Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Cerita Sebuah Semalam

Cerpen sebelumnya:
Kisah Klinik Yong-the worst clinic!
Cerpen selanjutnya:
Mahkamah Dewata Raja-raja

Dari papan kekunci penulis – sekopi

Entah siapa yang akan membaca karangan sebegini. Aku tak pasti, kalangan audiens di kapasitor yang menggemari karangan sebegini. Sukar juga mahu letakkan penjenisan untuk tulisan sebegini. Aku tak berapa pasti. Pada aku, kalangan audiens kapasitor adalah dari golongan remaja kebanyakannya. (Atau mungkin ada yang “bawah umur”). Kebanyakan kalangan remaja kurang menggemari cara penceritaan sebegini yang agak ketuaan (lapuk?) pada aku. Karya ini adalah sebuah karangan untuk aku cuba menulis dan belajar penulisan gaya sebegini.Moga kalian menikmatinya.

***

Cerita Sebuah Semalam

                Kenangan. Dia punya cerita tersendiri. Kadangkala sungguh bermakna. Namun kadangkala juga amat menyakitkan.

Kenangan adalah sebuah kisah. Pernah kenangan itu manis. Selalu juga kenangan itu pahit. Semua perlu ada kenangan. Kerana kenangan adalah lumrah. Lumrah yang dicipta untuk sekelian makhluk bernama manusia. Juga haiwan mungkin punya kenangan. Siapa manusia yang tahu?

Dengan lumrah itu, manusia belajar dan kenangan adalah sebuah kisah silam yang patut menjadi guru terbaik kepada makhluk bernama manusia. Walau baru sehari waktu silam yang melepasi, tetap menjadi kenangan yang tak akan kembali. Kasihan, manusia terpaksa meninggalkan kenangan itu melepasi jarum waktu yang singkat kalaupun ia sangat indah.

Semalam juga sebuah kenangan. Kenangan singkat untuk seorang manusia. Banyak perkara berlaku dalam dua puluh empat jam jarum berdetik. Ada manusia yang tidak sedar, mereka sudah melepasi sebuah kenangan. Lalu mereka jadikan kenangan itu seperti udara. Cukup sekadar melaluinya. Walhal, perkara itu cukup penting untuk mereka ingati.

Lalu semalam jadi sebuah sejarah. Takkan lagi dapat diubah kerana akan kekal begitu. Sehari, mampu mencorak kisah hidup seorang manusia, untuk hari-hari seterusnya. Jika semalam itu elok, esok tak pernah siapa tahu apa akan berlaku.

Ada manusia berpegang dengan kata “hidup ini seperti roda, kadangkala kita diatas, dan kadangkala kita dibawah”. Namun, ramai juga juga mahukan hidup sentiasa diatas dan dia itu tak pernah mahu berada dibawah. Lalu, semalamlah yang mencorak putar roda hidupnya.

Tak pernah terfikir, masa akan berhenti. Kalaupun hari-hari terakhir hidup seseorang di muka bumi, itu bukanlah sebuah masa yang berhenti. Dia sekadar bertukar alam dan menjalani hidup yang cukup berlainan di alam yang lain. Nasibnya di alam itu cuma bergantung dengan hidupnya yang semalam.

Semalam

Iman mendongak tinggi melihat jarum waktu yang berdetik di dinding. Jarum yang sentiasa berdetik dengan penuh disiplin. Jam itu sebuah ciptaan manusia. Seperti penciptanya, akan ada waktu akhir yang akan memberhentikan detik gerak jarum itu.

Iman bertongkat siku di muka tingkap. Angin lembut terasa dingin membelai alur-alur lekuk di tubuhnya. Selesa dan udara itu satu nikmat Tuhan kepada makhluknya. Gemalai gerak dedaun pohon menepis lalunya angin.

