Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

M0107 - Sumpah Terlerai Sudah

  • 19
  • syud
  • 16 years ago
  • 4,331
  • FREE

 

~Sumpah Terlerai Sudah~

Siri 01 - Urusan Seri Paduka Baginda
Siri 02 - Menyusuri Sungai Nil
Siri 03 - Misteri Surat Kulit Kambing
Siri 04 - Dua Dunia
Siri 05 - Tanah Hanyut
Siri 06 - Tujuh Syarat

"Surat ketujuh dari enam belas surat ini adalah warkah hanyut yang dijumpai oleh seorang rupawan. Sedang warkah ketujuh ini menjadi wahana ceritera hikayat ini maka eloklah kiranya si pengutus melampiaskan akan warkah ini dalam sebotol kaca jernih yang umbang-ambingnya diatas dasar laut lalu mencecah ke gigi pantai.

Lagenda yang bermula dari Jauhari Albert yang dipercayai menjadi si pembawa onar ceritera hikayat ini adapun sudah dipasung oleh seorang manusia peri-peri yang bermata panda dan berlesung di kedua-dua pipi yang selayaknya dipanggil Pakanira Syuhada. Adapun mengikut sumber-sumber yang dipercayai, tidaklah Jauhari Albert itu seorang pembawa propaganda Roman yang keji melainkan hanyalah ingin membalas dendam semata-mata.

Adalah disahkan oleh Sirim bahawasanya Jauhari Albert adalah dari keturunan Otaku Durjana yang telah dibunuh oleh Daeng lima bersaudara. Mengikut hukum Mendel, kebersamaan keturunan ini telah diketahui daripada trait gemar menyepak yang diwarisi pada allele DNA keduanya sungguhpun mempunyai kadar peratusan yang sedikit cuma. Jauhari Albert dipercayai telah menjalani sesi kaunselling dan rehabilitasi dan dikhabarkan kini menjadi Kapten Keroro yang berjaya."



****

Tanah Hanyut, Atlantis di Nusantara

Pagi-pagi limun lagi Tunku Mahmud Seri sudah bangun dari peraduan. Usai solat dan adapun setelah Mak Tua menghadap, Tunku Mahmud Seri berlagu riang. Langkahnya diatur kemas menuju ke bilik peraduan bakal paduka ratu Tanah Hanyut. Ratu jiwa sanubari baginda sebaik sahaja sumpah itu ditamatkan. Diya, seharum namanya. Nama perawan sakti itu sungguh menerbitkan satu rasa dihati Tunku Mahmud Seri. Ada senyum kecil terbit di hujung bibir baginda.

Ingin dikhabarkan kepada Diya mengenai pesan Mak Tua bahawa kesemua barang yang dihajati sudah diketemu. Hendak meradung, tidak manis dipandang. Hendak terus menanti, tidak ketahuan sampai bila perawan itu akan hadir menjengah. Tunku Mahmud Seri terus bergurindam.

Aduhai perawan dari kayangan
Pinta manira di limbun hari
Kanda datang membawa pesan
Dari Mak Tua sudah kita temui

Tujuh syarat pinta perkenan
Tujuh hajat sudah diberi
Pada dinda kanda pohonkan
Ke peseban segera kita berdiri

Senyap sunyi. Tunku Mahmud Seri terdiam lalu ketukan bertalu-talu ditujahnya ke muka pintu kayu itu. Mahu mendugakah? Haruskah baginda meragang?. Di jendela, langsir masih meliang-liuk ditiup sang bayu pagi. Sedikit-sedikit, jendela kayu itu berkeriok bila sahaja ditolak angin. Lalu mundar-mandirlah baginda putera dengan seribu satu kebarangkalian bermain difikirannya. Gusar dihati bukan kepalang lalu dicubanya sekali lagi.

"Diya, dinda di dalam?." Tiada jawaban. Lalu bila dayang-dayang istana datang, baginda seraya meminta agar dayang-dayang menjengah ke dalam supaya menjenguk bakal paduka ratu agar kiranya gering dapatlah baginda memanggil tabib masuk mengadap. Gusar dihati baginda kian bercambah bila hanya gelengan menjadi madah bicara daripada dayang-dayang istana. Dengan segera baginda bertitah agar bakal paduka ratu dicari sampai ketemu. Sekonyong-konyong datanglah Daeng lima bersaudara melihatkan kekecohan yang berlaku. Hatta hingga ke dinihari Diya masih belum ditemui.

****

Kuala Lumpur

"This is ridiculous! Is this genuine? Siapalah pula yang buat lawak tak bertauliah ni?." Diya menggelengkan kepalanya berkali-kali. Matanya masih lagi tertancap pada kulit kambing yang baru diberikan oleh Cik Dujan kepadanya. Semua orang tahu Utopia cuma sebuah dongengan, tentang harapan, tentang kesempurnaan tapi segalanya mungkin Diya. Kau sendiri dah pergi ke Atlantis tapi betul ke aku tak bermimpi?. Otak Diya sarat menginterpretasi maklumat namun segalanya kian berkecamuk.

"Yeah,I think so too. Somebody is trying to fool us around." Dujan mencelah. Tiba-tiba dia teringatkan Encik Kanibal tapi itu tak mungkin. Apa motif dia? Menyusahkan hidup aku? Kalau nak menyusahkan baik tak payah beriya-iya suruh aku dengan Diya kaji!! Dujan separuh menjerit di dalam hati. Ikutkan hati mahu sahaja ditempelengnya kepala Encik Kanibal, Ketua Jabatan Arkeologi merangkap bosnya itu. Patutlah baik semacam je tapi betul ke dia yang buat?. Ish, tak baik main tuduh-tuduh.

Dujan menarik kerusi lalu duduk disebelah Diya. Kulit kambing itu bertukar tangan. Masing-masing terdiam.Kalau macam ni sampai bila-bila fakta sebenar pasal Daeng berlima ini takkan selesai.Keluh Dujan didalam hati. Diya masih berfikir. Menurut kata Cik Dujan, sehari sebelum tulisan Utopia itu timbul yang ada hanya perkataan Atlantis. Ini bermakna kejadian yang menimpanya sebelum ini bukanlah mimpi. Daeng Lima Bersaudara, Tunku Mahmud, Sumpah Tanah Hanyut. Ah,macam manalah agaknya mereka?. Diya gusar. Dia masih belum sempat membantu mereka atau sudahkah dia?.

****

Syahadan, sekian rakyat jelata serta sekalian mamanda menteri berkumpul di dalam peseban. Mendengarkan perkhabaran dari Tunku Mahmud Seri, hati baginda sultan serta baginda permainsuri menaruh percintaan. Galau yang bertambah membuatkan sekalian mereka bermuram durja. Baru sahaja mereka bersukacita dengan kehadiran perawan langit itu, tanda kerajaan Tanah Hanyut bakal mendapat pengganti bagi memegang tampuk pemerintahan.Baginda permainsuri rawan lalu diladungi air mata. Hujung lengan sutera dewangga buat pakaian diri ditariknya ke kelopak mata. Perlahan-lahan air mata dikesat. Bimbang kiranya baginda sultan dapat mengesan mendung yang berarak dijiwa.

Sudah lama mereka berhajat
hingga kini baru mendapat

Sudah lama menunggu pengganti
namun kini hilang yang dihajati


Baginda sultan langsung bingkas dari peterana lalu menghampiri Tunku Mahmud Seri yang masih tunduk memohon sembah.Lima Daeng bersaudara turut sama melutut dalam satu barisan dibelakang baginda putera. Maka tergeleng-gelenglah Sultan Tuanku Gombang Mahmud Dewa mendengarkan akan butir bicara yang terpacul dari mulut anakandanya itu. Baginda seraya bertitah.

"Tidaklah kita ini menjangkakan akan perkara sebegini terjadi. Tidaklah juga khilaf ayahanda untuk menghukum tanpa usul periksa. Maka anakanda, usahlah gusar atau khuatir kerna apa yang terjadi sudah pun terjadi. Pada anakanda, tidak sesekali ayahanda himpunkan salah." Serentak dengan itu,Tunku Mahmud Seri serta Daeng Berlima lantas terus berdiri. Hati Tunku Mahmud Seri dirundung rawan. Ke mana menghilangnya Diya??

Daeng Fauzol menjengah pandang ke arah saudara-saudaranya seraya berperi,

Wahai adinda Daeng berempat
Rupawan langit sudah menghilang
Kita-kita ini hidup merempat
Hendak menolong mahukah dibilang?

Daeng Mentol tersengih menampakkan giginya yang rongak dikerjakan dek Si Otaku Durjana yang telah selamat dikebumikan oleh konco-konco Firaun Remses II. Atas kebecokkan mulutnya itu, Daeng Mentol seperti biasa membalas,

Tidak terbalas tidak terbeli
Masih bernyawa jasa Mahmud Seri
Rupawan Diya cantik sekali
Entah ke mana menghilang diri

Kalau bukan kerana Tanah Hanyut
Sudah lama dibuat bini
Kalau bukan kerana Tunku Mahmud
Sudah lama ku bawa lari

Kesemua Daeng lantas tersenyum geli hati kecuali Daeng Sentol yang seperti adanya akan ketawa terkentut-kentut lalu mengeluarkan bau gas ammonia yang kurang enak dicium.

"Hish,tak senonoh!" Gertu Daeng Khairol yang berada disisi Daeng Sentol sambil menekup hidungnya dengan tangan kiri. Tiga puluh saat berlalu sebelum semua yang ada di peseban turut sama menekup hidung. Daeng Sentol masih bermuka puyu. Pura-pura tidak tahu tentang apa yang telah berlaku sambil turut sama menekup hidung.Berlakon.

Setelah semua yang ada mampu menarik nafas lega, menghirup oksigen tanpa perlu ditapis-tapis, baginda Sultan kembali bersemayam. Ada mata-mata yang sempat menjeling pandang ke arah Daeng Sentol.

"Apa tengok-tengok? Tak puas hati?." Omel Daeng Sentol tapi itu hanyalah monolog dalaman yang tidak akan terkeluar. Bimbang pula kalau-kalau didengari. Jika terbocor rahsia itu maka jatuhlah kredibiliti beliau sebagai tukang sepatu ternama. Lagipun, dengan badan berisi berjisim 120kg dan wajah yang tidaklah sekacak Fahrin Ahmad. Maka semakin tipislah peluangnya untuk menawan hati gadis-gadis sunti di Tanah Hanyut.

Mak Tua memecahkan keheningan peseban setelah tiada lagi bunyi kedengaran.

"Hello..hello..anybody home?." Maklumlah, dengan ketidakupayaan Mak Tua untuk melihat, mustahil sahaja si tua itu dapat mengetahui bahawa begitu ramai hadirnya orang. Nasib baik deria baunya masih tidak tercedera. Lantaran itu, insiden dua minit yang lalu turut sama membuatkan Mak Tua menyumpah seranah didalam hati.

"Err..Mak Tua. Kami masih disini. Dipersilakan." Baginda Sultan memberikan isyarat mata kepada dayang berdua yang berada disisi Mak Tua supaya memimpin orang tua itu ke tengah peseban. Maka terkedek-kedeklah kedua dayang itu bergerak. Tembel! Aku potong gaji karang baru tau!.

Mak Tua berdehem kecil. Sireh bercampur pinang serta kapur dikunyahnya perlahan-lahan. Dua kali mulutnya terkumat-kamit membaca mentera. Mak Tua seraya menelan sireh yang telah lumat diracik-racik giginya yang kuning bersekali dengan amilase.

Wahai sekalian rakyat Tanah Hanyut,
Firasat datang menjengah mimpi
Jangan bimbang janganlah takut
Sumpah keramat berakhirnya nanti

Adapun tujuh hajat dipinta
Tujuh segala macam diberi
Mengikut ramalan seruan kita
Kijang emas membawanya lari


Maka terlongolah sekalian yang ada tanda tidak memahami akan usul yang diperkatakan. Sesetengahnya pula cuma mengangguk kecil. Ada yang bertafakur bertapa lagaknya. Ada yang tersengih menggaru-garu bibir cuma. Mak Tua menghentak kayu meranti ditangan kirinya. Tanda isyarat mempersilakan tujuh yang terpilih masuk mengadap.

Lima pahlawan tegak berdiri
Kekar tubuhnya agam sekali
Dua srikandi ayu berseri
Dilawan jangan merana diri

Tujuh ramuan buat penawar
Menjadi kekuatan pendinding diri
Tujuh tempayan sudah diwar-war
Menjadi sumpah kuasa sakti


Semua yang ada tercengang-cengang. Daeng berlima sempat mencuri pandang pada dua srikandi terbilang itu. Menurut omel-omelan dari rakyat jelata yang hadir, dua bunga yang harum mekar itu, Orked dan Melur namanya. Maka bertolak-tolakkanlah Daeng berlima untuk melihat dengan lebih dekat dua perawan yang khabarnya cantik jelita itu. Belum sempat mereka mendekat. Lima bersaudara yang lain itu membuat bulatan. Mengepung adinda-adinda mereka dari pandangan.

"Ceh,kedekut!." Daeng Mentol mencela. Tangannya disilangkan rapat ke dada.

"Bajet heranlah sangat dengan adik-adik diorang tu, Bang Lang." Daeng Sentol separuh berbisik pada Daeng Khairol.Daeng Khairol seraya membalas.

"Dah memang rupawan. Takkan mahu dibiarkan mata keranjang dinda menceroboh suci?." Daeng Khairol tersenyum manakala Daeng yang bongsu itu mencebik cuma. Eleh,macamlah dia pun tak curi pandang. Berlagak suci konon.

****

Hari sudah tengah rembang, Daeng Mentol sudah lima kali mengeluh. Perjalanan ini bukanlah semudah yang disangka. Tujuh gunung, tujuh puncak, tujuh penjuru harus mereka tujui. Lain arah, lain makna. Jika dilanggar maka sumpah keramat bakal memakan diri. Sudahlah begitu, hanya kandanya yang sulung iaitu Daeng Fathol dikira bertuah kerana menjadi pembimbing Orked manakala Melur pula dibimbing oleh Tunku Mahmud Seri. Cis, aku juga yang kena ikut abang dia yang macam singa ni.

"Tu buat apa lagi tertembel-tembel kat belakang?." Damak separuh menjerit. Maka terketar-ketarlah Daeng Mentol mendengarkan suara singa itu bertempik. Badan Damak yang besar agam tidak memungkinkan Daeng Mentol untuk melawan.Cukuplah sudah peristiwa silam. Daeng Mentol tak mahu dirinya menjadi mangsa penganaiyaan si singa yang tidak bertauliah itu. Lainlah kalau kekanda-kekandanya ada bersama. Akan disulanya si singa itu buat sate santapan tengah hari.

"Er..hamba dah tak larat menunggang keldai ini. Apalah kiranya jika dapat kita bertukar ganti?." Daeng Mentol mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau Damak bermurah hati mahu memberikannya peluang merasa naik kijang emas itu.

Kijang emas itu tubuhnya besar teguh. Selayaknya lebih hebat dari seladang. Berbulu emas bertanduk satu. Mempunyai kepak layaknya terbang di angkasa biru. Daeng Mentol sendiri melihat dengan mata kepalanya bagaimana hebatnya kijang emas itu membelah awan. Pernah juga dia mendengar perkhabaran akan binatang seumpama itu dari Negara Yunani tapi kaitannya menjadi sebutan dengan dewa-dewi,namanya Pegasus anak kepada Dewi Medusa. Itu karutan semata-mata, mana pernah wujud dewa-dewi. Daeng Mentol tahu, tiada yang layak disembah melainkan yang Maha Esa.

