Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Aku, dia dan kamu

 

 

Dengan helaan nafas yang tersekat-sekat kini, aku kian putus asa. Aku tahu aku sudah tidak mampu untuk berdiri seperti dulu lagi. Aku sedar bahawasanya ada kelebihan yang telah ditarik nikmatnya. Aku mengerti kini akan tangisan yang mengiringi setiap bait bicara ibu. Aku lumpuh!

Ruang yang tidak sempit, tidak juga luas aku perhati lama-lama. Aku cuba mencari sesuatu yang bisa mengalihkan pusat fikiran aku saat ini. Lantas mata aku terpaku pada sekeping potret yang hampir siap. Potret yang aku lukiskan di waktu senggangku. Yang mengisi hari-hariku dengan penuh indah dan bermakna. Pada kanvas itu, terlukis wajah seorang gadis. Matanya langsung tidak memandang aku. Senyuman dia juga bukan ditujukan pada aku. Tapi, itulah yang aku lukiskan dulu. Yang sering aku mimpikan di tengah pekat malam.

Kini, lukisan itu separuh tidak siap kerana aku tidak mampu lagi untuk melukiskan wajahnya. Lukisan itu tidak dapat disiapkan kerana tiada sudah alasan untuk aku menyudahkan-nya. Semuanya sudah tidak ada gunanya lagi. Semuanya kerana tiada lagi cerita dia.

********************************

Jalan yang selalu aku lalui ketika pulang dari kerja, hari ini ditutup. Ada kerja pembaikan jalan. Nampak gayanya, aku terpaksa melalui jalan yang lebih jauh dan lebih banyak halangannya. Dendangan lagu dari Sudirman membuatkan aku turut terbuai. Tersenyum aku sendiri apabila teringat kepada Ain. Gadis cantik yang kelakar dan menghiburkan. Dia suka lagu ini.

"Milik siapakah gadis ini? Wajah lembut bagaikan sutera... Ingin hatinya aku miliki, apakan terdaya, adakah kan terdaya..."

Kalau dia dengar lagu ini, pasti liriknya diubah...

"Milik siapakah gadis ini? Sudah tentu milik ibubapanya... Kalau ada yang mahu meminang, cepat-cepat datang. Nanti lambat terlepas..."

Lagu yang ditujukan kepada Faizul, teman lelakinya yang juga rakan sekerja aku. Ah, lupakan mereka.

Dalam menyelusuri jalan yang aku tidak suka ini, juga meladeni lagu Sudirman, fikiran aku teringatkan ibu di rumah. Malam tadi dia menyatakan hasrat. Dia mahu aku berjumpa dengan Dilla, rakan sekolah aku dulu. Awalnya, aku hairan. Macam mana ibu boleh kenal dengan Dilla sedangkan aku tidak pernah memperkenalkan mana-mana rakan sekolah lebih-lebih lagi perempuan.

Apabila aku bertanya, ibu seakan mengelak sambil tersenyum. Dia terus mendesak supaya aku bertemu Dilla.

"Pergi sajalah. Jumpa dia dulu. Mesti ada perkara yang akan kamu bualkan nanti."

"Tapi, bu. Masalahnya, Haziq dengan Dilla dah lama tak jumpa. Masa sekolah dulu pun, kami bukannya rapat sangat. Setakat rakan sekelas saja. Mesti dia dah banyak berubah sekarang, bu. Yang ibu suruh Haziq jumpa dia kenapa? Dan, macam mana ibu boleh kenal dia?" Aku cuba mendesak ibu supaya memberitahu kebenaran. Bukan penting pun, tapi cukup penting supaya aku tahu apa agenda yang cuba ibu sampaikan.

Kereta yang baru dibeli setengah tahun yang lalu kupusing ke sebelah kanan, ada lopak besar menanti. Ini yang aku benci dengan jalan yang tidak berturap sempurna. Pihak kerja raya sibuk membaiki jalan yang aku tak tahu mana rosaknya, sedangkan jalan ini yang sudah lama tidak dipedulikan, terus terabai. Perlahan-lahan aku mengelak lopak tersebut, mengakibatkan kereta aku terpaksa makan jalan orang lain. Nasib baik tak banyak kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Jemari kananku pantas memicit dahi. Masih lagi berfikirkan hasrat ibu. Aku belum beri apa-apa keputusan kepada ibu. Ah! Aku tak mampu untuk memberi sebarang keputusan kerana ibu yang putuskan untuk aku. Mahu atau tidak, aku harus bertemu dengan Dilla.

Setelah hampir setengah jam meredah kesesakan dan lopak yang aku benci, akhirnya dari jauh,  pintu pagar rumahku kelihatan terbuka luas. Berkerut dahi aku. Selalunya ibu takkan membuka pintu pagar seluas itu. Kalau aku pulang sekalipun, aku sendiri yang membukanya. Namun, demi terlihatkan pintu yang luas itu aku sekali lagi tertanya-tanya.

Sebaik sahaja aku cuba membelok untuk masuk ke dalam, sebuah kereta Kelisa keluar dari kawasan rumah aku. Pemandunya aku tidak cam tetapi yang pasti seorang gadis. Dia mengangkat tangan kepadaku sambil tersenyum manis. Aku cuma mengamatinya. Siapa?

Ibu keluar dari rumah sambil tersenyum. Senyuman yang lebih manis daripada biasa. Aku pandang wajah ibu dengan penuh tanda tanya. Namun ibu terus tersenyum.

“Dilla kirim salam,” jelas ibu. Aku terkedu seketika.

“Jadi, tadi tu Dilla ke?” masih aku tertanya-tanya. Ibu tidak menjawab pertanyaan aku malahan dia terus tersenyum sambil melangkah masuk ke dalam rumah membiarkan aku terus bersoal jawab.

****************************

            Hari ini merupakan hari kedua aku terpaksa melalui jalan yang berlopak besar itu. Menyebabkan mood aku tidak begitu baik. Juga ditambahkan dengan beban kerja yang mendadak tiba di meja aku, tertekan jadinya.

            Aku baru menapak dalam kerjaya yang aku sandang sekarang. Banyak  lagi perkara yang aku tidak tahu dan aku perlu belajar. Tapi, beban tugas yang diberikan langsung tidak setimpal dengan kebolehan aku. Andai aku buat silap, yang kena marah aku!

            Faizul sekadar mengangkat kening apabila melihat aku menghempaskan fail dengan kuat. Maaf, kawan. Aku memang panas baran. Aku tidak pandai untuk mengawal emosi. Perlahan-lahan aku duduk apabila Ain si gadis cantik (kenapa kau milik Faizul?) menyuruh aku duduk dengan berbahasakan isyarat tangan. Gayanya lucu sekali hingga membuatkan aku tersenyum dan terlupa akan kekalutan di fikiran ketika ini.

            Faizul dan Ain mendekati aku.

            “Wassup man? Muncung macam tikus mondok… ehm.. tikus mondok kan bang?”

            Ain.. Ain.. sayangnya kau milik orang lain.

            “Apa lagi, Encik Kahar bos kesayangan kau la. Aku baru sampai, bernafas pun tak cukup oksigen lagi, terus dia bagi kerja ni. Dah la nak aku siapkan sebelum balik. Dia ingat aku tak ada kerja ke?” luah aku.

            “Oh maaf, Encik Haziq. Encik Kahar bukanlah bos kesayangan saya sedangkan dia bos tak berapa saya nak sayang sebab hanya seorang bos di hati saya yang sangat saya sayang..”

            “Ain, cut the crap now. The time is not right…”

            “…seperti anda sedia maklum, hanya encik yang bernama Faizul saja saya sayang…”

            “…Baby… Ain…”

            Aku terus duduk menghadap fail-fail yang aku hempaskan sebentar tadi. Dengan suara Ain yang cuba berlawak, dan Faizul yang mengawal perangai kekasih hatinya, satu pun tak mahu dek otak fikir aku. Yang aku tahu, fikiran aku tengah buntu.