Ayam peliharaan Mak Jah, ibunya Iman ralit mengais tanah. Debu halus yang terkais, mengikut gerak angin lembut. Terbang, entah hinggap kemana. Ayam-ayam itu masih mengais. Tidak peduli dia akan kemana debu halus itu pergi. Kadangkala dia mematuk ke tanah memamah rezeki. Rezeki yang sudah tertulis cara pencariannya.

Pandang Iman kepada sang ayam lantas teralih kepohon jambu. Sang Serindit berdada hijau tekun mematuk buah jambu yang sudah kemerahan. Rezeki Sang Serindit memang di situ. Di pohon rimbun hijau yang berbuah manis.Iman kagum, tenggek Sang Serindit dihujung ranting kecil. Tidak pula ranting kecil halus itu menggugat gerak Sang Serindit. Ciptaan Tuhan memang kena pada makhluknya. Berat Sang Serindit tak pernah mengganggu utuhnya ranting halus itu.

Indah, lakonan alam ciptaan Tuhan mengkhayalkan seorang manusia yang sedang berada didalamnya. Masa tidak lagi dipedulikan kerana peristiwa itu sungguh indah. Seketika kemudian, warna langit berubah kekuningan. Iman mengarah deria penglihatan ke penghujung ufuk. Cahaya mentari menyelinap di celah-celah awan. Bebola mentari yang kian hilang terperosok di celah banjaran titiwangsa. Indah sungguh serpihan cahaya mentari. Iman kian khayal menonton sebuah cerita alam.

-Iman

Iman memutar tubuh. Mak Jah, ibunya sedang tersenyum. Iman turut membalas senyum.

-Cantik kan Man?

-Ya Mak.

Iman kembali memaling tubuh ke muka tingkap. Dia tidak mahu ketinggalan menonton detik pengakhiran waktu siang hari itu. Hari yang akan menjadi kenangan untuknya bila esok tiba. Mak Jah sekadar menggeleng kepala melihat perlakuan anaknya. Setiap hari, tiba waktu senja Iman akan termenung di muka tingkap melihat matahari jatuh. Sama, setiap hari.

-Man, karang dah habis Man tutup tingkap ya.

-Ya, Mak.

Iman mengangguk sesudah berkata. Sekadar untuk memberi penekanan bahawa arahan ibunya tadi akan dilakukan.

Hari kian gelap. Bebola mentari sudah bersembunyi di balik banjaran memberi cahaya kepada bahagian mukabumi yang lain. Sinar kekuningan yang tadinya menyelinap di celah awan kian malap bersama gelapnya hari dan matahari berganti bulan. Iman menghulur tangan mencapai pemegang daun tingkap papan yang kian uzur dimamah masa. Engsel yang sudah berkarat membayangkan usianya, berkeriut mengeluarkan bunyi.

Rumah pusaka bersama sebidang tanah peninggalan arwah ayah menjadi tempat berlindung Iman dan Ibunya. Semenjak pemergian arwah ayah, kian hari, rumah itu kian hilang serinya dimamah langkah masa bersama perginya arwah menghadap Ilahi.

Iman menyeka air mata yang tiba-tiba jatuh kepipi. Entah kenapa, hatinya tersentuh tatkala arwah ayah terlintas dalam fikirannya. Kerap juga fikirannya melayang sampai kesitu. Namun tidak pula pernah sehingga air matanya menitis kepipi.Lalu, Iman lantas menyedekahi Suratulfatihah keatas arwah ayahnya.

Mak Jah memerhati perlakuan Iman. Berkerut dahinya memikirkan punca Iman menitiskan air mata secara tiba-tiba. Hatinya terdetik untuk menegur.

-Man, kenapa?

Suara Mak Jah tiba-tiba menerpa ke pangkal telinga Iman, tatkala dia baru menamatkan Surah Al-Fatihah tadi. Iman memaling wajah bertentang mata dengan ibunya. Lalu, Iman tersenyum melihat wajah tenang ibunya. Titis air di hujung kening Mak Jah menandakan ibunya sudah berwudhuk menanti waktu maghrib tiba.

