Sketsa secebis pengorbanan

 

Malam kian enggan untuk menunggu. Perlahan-lahan ia mengengsot pergi meninggalkan aku di situ. Termanggu-manggu di depan meja tulisku yang kaku. Anak-anak telah lama menikmati mimpi-mimpi manis yang hanya mampu dicicipi dalam tidur mereka. Ah...

Memang zaman kanak-kanak begitu mudah. Tiada resah. Tiada gelisah. Tiada gundah. Tahu-tahunya setiap keperluan diladeni. Hari-hari mereka diwarnai jalur-jalur pelangi kegembiraan. Gelak ketawa mereka adalah irama kehidupan yang menyenankan. Malah tangis mereka melagukan harapan tanpa kesudahan. Jelas pada setiap sudut dunia anak-anak telah dianyam lembar keberkatan Illahi. Ana-anak itu anugerah Allah. Mereka ibarat kain putih yang polos lagi suci. Ibu bapa bertanggung jawab menentukan corak-corak indah yang bakal mewarnai masa depan mereka. Bagai terngiang-ngiang ungkapan hikmah itu di benak ingatanku.

Kenangan lampau berlegar-legar di fikiranku seumpama layang-layang terapung di angkasa. Kerap aku bergelut dengan perasaan bersalahku. Adakah aku mementingkan diri sendiri tanpa mempertimbangkan kesannya terhadap rumahtanggaku. Dua orang anak-anak yang kian membesar. Sudah pasti mereka merindukan kasih sayang seorang ayah. Seorang suami yang memerlukan belaian isteri. Dan aku... Di manakah sebaik-baiknya tempat seorang isteri?... Bukankah aku kerap melaung-laungkan hasrat untuk mengukir nama sebagai seorang isteri solehah.

"Abang izinkan kalau itu merupakan kehendak sayang," bisik suamiku lembut walaupun aku sedar pada hakikatnya itu bukanlah kehendaknya. Wajahnya muram sedikit. Suamiku memang jarang bersuara. Lebih suka mendiamkan diri dalam banyak perkara. Justeru, setiap patah bicara yang keluar adalah sebenarnya luahan perasaan terus dari hati. Bicara itu jua yang meletakkan aku dalam dilema. Lebih mudah aku membuat keputusan seandainya tiada sebarang sokongan darinya. HAtiku pasti bulat menolak kemungkinan itu. Habis cerita. Dengan keizinan itu, aku bagai berdiri di tengah-tengah sempadan. Setiap keputusan yang bakal diambil bakal menjuruskan aku ke perjalanan yang belum pasti penghujungnya.

Wajah-wajah tenang anakku mengheret aku kembali ke alam nyata. Dengkur halus mereka membuai rasa rindu yang teramat. Rindu pada ketenangan. Rindu pada kehidupan berkeluarga yang normal. Bukankah itu tujuan utama sebuah perkahwinan?... Membentuk keluarga yang rukun damai. Berkongsi gembira. Berkongsi duka. Saat sakit ada yang merawat. Saat pening ada mengambil berat. Lapan tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Telah banyak kesusahan dan kesenangan kami lalui bersama.

Hanizah, gadis Sabah yang telah kukenali sejak di bangku sekolah itu bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan aku dengan guru muda lepasan UUM yang sama-sama mengajar di sekolahnya. Sikap Hanizah yang sentiasa optimis mengeratkan lagi ikatan persahabatan kami. Kami memang seperti langit dan bumi. Aku cepat berputus asa. Sering menganggap diriku tidak pernah memiliki sebarang keistimewaan. Hanizah pula sentiasa melihat pelangi yang muncul selepas setiap kali mendung berlalu selepas hujan. Aku hanya nampak kegelapan dan kesukaran sewaktu ribut. Hanizah pula mengagumi ketabahan insan yang meneruskan kehidupan selepas dilanda taufan. BAginya setiap kekecewaan bukanlah penghujung kepada kehidupan.

Hanizahlah yang bersusah payah mendengar ratapanku saat ikatan pertunanganku putus di tengah jalan. Hanizah yang sabar dengan perangaiku yang sukar untuk diramal. Lima bulan aku hilang pertimbangan. Aku menyendiri. Menyesali nasibku. Bertanya apakah kesalahanku. Selain dari pejabat, duniaku hanyalah kamar sepi yang menjadi saksi kekecewaanku. Justeru, cadangan Hanizah tidak pernah ku ambil berat. Namun, sapaan demi sapaan mencairkan hatiku yang telah beku. Lantas perkenalan singkat lewat dunia maya akhirnya menerbangkan aku ke alam perkahwinan. Ternyata musim cinta yang kami cipta di bawah lembayung keberkatan meyakinkan aku bahawa sebenarnya aku juga mampu membina kebahagiaanku sendiri. Takah demi takah kami bersama melangkah membina kerukunan. Budi Hanizah tidak pernah kulupakan.

Dan kini, setelah sekian lama bersama, ternyata aku sendiri yang menghancurkan mahligai bahagia yang kami bina. Cita-cita kami untuk sama-sama meniti kehidupan ternyata hanya tinggal impian. Dan tiada siapa yang dapat disalahkan selain dari aku. Aku yang pada suatu waktu dahulu menyalahkan orang lain di atas kekecewaanku. Kini aku pula melakukan perkara yang serupa kepada orang-orang yang ku sayangi.

Lamunanku tiba-tiba mati. Jam di dinding berdeting tiga kali. Aku masih duduk menghadap meja tulisku. Di katil, anak-anakku masih meneruskan perjalanan mereka di alam mimpi. Jauh di sana, suamiku mungkin sedang menganyam mimpi untuk kami bersama seperti dulu. Aku bingkas bangun lalu menuju ke bilik air. Aku perlu mencari ketenangan dan kekuatan dalam perpisahan ini. Tugasan kuliah yang perlu ku siapkan hujung minggu ini ku tinggalkan seketika. Aku perlu yakin yang perpisahan kami ini pasti membuahkan kejayaan yang amat manis suatu masa nanti.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) saya pun belajar jauh dr family kak...cuma bezanya saya xkawen lg jer..hehe

  • (Penulis)
    2) Tak pa dik.. Sementara masih ada peluang, rebut jer.
  • 3) selalunya begitu, setiap apa yang kita nak ada harganya. doalah supaya dipermudahkan tuhan. :)
  • 4) er? lerr...

    brpisah psl blaja jek? huahauhuaaa..

    jgn ah dilema mlampau klo stakat belajar sbb belajar itu adala ibadah..maka itu yang utama =)

  • (Penulis)
    5) Ye la. Pasal belajar je. Kalau masih berseorangan memang langsung takde masalah. Tetapi bila telah berkeluarga, terlalu banyak pihak yang terlibat dan perlu diambilkira. :). Itulah liku2 hidup yang hanya difahami apabila melaluinya. Kalau setiap perkara yang bakal berlaku diberi peluang untuk kita mengalami terlebih dahulu kesannya, memang kurang seronok lah hidup ni ya... :)
  • 6) betul kak ummu..blajar kat luar memg byk sgt cabaran..independent giler2...kadang2 rasa nak nagis pun ader..hanya org yang melalui jer akan paham..huhu..

  • (Penulis)
    7) Hidup ini memang tidak sunyi dari cabaran. Yang penting bagaimana kita menangani cabaran yang mendatang.
  • 8) Cerita yang pendek, simple tapi mesejnya besar. Tersentuhnya baca coretan macam ni. Terserlah kewanitaan dan keibuan dalam setiap nukilan Ummu. Penulisan yang lahir dari hati. Nuri suka sangat Ummu! :D Terdapat sedikit kesalahan ejaan dan huruf besar/kecil, kalau ummu betulkan lagi nampak kemas dan sempurna. :)
  • 9) Tu la sebabnya mak selalu kata, "habiskan belajar dulu baru kawen.." :) Bila dah berkeluarga tanggungjawab sebagai isteri/suami sedikit meminimumkan pergerakan seorang pelajar. *Tapi kalau jodoh dah waktunya nak buat macam mana kan?

    Saya ada coursemate yang sudah pun berkeluarga (seorang ayah kepada 1org anak yg masih kecil). Mr J ni pernah luahkan pada saya, katanya cabaran memikul tanggung jawab sebagai suami dan ayah amat berat apatah lagi ditambah dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Bila masa nak study untuk exam sedang anak menangis malam2 hendakkan belaian ayahnya. Setelah si kecil terlelap barulah si ayah mencuri masa untuk menelaah buku-bukunya. Study dan keluarga dua2nya penting..study untuk siapa kalau bukan semata-mata untuk keluarga, demi menghadiahkan kehidupan yang lebih baik kan? Itulah pengorbanan~ :)

  • (Penulis)
    10) Citer belajar ni never ending story. Bila seru dia sampai nak ke langkah seterusnya, kena le fikir betul2. Cabaran tu bukan nak menakut-nakutkan, tetapi sebagai persediaan minda seandainya menghadapi situasi yang serupa... Pada hakikatnya setiap detik dan saat menuntut pengorbanan.
  • 11) seronok membaca karya akak ummu ni.. dpt berguru dengan dia kan best!!

  • (Penulis)
    12) No problem. Sediakan pengeras yang secukupnya; buku puisi A Samad Said 7 talam, buku novel Shahnon Ahmad 7 tempayan, antologi cerpen SF 7 mangkuk... ;). Acah aje. Akak pun masih basic sangat dik. Tapi kalau nak berkongsi maklumat yang akak kumpul sikit2 apa salahnya. Ada masa nanti akak mencoret dalam ruangan blog. :). By the way, "dia" tu sapa? :)
  • 13) dia tu akak ler hehehehe...

  • (Penulis)
    14) Ha.. Tu kira kelas pertama. Setiap cerita mesti jelas watak dan perwatakan dia. Biar pembaca faham.. ;).
  • 15) cabaran dalam hidup. best apa! saya suka cabaran.. siapa sanggup hadapi cabaran bersama saya? hehehe... sorang dok semenanjung, sorang dok sabah... jom kita saling merindu..ah! sy yg saiko.. kak ummu, at least anak2 ada contoh terdekat utk rajin belajar. ye dak?

  • (Penulis)
    16) Bolehlah cakap kat anak2 nanti, belajar betul2, mama yang dah tua ni pun masih nak belajar.. :). Tapi dalam keadaan ekonomi sekarang, seksa jugak dik nak cover bajet belon.... :)
  • 17) msg cerita ni besar impaknya... menarik~~

  • (Penulis)
    18) Ala ala kisah benar gitu. ALhamdulillah kalau bisa memberi sedikit pengajaran kepada pembaca.

Cerpen-cerpen lain nukilan ummufatiha

Read all stories by ummufatiha