            Gila! Macam mana aku nak siapkan kerja si Kahar ni, kalau kerja minggu lepas pun aku tak siapkan lagi. Dah tu semuanya nak sebelum balik nanti. Esok-esok tak boleh ke?

            “Kalau ya pun tension, jangan sampai dihempas fail tu. Cuba bawa bertenang. Dari dulu sampai sekarang, tak pernah berubah.”

            Aku dengar ada suara perempuan yang mana bukan suara Ain. Ain sendiri terdiam sambil memandang ke belakang aku. Begitu juga dengan Faizul. Terkebil-kebil matanya memandang gadis itu. Aku berpaling ke belakang dan mendapati seorang gadis berbaju sut dengan skirt paras lutut tersenyum ke arah aku.

            “Err… awak ni?” tanya Ain. Direnung gadis itu dari atas ke bawah. Gadis tersebut tersenyum lalu menghulurkan tangannya kepada Ain.

            “Saya, Dilla. Pegawai Pemasaran yang baru ditugaskan,” serentak matanya menjeling ke arah aku lalu mengenyitkan matanya.

            Dilla? Jadi inilah Dilla yang aku dah lupa raut wajahnya. Inilah Dilla yang selalu ibu sebut-sebutkan itu? Dilla ini rupanya bekerja di bawah satu bumbung dengan aku? Aiseh, macam mana ni? Dia ni mengintip aku ke?

            “Oh, Cik Dilla ni yang gantikan Encik Musa, ya? Selamat datang ke opisku, syurgaku. Saya Ain, merangkap pegawai pemasaran cawangan barat. Ini Faizul, akauntan II syarikat…err.. merangkap pakwe saya.. Hah! Jadi Cik Dilla jangan kata saya tak ingatkan. Tapi, yang ni single and available… Haziq. Pegawai Operasi Jualan I, sila mengorat dia,” Ain terus bercakap tanpa lapik seperti biasa. Apabila aku pandang Dilla, dia cuma tersenyum dan memandang aku dengan penuh misteri. Hanya dia yang tahu. Faizul pula menggelengkan kepala melihatkan telatah lucu buah hatinya. Mesti dia menyesal menjadikan Ain sebagai kekasih dia.

            Kau tak mahu, aku nak dia, ya Faizul.

            Sesi berkenalan itu cuma berlarutan untuk seketika. Dilla tidak pula bercakap tentang apa yang ibu sering sampaikan sebelum ini. Aku langsung tak faham. Kenapa dia mesti jumpa ibu aku kalau betul dia nak kawan dengan aku? Nak ambil hati ibu? Sekarang ni dah terbalik ya, perempuan yang beria-ia nak mengorat? Bagi aku memang pelik sebab aku tak suka perempuan yang mulakan segalanya. Biar dia jual mahal, yang penting diakhirnya dia tetap milik aku.

            Setelah fikiran aku agak tenang sedikit, aku memulakan kerja yang diberikan bertimbun-timbun. Motif aku sekarang adalah menyiapkan kerja secepat mungkin. Sebarang salah silap aku tak layan. Pandai-pandailah dia nak semak nanti. Dah suruh aku buat kerja cepat, hasilnya sudah tentu tidak begitu memuaskan.

**********************************

            Sudah hampir sebulan Dilla menjadi rakan sekerja aku. Namun sepatah pun dia tak bercakap dengan aku mengenai pertemuan dia dengan ibu. Ibu pula sering sebut-sebut nama Dilla, bertanyakan khabar gadis itu.

            “Haziq tak tahu, bu. Nak kata kawan biasa pun rasanya bukan. Haziq dengan dia bukannya bercakap sangat. Sekali sekala ada lah kami keluar makan bersama, itu pun beramai-ramai atas dasar kerja. Dia sendiri tak pernah cakap apa pun, takkanlah Haziq yang nak terhegeh-hegeh,” jawab aku ketika ditanya ibu tentang hubungan kami.

            “Isyk… kamu ni. Dia kan perempuan, takkan dia yang kena mulakan. Mestilah dia malu. Dia tunggu kamu yang mulakan dulu tu,” ibu tak putus asa memujuk aku. Aku sekadar mendengar; masuk telinga kanan, pusing balik keluar telinga kanan. Tak singgah langsung.

            “Malaslah, bu. Habis, yang dia jumpa ibu, tak malu pulak?” bidas aku. Terhenti sekejap kerja ibu membetulkan jambangan bunga di atas meja.

            “Budak ni kan. Ibu cakap betul-betul, dia kenakan kita balik.” Aku tahu ibu terasa dengan kata-kata aku. Nampak sangat yang aku langsung tak berminat dengan Dilla.

            Iyalah, tanpa pengetahuan aku, dia jumpa ibu. Aku tak tahulah apa yang dia beritahu ibu tapi mesti ada sesuatu sampai ibu beria-ia benar nak aku rapat dengan dia. Tapi, bila kami bertemu muka, tidak pula dia nak berbincang apa-apa. Buang masa aku saja kalau aku yang bersungguh.

            Kerana tidak mahu terus berbicara tentang Dilla bersama ibu, aku mengambil langkah menuju ke kamar aku. Sebuah kanvas yang ditutupi dengan sehelai kain, diketepikan. Terserlah sebuah lukisan separa siap. Lukisan yang hampir sebulan menjadi peneman aku. Yang menjadi tempat aku mengisi masa.

            Aku tersenyum panjang merenungkan lukisan itu. Aku sendiri tak menyangka yang aku mempunyai bakat terpendam dalam bidang lukisan potret. Perlahan-lahan, aku melalukan jemari aku pada wajah potret itu.

            Dilla..Dilla.. kenapalah kau beria-ia sangat? Tak payahlah kau menyusahkan diri kau nak ambil hati ibu. Tak perlu itu semua kerana… ah!

            Pantas aku mencapai kain yang tadinya diketepikan, menutup kembali potret hasil tanganku.

****************************

            Hari ni aku terpaksa melalui jalan yang aku benci tu lagi. Ini kerana jalan pintas yang sering dilalui itu sekali lagi terpaksa dibaikpulih setelah sebuah lori besar melalui jalan kecil itu. Mengada-ngada betul! Padahal sudah terpampang kenderaan berat tidak dibenarkan melalui jalan tersebut. Akibatnya, kami pengguna yang berhemah ni terpaksa mengalah.

            Pagi tadi aku mendengar pergaduhan besar antara Ain dan Faizul dari bilik Ain. Tak tahulah sebab apa, tapi yang pasti tak pernah aku tengok Ain sebegitu. Inilah masalahnya kalau pasangan bekerja di tempat yang sama. Ikutkan hati ingin juga aku bertanya kepada Faizul, namun sebaik sahaja dia menghempaskan pintu bilik, aku jadi kecut perut. Nanti tak pasal-pasal dengan aku sekali kena hambur!

            Melalui cermin telus pandang, Ain tersandar di kerusinya sambil memandang Faizul yang melangkah laju. Pandangan mata kami bertentang buat seketika. Ain bangkit dari kerusi dan menarik bidai untuk menghalang aku dari terus memandangnya. Cepat-cepat juga aku menundukkan muka. Rasa bersalah pula sebab menyibuk dalam hal mereka berdua.

            “Kenapa dengan kawan-kawan awak tu?” Entah dari mana munculnya, Dilla berdiri sebelah aku. Aku mendongak memandangnya dengan penuh kehairanan. Aku sebagai kawan baik pun tak mahu sibukkan diri walaupun tertanya-tanya, dia pula yang lebih. Aku sekadar mengangkat bahu dan mencebik sebagai jawapan.

            “Haziq… esok awak free tak?” Dilla sekali lagi bersuara. Sekali lagi juga aku kehairanan. Belum pernah dia tanyakan soalan begitu kepada aku.

            “Belum tentu lagi. Kenapa?” Itu saja yang mampu aku jawab.

            “Ehm… kalau saya nak ajak awak keluar esok.. awak sudi?” Dilla malu-malu. Aku? Aku tersenyum dalam hati. Bibir aku juga tersenyum namun aku pastikan Dilla tidak nampak senyuman itu. Senyuman yang memberikan satu makna yang cukup mendalam bagi diri aku.

            “Tengoklah macam mana. Saya tak berani nak janji. Awak fahamlah kerja saya macam mana. Bukan macam orang lain. Tiba-tiba berlambak atas meja ni,” aku bersuara tenang dan perlahan sambil merenung wajahnya. Senyuman juga tidak pernah lokek apabila aku berbual dengannya. Ain pun selalu cakap yang aku lebih hensem kalau aku selalu tersenyum.

            Dilla turut tersenyum sebelum mengangguk faham dan berlalu pergi. Aku terus memandangnya sehingga dia menutup pintu. Aku senyum seorang lagi.

            Dilla…Dilla…Alahai Dilla.

********************************

            “Kadang-kadang aku bosan dengan perangai dia tu. Ada saja salah aku yang dia cari. Dah macam tak ada kerja lain dah. Sikit-sikit nak marahkan aku. Apa sangat salah aku? Cuba kau beritahu aku!”

            Aku sekadar menjadi pendengar setia. Ain yang duduk di hadapan aku menggigit straw sehingga hancur. Marah benar nampaknya dia dengan Faizul. Aku pandang Ain. Ain pandang aku. Aku diam.

            “Pakcik! Kau dengar tak?!!”

Aku pula yang jadi mangsa! Terkejut aku dengan sergahan gadis cantik itu.

“Aku dengarlah…”balas aku lembut.

“Aku ni teruk sangat ke?” tanya Ain lagi. Bezanya, soalan dia lebih lembut. Aku cuma tersenyum. Dia terus pandang aku.

“Mana ada… Kau cantik, manis, kelakar, bijak, rajin… Faizul memang bertuah dapat kau,” balas aku. Ain mencebik.

“Faizul yang bertuah dapat awek macam aku. Habis aku? Langsung tak bertuah dapat pakwe macam dia…” dia masih marah rupanya.

“Kau pun bertuah juga. Faizul tu dah lah hensem, banyak duit, rajin cari duit, sayang kau…”

“Dah! Dah!.. Mual tekak aku dengar! Aku tengah angin dengan dia, kau jangan nak puji dia. Kau beria-ia puji dia… tuan badannya mana? Kau tengoklah sekarang dah pukul berapa. Entah mana dia merayap. Selalunya ada dengan kita, tapi hari ni? Nampak sangat dia tak nak tengok muka aku,” ada nada merajuk dalam suaranya. Sekali lagi aku tersenyum memujuk. Apabila aku pandang ke depan, aku lihat seseorang sedang menuju ke arah kami. Senyuman aku kendur seketika.

“Habis, belakang kau tu siapa?” aku bertanya. Aku tunjukkan dengan isyarat mata sebelum mengangkat tangan menyambut kedatangan Faizul.

“Sorry, aku hal sikit dengan Dilla tadi,” tanpa ditanya Faizul menjawab lalu duduk di sebelah Ain yang masih menyimpan perasaan marah pada kekasihnya itu. Aku memberi isyarat kepada Faizul. Susah juga untuk dia faham isyarat aku. Aku pun sendiri tak faham kenapa dia tidak memahami perasaan Ain sedangkan sudah lama mereka bersama.

“Sudah-sudahlah merajuk tu. Tak ke mana pun rajuk awak tu.”

‘Terpegun’ aku sebentar dengan cara Faizul memujuk Ain. Aku pandang Ain dan Faizul bersilih ganti. Ain sendiri tergamam dengan tindakan buah hati yang selalu dipujanya itu. Tanpa bersuara, dia berdiri dan memandang Faizul sebelum berlalu begitu saja. Faizul seperti tidak mengendahkan kelakuan Ain.

“Apasal kau layan Ain macam tu?” Entah kenapa aku rasa nak menyibuk. Yalah, belum pernah aku tengok Ain merajuk sampai macam tu sekali. Kalau ya pun, Faizul pasti akan pujuk dia. Aku bagaikan tidak pernah wujud kalau Faizul mula memujuk.

