Remeses II.
“Seminggu ni beta ada bersama di rumahnya!” Marah baginda kerana katanya masih dipersoal. Mahu dipancung jugakahh?

“Eh, dinda.” Firaun Remeses II menekup mulut. Permaisuri Nefertari sudah muncung sehasta. Suara tadi milik permaisuri.

Beradu seminggu di sofalah jawabnya. Gertu baginda.

***

Kem Penyelidikan Sementara, Gua Merah.
Hari ini.

“Ada satu benda yang aku tak faham la Dujan.” Diya tak berkelip memandang kulit kambing kering bertulisan hieroglif di atas meja. Dahi berkerut.

“Beruntung la kau satu je tak faham, aku ada banyak yang tak faham dengan kes yang kita hadapi ni.” Dujan mengeluh. Dia sedang mengemas-ngemas fail dan kertas yang bersepah.

“Hish, kau lihatlah ni. Bukankah sepatutnya pengembaraan Daeng berlima berkisar di Mesir, mengapa tulisan kali ini mengatakan mereka mengembara di Nusantara? Apa jadi dengan misi mengguling Firaun?”

“Oh, tentang itu!” Dujan turut sama berkerut dahi. Terasa kebenaran persoalan yang dibangkit Diya. Harta karun, Matan Halban, Sultan Al Iadaindera, Gua Merah, semua kata kunci ini begitu misteri.

“Kalau kau tanya aku, aku rasa surat ketiga ini adalah pengakhiran kepada pengembaraan mereka. Di antara keduanya masih banyak kisah yang belum kita temu dan huraikan.”

“Masuk akal juga.” Diya redupkan mata. Berfikir. “Ah, apalah agaknya yang membuat mereka sampai terlanjur ke sini. Pasti ada sesuatu yang signifikan berlaku di waktu itu.” Dia cuba membayang.

“Heh, sudahla. Dah pukul 1 pagi pun. Aku nak masuk tidur dulu. Tak larat nak fikir lagi.” Dujan sudah bingkas. “Kau tu, bawaklah berehat juga. Masih banyak kerja untuk kita esok.”

Diya mengenyit mata. Senyum. “Nanti aku menyusul.”

***

Mesir,
Zaman oneng-oneng yang masih belum mengenal formula pemecahan atom oleh Albert Einstein.

Lewat malam itu, ketika Firaun Remeses II baru selesai menepuk-nepuk sofa - tempat peraduannya untuk seminggu akan datang, baginda didatangi seseorang.

“Seperti yang dijangka tuanku. Ini kerja Daeng berlima. Wanita berbuah halkum bersuara sengau di belakang kedai makan telah mengesahkan.” Garau kedengaran suara lembaga tersebut.

Al-kisah lembaga bersuara seperti Lord Sith ini namanya Panglima Mido, panglima terhandal kerajaan Mesir. Diceritakan penglipur bahawa panglima yang nama sebenarnya Hossam Hussein ini susuk tubuhnya tegap seperti kuda, wajahnya tampan bagai ditempa. Kehebatannya tersohor tak terkalah sesiapa.

Dia mempunyai jurus tendangan yang sangat digeruni, boleh menghancur hatta permata. Dari Roman, Viking hingga Andalusia, semuanya pernah merasa penangan panglima masyhur ini.

“Jadi, ke mana hala gerangan mereka sekarang?” Firaun Remeses II mengetap gigi. Dalam amarah, rasa gusar juga semakin menular. Ramalan tentang penggulingan baginda masih mengikut rencana. Ini tidak boleh dibiarkan!

“Juak-juak kita masih mengekori. Khabarnya kini sudah hampir di Nuwaybi. Masing-masing hanya menunggu arahan tuanku saja.”

“Baiklah, kerahkan sepasukan hulubalang elit beta menemanimu. Tak perlu ditangkap hidup-hidup, kau selesaikan saja mereka di sana. Lakukan di depan orang ramai. Biar lebih gah kegagahan empayar beta.”

“Menjunjung perintah tuanku.” Sebaik selesai menyembah, kelibat panglima itu hilang dibawa malam.

***

Kem Penyelidikan Sementara, Gua Merah.
Hari ini.

Diya sepukkan mukanya di meja. Terlepek di atas kulit kambing kering bertulisan hieroglif. Malam semakin larut. Siaran radio milik Encik Kanibal sudah lama tamat. Matanya kini sudah tidak mampu diangkat lagi.

“Huhh!”

Diya melepas keluh. Putus asa untuk menyambung tiga teka-teki dari enam belas surat yang telah ditemui pengkaji seluruh dunia. Mengapa Nusantara? Mengapa ke Semenanjung Emas ini? Apa sebenarnya yang terjadi?

Dia tiada jawapan.

Fikirannya kusut. Tepu dengan kerja, lesu dengan kantuk. Dalam saki kesedaran yang masih ada ini dia cuba membayang. Mengharap ilham muncul bagi menjawab persoalan.

Harta karun, Matan Halban, Sultan Al Iadaindera, Gua Merah, Firaun Remeses II, Daeng Berlima. Apa yang menghubungkan mereka?

Mata masih terpejam. Bibir sesekali mencebir.

Ramalan, pengkhianatan, penggulingan, pembunuhan. Bagaimana logik rakyat jelata mampu membunuh maharaja? Diya terus hanyut.

Entah kali ke berapa dia menguap besar. Liur yang terleleh sesekali disedut.

Tepat jam tiga pagi suasana jadi sepi. Tiada lagi pergerakan dari Diya. Malam umpama mati. Dan tulisan hieroglif bersinar sejenak.

***

Mesir,
Zaman oneng-oneng yang masih belum mengenal formula pemecahan atom oleh Albert Einstein.

Syahdan, maka tersebutlah pula kisah Daeng berlima yang tiba di kota Nuwaybi, Teluk Aqaba. Usai perjalanan yang memenatkan menyusuri Sungai Nil, menyeberang pula hingga ke timur Mesir, mereka sependapat untuk berehat di tebing bukit, meninjau kota pelabuhan ini.

Daeng Fauzol yang terpukau dengan pemandangan di situ lantas berlagu.

Buah kurma jatuh tercampak,
Terlekat di duri kaktus Sahara,
Teluk Aqaba kini dijejak,
Marilah melawat sambil belajar.

“Ey, ape daa melawat sambil belajar. Ini bukan zaman sekolah dahulu, menaiki rombongan unta ke Zoo Alexandria.” Tunjal Daeng Fathol dari belakang.

Meletus tawa kekanda Daeng yang lain. Terlantun-lantun gema suara pada batuan pergunungan Sinai di belakang mereka.

Bahtera-bahtera yang bersusun di pelabuhan sana membuatkan Daeng Fathol leka.
“Entah intuisi apa, naluri kanda kuat berbisik, di teluk ini bakal berlaku suatu peristiwa penting.”

“Peristiwa yang bagaimana itu kanda? Qarun mahu mewakafkan separuh hartanya untuk kebajikan rakyat jelatakah?” Daeng Fauzol di sebelah berkerut.

Cepat-cepat Daeng Fathol menggeleng. “Kalau Qarun mahu berbuat demikian, kandalah orang pertama yang akan mengembiri adinda kanda lalu diberi makan kepada anjing.”

“Ini hal lain. Hal yang lebih besar dari itu. Tapi kanda sendiri tiada menahu apakah peristiwanya.” Daeng Fathol kecilkan mata. Menyorot Laut Merah yang memisahkan mereka dengan Tanah Arab. Bayu laut yang bertiup ke arah tanah tinggi ini menampar-nampar muka.

Kemudian semena-mena Daeng Sentol bersuara.

“Eh, adakah hanya dinda sahaja, atau kanda sekalian turut mendengar apa yang dinda dengar.” Dia cuba mengamati. Daeng yang lain turut memasang telinga.

“Kanda rasa, kanda pun dengar apa dinda dengar. Bunyi seakan suara orang meratib.” Daeng yang tengah mengusul.

“Makhluk dari kalangan manusiakah yang meratib di puncak bukit sebegini?” Daeng yang angah sedikit gugup.

“Sumbernya di sebalik semak sana!” Daeng yang along pantas mengunjuk. “Mari!”

Perlahan-lahan mereka mendekati kawasan tersebut. Di sebalik semak, terdapat hamparan rumput yang menghijau. Di atas hamparan itulah satu lembaga sedang terkujur dalam diam, meracau dalam pejam.

“Daeng Fathol.. Daeng Fauzol.. Daeng Khairol.. Daeng Mentol.. Daeng Sentol..” Ratiban yang mereka sangka itu jelas hanya sebut-sebutan nama mereka sendiri.

“Bagaimana dia tahu nama kita berlima?” Daeng Fauzol semakin gusar. Rasa tidak enak membengkak dalam hati.

Daeng Fathol lantas mengambil sebatang kayu lalu dikuisnya badan lembaga tersebut.

“Otaku Durjana.. Firaun Rem—” Tusukan itu mengentikan racauan. Lembaga tadi mengangkat muka.

“Perempuan??” Daeng berlima terbeliak melihat susuk wanita di depan mereka.

“Siapa kamu berlima? Di mana aku sekarang?” Wanita bernama Diya itu dua kali lebih terbeliak dari mereka!

 

***


Sambungan ke M01S05: Tanah Hanyut oleh valium.

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Klasik

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) konon nak selit-selit unsur klasik sikit, tapi sangat tidak pandai mengklasikkan ayat. seperti nasihat jojo, takpe, setidaknya aku mencuba. haha.
  • 2) pecah gelak aku bile sampai part ni:

    “Tidak, tidak. Bukan begitu.” Sempat baginda mengisyaratkan pengawal membawa pembesar yang berkata tadi untuk dipancung.

    5 bintang ye. Ewah-ewah, dalam pada konon2 tak reti tulis karya klasik tu.. ewah-ewah
  • 3) waduh waduh bapak
    bisa buat gue jadi gawat ini
    bagaimana mau disambungin?
    =p

    tapi kelakar!
    hadoi
    smpai begitu skali cerita ni jadinya
    apsal firaun bengis tu takut kan isteri??
  • 4) alamak....back to past time ke ni.....?

  • (Penulis)
    5) jojo : takde yg ewah. cuba klik link paling atas aku letak tu (entri kau) dan baca. sure kau rasa ... oh okey. jauh jugak beza rupanya.

    valium : val kan paling wild idea. setakat sambung cerita camni. dua kali termenung di tandas, tiga kali berangan sebelum tidur, sure dah meletup2 idea nak keluar.

    teja : yes, balik ke zaman silam.
  • 6) 1. ceritanya sangat sangat kreatif. saya suka benda yg kreatif
    2. gaya ceritanya umpama membaca sirah nabi. hehehehe. bagus ade unsur dakwah di sebalik (errr paham ke maksud aku nih?)
    3. kelaka tak hengat. thank you kerana membesarkan semula mata sepetku di kala petang ini)
    4. penceritaan senang difahami dan tak terbelit belit.
    5. ermm ada masalah tatabahasa yang tidak nyata. tidak menagapa. nothing is perfect.
    6. certain penggunaan kata meng off penceritaan di zaman mesir itu. tak mengapa abg senior...tidak mencacatkan keseluruhan cerita.
    7. all the best la kepada tukang sambung
  • 7) makin best!
    cam back to the future lak..huhu..
    akan ku tunggu episod seterusnya... ;p

  • (Penulis)
    8) adik jr:
    itulah, perkataan yg off tu kononnya utk unsur satira. berbelah bagi juga nak memilih istilah yang sesuai utk tema yg campur aduk begini. tengs for the generous komen.

    pc:
    yg seterusnya adalah valium, si penulis yang imaginasi paling liar di dalam kapasitor. mari kita sama2 tunggu tulisan hangat beliau!
  • 9) agak blur kat sini.. link utk episod sblmnye kt atas tu apsl takleh pakai?

  • (Penulis)
    10) tengs for the alert pinky. dah dibetulkan.
  • 11) ok. baru paham jalan cerita ni. hahahaha.. lawak! teruskan usaha anda semua..
  • 12) hahahahhaha.... lawak betul... nice2... hehheheh.... sangat best la cerita ni... =p wiwiwiiwiw... waiting 4 val! chaiyyooookkkk!!!! =p
  • 13) adehh... ada sedikit tidak faham. mungkin kerana belum membaca episod2 sebelumnya. tetapi mmg kreatif, penggunaan bahasa yg rase2nye aku mmg confirm fail la bahasa2 klasik nih kan.. pstu sebut pulak peta2 geografi, dua kali fail. ada unsur2 sejarah lak tu, tiga kali fail. kesimpulannya, bukan calang2 org lah yg boleh menulis mcm nih. sekian dilaporkan dari bilik berita ntv7 yg telah direject interviewnya oleh encik penulis kita. *batuk*

  • (Penulis)
    14) dayya:
    tengs! hehe, mari lihat kehebatan val pulak pasni. smalam dia kata dia malas2. jum kita cucuk dia sampai lebam.

    NJay:
    ayat last tu buat aku rasa nak sumpit punggung kau. haha.
  • 15) haha...
    rasakanlah idea-idea jamban val

    minggu depan

    atau minggu seterusnya

    atau minggu seterusnya

    mungkin juga minggu yang selepas itu

    muahahhaa

  • (Penulis)
    16) hahaha kemon val. val kan hebat ;))
    (saje kasi lagi pressure :p)
  • 17) hahah best betul la bace.tergelak sakan..uuhuh..cerita2 sblum ni agak belit sikit tp abg berjaya smbungkan jd jelas n menarik..
    a'ah la si firaun tu bengis tp takut kan bini ke :p
  • 18) soalan:
    kenapa tiada sebarang komen dari isteri firaun bengis itu tentang perangai beliau yang kencing malam? (rujuk surat pertama!)

  • (Penulis)
    19) aimi:
    tengs, jadi jelas dan simple sebab tak pandai nak menulis klasik mengikut piawaiannya. ni cerita biasa yg diselit2 sket perkataan klasik. tu yg mudah difahami :p nilai estetika kurang la. hehe

    valium:
    perempuan ni, emosi dia sembilan, rasional dia satu. dalam konteks kekeluargaan dia tak kisah benda2 buruk pasal suami dia. dia dah suburkan emosi utk keluarga. tapi kalau hal perempuan lain, tu dah ganggu wilayah emosi. so dia akan marah.
  • 20) best, caha... serius best. semangat2. ;)
  • 21) salam..
    at last, kuar jugak citernye..best! 5 stars!!berjaya gak relate antr zmn dolu2 n skarang..gud luck 4 val!!

  • (Penulis)
    22) zu:
    sori pasal insiden lalu

    miszmextor:
    tu lah, mujur dijernihkan idea utk relatekan dua2 tu. good luck val!! (dah dgr idea awal val, mmg tiptop!)
  • 23) hahaha..nice2....even aku duk berkursus ni...sempat gak curi2 baca jap.....gudluck valium then....makin mencabar ni....have fun!!!!
  • 24) yerp. no problem... tanggungjawab aku dah lepas dah. itu yg terakhir from me. yg terakhir utk bebas berkreatif kat kapasitor nih. aih.

    good luck, val. all the best! :)

  • (Penulis)
    25) joni:
    ko kursus kat kerteh ke.

    zu:
    yes, val. all the best gak!
  • 26) wah!!! caha!!

    i lyke!

    mcm cite XX-Ray II..balik ke zaman lampau~~~ yeah yeahhhhh

    kamu mmg kreatif!! kagum~~ (smbil mata terkebil-kebil)
  • 27) tak nak komen banyak.. antara barisan penulis kegemaran saya di kapasitor... hoooyeah!
  • 28) hehe..baru bace...kena marah ke? :D
    caha ade off skit kali ni..mayb sebab kamu cuba campurkan bahasa klasik dengan bahasa moden, kadang2 jadi pening dan berbelit2.

  • (Penulis)
    29) syud:
    xxray II? omg, caha tgk citer tu kat wayang!!

    shaz:
    tengs, saya taram je. klasik bknlah cawan teh saya.

    fai:
    hehe takde hal bro.
    cuba-cuba aja.
  • 30) hehehhe.. good going bro!! hahaha.. great story build up!!
  • 31) hahaha..bes la korang nih~
  • 32) terimakasihlah..kerana sudi menjemput.sibuk sikit so lambat datang.Menarik ceritanya..akak ni peminat arkeologi so masuklah cite2 cam ni.memang kejap agak klasik kejap lari sikit but bagi akak..ia tidak mencacatkan mood. Variasi yang cantik.
  • 33) testing
  • 34) nice!
    teknik penceritaan cam yg dgunakan oleh Faisal Tehrani dalam 1515..
    tahniah2

Cerpen-cerpen lain nukilan cahatomic

Read all stories by cahatomic