-Man dah mandi? Maghrib dah nak masuk ni.

-Belum mak, Man nak mandi la ni.

-Tak elok mandi waktu senja Man.

-Ya mak.

Iman melangkah berlalu meninggalkan ibunya menuju ke bilik mandi. Mak Jah pula melangkah menuju ke ruang sembahyang lalu mengenakan telekung dan mahana. Mak Jah menghulur tangan mencapai naskhah Al-Quran di atas meja berdekatan dengan tempat menyidai.

Merdu mendayu suara Mak Jah membaca surah, suaranya menjadi hiasan bunyian alam, bercampur baur dengan bunyi serangga yang makin kuat bersahut di luar. Senja itu makin berlalu. Bunyi azan Maghrib dari surau berdekatan  menembusi dinding papan rumah.

Iman yang bertuala baru selesai mandi bergegas ke biliknya. Memang selalunya, sejak beberapa hari Mak Jah kurang sihat ini Imanlah yang menjadi Imam solat kepada Mak Jah. Namun hari ini dia sedikit terlewat. Hari-hari sebelumnya, ketika Mak Jah sihat, selalunya Iman solat berjemaah di surau.

***

 

Hari ini

                -Man, kemana kau seminggu ni tak datang ke surau?

                -Mak tak berapa sihat Pak Imam.

                -Oh, aku ingatkan kau dah pulang kebandar.

                -Saya dah berhenti kerja Pak Imam. Lagipun mak tak berapa sihat. Risau juga nak tinggalkan dia sorang-sorang dirumah tu.

                -La, kenapa tak dibagitahu. Habis tu, kamu tak bekerjalah sekarang?

                -Nampaknya macam tu lah Pak Imam. Sementara ni, saya menoreh getah arwah ayah yang dihulu tu.

                -Kalau dibagitahu awal-awal tak payahlah aku susah-susah. Kamu ni. Jom kita ke rumah aku, ada benda aku nak bincangkan dengan kamu ni.

                -Tak payahlah Pak Imam, lagipun Mak tinggal seorang dirumah.

                -Ala, sekejap je. Jom lah.

                Iman menggaru kepala yang tidak gatal. Ibunya baru sahaja kebah dari demam. Menolak ajakan Pak Imam pula seperti menolak rezeki jatuh keriba.

                -Jom, sekejap je Man.

                Beria benar Pak Imam menjemput. Entah kerja apalah yang mahu di pelawa Pak Imam itu. Iman mengangguk tanda setuju. Lalu, Iman bersama Pak Imam beriringan menuju kerumah Pak Imam yang tidak begitu jauh dari surau.

                -Duduk Man.

                Iman duduk di kerusi berkusyen empuk. Pak Imam juga duduk bertentang dengan Iman.

                -Yah, buatkan air. Apak ada tetamu ni.

                -Baik pak.

                Sayup gemersik suara Safiyah dari dapur. Safiyah anak gadis bongsu Pak Imam yang baru menamatkan pengajian di Universiti institut Teknologi Mara Shah Alam.  Juga sedang mengganggur beberapa bulan di rumah semenjak menamatkan pengajian.

                -Siapa paknya.

                Suara Mak Limah, isteri Pak Imam pula nyaring menerjah dari dapur. Pak Imam tersenyum kelat memandang Iman.

                -Mak Limah kamu memang kuat suaranya.

                Iman sekadar tersenyum dan mengangguk membalas penerangan Pak Imam berketurunan Jawa itu. Sememangnya sekeluarga itu bersuara lantang. Dengar sahaja suara Pak Imam mengimamkan solat. Suaranya jelas boleh didengar hingga ke luar surau walau tanpa pembesar suara.

                -Budak Iman ni ha. Katanya dah berenti kerja di bandar. Ni aku nak berikan dia kerja lah.

                Iman mengalih pandang kearah Safiyah yang baru keluar dari muka pintu dapur. Sejak tamat zaman persekolahan, baru sekali inilah Iman bertemu dengan anak gadis bongsu Pak Imam ini. Beberapa tahun ini Safiyah sudah membesar menjadi seorang gadis yang anggun. Safiyah… Fikiran Iman melayang ke tingkatan akhir persekolahan dan perkenalannya dengan Safiyah.

                Kisah kenangan silam

                Sunyi suasana dalam perpustakaan, seorang pelajar bernama Iman tekun menyudahkan kira-kira Matematik Tambahan yang diberi oleh gurunya. Sesekali dia menekan butang nombor di kalkulator saintifik dan kemudian kembali menulis kira-kira di kertas. Sunyi, cuma kedengaran bunyi angin dari kipas siling yang menemani pelajar itu.

                -Abang Iman

                Gemersik suara gadis yang menegur di hadapanya. Iman yang tekun mengira bangun mengangkat kepala. Seorang gadis yang masih muda. Mungkin pelajar dari tingkatan tiga.

                -Ni Abang Iman kan?

                -Ye, Saya Iman.

                -Abang Iman, nama saya Safiyah. Tingkatan tiga cekal. Saya nak minta tolong Abang Iman ajarkan matematik.

                Iman menggaru kepala tak gatal. Mahu ditolak, nanti dikatakan sombong. Dia juga sedang sibuk menyelesaikan kerjanya sendiri sekarang. Memang dia tidak pernah menolak jika ada pelajar yang perlukan bantuannya. Iman tersenyum melihat si gadis ayu bersopan di hadapannya. Safiyah membalas senyum Iman. Di tanganya memikul sebeban buku.

                -Abang sibuk? Kalau sibuk tak pelah.

                -Takpe-takpe, sinilah, apa yang Safiyah nak Abang ajarkan?

                Safiyah menghulur buku teks matematik lalu Iman sambut. Satu demi satu soalan yang tidak dapat dijawab Safiyah diterangkan oleh Iman. Iman pelajar terbaik sekolah itu, sejak dari tingkatan satu. Semua pelajar di sekolah kampung itu mengenali Iman, pelajar terbaik sekolah. Manakan tidak, dia satu-satunya pelajar yang berjaya mencapai 7A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Satu pencapaian yang cukup baik untuk sebuah sekolah kampung.

                Sejak itu, Iman semakin rapat dengan Safiyah. Safiyah kerap datang belajar bersama Iman di perpustakaan. Selalunya dia berteman bersama beberapa orang rakan lain. Iman sentiasa mampu menjawab semua soalan yang tidak difahami Safiyah dan rakan-rakannya. Iman bagaikan menjadi seorang guru tidak berbayar kepada mereka.

Hingga hari terakhir Iman bertemu Safiyah selepas beberapa minggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar.  Seminggu sebelum pemergian Iman ke Australia. Iman pergi tanpa pengetahuan Safiyah, mahupun penduduk kampung yang lain. Berita pemergian Iman sekadar diketahuinya dari guru sekolah.

Cuma Ibu, Bapa, dan seorang Bapa saudara Iman yang menghantar Iman. Itupun cuma di rumah salah seorang Guru Iman yang sudi menghantarnya ke Lapangan Terbang. Pemergian itu memutuskan hubungan persahabatan Iman dengan Safiyah serta sahabat yang lain.

***

                Sopan beradap laksana dayang menghadap maharaja. Geraknya lembut penuh tertib, cukup lengkap untuk seorang gadis Melayu yang beradat. Safiyah menyusun hidangan  diatas meja dari atas talang. Dia menjeling Iman yang tidak putus pandang memerhati gerak lakunya dari tadi sambil menyimpul senyum yang paling indah buat seorang yang sudah lama dirinduinya. Iman membalas senyum. Selesai menyusun hidangan Safiyah berlalu kembali ke dapur.

                Pak Imam pula asyik menggulung rokok daun nipah berisi tembakau. Lincah jari-jemari Pak Imam separuh umur itu menggulung rokok. Iman menanti kata dari Pak Imam.

-Man, bila pulak kamu berenti kerja?

                -Sejak mak tak berapa sihat ni lah Pak Imam.

                -Susah nak dapat kerja sekarang Man. Si Yah tu ha, dah dekat setahun menganggur.

                -Rezeki ada di mana-mana Pak Imam.

                -Ni, kalau kamu betul nak bekerja, kamu bolehlah tolong jagakan kolam ikan keli aku.

                -Jaga macamana Pak Imam?

                -Nantilah aku ceritakan. Berkenaannya upahnya, Aku boleh bagi ikut hasil jualan ikan-ikan tu setiap bulan. Kolam itupun PELADANG yang bagi. Semua, anak-anak ikan keli, gali kolam, semua PELADANG sediakan. Aku ni nak menolong budak-budak di kampung ni aje.Tapi semuanya malas nak kerja begitu.

                ­Iman mengangguk faham. Air teh O yang sudah suam di dalam cawan di hirup perlahan. Sekadar membasahkan tekak. Iman mendongak memandang jam di dinding. Jarum jam dinding menunjukkan jam sepuluh dua belas minit. Sudah agak lewat kalau nak diikutkan.

                -Esoklah saya ke kolam Pak Imam. Hari pun dah malam ni, risau pulak saya dengan orang tua di rumah tu.

                -Esok pagi, lebih kurang pukul sepuluh kau terus ke kolam ye Man. Sampaikan salam aku pada mak kau.

                -Baik Pak Imam. Saya beransur dulu.

                Iman menghulur salam dan Pak Imam menyambut. Dingin telapak tangan Pak Imam. Iman mengerling ke muka pintu dapur. Safiyah berdiri bersandar di dinding menyimpul senyum seindah puteri kayangan. Iman membalas senyum bersahaja. 

                Iman melangkah tenang menuju ke rumahnya. Jarak rumahnya dengan rumah Pak Imam tidaklah jauh sangat. Tapi, kalau berjalan terasa juga penatnya. Iman berhati-hati melangkah dalam gelap bersuluhkan cahaya bulan mengambang kelam.

                Allahuakbar!!!

                Iman mengangkat kakinya. Tempat yang terkena gigitan oleh binatang yang tidak dikenali terus membengkak. Menyeringai Iman menahan sakit. Iman melihat tempat gigitan. Dari pengalamannya, cara gigitan itu seperti gigitan lipan. Calang-calang lipan, jika lipan bara yang menyegat, lima minit sudah cukup untuk memitamkan Iman.

                Iman membaca potongan ayat Al-Quran yang dipelajari dari arwah ayahnya. Ayat untuk mengurangkan bisa gigitan serangga. Selesai membaca, Iman menghembus angin kearah tempat gigitan lalu melurut sehingga ke ibu jari. Itu amalan arwah ayahnya untuk mengurangkan bisa sengatan serangga. 

                Mak…

                Tiba-tiba terlintas ibunya di benak fikiran. Berkali-kali menerpa ke kepala Iman. Terhencut-hencut dia menahan sakit, sambil melajukan langkah. Namun dikuatkan juga semangatnya. Iman beristighfar di dalam hati. Dia berharap sesuatu yang buruk itu cuma perasaannya.

                Sampai di muka pintu, Iman mengetuk pintu perlahan. Mungkin ibunya sudah tidur. Dia tidak mahu mengganggu. Kemudian terdengar suara ibunya menyebut takbiratulihram. Tanda ibunya sedang bersembahyang. Iman menolak daun pintu.