“Malas dah aku nak manjakan dia. Rimas,” ringkas dan tanpa perasaan Faizul menjawab. Aku menggelengkan kepala. Baik aku ambil langkah untu tidak masuk hal. Ini hal mereka, bukan hal aku.

Aku dan Faizul sama-sama diam menikmati makan tengahari kami. Ain? Entahlah. Mungkin sampai di pejabat nanti, Faizul akan pujuk dia. Mungkin juga Faizul mahu beri waktu kepada hubungan meraka. Apa yang Faizul cakapkan memang betul. Ain terlalu manja. Tapikan… Kalaulah aku di tempat Faizul, aku suka dengan kemanjaan Ain.

Walaupun dia manja, ada ketegasan dalam dirinya. Ada sesuatu yang membuatkan hati aku tertarik dengan perilaku Ain. Eh? Apa yang aku fikir ni?

Hi guys. May I join you all?

Aku mendongakkan kepala. Dilla sudah pun duduk di sebelah Faizul, berhadapan dengan aku. Aku sekadar senyum. Faizul juga begitu.

“Lambat you keluar?” Faizul mula bersuara.

“Nak siapkan kerja tadilah. You tinggalkan I kontang-kanting seorang diri. Sampai hati tau.”

Erk! Belum pernah aku dengar Dilla bercakap macam tadi dengan mana-mana lelaki. Siap dengan lirikan mata yang menggoda. Adakah dia cuba untuk menguji aku?

Uji aku? Ujian untuk apa? Kenapa aku pula yang mesti perasan? Aku bukannya ada apa-apa dengan dia… Isyk..

*********************************************

            Aku ingatkan kes gaduh Ain dan Faizul sudah selesai. Rupa-rupanya, mereka masih lagi berantakan. Ain masih lagi tarik muka masam dengan kekasih pujaan hatinya. Faizul pula makin tidak mempedulikan Ain semenjak dia sibuk dengan projek terbaru syarikat yang diusahakan bersama dengan Dilla.

            Akulah yang selalu menjadi mangsa bebelan Ain. Pernah aku suarakan kepada Faizul, namun rakan yang satu itu buat endah tak endah. Jawapannya hanya satu…

            “Tak payahlah kau susah-susah nak tolong dia. Dah sejuk hati dia nanti, tahulah dia cari aku sendiri nanti.”

            Ehm…

            Jawapan yang keluar daripada mulut Faizul dan keakraban dia dengan Dilla sebenarnya memcurigakan. Dilla yang pada awalnya, pada firasat mahu memikat aku, langsung tidak mempedulikan aku. Dia masih berkunjung ke rumah bertemu ibu di saat ketiadaan aku. Tapi, cara dia melayan aku di pejabat, tidak sama seperti yang digambarkan ibu.

Hairan aku dibuatnya. Apalah yang minah tu nak dari ibu? Nak aku atau sekadar bertemu ibu? Atau, mungkin juga dia rapat dengan Faizul untuk mengorek rahsia pasal aku? Alahai, aku sudah di depan mata, kenapalah yang dia susah-susah nak tanya orang lain.

*******************************************

            Aku terkejut dengan berita yang Ain sampaikan. Sungguh aku tidak percaya sampaikan aku dijerkah kerana bertanyakan soalan yang sama berulang kali.

            “Kau biar betul? Takkanlah… Cuba jangan main-main dengan aku,” aku bertanya untuk kesekian kalinya.

            “Oi Pakcik pekak! Kau tak dengar ke kau tak faham ni? Kalau kau tak dengar, mari sini aku jerit dalam lubang telinga kau. Kalau kau tak faham, kau nak aku cakap bahasa Eskimo? AKU DENGAN FAIZUL BAHALOL DAH PUTUS!” Ain benar-benar menjerit dekat dengan lubang telinga aku. Terasa seperti baru lepas kena bom.

            “Tapi…”

            “Diam!” Ain bermain dengan sudu di hadapannya. Patutlah beria-ia benar dia mengajak aku keluar walaupun jam sudah melewati 10 malam. Aku tahu dia perlukan kawan. Aku memang bersimpati dengan dia. Aku sedar dia sebenar sedang mengawal kesedihan di hatinya.

Di kala ini, dia tidak menangis. Cuma wajahnya yang mencuka sambil berfikir. Mungkin masih tidak percaya yang cinta disemai selama ini berakhir begitu sahaja. Ingin aku belai jemarinya supaya dia tahu aku ada di sisinya. Ingin aku peluk dia, agar dia sedar masih ada yang mengambil berat tentang dirinya.

“Kalau kau nak menangis, kau menangislah,” perlahan aku bersuara cuba untuk memujuknya.

“Siapa nak menangis, bangang!” meski itu yang dituturkan, namun tingkahnya lain. Pantas, mukanya disua ke bahu aku. Bahunya terhenjut-henjut mengiringi melodi tangisnya. Aku mengangkat tangan untuk membelai rambutnya, namun aku batalkan hasrat itu. Aku biarkan dia begitu. Dalam diam, aku tersenyum meski aku turut bersedih dengan apa yang dirasainya.

Kenapa kau sanggup lukakan hati Ain, Faizul? Gadis manja yang dulu kau sayang.

****************************************

            Aku merungut geram. Pertengkaran antara aku dan Faizul kerana Ain tidak menemui jalan penyelesaian. Faizul mati-matian mempertahankan alasannya yang sudah bosan dengan perangai Ain.

            Kenapa baru sekarang dia mahu berasa bosan? Aku bidas dia dengan kata-kata dia sendiri dulu. Dengan janji yang dia lafazkan kepada Ain di hadapan aku. Pertama kali kami bertengkar kerana perempuan, aku hampir melayangkan penumbuk ke wajah Faizul apabila dia mengakui yang dia terpikat dengan Dilla. Dilla yang menggoda, Dilla yang lembut, Dilla yang…Ah! Kenapa Dilla?? Kenapa??

  * Rupa-rupanya pertemuan Dilla dengan ibu hanyalah atas dasar persahabatan ibu dengan ibu Dilla. Ada urusan yang menjadikan Dilla sebagai orang tengah. Ibu sahaja yang beria-ia mahu rapatkan aku dengan Dilla. Kebetulan pula, aku dan Dilla pernah bersekolah di sekolah yang sama. Patutlah apa yang ibu beritahu aku jauh benar simpangnya dengan layanan Dilla pada aku.

  Tapi, aku tak faham. Kenapa Dilla masih nak rapat dengan Faizul sedangkan dia tahu tentang hubungan Faizul dan Ain? Adakah kerana dia memang seorang penggoda? Aku yang terang-terang masih bujang ni, langsung tak dipandangnya. Bukan maksud aku juga jatuh hati padanya, tapi kenapa Faizul yang diganggunya? Aku kasihankan Ain. 

            Aku memulas stereng ke sebelah kanan, jalan pintas masih tidak dapat digunakan. Jalan buruk tu juga yang terpaksa menjadi laluan. Lopak semakin besar, kereta pun banyak pada waktu puncak. Hati aku semakin panas. Kereta Waja di hadapan aku bergerak dengan perlahan menyebabkan aku hilang sabar. Banyak kali aku cuba untuk memotong kereta Waja tersebut, namun gagal kerana kenderaan dari arah bertentangan juga banyak.

            Setelah hampir 5 kali cubaan untuk memotong gagal, akhirnya aku nampak ruang dan peluang untuk meninggalkan asap kepada Waja yang terkedek-kedek itu. Aku bagi signal, aku pandang cermin sisi, aku pulas stereng dan aku tekan minyak.

            Banggg!

**************************************

            Ibu kata aku tidak sedarkan diri hampir tiga hari. Cerita ibu, kereta aku remuk teruk akibat pelanggaran dengan lori tanpa muatan. Bukan setakat remuk dilanggar, malah kereta aku terhumban ke dalam longkang besar. Kalau ikut logik akal, aku mungkin sudah tidak bernyawa lagi. Namun, Tuhan masih beri peluang kepada aku untuk meneruskan hidup. Cuma Dia tarik satu nikmat yang paling berguna. Kaki aku lumpuh.

            Pada hari aku sedarkan diri, Ain dan Faizul datang bersama. Akhirnya mereka bersatu kembali. Keputusan Faizul meninggalkan Ain hanyalah kerana rasa hati yang telah dibutakan semata. Kemalangan yang menimpa aku membuka kembali mata hati Faizul. *Dilla sekadar penyeri hidup di waktu dia bosan dengan karenah Ain. Namun, karenah itulah yang sering dirinduinya. Dia sedar yang dia masih menyayangi gadis manja dan gadis cantik serta gadis kelakar yang selalu dipujinya.

            Aku tersenyum. Senyum saja yang mampu aku lakukan. Senyum selagi aku mampu tersenyum.

********************************

            Kain putih aku selak. Terserlah lukisan itu. Aku larikan jemari aku pada wajah yang aku lukiskan. Wajah si gadis yang selama ini menjadi pujaan hati aku, yang aku sangka hampir menjadi milik aku.

            Ain, aku sayang pada kau. Sayang sangat hingga aku rasa hanya aku layak untuk mendampingimu. Namun aku sedar, jika benar aku sayangkan kau, aku harus biar kau gembira dengan insan yang kau sayang. Sekarang, aku sudah tidak punya daya untuk membahagia kau. Tiada lagi alasan untuk aku mendampingi kau.

            Semoga kau terus bahagia dengan Faizul. Andai kata dia menyakitimu lagi, aku tetap di sini.

           

           

           

           

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) abis dilla tu jumpa mak haziq tu kenapa? konpius ...
  • 2) >naPA dilla jumpa mak haziq?
    >pa kaitan kmalngan tu dgn pnyatuan c ain dGn faizul?
    >wArg!! aK konpius!!

  • (Penulis)
    3) maaf safina & dieca..

    cerita ni dihabiskan dlm keadaan tergesa2.. huuu... tp pasal nape dilla jumpa mak haziq tu, haziq sendiri tak tahu.. oleh kerana cerita ni dr 1st p.o.v. maka, tidak dpt dijelaskan pasal dilla... lgpun, dilla sbnrnya penyedap cerita, xde signifikasi langsung pd haziq. tu yg xtekan sgt pasal dia...
    kaitan kemalangan tu.. kan b4 that haziq bergaduh ngn faizul pasal ain... so, kononnya si faizul ni rasa bersalahla sbb nk satukan dia dn ain, haziq kemalangan..

    apa2 pun thanks korang sebb sudi baca dan kasi komen... kelemahan sy akan perbetulkan... err..kalo rate lg bagus rasanya..peace...
  • 4) erm..wlupn dilla tu sbg penyedap cerita, tp x sedap pn klu wat org tertanye2..
    atleast bg la tau sket pe jd ngan dilla tu..nape die sllu jmpe ibu haziq..em jd ke x haziq terime pelawaan dilla utk kuar..nape dilla tu sebok2 ngan faizul..em byk la soklan yg bermain di pikiranku pas abis bace ni..huhu
  • 5) hehe penceritaan dia nice, cuma tu lah, jalan cerita tu agak sedikit longgar :) kena ketatkan here and there sket :D
  • 6) aha,shaz..rasanya dh byk org mngomen..syud rase pon cmtu..xperlu ditekankan klo watak tu xsigificant..dilla pada awal pnceritaan shaz tekankan..tibe2 watak dia tergantung..hoho

    cinta-tak-semestinya-bersatu~ *peace*

  • (Penulis)
    7) ok.. thanks all... saya akui kesilapan sy... huhuhu... akan diperbaiki... terima kasih sekali lagi..

  • (Penulis)
    8) sudah diulang semak dan ditambah sikit pd yg bertanda *... maaf di atas kekeliruan.. masih ada yg kurang, sila tunjukkan... thanks all.
  • 9) cerita yang menarik. mungkin saya tidak membaca draf awalnya yang dikatakan agak keliru tapi setakat ini saya faham jalan ceritanya. teruskan menulis ya! =)

Cerpen-cerpen lain nukilan shazmiey

Read all stories by shazmiey