Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Aksi

Bangun dan rebah.....

Cerpen sebelumnya:
Mengheret Sang Permaisuri
Cerpen selanjutnya:
Insolvensi Hati


She Is - Clazziquai

Nada dering halus bergema menyelubungi ruang sempit bilik tidur 32 kaki persegi. Asap lingkaran nyamuk menggulung berkabus, menyesakkan udara bilik tertutup. Lingkaran nyamuk sudah tinggal beberapa inci, bakal bertahan untuk beberapa minit sahaja lagi. Aku yang baru sahaja tidur selepas waktu subuh tadi, terus mengerekot di atas katil queen, membiarkan sahaja panggilan tidak bersambut.

Agak lama sebelum aku menjadi bosan dengan nada dering ‘she is', diselangi isyarat getar yang turut menggetarkan otak dan seluruh badan. Lantas, selimut kapas warna coklat itu kuselak. Nokia N-series yang belum berhenti berbunyi dicapai. Aku menekan punat jawab panggilan sebelum memerhatikan nombor pemanggil. No unik terpamer pada skrin.

ASN9654621

ASN. Agensi Sekuriti Negara.

Aduh, apalagi awal-awal pagi minggu seperti ini? Bukankah pelajar pelatih baru sahaja in-take semalam? Aku mendekapkan corong suara ke telinga. Panggilan bertugas adalah sesuatu yang amatlah tak ku harapkan di pagi-pagi minggu seperti ini.

"Ya?," aku menyapa.

Senyap. Kuperhatikan mod telefon. Ah, bukan mod senyap!

"Zulkifli. Siapa di sana?" aku menyoal lagi.

"Kod masuk ‘perlembagaan'" satu suara memberikan arahan.

Aku terpana. Berfikir sebentar maksud kod tersebut sebelum memberikan respon. Perlembagaan bermaksud pertanyaan mengenai keahlian dalam ASN. Respon sepatutnya ialah ‘Rasuah'. Aku berfikir lagi. Mencari cara yang sesuai. Kod masuk ke ASN bukanlah semudah ABC. ASN perlukan satu cara lain. Lebih secure dan terjamin. Ya, satu cara lain...

"Aku tak tahu kod masuk tapi bolehkah aku beri rasuah?"

Positif. "Agen J03Y. Akses panggilan tugasan dari IBP223. Kod kecemasan 994"

Aku mendengus. Aduh... sial!!! "Bro, aku baru keluar pagi tadi. Tak sempat tidur lagi. Can't u just give me a leave? A day only... please!" aku merayu lembut.

Pemanggil terdiam. Aku pula masih meneka-neka siapalah gerangan si pemanggil pagi itu. Negatif.

"O.K dengar. Panggilan sekarang adalah akses tertutup dari Ibupejabat kod 223. Panggilan tidak boleh dipintas oleh mana-mana frekuensi melainkan peranti pada alat bimbit agen J03Y. Zulkifli Bin Zakaria, fail peribadi nombor 15051989-A. Zul, ini bukan main-main. Ikut arahan ini atau mati!" pemanggil masih cuba bertegas.

"Heh" aku tergelak kecil. Lawak kasar dari rakan setugas kusambut baik. Namun aku tetap dengan keputusanku. Badan ni dah macam kain buruk. Amat tidak bermaya.

"Zul, tengok perut kau. Sekarang." Arah suara itu lagi.

Aku jadi semakin bosan "Bro, aku nak tidur ni. Tolong key" tukasku.

"Aku serius. Look at your abdomen now and telling you what... aku ada akses keatas hidup kau dengan 3 sharp shooter!" kedengaran suara itu separuh menjerit.

Aku terpempan. Darahku mendesau dan mengalir ligat. Ah siapa lelaki ini yang begitu april-fool sekali lawaknya. Tanganku secara automatiknya meraba-raba bahagian abdomen yang dilitupi singlet dengan teragak-agak. Apalah yang dimahukan dari perutku yang kecut dan tidaklah berotot pejal. Gay kah? Tanganku terkena sesuatu yang melekap pada abdomen, berdekatan dengan pusat. Bahagian bawahnya terasa agak kasar. Perutku juga ngilu rasanya. Aku melayan lagi pemanggil misteri.