                Mak Jah sedang sujud. Iman bersyukur di dalam hati. Apa yang terlintas tadi cuma perasaannya. Iman melangkah masuk tenang lalu mengambil Minyak Afiat berwarna hijau di atas almari buku lama simpanan arwah ayahnya. Iman duduk di kerusi dan menyapu ubat di tempat yang terkena gigitan. Dia mengurut-ngurut kakinya yang masih membengkak. Berdenyut-denyut kebas.

                Iman mengerling kearah ibunya yang sedang solat. Namun, masih lagi belum bangun dari sujud. Sudah hampir lima belas minit. Terus sahaja jantung Iman berdegup kencang. Sesuatu bermain di kotak fikirannya. Namun Iman masih berfikir dengan baik. Mungkin Ibunya sedang solat sunat.

                Hilang sakit di kaki. Iman menanti Ibunya bangun dari sujud. Hampir sepuluh minit menanti, Iman mengucap dua kalimah syahadah lemah. Perlahan Iman melangkah menuju kearah Ibunya yang sedang sujud.

                -Ibu

                Iman berbisik perlahan di telinga ibunya. Dia menyentuh telapak tangan ibunya di atas sejadah. Sejuk. Serta merta, tanpa dapat dikawal, air mata Iman meluncur laju di pipi. Ibunya sudah pergi menghadap Ilahi, tanpa dia sempat memohon maaf. Juga tidak dihadapan dia. Namun, pemergian ibunya cukup sempurna. Mak Jah pergi ketika solat dan dalam keadaan sujud. Jelas sekali anugerah dari Yang Maha Esa.

                Iman membaringkan jasad ibunya di atas sejadah. Wajah jenazah cukup berseri. Air wudhuk di hujung kening masih belum kering. Iman mencium dahi jenazah ibunya. Kemudian dia tutupkan jasad kaku tidak bernyawa itu dengan kain batik yang tersidai. Iman menarik nafas panjang. Ibunya sudah pergi dijemput Ilahi mengikut jejak arwah ayah. Air mata dipipi Iman masih belum berhenti mengalir.

                Iman melangkah lemah terhencut-hencut menahan sakit kakinya. Dia perlu ke rumah Pak Imam memberitahu pemergian ibunya. Dia mahu menguruskan jenazah Ibunya malam ini juga. Iman melangkah berhati-hati dengan kaki yang makin besar membengkak.

                Sampai di muka pintu rumah Pak Imam.

                -Assalamualaikum…

                Pintu terbuka. Pak Imam yang membuka pintu. Berkerut dahi tua Pak Imam kehairanan. Kenapa pula Iman kembali kemari. Entah ada barang yang tertinggal.

                Iman terhencut-hencut perlahan memanjat tangga rumah Pak Imam. Kemudian dia menghampiri telinga Pak Imam lalu berbisik.

                -Mak dah pergi, dalam sujud solat. Waktu saya balik tadi.

                -Innalillahiwainnailaihirojiun…

Cerpen sebelumnya:
Kisah Klinik Yong-the worst clinic!
Cerpen selanjutnya:
Mahkamah Dewata Raja-raja

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
4 Penilai

Info penulis

Fiqri Fauwaz

Belajar jadi orang.
Sekopi | Jadikan Sekopi rakan anda | Hantar Mesej kepada Sekopi

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Sekopi
Sepuluh Ringgit | 3716 bacaan
Puisi untuk si cantik yang sering rindukan saya | 3490 bacaan
Cari | 1602 bacaan
PCB#6 : Ramadhan di hati Borhan. | 3319 bacaan
Cerkas : Surat Khabar | 2827 bacaan
PCB#2 : Aku sebuah cerpen | 3254 bacaan
10 Hari Mencari Cinta | 3960 bacaan
Gua, Saiber dan Mistik | 2559 bacaan
Rempit | 5434 bacaan
Ini cerita rakyat - Mat Rempit | 4327 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

12 Komen dalam karya Cerita Sebuah Semalam
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik