Catatan Tanaka Ai, 10 September 2008, 5:53 am. ******* Station , Japan.
Cerita ini adalah
rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Malah, tak ramai bisa
menceritakannya, tentang seorang perempuan yang menunggu kekasihnya untuk satu
masa yang panjang. Mereka tak pernah berkahwin, malah tidak mungkin. Tapi,
masih di rumah yang kecil untuk memuatkan dua jasad, mereka berdua berkongsi
satu nafas, setia bersama atas satu katil, berkongsi satu bantal, dan bersama
dalam satu mimpi. Kalau mereka keluar, tak ada langkahan tanpa empat tapak kaki.
Sesiapapun tahu tentang kisah mereka, tentang pasangan yang tidak pernah hilang
salah seorang. Tidak pernah senyum mereka kurang. Sentiasa, bersama.
Sehinggalah,
suatu pagi, di mana tak ada siapa pernah menduga, walaupun derai cahaya mentari
dan bunyi burung pipit masih malar, tapi hari mereka bakal bergerakbalas dengan
manipulasi takdir. Takdir atas sehelai surat yang membawa perpisahan mereka
berdua. Pasangannya, menerima tawaran paling tak mungkin ditolak, malah impian
sejak dari dia tahu makna angan. Menjadi pelakon dalam satu produksi filem
besar di bandar. Di stesen inilah, dekat hujung sana, pertama kali dalam
sejarah mungkin ajaib, mereka berpisah. Dekat kerusi sanalah, perempuan ini melihat
pasangannya buat kali terakhir. Matahari musim panas, tak mampu menyejat air
matanya, malah kalaupun musimnya penuh beku dengan salji, tak rasa mungkin
bahang esaknya terkalah.
Teruslah,
perempuan itu hidup keseorangan, dengan bilik kecil, dengan perasaan serba
kerdil. Menunggu sebarang khabar berita dari si dia yang jauh. Satu waktu yang
sangat lama, lebih lama dari helaian daun kuning jatuh berkecai, kemudian hijau
kembali pada musim bunga. Sekejappun, dia mesti ada di pintu stesen, menunggu
kalau mimpi untuk merangkul pasangannya terealisasi.
Survivalnya untuk
menongkah sepi akhirnya tamat pada hujung musim bunga. Waktu sakura berterabur
atas rerumput segar, waktu yang sama, di televisyen dia melihat perkahwinan
pasangannya dengan selebriti terkenal. Matanya tak terkebil, tapi retaknya
sangat jelas, dalam anak mata yang retak itulah, wajah pasangannya, dalam gaun
putih tersenyum senang.
Puas dinafikan
yang perempuan sedang berdiri gah dekat majlis mungkin paling gemilang itu
adalah pasangan yang ditunggunya sepanjang ini. Tapi semuanya mustahil.
Akhirnya, dengan kemustahilan untuk penafian satu magis realiti paling tragis
itu, dia kembali ke sini. Stesen tempat mereka berpisah buat kali pertama dan
mungkin selamanya, berdiri dekat hujung sana, memegang tiket bertulis nama
bandar besar tempat pasangannya. Matanya cukup merah untuk menggambarkan betapa
lama sudah dia menangis, keseorangan menunggu tren datang.
Waktu itu, 11:54 malam,
hari Sabtu, 10 September 1988. Mereka katakan, perempuan itu terjun ke rel,
meninggalkan segalanya selain titisan air mata pada kerusi di sana.
Perempuan itu
disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius. Mayatnya telah dibakar
walaupun tiada siapa yang menuntut abunya, walaupun orang yang paling ditunggu.
Tapi, tak ada sesiapapun tahu, sebab dia masih di kerusi itu, setiap malam Sabtu,
memegang sekeping tiket, dan masih menangis.
Cerita ini adalah
rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Kalau kamu tanyakan, sebab
aku tahu ceritanya. Aku akan beritahu satu lagi rahsia yang tak pernah
tercerita oleh masyarakat di sini.
Malam itu, waktu
tren datang, akulah yang menolaknya ke rel.
Aku tak mahu
lagi keseorangan menunggu di sini.
***************************************
Tanaka Ai disahkan meninggal akibat bunuh diri. Laporan
polis mencatatkan dia mengalami tekanan perasaan . Mengikut fakta dari pemandu
tren, Tanaka Ai keseorangan sewaktu melompat. Ini adalah kes kedua di stesen
ini, selepas kes pertama berlaku pada 11:54 malam, 10 September 1968, hari
Khamis, juga membabitkan seorang perempuan bernama Tanaka Ai.