"Hai,apa tuan hamba lupa ke yang dalam perjalanan ini hanya hamba yang layak berada diatasnya?." Damak tersenyum sinis.Sungguh walau dilihat dengan mata kasar, kelihatan aura-aura muncul dari badannya. Hebat sekali laksana cahaya membelah mentari. Itu kesannya setelah dia dan adik-beradiknya meminum penawar Mak Tua sebagai pelindung diri. Menurut firasat yang diperkukuhkan lagi dengan ramalan dari Jula-Juli Bintang Tujuh Mak Tua, tujuh beradik itu seharusnya berada di setiap tujuh penjuru Tanah Hanyut dan perjalanan ke sana wajib dengan menaiki kijang emas sakti. Dibekalkan setiap mereka itu satu jenis batu berlainan asalannya.

Dari puncak tujuh gunung, dengan mentera keramat, tujuh pancaran dari tujuh gunung akan memecahkan sumpah. Tanah Hanyut akan kembali bersatu. Itu usul Mak Tua dan untuk itu Daeng Berlima harus turut serta menggembleng tenaga turut membantu. Daeng Mentol mengeluh lagi. Bertambah penat kerana keldai tua itu tidak memungkinkannya melajukan perjalanan, malah dengan berputarnya waktu semakin perlahan keldai itu bergerak. Apa tak ada binatang lain ke nak dibaginya pada aku?

---

7.25 p.m, Waktu tempatan selaras diatas latitud garisan Khatulistiwa

Di ufuk Barat, dalam beberapa ketika lagi mega merah akan muncul di kaki langit. Hujan masih belum turun. Kelima-lima Daeng, Tunku Mahmud Seri serta tujuh beradik terpilih sudah tiba di tujuh puncak gunung. Pesan Mak Tua masih segar diingatan.

Harusnya hujan tika renyai
Dari tujuh penjuru puncak gunung
Harusnya sumpah akan terlerai
Dari tujuh batu bila bergabung

Masing-masing berdiri di tempat yang sudah ditetapkan oleh Mak Tua. Maka ketujuh-tujuh mereka terkumat-kamit mulutnya membaca mentera. Lentera dipasang sebagai penanda sebelum malam berlabuh dipinggir gunung. Seketika hujan turun berderai-derai bagai kaca jatuh terhempas ke bumi. Anehnya, sebaik sahaja mentera habis dibaca. Dari telapak tangan setiap mereka, terpancar cahaya dengan warna yang berbeza. Di tengah-tengah antara setiap penjuru gunung, cahaya-cahaya itu kemudiannya bergabung dan membentuk pelangi. Dari bahagian tengah itu juga, pelangi itu berbolak kembali ke arah tujuh penjuru gunung.

Tiba-tiba Tanah Hanyut bergegar. Mereka yang tegak berdiri rebah tersembam ke bumi. Lentera terpadam walau pun ada upih yang melindungi sumbunya dari derai renyai hujan.

****
Mesir Purbakala


Seteru angin deru berdesing
Seteru musuh datangnya berdiam


Tatkala Hossam Hussein atau lebih dikenali sebagai Panglima Mido bersama-sama kumpulan elit Firaun Remeses II menghadap sembah. Maka terbabanglah baginda mendengar perkhabaran yang dibawanya itu. Langsung terus terduduk di atas peterana bersalut emas dan berwajah kucing itu. Baginda mengurut-ngurut kepalanya yang berdenyut perlahan.

"Kurang ajar!Makin lama makin sulit jadinya. Berani Nusantara menjemput ajal tanpa dipinta?." Kakinya dihentakkan ke atas lantai. Panglima Mido sudah tegak berdiri. Tubuh kekarnya bisa meruntun hati sesiapa sahaja yang melihat. Yang lelaki cemburu-cemburuan, yang juwita jatuh pandangan. Namun dek kerana kegarangan serta reputasinya sebagai orang kuat Firaun. Maka tiadalah yang berani mendekat melainkan gundik-gundik Firaun cuma. Ah,itu habuannya kalau kamu orang kesayangan Firaun. Panglima Mido tersengih. Otaknya ligat membayangkan habuan yang bakal diterimanya sebaik sahaja lima Daeng berdebah itu berjaya dibunuh.

"Mido, kau bawa seberapa ramai angkatan yang kau perlukan. Malah jika berkehendak, gerau di dapur juga boleh kau angkut bersama. Kita gempur Nusantara! Biar mereka tahu siapa Remses!! HAHAHA..." Suara garau Firauan Remses II memecah hening pagi. Unta di luar istananya turut terbelalak, hampir-hampir memuntahkan isi perut dek kerana terkejut. Kaktus yang segar bugar hampir mengecut kerana takut. Oasis pula hampir kering dihirup kembali perut bumi. Mujur buah kurma terselamat dan tidak pula gugur menyembah tanah.

Lalu setelah perbincangan empat mata di antara mereka tamat, Panglima Mido serta konco-konconya mula bergerak ke Nusantara. Dengan Garuda yang layaknya hanya dalam dongengan, mereka kemudiannya membelah awan. Kibasan dari kedua sayap serta gegak gempita dari pekikan garuda itu sahaja mampu memekakkan kedua-dua belah telinga. Mujur sahaja tika haiwan tunggangan itu bertempik, Panglima Mido sudah berselindung dibalik bulu pelepahnya yang tebal lalu menenggelamkan bunyi-bunyian dari paruhnya yang tajam.

****

Diadakan keramaian tujuh hari tujuh malam lamanya sempena meraikan terlerainya sumpah yang mencengkam Tanah Hanyut. Sekian lama terasing dan berlayar bagai bahtera tanpa nakhoda, Tanah Hanyut kini kembali bersatu. Adapun letak duduknya akhirnya mengikut garis asalan. Maka tujuh beradik terpilih yang telah berjasa dikurniakan pangkat Kesatria Setia Di Raja (KSDR) manakala Daeng lima bersaudara diberikan pangkat Darjah Bakti serta taraf kerakyatan tetap untuk tinggal di Tanah Hanyut sampai bila-bila. Tersenyum senang hatilah kelima-lima Daeng hingga terlupa akan musuh yang bakal tiba tanpa mereka sedari.

Daeng Sentol yang sejak sekian harinya tidak menjamah makanan terus makan dengan lahapnya. Maklum sahaja setibanya mereka di istana, gelaran wira tidak mampu mengenyangkan peritoneumnya yang asyik diisi dengan ubi serta air embun sepanjang perjalanan ke tujuh gunung. Sudahlah tidak dapat mengiringi dua rupawan, terpaksa pula mengikut abangnya yang garang macam harimau. Daeng Sentol melirik pandang pada Daeng Mentol yang masih tidak mencuit. Aku tengah kebulur ni.Tak nak baklah sini.

"Bang Andak, kenapa tak makan?."Wajah Daeng Mentol masam mencuka. Bibirnya dijuihkan ke arah Daeng yang sulung serta Tunku Mahmud Seri. Kelihatan Daeng Fathol sedang mengusik Orked yang tersipu-sipu malu cuma Tunku Mahmud Seri yang diam membatu. Sepatah di tanya Melur, sepatah jualah yang dijawab oleh baginda putera. Daeng Mentol masih berkira-kira didalam hati. Memasang niat mahu menyapa Melur. Mana aci Along je dapat mengayat! Lagipun Tunku Mahmud macam tak ada feel je dekat si Melur tu.

Daeng Sentol ketawa geli hati. Kali ini ditahannya agar tiada lagi gas terkeluar. Sedang menjamah, lagi-lagi di tengah keramaian tak elok pula jika insiden lalu berulang lagi. Tak mahu dia menempa nama sebagai Jejaka Kuat Kentut. Rindu menjengah dihati untuk berperi. Maklum sahaja,sudah lama mereka berkembara agar Tanah Hanyut bersatu kembali. Daeng Sentol berdehem perlahan lalu mula melantunkan suaranya. Testing.. 1 2 3

Sudah selesai mendapat gelaran
Mari kita mencekik bersama
Wahai kekanda bermuram jangan
Bunga bukan sekuntum cuma

Siapa tak hendak si cantik rupawan
Orangnya lawa berkulit mulus
Tapi abangnya harimau seakan
Menerkam dinda tak putus-putus

Maka pecahlah perut ketiga-tiga Daeng ketawa mendengarkan peri Daeng Sentol memandangkan memang ada benarnya gurindam itu. Serentak itu juga Daeng Mentol terpandangkan Damak yang sedang tersenyum sinis ke arahnya. Dirinya terasa kecil. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja ditambangkan si singa itu ke dinding atau ditikam-tikamnya sebagaimana yang telah dilakukannya terhadap Otaku Durjana. Tidak berguna juga adinda-adinda mereka cantik jelitawan kalau kekanda-kekandanya garang macam haiwan.

Sedang asyik mereka menjamah, kawasan diluar istana yang tadinya meriah tiba-tiba menjadi senyap. Orang ramai berhenti berlibur tatkala terpandangkan seangkatan tentera yang menunggang garuda di awangan. Ada yang pekak lalu pengsan bila sahaja sang garuda bertempik.Maka bertempiaranlah mereka lari menyelamatkan diri sebaik sahaja garuda yang besarnya melitupi seluruh awan mendarat ke tanah. Gegak gempita seluruh Tanah Hanyut lalu kekecohan semakin menjadi-jadi. Maka menjerit-jeritlah sekalian rakyat jelata Tanah Hanyut.

Tunku Mahmud Seri lantas terus berlari ke luar diikuti oleh Daeng Lima bersaudara. Kesatria Setia DiRaja (KSDR) turut mengekori. Baginda Sultan yang sedari tadi tersenyum bersama baginda permainsuri melangkah ke luar istana. Terus sahaja senyum yang terukir bertukar menjadi masam.Musibah apakah pula yang melanda setelah baru sahaja Tanah Hanyut terlerai dari cengkaman sumpah?. Hatinya berdetak cemas. Tiada pula dalam ramalan Mak Tua tentang perkara sebegini rupa akan berlaku.

Panglima Mido mencecahkan kakinya ke tanah. Di kuisnya tanah lembut dihujung kaki. Tak sama rasanya dengan tanah di Gurun Sahara. Matanya mencerlung. Memandang ke kiri dan ke kanan sebelum tertancap ke arah lima Daeng bersaudara. Tunku Mahmud Seri lantas memandang ke belakang. Sama arah dengan yang ditujui oleh ekor mata Panglima Mido.

"Sudah beta katakan. Apa yang ditakuti akhirnya benar-benar terjadi." Tunku Mahmud Seri menggeleng-geleng kesal. Tiba-tiba hatinya teringatkan Diya. Rindu semakin kuat mencengkam. Entah ke mana perawan itu menghilang. Mungkin hadirnya cuma untuk membantu Tanah Hanyut, bukan menjadi suri hidupku. Tunku Mahmud Seri mengetap bibirnya geram. Baginda putera menapak selangkah ke hadapan seraya bertempik.

"Wahai Panglima Mido Utusan Firaun, gerangan apakah yang menuntut tuan hamba datang ke mari?." Tunku Mahmud Seri memegang erat keris yang disisip kemas dipinggang. Pantang menyerah sebelum ajal. Daeng Lima bersaudara turut sama melangkah ke hadapan. Daeng Mentol sempat menjeling pandang ke arah Melur sebelum matanya kembali menghadap hadapan. Eish,sempat aja Abang Andak ni. Getus Daeng Sentol di dalam hati.

Panglima Mido ketawa terbahak-bahak. Tanah Hanyut terlalu kecil pada pandangan matanya. Hanya dengan sekali serang, Tanah Hanyut akan hancur menjadi debu yang berterbangan. Seraya Hossam Hussein berperi,

Perintah Firaun disanggah jangan
Kelak merana memakan diri
Tanah hanyut tidak kuberkenan
Hanya meminta Daeng diberi

Cara berdiplomasi adalah lebih baik. Panglima Mido tidak ingin dikatakan dayus, cuma mampu menyerang negara sekecil-kecil alam walhal Tanah Hanyut kelihatannya sudah tidak seperti sebelumnya. Apa sudah bebas dari sumpahankah?. Hatinya tertanya-tanya.

Tunku Mahmud Seri seraya bersabda,

Tanah Hanyut dimakan sumpah
Baru kini sudah terlerai
Kami ingin mengikut perintah
Biar sebentar kita berdamai

Maka berguling-gulinglah Panglima Mido berserta konco-konconya sambil ketawa lucu. Tahulah bahawasanya Tunku Mahmud Seri sedia menyerahkan Daeng berlima. Bagus! Senang kerja aku. Tak perlu guna tujuh senjata merepek si El-Mursyito tu.

"Daeng lima bersaudara. Telah beta khabarkan sejak dari mula, beta tidak mahu negara beta menjadi galang ganti pertelingkahan Daeng-Daeng semua dengan Firauan Remses II. Sungguhpun kamu-kamu telah berbakti, Beta pohon, selamatkanlah kerajaan beta ini." Tunku Mahmud Seri separuh merayu. Sekiranya hanya diri ini yang dikehendaki, mahu sahaja dia memberikan sepenuh nyawanya pada Panglima Mido. Jasa Daeng berlima pada Tanah Hanyut tidak terbalas namun apa dayanya. Yang dikehendaki bukanlah empunya diri melainkan tetap Daeng berlima itu jua.

Baginda putera bisa membidik dengan sekali cuma lalu menumbangkan berpuluh-puluh orang lasykar biasa Firaun tetapi tidak pasukan elitnya yang nyata sekali terdiri dari mereka yang handal-handal serta tangkas belaka. Busur panah ini mungkin sahaja mampu menumbangkan mereka tetapi tidak kesemuanya. Apatah lagi mereka kini di Tanah Hanyut, baginda tidak mahu nyawa rakyat jelata jadi taruhan dan negara kelak menjadi hancur binasa.

Orked menatap wajah Daeng Fathol dalam-dalam. Daeng Fathol tersenyum tawar. Perlahan-lahan dia mengangguk. Lalu berkata;

Jasa bakti seikhlas hati
Dagang kami dagang merempat
Sudah datang terpaksa pergi
Daeng berlima mari berpakat

Daeng Fauzol membentak marah. Oh,mentang-mentanglah awek suruh.Laju je menyerah.

Penat berlari meninggalkan Mesir
Hingga terkandas di Tanah Hanyut
Jangan kanda membuat dalih
Takkan menyerah mahu dibunuh?

"Gila agaknya Along ni. Nak dikerat Firaun gamaknya." Daeng Khairol berbisik pada Daeng Mentol dan Daeng Sentol yang tergangguk-angguk membenarkan kata-katanya.

"Dengar sini adindaku semua. Kekanda tidak berkehendak angkara kita Tanah Hanyut yang baru bahagia lesap menjadi padang jarak padang terkukur." Keempat-empat Daeng berpandangan, turut sama bersetuju. Daeng Fathol menarik kesemua Daeng-Daeng lalu berbisik perlahan.

"Along pun tak nak mati. Nanti kita carilah akal untuk cabut lari. Sekarang, kita kena tinggalkan Tanah Hanyut." Daeng Fathol menyambung lagi.

"Dengan lari masuk ke mulut naga?." Daeng Khairol membidas. Dulu dah dikatanya jangan dibunuh Si Otaku Durjana. Daeng yang lain memang degil!

"Kita tak ada pilihan. Kalau korang tak hendak, lantaklah. Along nak pergi. Tak nak tak pasal-pasal dituduh pembawa sial pada Tanah Hanyut." Daeng Fathol terus membuka langkah menuju ke arah Panglima Mido. Ceh, tunjuk hero pula Along ni. Mulut Daeng Mentol terus herot ke kiri.

Keempat-empat Daeng berpandangan sebelum turut sama mengatur langkah mengikut Daeng yang sulung itu. Kalau tinggal pun mahu sahaja dimaki rakyat Tanah Hanyut. Inilah nasib diri,

Bila berjasa dijulang-julang
Bila musibah dikeji orang

Panglima Mido tersengih puas. Selesai mengikat kesemua Daeng dipundak garudanya, Panglima Mido serta konco-konconya hilang ditelan awan. Meninggalkan serata rakyat jelata Tanah Hanyut dengan seribu satu pertanyaan. Tunku Mahmud Seri tunduk memandang ke tanah. Sesal bertandang dihati.Dirinya terasa leta dan lemah tidak berdaya "Maafkan beta sahabat."

Hatta, Melur datang menghampiri dengan harapan agar kemasyghulan baginda putera itu dapatlah dikaburkan walau sebentar cuma. Tangannya menggenggam tangan kanan milik Tunku Mahmud Seri, tersenyum lalu memberikan seberkas harapan. Tunku Mahmud Seri membalas dengan senyum bersulam gundah.

****
Kuala Lumpur

Kulit kambing tercampak diatas meja kayu kedai itu. Encik Kanibal membentak marah.

"Bodoh! Kerja senang pun awak tak boleh buat?." Marahnya bukan kepalang. Niat dihati mahu sahaja dimusnahkan karier Dujan. Atas sebab itulah dia mengupah tukang tulis kedai itu untuk menulis tulisan Hieroglif diatas kulit kambing bagi menggantikan yang asal. Sengaja hendak dikelirukan Dujan dengan fakta songsang. Semua orang tahu Utopia itu hanya sebuah teori kesempurnaan yang dicipta oleh Plato. Tiap huruf Hieroglif itu dikaji dengan teliti bagi membentuk perkataan UTOPIA. Pengakhirannya, Dujan dan Diya merempuh masuk ke dalam pejabatnya setelah terjumpa pen parker miliknya yang terjatuh ke atas lantai waktu dia cuba menggantikan kulit kambing yang asal dengan yang palsu.

"You're so pathethic, Encik Kanibal. How could you do this to me?." Dujan membentak marah. Kalau diikutkan amarahnya, mahu sahaja diterajangnya perut Encik Kanibal. Biar terkeluar semua isi-isi.

"Err..apa ni Dujan? Tiba-tiba rempuh bilik saya?." Encik Kanibal cuba berselindung. Macam mana diorang tahu ni?

Dujan mencampakkan pen Parker miliknya ke atas meja. Hampir sahaja pen itu terpelanting mengenai batang hidung Encik Kanibal. Dia mati akal. Tak sangka secepat ini helahnya terbongkar. Dia cemburu. Cemburu pada Dujan. Lebih-lebih lagi apabila mendengar khabar bahawa tak lama lagi Dujan akan menggantikan tempatnya walhal dia masih belum lagi mahu bersara!

"That is your Parker pen. Lagipun, kulit kambing tu rasanya terlalu berbeza dengan yang asal. You have to bare this in mind, I'm the master of artifacts!." Dujan berlalu pergi bersama Diya yang mencebik geram. Tangan Diya sempat mencapai kulit kambing yang asal. Dah tua-tua pun nak buat perangai. Ngek!

Pekedai itu terbatuk kecil lalu memecahkan lamunan Encik Kanibal. Dia menekan cash register sebelum mengeluarkan kembali beberapa keping note berwarna biru.

"Kan saya dah kata dari haritu. Kulit kambing lama lain rasanya dari yang baru. Lagi-lagi kulit yang dah beratus-ratus tahun lamanya. Lagipun, encik suruh saya buat tulisan yang apa namanya Hirokif..Hirotif..err.." Pekedai itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Cuba mengingati nama tulisan itu.

"Hieroglif.Ah,sudahlah. Banyak alasan pulak.Bak sini balik duit aku tu!." Encik Kanibal merentap kasar lalu menghilang sebaik sahaja pintu kedai itu dihempas. Ko ingat aku orang zaman batu?. Pekedai itu mengomel di dalam hati.

Bersambung....

Fakta menarik!

Atlantis dan Utopia adalah mitos yang dicipta oleh Plato bagi membenarkan teori politiknya. Dikatakan Utopia merupakan perumpamaan masyarakat ideal dimana Ou (tempat)- Topia (bagus). Boleh dikatakan Utopia itu sebuah tempat yang wujud sempurna tanpa sebarang cacat cela. Atlantis pula adalah sebuah kepulauan yang tenggelam dalam satu malam selepas dilanda gempa bumi dan banjir yang dahsyat yang kemudiannya hilang tanpa dapat dikesan lagi. Salah satu hipotesis lokasi Atlantis menyebut sebahagian Kepulauan Sunda ataupun kita kenali sebagai Malaysia'
- Sumber: Wikipedia

Nota kaki:
Semasa menulis, Syud fokus utk mudahkan kembali cerita. Maka mana yang agak radikal tu adalah disengajakan setelah berfikiran panjang dan atas nasihat Caha.

Rujukan:
Anak Bumi Tercinta (KOMSAS F3)- Prosa Tradisional.
Enam cerpen bersiri sebelumnya.
Buku Pertabalan Seri Paduka Baginda YDP Agong XII (2002)

Glossari:

wahana - saluran atau perantaraan lampias - lepas pakanira - tuan, engkau radung/ragang - rempuh manira - aku, kita peseban - balai tempat menghadap menaruh percintaan - berperasaan berdukacita sutera dewangga - kain sutera yang bercorak indah-indah ladung - basah agam - besar/tegap lentera - pelita babang - nganga gerau - tukang masak istana lasykar - askar tambang - baling
leta - hina/keji masyghul - bersedih





Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Klasik

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) err..ya Allah..panjang..merepek dan meraban! huhu..ampunkanlah syuhada dan segala tulisan karut mengarut ni..

    dah tak larat nak perap dah..perap pun tak jadi tapai gak..hoho..sorry sebab tak sehebat mereka-mereka sebelumnya..
  • 2) huhuhu...mmg panjang syud.. tak larat nk baca, tp nevermind.. nnti sy baca bila ada masa lapang yang kosong... hehehehe...
    tahniah kerana anda berjaya menyudahkannya.
    (bila giliran beta nanti, nmpak gamaknya kena betul2 fokus...)
  • 3) fuh abis gak bace. seronok! :) keep up the good work guys. chaiyuk, chaiyuk q(^-^)p
  • 4) syud
    panjang pun panjanglah, at least perkembangan ceritanya besar
    bagus jugak awak mempermudahkan cerita
    macam mana lagi pun nak ditwistkan
    saya suka la bahasa awak
    cantik
    =)

  • (Penulis)
    5) shaz: hoho..betul shaz..sila fokus.jenuh jugaklah mengekstrak segala cite sebelum ni. =)

    night: hehe..glad it made u feel good~

    val: aaa..mekasih.sy pun suka gak tulisan awk val, superb! ;)
  • 6) ah best giler. huhu... kemas tersusun ayat. plot cantik.

    tak reti nak komen detail psl cerpen. apa yang pasti, bila baca mmg terasa rendah diri sikit. sebab idea kool. nampak effort tuh. cayalah syud! :D. penulis2 yang lain pun best gak.

    so selamat menulis tuk seme eh! :D
  • 7) wow! nice lah syud. seriously! hehehhehe.
    pandai syud justfikasikan perbuatan en kanibal. tulisan pun ada effort, baru caha tahu gerau tu apa. penting tu gerau tu. kalau caha duduk istana 1 day, tanpa gerau, siapalah caha.

    pesan dengan daeng khairol tu, kalau nak berlagak je s**i. baik tak payah. cuba hayati betul-betul sifat tu macam yang tgh bercakap ni. kohkohkoh!

    mido ni makin lama macam makin tak terkalah bunyinya. ampuh benar ilmu dan skuadron yang membentuk armada di samping. kemon daeenggg.

    dari segi humornya, saya suka cerita ini. tapi mereka yang mementingkan feel klasik akan terasa dengan kecacamerbaan tema. nah, kita tak boleh puaskan hati semua orang ;)

    kudos syud! keperitan anda mengekstrak dan alignkan balik jalan cerita amat saya fahami. tahniah kerana berjaya menterjemahkan semua tu dalam hasilan sebegini.
  • 8) syud..sorry teja baru baca suku...tetiba dgr tup tap tup tap bunyik kasut bos masuk office...nnt teja baca lg...but so far very nice..tak sabar nak smbung baca...

  • (Penulis)
    9) rain: tengs kak zu! oh,idea yang jenuh diperah-perah..huhuu ;)

    caha: aa..tanpa gerau siapalah caha kan3?? nnti selim melim bukanlah cahatomic lagi namanya..;p have to agree with caha, kemonn daeng2!! Mido laknat itu harus diajarrrrinnn..

    teja: aha..tape teja..take ur time..hope teja will enjoy the story~~ ;)

  • 10) hehhehe.. best! 5 stars =)
  • 11) hahahhaha..... nih mesti gie meyelongkar buku² kat library... abih semua rak dipanjatnyer.. hehehe... nak bagi lebih juga tapi takleh, so 5 stary stars for ya!

  • (Penulis)
    12) dayya & rea: tq~~ ;) xde ah smpi selongkar library..sbb tade library pon..*sengih*
  • 13) aduh..x sempat abes bace jugak..nnt smbg..hehe..
    maaf di atas ketidaksempurnaan diri ini utk fokus..
    rse cam kne print bru leh fokus bace nih..;p
  • 14) sungguh kejam saya, baru hari ni nak membaca :(

    1. setuju dgn caha.
    2. menggarap ilmu biologi dalam tulisan klasik seolah2 memberi nafas baru dalam penulisan moden. menarik! kalo ada yang mahu mencuba sesuatu spt ini, sile jadikan syuhada sbg reference utama

    syabas!

  • (Penulis)
    15) eme: huhu..takpe.syud phm.pnjg jela-jela.penat nk baca ;)

    jojo: hoho.kapten keroro..byk mane jela istilah bio yg kuar..sy budak maseh belajar..bertatih pun masih terjatuh~ apepun, trimas!
  • 16) cerita ni makin mudah difahami...heheh..bes syud kerana semakin meringankan otak...eheheh

  • (Penulis)
    17) hehe..tq saf..tgh menunggu org menyambung..haihh..entah bilalah~~~
  • 18) nice..baru baca je....sambungan please!!!!
  • 19) huhu..menangis gue..

Cerpen-cerpen lain nukilan syud

Read all stories by syud