"Kau serius ni?" soalku lagi. Singlet putih kuselak perlahan sejurus, badanku terkaku seperti dibius. Darahku berhenti mengalir. Nokia N96 terlepas dari genggaman dan melantun di atas tilam, terus ke bawah katil. Aku menjerit kuat dan mengerang kesakitan.

"Ya Allah..." luka berjahit yang masih basah kelihatan. Kesakitan mula menjalar menyebabkan aku terhenyak ke dalam tilam tebal. Tangan aku juga mula memberat dan sukar diangkat. Ya Tuhan. Siapalah gerangan manusia berhati busuk yang sanggup menganiayai aku sebegini rupa. Imej-imej flashback rambang mengetuk pemikiran. Imej seorang wanita dengan pisau di sebelah tangan kiri terbayang samar-samar di layar ghaib. Perasaan kantukku hilang sama sekali.

Ku cuba bangkit dari pembaringan. Setiap inci pergerakan pada waktu itu amat menyeksakan. Perutku seperti dicarik-carik dengan pencakar sampah. Urat-urat dan sendi seperti dikunci dengan jurus ilmu persilatan yang tiada tandingan menyebabkan aku terbaring kembali. Kugagahkan jua sisa tenaga yang ada. Merangkak ke arah kaca jendela sambil menyeringai kesakitan. Langsir kevlar tebal heavy-duty kuleraikan dari ikatan, melabuhkannya menutupi kaca terbuka. Aku tersandar lagi sambil menekan luka dalam yang berdarah kembali. Singlet kapas putih mula dihias tompokan merah. Fikiran kusut semakin bercelaru memikirkan hari ini, 28 ramadhan , 2 hari sebelum cuti 1 syawal. Ada sesuatu berlaku dalam jarak masa selepas subuh hingga waktu sekarang, 8.30 pagi. Aku tertunduk lagi. Mati akal dengan apa yang harus kulakukan. Perutku senak bukan main. Tangsi jahitan terjulur agak panjang pada luka yang ditoreh melintang. Ada 8 jahitan semuanya dan aku masih tidak tahu apa yang ditambah atau dikurangkan dari abdomenku. Sedang aku sibuk berfikir, kaca di balik langsir kevlar pecah berderai.

Aku tunduk, memekup wajah ke lantai. Hanya satu telahan di mindaku, sharp-shooter! N-series mengguruhkan deringan dengan tiba-tiba dan aku tahu, permainan ini baru sahaja bermula. Permainan bodoh daripada pemanggil misteri ini benar-benar akan melibatkan nyawa dan seluruh kehidupan aku.

N-series terus resah minta dijawab. Aku kembali bersusah payah mendapatkan telefon bimbit yang terlepas ke bawah katil sambil menahan kesakitan yang tidak terperi. Keadaanku tak ubah seperti seorang ibu yang baru lepas pembedahan caesarean.

"Sial!!!" aku memekup lagi abdomen yang rasanya bagai diregang. Ya Tuhan. Seksanya... setiap patah perkataan, tiap nafas dan gerakan seperti renjatan elektrik. Aku menyambung lagi sumpah seranah kepada pemanggil yang sama, "Woi, siapa punya kerja ni? Kau nak apa daripada aku hah?" aku terdiam. Nafasku turun naik seperti lembu kena sembelih. Sakit! Peranti bimbit hampir sahaja terlepas dari genggaman.

Lalu kusambungkan telefon ke bebas tangan.

"...hahaha... aku tak mahu apa-apa. Aku nak nyawa kau dan nyawa ASN" giliran suara itu pula terdiam. Agak lama sebelum dia menyambung "Buka tingkap dan berdiri menghadap ke luar sekarang sebelum aku arahkan tembakan rambang untuk kau, J03Y"

Aku akur. Lelaki ini benar-benar serius dalam setiap arahannya. Jadi, aku tidak punya banyak pilihan. Bergerak menurut kemahuannya atau mengorbankan diri secepat mungkin. Namun, aku perlu sedar tentang penghujung kisah ini yang bukan hanya mahu mengorbankan aku tetapi cuba sedaya upaya membunuh agensi penyiasatan nasional bertaraf antarabangsa, Agensi Sekuriti Negara. Aku perlu bertahan selama yang mungkin untuk mempertahankan ASN. Mesti!

Aku berdiri dalam keadaan sedikit bongkok. Langsir kevlar ditolak perlahan, membiarkan serpihan kaca berderaian jatuh ke lantai. Mataku meliar memerhatikan bangunan sekitar, memerhatikan sudut yang baik untuk seorang penembak tepat melepaskan tembakan. Hampa. Sebutir peluru rifle kaliber 22mm jatuh berdekatan tumitku lalu aku menunduk penuh penyeksaan untuk mendapatkan peluru yang berkilat dan nampak baru. Bukan, bukanlah peluru ini yang telah memecahkan cermin tingkapku kerana ianya tiada calar langsung melainkan calar fingerprint - calar sekata yang terhasil akibat geseran dengan muncung senapang.

Aku membelek lagi. Aku lalu teringat bahawa aku pernah terdengar bunyi letupan sejurus sebelum kaca ini pecah. Otak ku ligat menelaah setiap aspek. Penembak tepat sama sahaja dengan pembunuh upahan. Selalunya mereka mengenakan penyengap bunyi untuk menyembunyikan kehadiran mereka. Jadi, kalau begitu, apa yang telah memecahkan jendela ini? Aku perhatikan taburan kaca. Serpihan halus berkumpul di sebelah kanan bingkai jendela yang terbuat dari aloi. Aku mula tertenjet-tenjet di atas jari kaki, berjalan berhati-hati agar tidak dicederakan oleh kaca halus yang bertaburan. Jari kelinking kiri ku julurkan ke sebelah luar di sisi kanan jendela dan ku seretkan dari atas ke bawah. Sah, cermin ini telah diletupkan dengan bom jangka berdasarkan kesan kehitaman dan serpihan cat yang terbakar dengan suhu tinggi.

"Setaann! Kau nak main apa dengan aku?" aku menjerkah ke dalam telefon dengan kuat. Sekali lagi, aku tertunduk kesakitan.

"Ouch! Sakitnya... haha..." tiba-tiba panggilan di subkan. Lelaki di hujung talian nampaknya sibuk dengan beberapa panggilan lain. Aku mengambil peluang ini untuk mencari maklumat tentang pergerakan lelaki yang dikira penjenayah. Aku mengirim SMS kepada Lisa yang kujangka berkerja shift pagi hari ini.

Saya perlukan maklumat tentang agen yang masih di ibupejabat dan menggunakan talian ASN9654621. URGENT!!!

Panggilan kembali aktif. Lelaki tadi kembali menyapa, "J03Y, Starbuck cafe, Jalan Bukit Raja, meja C3, come alone,"

Aku bergerak perlahan dan teragak-agak. Pergi atau tidak, nyawa aku tidak akan terancam dengan penembak tepat. Hanya yang ku risaukan, mungkin nyawa seseorang yang dalam bahaya. Jadi, dengan sengajanya aku berkeputusan untuk memangsakan diri. Membiarkan mereka menyangka perangkap mereka mengena tapi sebenarnya akulah yang bakal memerangkap si ‘pemburu'. Melangkah dengan sangat lembut, tanganku tak henti-henti menekan abdomen. Kunci kenderaan pacuan 4 roda milik ASN kuambil dari para bersebelahan pintu apartment. Sewaktu memutarkan tombol pintu, sekali lagi panggilan di-subkan. Aku menggunakan peluang ini untuk menghantar satu lagi SMS. Kali ini kepada Suhaimi, rakan setugas paling dipercayai.

Bro, pagi ini minta ke pejabat A.S.A.P and wait for my next response. I was working under duress.

"Can you walk faster?"

"I'm faster than I am" beberapa kali aku bersandar ke dinding untuk melegakan kesakitan. Ada waktunya aku duduk agak lama. Duduk berteleku menanti kesakitan reda sendiri. Singlet putih sudah tidak lagi putih. Tompokan darah juga ada yang menghitam.

Aku berjalan terus ke arah parking bawah tanah, tercari-cari Perodua yang selalunya diparkir di petak D12, perkara pertama yang aku lakukan ialah menghubungi Indra melalui radio frekuensi berbilang - model walkie-talkie yang mempunyai frekuensi berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Indra. Pegawai perisik tahap sederhana. Berkepakaran sebagai pengukur jarak atau marksman. Juga pernah menjalani latihan sebagai penembak tepat dengan 297 mata. Kurang satu mata untuk jadi Ace-Sniper. Laporan yang kuterima, Indra berada di Lembah Keramat untuk menguruskan satu kes cubaan membunuh diri. Sepatutnya siasatan telah selesai dan tindakan sudah diambil. Tentang suspek bunuh diri, malas untuk aku ambil tahu. Terus, aku meminta dia membuka radio frekuensi mode receiver untuk menerima maklumat kedudukan aku. Indra menurut tanpa banyak soal membuatkan aku gembira seketika. Insya-Allah Indra, bila ia telah selesai, akan aku dedahkan kesemuanya tentang apa yang berlaku.

Tatkala Perodua Kembara yang kunaiki dipandu keluar dari Medan Apartment, mesej dari Lisa masuk ke inbox

ASN9654621, panggilan anti-sleuth. Entree: Willbur  William... Selamat Hari Raya =p

Will! Sungguh tak ku sangka, Will yang ku kenal sebagai pelawak pejabat sanggup memperlakukan aku sebegini rupa.  Aku berfikir lagi. Tak mungkin Will sanggup menganiayai rakan sekerja. Aku yakin, ada sesuatu yang tak diketahui berlaku disebalik semua ini.

"Jangan belok masuk ke Jalan Jasper, ambil arah jam 3 bulatan Ruby, 650 meter di hadapan "

"Baik." Aku membalas dengan tegas. Kemarahan aku sebenarnya meluap-luap dengan tiba-tiba. Mahu sahaja aku jerkah Will pada waktu itu juga. Biar dia hentikan sahaja permainan ini. Tapi aku terfikir juga kemungkinan, Will hanya boneka. Jadi aku cuba menyelami secara mendalam.

"Macam mana kau tahu pergerakan aku, Will?"

"Haha... kau tahu juga siapa aku. Bro, tak susah nak terka pergerakan lelaki biasa macam kau. Eagle Eye"

Eagle Eye! Serta merta pandangan ku layangkan ke udara. Tercari-cari sesuatu dari balik awan. Kemudian, pandangan kularikan ke dashboard, sebaik sahaja menyedari tindakan tolol ku yang cuba mencari satelit perisik Russia yang berada 3000m di udara. Aku menjeling tepat kepada alat Ground Positioning System. Punat stanby ditekan kasar sambil mulutku masih berkomunikasi dengan Will.

"Ada tak... ada tak sesuatu yang lebih berharga daripada persahabatan kita, Will?" aku bertanya dengan suara perlahan.

"Ada..." Will terdiam. Agak lama, dia menyambung, sebak, "...nyawa aku!"

Giliran aku untuk senyap. GPS Mendesing kasar. Ah, masakan lokasi satelit tidak ditemui. Mustahil. Aku tekan lagi butang merah pada penjuru kanan atas. Mesej rawak muncul pada skrin biru. Hurufnya berlayar satu-persatu.

Akses blocked by your server

Aduh, keadaan makin gamat nampaknya. Agak susah untuk aku melarikan diri dari Eagle Eye tanpa mengetahui kedudukannya.

Dari bulatan Ruby, aku mengambil laluan ke pusat bandar. Dari laluan ini, aku perlu melintasi flyover dan kalau turun ke laluan bawah, sepatutnya ia melalui bangunan ibupejabat ASN. IBP223. Perubahan rancangan akhir: aku mesti ke pejabat ASN. Steering ku putarkan lawan arah jam, membelok memasuki susur keluar laluan pusat bandar.

"Ke mana?" Will menyoal. Waktu itu, aku sudah keluar dari kereta yang diparkir di tengah-tengah halaman bertar bangunan 40 tingkat.

"Selamatkan kau, selamatkan ASN" kataku sambil duduk di dalam elevator. Pergerakan ke atas memberikan kesan graviti berganda kepada seluruh badan menyebabkan tekanan darahku meningkat. Darah merah hangat meleleh dari luka. Singlet putih kembali basah dengan cairan merah.

"Zul..." Will menggumam.

"Ya?" aku memasang telinga.

"Its... its... planned by coffee in a cup"

"What coffee? What cup?"

Tingg!!! Elevator berhenti di tingkat 38. Suara Will kedengaran samar-samar waktu itu kerana aku sangat teruja dengan kehadiran Lisa yang kebetulan berada di bukaan pintu. Dia terkocoh-kocoh masuk dan fail-fail di tangannya dilemparkan ke lantai. Lisa menolong memapahku yang berada dalam keadaan yang amat kasihan. Namun, apakan daya. Kudrat seorang wanita bertubuh sederhana tidaklah cukup untuk menghilangkan beban tapi sekurang-kurangnya ia agak membantu meringankan. Lisa melayangkan kad namanya ke mesin pengimbas radio di muka pintu. Pintu lif terus terbuka sekaligus, lif dikunci dari bergerak. Ini membolehkan kami berjalan perlahan tanpa diganggu gerakan dari pintu. Aku memintanya menghantar aku terus ke bilik gerakan, tempat dimana Wilbur William sepatutnya bertugas.

Pintu kaca kutolak kasar. Ianya membuka dan mendedahkan ruangan yang sangat cantik. Aku benar-benar kaget waktu itu hingga langsung tidak menyedari apa yang berlaku di belakangku. Keadaan Will yang masih terkejut dan kujat kaku diikat diatas kerusi, mematikan langsung saraf auditori dari menangkap bunyi tangan halus Lisa menukar magazin peluru.

Dan, suara pertama Will menjadikan aku batu paling besar. Terus bungkam.

"She's coffee in a cup"

Pendengaranku kembali berfungsi menangkap bunyi-bunyi sial di belakangku.

Teet. Alat pengimbas radio berbunyi, sama dengan yang terdapat dalam lif. Pintu telah pun dikunci oleh orang yang amat berkuasa pada waktu itu. Sangat berkuasa hingga kekuatan badan ku seperti diserap olehnya.

Krakk kak. Barrel atas(slide) Magnum separa automatik ditarik. Picu telah pun bersedia untuk menjunamkan peluru pertama yang dinaikkan ke atas secara manual.

Keletak keletak. Kaki itu terus berjalan teratur seperti tidak ada apa-apa yang berlaku sedangkan jantungku pada waktu itu berdegup kencang. Tekanan darahku naik mendadak, mengakibatkan kapilari darah pada mata membesar. Mataku me-merah dan air jernih mengalir automatik memenuhi kelopak mata. Dan, entahkan hormon apalah yang dibebaskan oleh mana punya kelenjar, badanku menggeletar.

Aku terduduk, membelakangi Lisa. Dadaku rancak dengan tangisan.

Aku ini berkerja di jabatan separa kerajaan dan dianggap selamat dari ancaman luar. Dan aku benar-benar terlupa tentang ancaman dari dalam. Aku mengeluh lagi.

Ramadhan yang kusia-siakan telah berlalu. Adakah aku akan berjumpa lagi dengan ramadhan? Rancangan untuk berjumpa keluarga sempena cuti hari raya, tunanganku, semuanya impian yang bakal dihancurkan oleh seorang wanita.

"Kenapa?" soalan itu terlantun keluar dek kerana tekanan yang semakin dirasakan.

Perempuan itu tersenyum sinis. Tembakan pertama dilepaskan secara mengejut. Badanku terputar dan aku rebah ke lantai. Terbaring menelentang. Tembakan menembusi tapak tangan kanan dengan peluru kaliber 33 mm menghasilkan luka besar yang tembus. Tanganku seperti dipotong pada paras bahu.

"Itu sebagai tanda terima kasih kerana melindungi Perdana Menteri sewaktu sidang akhbar terbuka tetapi sangat lemah hingga mengakibatkan kematian Perdana Menteri" dia menyambung, "Dan ini, terima kasih kerana operasi termination ke atas agen M07F, ayah aku" katanya lagi sambil melepaskan tembakan kedua.

"Zul!!" Will melaung kuat. Matanya juga berkaca-kaca.

"Arrgghh!!" aku menjerit kesakitan tatkala peluru bersalut chrome menembusi di tengah tapak tangan kiri.

Lisa masih berjalan mundar mandir.

"Lisa, stop it" pinta Will dengan raut wajah simpati.

Lisa waktu itu telahpun dikuasai oleh sesuatu berupa ghaib atau mungkin inilah yang dinamakan dendam.

Dia mengacukan lagi muncung Magnum yang masih berisi 22 kelongsong peluru disusun secara zig-zag. Pada mulanya, aku yang menjadi sasaran sebagai tanda terima kasih kerana mengambilnya berkerja tapi, ianya berubah dalam masa yang sangat singkat. Aku seperti dilalikan sebentar dari memahami apa yang berlaku. Jeritan senjata api berkumandang memuntahkan peluru menembusi kepala Will yang masih terikat. Trajektori membawa bersama serpihan tempurung kepala dan cebisan otak bercampur darah ke sebelah kiri kepala, pada bukaan tempat keluar peluru. Pullback. Tubuh yang masih bernyawa sebentar tadi berubah dalam sekerjip mata, menanti Rigor mortis. Sudahnya, aku yang seperti orang bodoh. Seperti hilang separuh dari medula otak.

Ya, sudahlah aku ini bodoh dari awal lagi seperti cawan yang putih yang secara sukarela menampung, mempertahankan kopi yang hitam pekat. Dan kini seperti orang yang 200 ribu kali lipat lebih bodoh. Aku terasa. Perbuatan aku yang cuba melindungi ASN yang dikaitkan dengan kehitaman mengakibatkan kehancuran aku sendiri. Aku cawan yang putih. Sekarang, aku cawan yang putih yang sedang diacu pistol. Sekejap lagi bakalan jadi debu. Will benar dalam isyaratnya.

Lisa duduk di sebelahku sambil mulutnya tak habis-habis mengomel dengan suara perlahan. Suaranya yang halus dan perlahan itu laksana petir yang berdentum. Wajah manis yang menyapa di balik pintu lif dengan fail-fail kosong, seperti wajah malaikat maut yang menggerunkan. Magnum carbomere binaan sintetik dipegang kejap di tangan kiri, tangan yang memegang pisau pagi tadi untuk merobekkan abdomenku.

Selesai berkata tentang tragedi penculikan yang berjaya diselesaikan ASN 3 tahun dahulu termasuklah tragedi mangsa culik yang dirogol oleh agen bertugas, dia menarik slide magnum kaliber 33.

"Jangan risau, aku pasti menyimpan peluru untuk pasukan kau yang lain, Indra dan Suhaimi," katanya sambil melekapkan muncung pistol ke tengah ubun-ubun ku.

Dan...pada waktu tangan itu bersedia menarik picu, aku sudah tidak menyedari apa-apa lagi.

Cerpen sebelumnya:
Mengheret Sang Permaisuri
Cerpen selanjutnya:
Insolvensi Hati

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.5
2 Penilai

Info penulis

Zulkifli Zakaria

;>
Jo3y | Jadikan Jo3y rakan anda | Hantar Mesej kepada Jo3y

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Jo3y
Kisah 2 daerah | bacaan
Pemimpin Seribu Tahun | bacaan
Pahlawan yang bosan | bacaan
Pemuda kecil | 63 bacaan
Adam dan Hawa | 4009 bacaan
Mahar buat isteri | 3203 bacaan
Mencari malaikat | 3327 bacaan
Rhapsody kasih... | 2472 bacaan
Soyuzers... (Part 1+1/2) | 2209 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

17 Komen dalam karya Bangun dan rebah.....
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik