Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Dua Garis

Cerpen sebelumnya:
Cerita Tentang Len
Cerpen selanjutnya:
Fazrina Cinta '96 (8)

 

Cerita ini mengenai dua orang insan. Kisah antara seorang lelaki dan seorang wanita. Lelaki itu adalah seorang yang baik hati, penyayang dan tipikal lelaki yang disayangi oleh kebanyakkan wanita samada tua atau muda. Wanita itu juga mempamerkan sifat wanita yang menjadi kegilaan para lelaki; lemah lembut, halus tutur katanya dan elok kelakuannya.

Kisah mereka bermula apabila wanita berkenaan dikecewakan oleh lelaki yang digilainya lantas tidak tertanggung rasanya sakit di hati. Sakitnya bukan kepalang, jikalau mengambil nyawa sendiri itu tidak berdosa besar nescaya telah lama dia menikam hatinya sendiri biar hilang segala sakit yang meruap-ruap. Lelaki itu datang pada masa dia perlukan seseorang, perlukan teman menceritakan derita hatinya. Wanita itu ditinggalkan di hari ulang tahun lahirnya; hari dia mahu meraikan detik-detik itu bersama orang yang tersayang tetapi nyata berbeza apa yang terjadi. Lelaki berkenaan meninggalkan pesan yang cukup ringkas: "Selamat Hari Lahir, semoga bahagia sentiasa hendaknya". Dari sebuah pesanan ringkas, mereka berutusan ratusan pesanan. Pada mulanya cuma sekadar pesan-pesan berbasa basi, mengenali diri sang jejaka. Akhirnya mereka membuka hati masing-masing dan menyelami rasa tanpa sedar mereka bertaut mesra. Wanita berkenaan mahu meneruskan hubungan mereka kepada satu tahap yang lebih serius tetapi hatinya gusar akan kejadian yang menimpa dirinya sebelum ini. Ragu membiak dihatinya, lantas dia diamkan sahaja biarpun dia seakan-akan dapat membaca lelaki itu juga mempunyai keinginan semacam dihatinya.

Ketika mereka bersama di perpustakaan, lelaki berkenaan mengeluarkan sehelai kertas. Barangkali mahu mencatit nota atau membuat pengiraan, fikir wanita berkenaan. Lelaki berkenaan mencuit temannya dan menghulurkan sebatang pen. 

"Lukiskan satu garis." tutur lelaki itu.

Wanita itu melukiskan satu garis merentangi kertas berkenaan. Lelaki itu kemudian mengambil pen berkenaan dan membuat satu lagi garisan merintangi garisan yang dibuat oleh temannya. 

"Nah, apa yang kamu nampak?" tanya lelaki itu.

"Tanda pangkah la." balas temannya.

"Hehehe. Pandai pun kamu. Apa yang kamu faham pada tanda pangkah ini?" tanya lelaki itu lagi. 

Temannya bingung sendiri. Apa yang dia cuba lakukan? monolog hati wanita itu sendiri.

"Hrrmmm...tanda pangkah ni biasanya untuk menanda kesalahan." wanita itu memberikan jawapan.

"Ok. Biar saya terangkan apa yang saya nampak dari tanda ini." ujar lelaki berkenaan.

"Saya nampak tanda pangkah ini adalah ibarat hubungan kita." ujar lelaki itu serius sambil tertunduk. Lelaki itu menghelakan nafas, mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.

"Apakah perhubungan kita ini salah? Begitu?" empangan air terbina di kelopak mata wanita itu. Lantas dia tundukkan kepala. Dihatinya, dia sudah mengetahui bahawa lelaki berkenaan tidak berkongsi visi yang dimilikinya. Pantas dia berlari keluar dari perpustakaan berkenaan. Lelaki itu terpinga-pinga. Lelaki itu mengambil barang-barang temannya itu dan pulang ke bilik. Beberapa kali dia cuba menghubungi wanita itu tetapi tidak dilayannya. Pasti remuk rendam hati wanita itu. Lelaki itu mengeluh sendiri. Akhirnya barang-barang milik wanita itu dipulangkan melalui sahabat yang terdekat. 

Hari berganti, musim bertukar. 

"Nana nak yang tu." Nana mengacungkan jari kecilnya ke arah aiskrim perisa vanila. 

"Nana takmo cuba yang lain ke?" ujarnya kepada Nana.

"Takmo! Nana suka aiskrim ni je." ujar Nana. Matanya bersinar-sinar sambil ralit memerhatikan pembantu kedai aiskrim itu meletakkan aiskrim ke atas kon. 

Ketika tangannya mencapai helaian kertas di dalam dompet untuk membuat bayaran, kedengaran suara yang biasa didengarinya lama dulu. 

"Saya nak perisa strawberi ye. Nak dalam cawan ye." ujar suara berkenaan.

Terdetik hatinya mungkinkah benar apa yang didengari sambil dia mengangkat kepalanya. Wajah itu sedikit berubah tetapi rautnya masih sama seperti dahulu.

"Eh...awak. Masih ingat saya?" tanya dia kepada wanita itu. 

Terpempan wanita itu. Memori usang dikuak-kuak dari kotak fikiran dan menerjah sedar. Rempuhan emosi terlalu pantas, nyaris matanya kabur dengan air mata melihat lelaki yang suatu ketika dahulu menidakkannya. 

"Hi, saya Nana. Akak ni lawa la." tegur Nana menghentikan lamunan wanita itu.

Mesti anak dia. Rupanya dia dah kahwin. Refleks tindakan mindanya memikirkan kemungkinan itu dan secepat itu juga kolam air matanya bakal pecah lagi. Dia cepat-cepat menarik kakinya untuk meninggalkan lelaki itu. 

"Eh awak, tunggu." panggil lelaki itu separuh menjerit. 

Kakinya lebih pantas cuba melarikan dari lelaki itu. Tidak dia mampu berdepan lagi dengan lelaki berkenaan. Langkahnya terhenti, tangannya dipegang. Ah..sudahlah. Lepaskan aku. Cuma mampu terjerit dihatinya. 

"Tunggu. Tolong jangan pergi." kata lelaki itu lembut.

"Tolong pandang saya, saya masih hutang awak beberapa perkara." masih kedengaran suara lembut itu merayu dia.

Separuh terpaksa, dia memusingkan mukanya menghadap lelaki itu. Senyum manis yang sentiasa dia rindui itu masih terukir di wajah lelaki itu. Hatinya pedih apabila melihat Nana disisi lelaki berkenaan. 

"Kenapa awak nak lari ni? Macam nampak hantu je." lelaki itu cuba berlelucon tetapi hanya mati dibawa pergi angin. Suasana amat tegang antara dia dan lelaki itu. Lelaki itu melepaskan pegangan tangannya.

Lelaki itu mengeluarkan sehelai kertas dari dompetnya. Tadi kata ada hutang, bila masa pulak dia berhutang dengan aku ni? monolog hati wanita itu berterusan.

"Masih ingat ni?". Lelaki itu menayangkan sehelai kertas bertanda pangkah, segar kembali memori wanita itu terhadap memori dulu; saat dia dikecewakan. Dia cuba meninggalkan lelaki itu tetapi sekali lagi lelaki itu menahan.

"Tunggu dulu. Saya tak habis cakap lagi. Kalau benar pun awak tak suka duduk menghadap muka saya ni, dengar dulu apa yang saya cuba cakapkan." ujar lelaki itu. 

Wanita itu berdebar-debar menantikan perkara yang bakal diperkatakan oleh lelaki itu. Lelaki itu masih lagi memegang kertas nan satu itu.

"Awak tahu apa maksud tanda ni?" tanya lelaki itu. Soalan yang lebih kurang sama ditanyakan oleh lelaki itu suatu masa dahulu. 

"Saya faham kalau awak tak suka kat saya. Terus terang saje la." balas wanita itu agak kasar.

Lelaki itu cuma senyum. Senyum tenang yang buatkan hati wanita itu berdetik lagi. 

"Itulah perkara yang saya masih hutang pada awak. Sebenarnya bila saya beritahu awak yang saya lambangkan tanda ni bersamaan perhubungan kita, banyak lagi yang saya nak terangkan pada awak. Tolonglah dengar, mungkin buat kali terakhir." suara lelaki itu semakin perlahan menuju ke hujungnya. Dia menarik nafas panjang bagai mahu dicarikkan seluruh isi kekuatan dunia buat membantunya.

"Di antara dua garis ini terdapat satu titik persilangan. Titik persilangan yang menemukan garisan hidup saya dan garisan hidup awak. Bila garis kita bersilang, kita dipertemukan oleh takdir dan dengan itu saya bertemu dengan awak di universiti dulu. Malangnya seperti juga mana-mana garisan yang bersilang, pasti akan berpisah mengambil haluan masing-masing. Dan itu yang terjadi kepada kita, bilamana awak tinggalkan saya." Ini kali pertama wnaita itu diperdengarkan dengan penjelasan yang bertahun dipendam oleh lelaki berkenaan. Kolam air matanya kembali penuh, retak-retak emosi menuntun kolam air mata itu bakal pecah lagi.

"Dulu saya percaya bahawa kerana kita ini berada diatas muka bumi yang bulat ini maka saya percaya garis hidup saya dan garis hidup awak akan bersilang lagi disuatu masa yang saya tahu saya perlu menerangkan kepada awak mengenai ini. Sehingga saat ini, saya masih percaya saya akan berjumpa dengan awak lagi dan Tuhan makbulkan doa saya yang satu ini. Cuma...." lelaki berkenaan kembali menghela nafas panjang, mencari saki baki kekuatan yang masih bersisa.

"Cuma saya harap kali ini titik pertemuan itu akan tamat disitu tanpa perlu garis hidup saya dan garis hidup awak menjelajah waktu dan usia untuk bertemu lagi. Saya.....amat cintakan awak. Dari dulu sehingga kini. Tidak sepicing hati saya terarah kepada wanita lain selain daripada awak selama selang waktu." lelaki itu akhirnya mampu bernafas kembali, seolah beban yang terletak dipundaknya selama ini dibebaskan dan bakal menenggelamkan hati wanita yang dicintainya; yang berdiri kaku dihadapannya.

Wanita itu terpempan oleh penjelasan lelaki itu. Perlahan bibirnya digerakkan sambil belakang telapak tangan kirinya dipusingkan menghadap lelaki itu. Sebentuk cincin belah rotan di jari manis wanita berkenaan.

Jelas lelaki itu melontarkan wajah pasrah. Wanita itu perlahan menyatakan satu perkara yang paling tidak mahu dilintasi di telinga lelaki itu. 

"Maafkan saya awak, saya sudah bertunang dan bakal berkahwin hujung tahun ni." kolam air mata yang ditakung seberapa lama yang boleh tidak tertahan lagi oleh wanita itu. Sayunya hati wanita itu mungkin hanya Tuhan sahaja yang mengerti. 

Lelaki itu menarik tangan wanita itu dan menyerahkan kertas itu. Simpan elok-elok untuk saya, sebagai satu kenangan bahawa garisan hidup saya dan garisan hidup awak pernah bertemu suatu ketika dulu; itulah yang terucapkan oleh senyum lembut dan renungan mata lelaki itu. Lelaki itu memandang kepada Nana dan sambil berlalu dia sempat mengucapkan kepada wanita berkenaan suatu ucapan yang tidak berkesempatan dia ucapkan dulu, mungkin juga kerana hatinya masih menaruh harap maka tidak diucapkan dulu;

"Selamat tinggal. Terima kasih kerana hadir dalam hidup saya."

Wanita itu masih terpempan tidak percaya bahawa lelaki yang pernah dia cintai dulu berlalu begitu sahaja. Ah...dia sudah berkahwin dan mempunyai zuriat, aku perlu lepaskan dia pergi. Cincin belah rotan pemberian arwah nenek yang terselit dijarinya diperhatikan. Maafkan aku Tuhan, aku cuma mahu kebahagiaannya bersama keluarganya. Maafkan aku wahai lelaki. Wanita itu berlalu sambil matanya masih memandang sepi lelaki itu berlalu pergi bersama Nana.

---------------------------------------------------------------

"Haaa.....Pak Su buat akak tadi menangis. Dah la tak mintak maaf. Tak baik tau." ujar Nana sambil memandang tepat ke wajah lelaki itu. 

Lelaki itu cuma ketawa mendengar telahan Nana. 

"Jom kita balik ye Nana. Papa dengan mama Nana mesti dah ada kat rumah dah ni. You're going out for fine dining tonight, young lady so behave yourself and dress properly." balas lelaki itu sambil tersenyum kepada Nana.

"I will, Pak Su." balas Nana. Mata yang jernih itu mententeramkan perasaan lelaki itu. Senyum indah sang malaikat kecil ini menyejukkan hatinya. Sambil berpimpin tangan, mereka berlalu ke parking di tingkat B4. 

 

 

Cerpen sebelumnya:
Cerita Tentang Len
Cerpen selanjutnya:
Fazrina Cinta '96 (8)

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
7 Penilai

Info penulis

mangifera

An IT practitioner by education, a planner by profession, a dreamer by nature. Im a contradiction of myself. Dont ask me to explain that. Savvy?
mangifera | Jadikan mangifera rakan anda | Hantar Mesej kepada mangifera

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya mangifera
Perang Tetikus | 2392 bacaan
Fillus Eden - Part III | 2055 bacaan
Kisah Rika | 2904 bacaan
Adik | 5171 bacaan
Serenity: For The Love of Peace | 3285 bacaan
Spesimen Alfa | 2080 bacaan
Kopi & Sianida | 2930 bacaan
Fillus Eden - Part II | 2260 bacaan
Fillus Eden - Part I | 2096 bacaan
Tragedi V-Day | 2116 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

19 Komen dalam karya Dua Garis
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik