Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

KEMBOJA UNTUK FAZIDAH

 

 

Senyummu. Tawamu. Tuturmu. Semuanya penuh erti dan penafsiran. Cuma aku yang seringkali buta untuk menilai dan memahaminya. Tuturmu terlalu mahal untuk aku langgani apatah lagi memilikinya. Hanya derai tawamu yang penuh ceria dan pengharapan itu mampu aku perolehi. Sepanjang ingatanku yang masih waras ini, tidak pernah sekali pun kau mengguris hati wajaku ini, malah saban waktu kaulah yang mencucurkan penawar ke atas kayap yang kadangkala menerobos ulu hatiku.

Aku masih ingat saat itu. Saat kita mula berkenalan. Kita hanyalah rakan sekerja yang saling memahami. Saat aku susah, kau yang pertama membantu, saat aku kesempitan, kau yang menghulur dan saat aku terlantar kesakitan, kau yang menyuap. Namun siapa yang membantu saat kau kesusahan, saat kau kesempitan dan saat kau kesakitan? Sebagai manusia biasa, aku seringkali lupa pada hati dan nurani seorang manusia yang lain.

Deja. Mungkin kau pernah mendengar nama itu. Malah aku tahu kau amat mengenali Deja. Itulah titik tolak cerita kita yang penuh warna. Cintaku pada Deja adalah cinta kasih seorang lelaki untuk seorang wanita. Kau hanya tersenyum tika aku meluahkannya. Senyummu itulah yang telah menenggelamkan seluruh perasaan dan penafsiran ke sudut yang paling jauh. Aku buta dan pekak dengan cinta dan emosi yang mula menjadi barah dalam hidupku. Aku mula leka dengan janji dan rayuan seorang kekasih.

Kau? Ya, dirimu semakin jauh aku tinggalkan. Segala baktimu seolah sudah aku langsaikan hutangnya. Bagiku kau tidak lebih sebagai penghalang cintaku yang kian bersinar. Aku lebih bimbangkan rasa cemburu hati Deja berbanding perasaan hatimu. Kita pernah berselisih saat tangan Deja aku genggam. Betapa murninya hatimu tatkala kau masih mampu tersenyum penuh ikhlas. Cuma aku yang seolah tidak mengenali wajah yang pernah menabur bakti. Maafkan aku atas kesombongan itu. Aku tinggalkan kau tercegat tanpa sapaan. Aku tahu hatimu menangis tetapi kau tidak mungkin mempamerkannya.

Hari lahirmu tiba tanpa aku endahkan. Aku tahu kau menyambutnya seolah-olah bersama denganku. Kau sediakan hidangan untuk kita walaupun kau tahu aku takkan hadir. Kau sudah tiada tempat di dalam hidupku yang sudah dipenuhi madu cinta Deja. Yang anehnya, tiada linangan air mata yang menemani kesunyianmu. Manusia apakah kau yang begitu kuat hatimu? Apakah sudah kering air matamu? 

Seksaanku tidak terhenti di situ. Aku langsung tidak menjengah saat kau terlantar kesakitan. Kata rakan-rakanmu, kau menderita sendirian tanpa dorongan. Lolongan sakitmu di malam hari hanya Tuhan yang mendengarnya, hanya Tuhan yang merawatnya. Tidak pula kau mengungkit saat menjengah aku yang kesakitan. Kau menangis melihat aku terlantar. Sedangkan Deja hilang entah kemana.

Deja pergi meninggalkan aku. Aku bagaikan hilang pedoman. Sauhku putus, layarku koyak. Aku bagaikan terkapai-kapai ditengah lautan yang amat bergelora. Kau adalah pelabuhan terdekat untuk aku menumpang kasih. Kaulah tempat aku melepaskan lelah. Kini aku sedari kaulah sahabat jatuh bangunku. Kau tidak pernah menyingkirkan aku dari hidupmu walaupun kau sudah lama aku singkirkan. Betapa sucinya hatimu. Aku seolah-olah menjilat ludah. Tahukah kau bahawa Deja menganggap aku mengutip bangkai yang aku bunuh sendiri. Betapa bencinya Deja padamu sedangkan daripada tingkahmu, aku tahu kau langsung tidak berprasangka pada Deja jauh sekali membencinya.

Sesekali aku terasa malu. Begitu mudahnya kau menerimaku kembali setelah puas hatimu aku sakiti. Secebis pun tidak ada ungkitan dari bibirmu. Kau begitu tulus menerima diriku. Ombak ganas menghempas pantai langsung tidak mampu merubah pasir hatimu. Hujan dan panas yang silih berganti sedikitpun tidak melunturkan sikapmu padaku yang sudah bertukar corak. Tiada dendam, tiada sesalan malah tiada sindiran yang menyambutku untuk kembali ke pangkuanmu. Aku seperti tidak percaya sedang berdepan seorang manusia yang pernah aku sakiti.

Kau tetap seperti dulu, seperti saat kita berkenalan. Cuma aku yang acuh tak acuh diburu rasa bersalah. Saban malam aku terfikir, layakkah aku dilayan sebegini rupa. Aku sendiri tidak tahu manusia jenis apakah aku ini sebenarnya. Bongkak? Sombong? Atau tidak mengenang budi? Kau pernah aku tanya, tidak menyesalkah berkawan denganku? Jawapanmu mudah dan menyenangkan.”Sahabat datang dan pergi. Yang datang ku sambut dengan senyuman. Yang pergi ku hantar dengan senyuman”. Itulah kau. Kata-katamu penuh bisa dan makna walaupun jarang sekali kau menuturkannya.

Semakin hari, kita semakin akrab. Hubungan kita makin erat. Di mana ada kau, maka di situlah ada aku. Keserasian kita makin nyata. Malah ada teman-teman yang mengusik kita umpama sepasang suami isteri. Aku hanya menafikannya kerana bagiku kau adalah sahabat karib yang tidak mungkin aku peristerikan. Namun kau hanya tersenyum. Senyuman yang sukar difahami sesiapa.

Malangnya badai datang lagi. Kali ini kunjungannya lebih kuat dan ganas. Aku buta sekali lagi. Wang dan harta menjadikan aku buta dan tuli.

Mimi. Wanita berharta yang penuh liuk lentok kewanitaanya cukup untuk merubah hatiku lagi. Jelas hatiku tidak sekuat hatimu menerima dugaan. Aku gelap mata dengan wang, harta dan cinta yang menyiramiku. Aku gagal menafikan betapa harta adalah segalanya di dunia fana ini. Kau aku tinggalkan kerana Mimi lebih berharta. Bagiku saat itu, kemewahan jiwa yang kau miliki tidak mampu membahagiakan aku. Betapa bodohnya aku saat itu. Baru saja ludahku dijilat, ku luahkan kembali demi secangkir madu yang dihulurkan.

Ku sangkakan kau akan meratap disakiti kali kedua. Namun jangkaanku tersasar jauh. Setitis air mata pun tidak kau alirkan malah kau masih mampu tersenyum. Ya Tuhan! Alangkah kuatnya hatimu. Benarlah katamu, “yang pergi ku hantar dengan senyuman”. Buat ke sekian kalinya, aku gores hatimu dengan menoleh tawar tatkala aku kau sapa di jalanan.

Pernah juga aku terfikir, kau sebagai sahabat dan Mimi sebagai kekasih aku layan seadilnya. Namun aku manusia biasa yang tidak mampu untuk berlaku adil. Aku tidak mahu Mimi mencurigai persahabatan kita. Aku lebih rela kehilangan kau yang bagiku tiada erti daripada Mimi yang amat bermakna dalam hidupku. Aku gagal untuk belajar daripada tragedi Deja kerana kali ini aku bukan saja tewas dengan cinta tetapi juga dengan kemewahan dunia sementara.

Bertahun aku melukakanmu, tidak pernah aku terfikir untuk memohon maaf darimu. Hinggalah ke saat ini, barulah aku sedari betapa berharganya kau dalam hidupku. Betapa sakitnya terasa kehilanganmu sedangkan kau sudah lama menderita kehilanganku. Aku terdengar bisik-bisik rakanmu bahawa selama ini kau memendam perasaan terhadap diriku. Ya Tuhan! Mengapa tidak kau luahkannya kepadaku? Mengapa kau pendamkannya sehingga ke saat ini? Di kesempatan ini, aku ingin memohon maaf atas segala dosa-dosa dan perbuatanku yang menyakitimu. Terpulang padamu untuk memaafkan aku kerana aku sememangnya tidak berhak menerima keampunan manusia sesuci dirimu. Setidak-tidaknya aku sudah belajar erti persahabatan yang sebenar-benarnya.

Hari ini, tika ini, saat ini aku sedar bahawa kau adalah anugerah Tuhan teristimewa untuk diriku walaupun aku abaikannya. Bersemadilah engkau dengan budi luhur dan jiwa sucimu bersama-sama jasad yang tertimbus menuju ke hadrat Tuhanmu. Sumpah! Aku tidak akan sia-siakanmu jika kau kembali dalam hidupku. Namun apakan daya. Insafku sudah terlewat. Tak mungkin kau akan kembali.

Fazidah, di atas pusaramu ini aku hanya mampu menaburkan kuntuman kemboja dengan iringan doa semoga kau berada dikalangan hamba-hambaNya yang dirahmati. Amin.

 

:pena hantu

:penang

:09072008 :1207hrs

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Persahabatan yang ikhlas akan kekal untuk selamanya. ;)
  • 2) ah sedih, ini cerita benar? kamu pencerita yang baik..

  • (Penulis)
    3) Sang hujan, ini bukan cerita benar. Cuma cerita yang dicipta.
  • 4) suka cerita ni (: kadang-kadang kita tak pandai menghargai benda yg ada didpn mata..bila cinta dh tiada, bodohnya kita mengejar cinta yg semakin hilang..
  • 5) =) terkesan~~

    perempuan jarang sekali menuturkan apa yang dirasakan olehnya..kompleks! tapi mereka diciptakan begitu lembut. tercipta dari tulang rusuk kiri Adam yang bengkok. Maka, Adam. Jadilah seseorang yang memimpin bukan yang dipimpin~

    kami adalah sebahagian dari kamu~
  • 6) eh rasanya dah komen ptg tadi. uwaa mana menghilang.
    1st posting cerpen anuwar. selamat menulis ya!

    syud : tulang saya banyak betul hilang. tahu tak apa maknanya? saya tak faham la.
  • 7) er..caha..maknanyer kamu ni alien! xnormal! wakakakka

    baek cek blk struktur dna dan darah~~;p
  • 8) argh....prmpn mmg susah nak luah kan perasaan kdg2....hanye memerhati dari jauh...
    pada sesetengah perempuan...melihat org yg disayangi bahagia dgn org laen yg disayangi lagi baik dari melihat lelaki itu dalam keadaan terpaksa menerima diri....menangis tiap2 malam pon tak per...janji lelaki tuh bahagie....arks.....sedey tol citer nih...

    sy suke!!!!:)
  • 9) >uNfaiR!!
    >sOrnG mnDeriTa n soRng bHgia??

Cerpen-cerpen lain nukilan anuwar

Read all stories by anuwar
No stories.