Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Celoteh Mama 2 (Fragmen Karya)

 

            Kereta Mama bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan taman perumahan. Mama tolak kaset ke dalam ruang radio. Bergema suara sayu Ustaz Badrul Amin melagukan rangkaian doa Ma'thurat. Mama memang sengaja simpan pelbagai kaset doa dan bacaan Al-Quran dalam kereta. Jadi, masa kosong Mama boleh diisi dengan dendangan yang sentiasa mengingatkan Mama kepada Allah. Sementelahan Mama kerap bertolak awal pagi dari rumah. Lewat petang baru wajah letih Mama muncul di depan pintu. Kesibukan kerap menghambat Mama. Jalan raya pun kian hari kian sesak.

           Bukan Mama tak nak dengar program-program di radio. Mama selalu juga pasang radio untuk dengar maklumat-maklumat terkini mengenai perkembangan semasa. Tapi Mama cepat bosan. Dengar saluran yang ini, hanya lagu-lagu dan muzik sahaja yang bergema. Pilih pula saluran itu, bingit pula telinga Mama mendengar gelak ketawa dan gurau senda yang kosong tanpa fakta. Kalau sedang menghadap hidangan, Mama anggap seperti mengunyah angin sahaja.

            Dulu Mama suka dengar Radio Satu sebab banyak pengetahuan yang Mama perolehi. Mama boleh belajar fasal Teknologi Maklumat. Mama boleh belajar mengenai bahasa dan sastera. Mama memang minat belajar bahasa dan sastera. Mama yakin anak-anak perlu diterapkan minat untuk mendalami seni tinggi di samping pendedahan sains dan teknologi. Mama sedih tengok ramai golongan yang dianggap cerdik dan intelek tetapi masih tergelincir terlibat dengan jenayah kolar putih. Mama minta Allah lindungi anak-anak Mama dari digoda debu dunia seperti itu.

         Mama tersenyum sendiri. Fatihah sudah mula belajar menulis secara kreatif walaupun masih merangkak-rangkak. Semalam Fatihah tunjukkan Mama puisi yang dihasilkannya mengenai aktiviti hariannya. Mama gelak besar sehingga menampakkan baris-baris gigi putih Mama. Namun, hati Mama diserkup bunga-bunga ria. Mama ingin Fatihah mengaktifkan kemahiran kreatifnya dari peringkat awal. Biar Fatihah mampu menangani cabaran kehidupan dengan kekuatan kedua-dua bahagian otaknya. Mama teringat dengan cerita sedih anak genius yang akhirnya terperangkap dalam jaringan kehidupan yang mengaibkan. Mama memang gembira seandainya anak-anak Mama berjaya dalam semua bidang kehidupan tetapi biarlah seimbang dengan pembangunan moral dan akhlak.

          Kereta Mama mula bergerak menuju ke jalan utama. Dari jauh Mama nampak simpang tiga. Mama pasang lampu isyarat membelok ke kanan. Kaki Mama cekatan menekan klac dan brek. Mata Mama melingas ke kiri dan ke kanan. Tiada sebarang kereta datang dari arah kiri. Mama masuk gear satu dan tekan minyak. Tangan Mama memutar stering ke kanan dan kereta mula masuk ke jalan utama. Sekilas lensa mata Mama menerpa ke kawasan sekolah yang di huni oleh bangunan-bangunan agam dan lanskap yang segar. Mama sudah berbincang dengan Abah untuk menghantar Fatihah belajar di situ. Tahun hadapan anak sulung Mama akan masuk Tahun Satu. Pasti anak Mama tidak akan menghadapi banyak masalah bersekolah berdekatan dengan rumah.

           Mama tak nak kesukaran yang Mama lalui semasa kecil dirasai anak-anak Mama. Mama tak nak anak-anak berjalan kaki ke sekolah yang jauhnya hampir empat kilometer dari rumah. Mama juga tak nak anak-anak meredah air pasang setiap kali musim air pasang besar. Mama pernah mengalami semua kesukaran itu. Mama pernah pergi ke sekolah didokong ayah Mama kerana air pasang paras dada Mama yang berumur tujuh tahun. Mama juga pernah turun ke sekolah seawal pukul lima pagi kerana ayah Mama bekerja malam dan tak dapat dokong Mama ke hujung kampung.

          Tiba-tiba Mama rasa sebak. Bibir mata Mama terasa lembap. Mama kerdip-kerdip mata yang pedih seolah-olah dimasuki debu. Mama cepat-cepat seka saki-baki air mata dengan belakang telapak tangan Mama. Mama akur dengan kepayahan Mama semasa kecil. Kerana kesukaran itulah Mama berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Walaupun Mama tak mahu anak-anak Mama dibelenggu kepayahan hidup, namun Mama juga selalu berharap anak-anak Mama tidak leka dengan keselesaan yang dinikmati. Mama sentiasa berharap anak-anak Mama bersyukur dengan nikmat kehidupan. Biar anak-anak Mama memahami kepayahan yang ditanggung golongan yang kurang bernasib baik.

          Perhatian Mama ditumpukan ke depan. Kereta Mama menghampiri kawasan bulatan beriring dengan kenderaan-kenderaan lain yang juga berjejal-jejal hendak tiba ke destinasi masing-masing. Di hadapan Mama sebuah kereta merah hati bergerak perlahan-lahan. Mama iring dengan berhati-hati. Mama arif bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan jalan raya yang sibuk begitu.

          Tiba-tiba Mama tersentak. Kereta merah hati di hadapan Mama berhenti mengejut. Mama cepat-cepat tekan brek.

 

(bersambung)

            

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak2..
  • 2) karya yang memberi santapan rohani yg baik :) bagus sekali tulisan ummufatiha. saya suka.

  • (Penulis)
    3) Semua kita pastinya anak-anak kepada sepasang ibu bapa dan pastinya semua ibu bapa mengharapkan terbaik untuk anak-anaknya. Semoga tulisan ini memberi manfaat walaupun sedikit... :)
    Tapi akak sedang fikir macam mana nak menamatkannya. Kalau tak dapat juga, akak buat penamat klise je lah ya.. :) Yang penting setiap yang bermula perlu berakhir. Kalau sapa-sapa ada idea, buatkan aje Celoteh Mama 3 untuk menamatkannya. Amacam?... Buat macam sayembara..:)
  • 4) mama,

    kepayahan itu mengajar erti kecekalan..kalau tak dipecahkan ruyung..manakan dapat sagunya..kan? =)

    nice cerpen..macam novel pun ada..huhu

Cerpen-cerpen lain nukilan ummufatiha

Read all stories by ummufatiha