|

Kali
pertama saya beraya dengan budak-budak kampung adalah pada tahun 1993,
dua tahun selepas saya berpindah dari Kuala Lumpur ke Melaka.
Budak-budak kampung yang dimaksudkan adalah rakan sekelas di SMK Tinggi
Melaka. Ketika itu kami di tingkatan tiga.
Beberapa hari sebelum
cuti bermula, masing-masing sudah berpakat untuk beraya ke salah sebuah
rumah rakan kami. Dari rumah rakan kami bernama Yusran Omar, kami akan
beraya di rumah-rumah lain termasuklah rumah saya.
"Ibu,
kawan-kawan akan datang ke rumah hari raya ini," kata saya dengan
harapan adalah juadah untuk mereka ketika mereka datang menziarah.
Kami
berjanji berjumpa di stesyen bas awam di tengah-tengah bandar Melaka
pada jam 10.30 pagi. Hari ini, stesyen bas awam telah berpindah ke
Melaka Sentral. Kawasan itu kini dijadikan restoran sate. Ada lima
orang semuanya. Salah seorang daripadanya rakan sekampung.
"Kamu tahukah jalan ke rumah Yusran?" soal salah seorang daripada kami.
Kata rakan saya, "Tahu, katanya naik bas nombor 45 dan turun di kawasan rumah awam."
Kami
berempat yakin dengan jawapan yang diberi. Bas yang sepatutnya kami
naiki sudah lama berada di stesyen, cuma pemandunya sahaja tidak
kelihatan. Kami menaiki bas itu dan duduk di kerusi belakang.
Dalam
perjalanan kami berlima asyik memandang kiri dan kanan jalan.
Melihat-lihat papan tanda rumah awam. Bas nombor 45 sudah melintasi
beberapa rumah awam. Kami mula sangsi, kerana tidak tahu mana satu
rumah awam yang dimaksudkan.
Kemudian kawan saya menekan loceng,
kami berlima turun dan menghadap sebuah bangunan sekolah. Rupa-rupanya
beliau mahu menghubungi Yusran menggunakan telefon awam di tepi sekolah
itu.
Sementara menanti, kami masih melihat kiri dan kanan.
Kebetulan di seberang jalan tidak jauh dari sekolah itu ada deretan
rumah awam. Papan tanda jelas berdiri di tepi jalan. Agaknya rumah
Yusran di sini.
"Katanya rumahnya atas sedikit, kena jalan lagi," kata kawan kami yang menghubungi Yusran.
Jam
12 tengah hari. Hari sudah meninggi, setengah jam kami berjalan masih
tidak nampak kawasan rumah awam yang dimaksudkan. Masing-masing sudah
mandi peluh, jelas kelihatan pada baju raya masing-masing.
"Ada
pertandingan rentas desakah?" tanya seorang penduduk kampung yang
melihat kami berjalan. Lelaki Cina sekitar umur 50-an tersenyum melihat
kami. Rumah saudara Yusran tidak kelihatan.
Kata rakan kami
rumahnya bukan di kawasan rumah awam, ia berdekatan dengan kawasan itu.
Apa yang kami dengan ketika itu adalah, "Bukit Rambai"
Kami bertanya kepada seorang penduduk kampung di situ.
"Kalau
hendak dekat ikutlah jalan sawah, lebih terus sahaja ikut jalan ini,"
kata lelaki itu sambil menunjukkan sawah yang dimaksudkan. Kami memilih
untuk mengikut jalan raya.
Kami melintasi sebuah balai polis,
salah seorang rakan kami mencadangkan kami bertanya kepada anggota
polis di situ. Itulah kali pertama saya masuk ke balai polis setelah
sekian lama. Mahu dipanggil Tuan atau Datuk pada pegawai bertugas? Kami
meniru panggilan seperti filem Melayu dulu-dulu. Pegawai polis yang
masih muda dipanggil Datuk. Ketika itu ada dua sahaja pegawai bertugas.
Suasana sunyi membuat kami gementar.
"Rumah kawan kamu ada penghawa dinginkah?" soal pegawai polis terbabit apabila kami mengajukan soalan.
"Tidak ada rasanya."
"Oh,
kawasan itu dekat sahaja, jalan terus sahaja sehingga nampak ladang
getah. Selepas ladang getah kamu akan nampak kawasan perumahan. Di
situlah rumah kawan kamu."
"Kenapa pegawai itu bertanya rumah Yusran ada penghawa dingin atau tidak?" tanya saya.
Masing-masing geleng kepala.
Kami
tiba di rumah Yusran selepas berjalan kaki merentasi kampung, beberapa
rumah awam, kawasan sawah dan ladang getah. Dari tempat kami turun
daripada bas sehingga ke rumah Yusran mengambil masa satu jam.
"Itulah
bertindak mengikut arahan yang betul. Tidak mengapa, sila minum,"
pelawa Yusran selepas menghidangkan sejag jus oren buat kali keempat.
Dia masuk ke bilik dan keluar membawa beg bimbit ayahnya. Ditekannya
butang pada kedua-dua belah beg bimbit itu, "Kerana kamu semua datang,
aku beri setiap orang duit raya."
Selepas itu, rasa-rasanya mereka datangkah ke rumah saya?
Tidak.
Ibu memang 'angin' dengan saya selepas menyediakan hidangan untuk rakan-rakan. Sejak hari itu saya tidak berani berjanji lagi.
Beraya
dengan rakan-rakan di Melaka ini memang ganjil ceritanya. Selepas lima
tahun, kami berkumpul kembali. Kali ini aktiviti ziarah lebih tersusun
berbanding dahulu.
Kali ini jumlahnya lebih ramai. Ada berkonvoi
dengan motosikal dan berkereta. Saya sudah lama tidak berjumpa mereka
beberapa tahun sebelum itu. Kerana program ziarah mereka selalunya
tidak kena pada masa kecuali pada hari itu.
Pada hari itu, kami
berkumpul di rumah rakan. Kemudahan telefon bimbit memudahkan mereka
merencana aktiviti. Saya masih tidak mempunyai telefon bimbit ketika
itu. Kami berkumpul di rumah seorang rakan. Saya datang sendiri kerana
ada urusan di rumah. Setibanya saya di sana masing-masing diam dan
memandang.
Apa salah saya?
Sahabat saya bernama Ammar datang menghampiri saya, "Aku ingat kau sudah mati!"
Pada
awalnya saya ingatkan gurauan cara orang Melaka. Tetapi bukan dia
sahaja, mereka yang lain menyangka saya sudah meninggal dunia setahun
lalu. Ini semua disebabkan maklumat tidak sahih daripada salah seorang
daripada mereka yang 'dengar-dengar' saya sudah meninggal. Cerita
'dengar-dengar' menjadi cerita benar bagi mereka. Saya pula sudah lama
tidak menghubungi mereka.
Tambahan lagi, memang beberapa rakan kami meninggal tidak lama sebelum itu. Saya juga masuk senarai.
Nota: Insya Allah dua entri nostalgia raya akan bersambung. Sekadar hendak
menimbulkan mood raya. Ada cerita menarik berkongsilah dengan kami di
sini.
ZAMRI MOHAMAD
www.zamrimohamad.com/kerjayawanita
|
|
| Nilaikan karya ini |
| Nilaikan karya ini |
| Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login] |
| |
|
|
| Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login |
|
CETAK |
EMEL |
LAPORKAN |
REKOMEN!! |
REVIU |
| Attribution 2.5 Malaysia |
 |
| Keterangan |
|
| jadual aktiviti bulan julai |
| 31 Julai: Borak Foto bersama Shaiful Rizal |
|