Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Salleh dan Senyuman

Cerpen sebelumnya:
Fazrina Cinta '96 (6)
Cerpen selanjutnya:
Perjalanan Ke Alam Misteri

oleh Naziruddin bin Abdullah

 

JIKA bukan kerana cara berjalannya yang berbeza, pasti aku tidak kenal dia siapa. Pasti aku akan biarkan saja dia berlalu seperti yang lain. Cara berjalannya itu berbeza. Tidak seperti yang lain. Bahunya sedikit dibongkokkan. Kemudian berjalan seperti kakinya itu tidak mahu menyentuh bumi sepenuhnya. Cara berjalan itu hanya milik dirinya. Seperti satu tanda khas yang membezakan dia dan orang lain. Tapi sekarang luarannya juga turut jauh berbeza. Sesiapa sahaja pasti tidak akan kenal dia jika hanya melihat melalui luaran sahaja. Dalam masa dua bulan tiba-tiba dia berubah. Fizikalnya cukup berubah. Tidak ada lagi dia yang sedikit tembam. Rambutnya juga tidak lagi panjang seperti dulu. Kini sudah terpacak seperti duri landak. Bukan lagi dirinya yang dulu. Hanya ada dia yang baru. Salleh yang kurus. Mencengkung pada pipi dan belakangnya.

 

            Sememangnya aku tidak pernah kenal dia siapa. Hanya melalui nama. Salleh. Mungkin itu nama penuhnya. Atau ada tambahan lain seperti Mohammad Salleh. Ataupun Sallehuddin. Ramai yang bernama Sallehuddin. Bukan kenalan seusia. Malah dia yang pertama bernama Salleh. Tapi ada beberapa orang pensyarah di Jabatanku bernama sebegitu. Dr Sallehuddin yang gemuk seperti pelakon Harith Iskander dan seorang lagi Sallehuddin yang aku tahu hanya pada nama sahaja. Aku sendiri tidak pasti dia siapa. Lantas panggil Salleh saja sudah cukup. Cukup untuk dia tahu nama itu miliknya setiap kali ada yang memanggil.

 

Salleh..!!”

 

Langkahnya terhenti. Pastinya dia tahu nama itu miliknya. Menoleh dan tersenyum dengan senyumannya yang cukup luar biasa. Membuatkan sesiapa sahaja (aku rasakan sebegitu) pasti akan terhenti. Senyuman lelaki bernama Salleh ini sebenarnya sedikitpun tidak menawan. Tidak seperti senyuman lelaki hebat yang boleh menawan mana-mana wanita yang diingininya. Senyuman yang menawan mungkin milik Brad Pitt barang kali (barang kali). Malah senyuman Salleh ini agak buruk pada dasarnya. Memperlihatkan keseluruhan giginya yang besar dan tidak teratur. Tersenyum seperti Cookie Monster (raksasa biru Sesame Street) yang melihat segunung biskut di hadapannya. Atau tersenyum seperti seorang perogol bersiri barang kali (perogol bersiri?). Tapi kerana senyumannya yang pelik itulah yang menjadikan dirinya itu cukup istimewa. Menjadikan aku sendiri tersenyum melihatnya.

 

            Orangnya tidak tinggi. Terbantut juga bukan istilah yang paling sesuai untuk mengambarkan dirinya. Sekitar aras telinggaku. Mungkin itu standard ketinggian minima untuk seorang lelaki Asia. Membuatkan lelaki yang berketinggian seperti aku harus melihat ke bawah apabila bercakap dengan lelaki-lelaki standard Asia tersebut. Tapi bila difikir dari perspektif berlawanan, pasti leher mereka juga akan menjadi senguh apabila bercakap dengan aku. Perlu mendongak sedikit. Lantas aku menjadikan kreativiti mengambil alih kedudukkan. Jangan berdepan terlalu dekat ketika bercakap atau bercakap dalam situasi duduk. Pasti tidak akan ada sesiapa yang akan menang atau kalah. Cukup pasti tidak ada yang akan mengadu sakit leher lagi.

 

            Boleh dihitung dengan jari-jari tangan patah perkataan yang pernah aku cakapkan bersama Salleh. Barangkali kami tidak dilahirkan pada zodiak yang membolehkan kami banyak bercakap. Apabila duduk bersama, lebih banyak masa sunyi berbanding bercakap. Tidak ada isu yang boleh diutarakan. Jadi lebih baik duduk-duduk saja. Malah apabila kami bertemu sekadar berkata hai, apa khabar, dah makan, nak ke mana, hari nak hujankan, atau paling kerap sekadar memberi salam atau terus saja memanggil namanya, Salleh. Dan kemudian dia akan tersenyum. Senyuman yang akan menampakkan keseluruhan gigi-giginya yang besar dan tidak teratur itu. Membuatkan aku juga akan tersenyum sama.

 

            “Aku mahu cari seorang yang benar-benar macam aku..!!” ujarnya perlahan.

 

            “Seseorang yang punya kegilaan seperti kau..? Dan kongsi semua sikap buruk kau?” Pandangannya jauh. Tidak diendahkan kata-kataku. Tapi aku yakin dia sedang mendengar. Entah apa yang sedang dilihatnya dalam kesamaran malam. Membuatkan pandangannya lebih ke arah itu. Atau ada perasaan yang ingin disembunyikan. Tidak mahu ada yang dapat menangkapnya.

 

            “Bukan kau dah jumpa orang macam tu..?” Pandangannya beralih. Memerhatiku dengan sedikit hairan. Aku sekadar tersenyum sinis. Aku yakin dia faham maksud senyuman itu. Dia pasti faham makna senyuman itu. Dia juga tersenyum.

 

            “Dia betul-betul macam akukan? Sama-sama degil. Sama-sama keras kepala. Sebab tu bila gaduh, masing-masing tak nak minta maaf...” pandangannya kembali pada gelap malam. Mungkin ada kisah disebalik gelap malam itu. Satu kisah yang hanya dia sahaja yang tahu. Tidak mahu ada orang lain tahu. Membuatkan matanya jauh memerhati. Memerhati penuh khusyuk.

 

Lelaki itu memang telah membawa satu episod baru dalam hidupnya (sekurang-kurangnya aku merasakan begitu). Kehadirannya membuatkan dia benar-benar tersenyum. Tidak pernah melihat Salleh tersenyum sebegitu sebelumnya. Tetapi lelaki itu juga telah membuatkan senyumannya benar-benar hampa. Menjadikan senyumannya itu sedikitpun tidak berharga. Hanya satu senyuman kosong. Seolah-olah senyuman di bibirnya itu telah ditatu mati agar tidak boleh memberi reaksi lain selain tersenyum. Betapa derita melihat senyuman yang diberi bukan untuk mengambarkan rasa gembira. Seperti gula-gula yang berperisa cuka. Manis pada luaran tapi rasa dalamannya seperti menjerut leher hingga mampu membunuh.

 

Seharusnya lelaki seperti itu tidak harus dilepaskan pergi. Tidak sewenang-wenangnya. Aku tidak marah kepada lelaki itu. Aku sendiri tidak kenal dia siapa. Sama seperti aku tidak kenal Salleh itu siapa. Cuma aku sedikit kesal kerana lelaki itu telah membuatkan Salleh tidak lagi tersenyum. Tidak ada sesiapa yang layak untuk membuang senyuman dari wajah seseorang. Aku juga sedikit hairan kenapa aku harus ambil peduli. Bukankah urusannya sedikitpun tidak berkaitan dengan kehidupanku. Jadi kenapa aku harus ambil peduli. Mungkin hanya kerana aku seorang manusia. Memiliki secebis daging yang bernama hati. Disitu tersembunyi sedikit perasaan.

 

Melihat seorang lelaki yang selama ini tersenyum, tiba-tiba berhati gundah. Sesiapa sahaja pasti akan merasa yang sama (sekurang-kurangnya aku merasakannya). Dia tidak lagi tersenyum pada malam itu. Senyumannya hilang. Ada kebimbangan yang disuarakan. Air mata jantannya hampir mengalir. Rambutnya yang panjang itu kusut. Tidak sekemas hari-hari sebelumnya. Malah sudah tidak ada sedikit senyuman pun. Aku tidak tahu kisah sebenarnya. Ada rahsia yang harus dipertahankannya. Cuma kebimbangannya membuatkan aku jadi sedikit resah. Mungkin kerana itu badannya telah menjadi kurus. Melidi sambil rambutnya terpacak seperti duri landak.

 

Carilah punca senyuman itu agar ia kembali bererti. Kawan datang dan pergi. Cinta juga akan datang dan kemudiannya akan pergi. Tak siapa tahu bila ia akan datang tapi cukup pasti suatu hari nanti ia pasti akan  bertamu kembali. Sekurang-kurangnya aku juga akan tersenyum apabila melihat kau tersenyum kembali. Hanya apabila kau telah benar-benar tersenyum.

 

 

 

 

 

Layakkah seorang itu membuatkan manusia lain menderita. Jika tidak, lepaskan sahaja ia pergi. Tapi jika ya, pertahankanlah ia.

 

 

 

Melukis kehidupan pada kanvas kertas,

Mr. thompson.

September 11, 2007.

Cerpen sebelumnya:
Fazrina Cinta '96 (6)
Cerpen selanjutnya:
Perjalanan Ke Alam Misteri

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.8
4 Penilai

Info penulis
Support underground talents!
bullimer | Jadikan bullimer rakan anda | Hantar Mesej kepada bullimer

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya bullimer
Salleh Dan Senyuman | 2161 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

3 Komen dalam karya Salleh dan Senyuman
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik