Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

“Encik Azril, Ini Bukan Lagi Kemungkinan. Tetapi Hasil Ujian Darah Awak Menunjukkan Awak Menghidap Barah Darah,” Mencerlung Biji Mata Azril.

“Encik Azril, ini bukan lagi kemungkinan. Tetapi hasil ujian darah awak menunjukkan awak menghidap barah darah,” Mencerlung biji mata Azril.

  • 9
  • adra
  • 15 years ago
  • 9,271
  • FREE

Sebenarnya Azril menyembunyikan tindakan untuk melakukan pemeriksaan di hospital daripada pengetahuan Sabrina, kakaknya mahupun Ilyana, kekasih hatinya. Selepas mengetahui tentang penyakit barah darah yang dihidapinya, Azril bingung dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Jauh di benak hatinya kerap terfikir, adakah perlu dia meneruskan segalanya? Wajarkah dia melamar Ilyana sedangkan dirinya sendiri tak berupaya?

 

Azril memicit-micit kepalanya. Dua tiga minggu ini kerap benar dia diserang demam. Badan pula terasa lemah semacam. Kadangkala pandangan terasa kelam.

"Kenapa ni Ril?" Soal Sabrina bimbang. Dia risau melihat keadaan Azril sejak kebelakangan ini. Nampak seperti mudah diserang sakit.

"Ril tak apa-apa kak. Okey je. Mungkin pressure kot. Banyak sangat pelan nak kena lukis," Sabrina sedikit lega mendengar penjelasan Azril. Dia sedia maklum, kerjaya sebagai arkitek menjadikan Azril begitu sibuk. Tambahan pula, adiknya begitu komited terhadap kerja.

"Hari ni hari jadi Yana. Dah hampir seminggu jugak Ril tak jumpa dia. Tak sabar rasanya nak jumpa Yana kak," luah Azril gembira. Sabrina memahami perasaan adiknya. Orang tengah hangat bercinta, pantang tak berjumpa mestilah rindu memekar di sanubari.

 

Tengah hari nanti, Azril akan singgah ke hospital untuk mengambil laporan perubatannya. Sebenarnya dia menyembunyikan tindakan untuk melakukan pemeriksaan di hospital daripada pengetahuan Sabrina mahupun Ilyana. Dia tidak mahu membimbangkan hati dua wanita yang terlalu disayanginya. Mereka berdua begitu berharga buat dirinya. Juga si kecil, Faiz Haikal.

"Bagaimana doktor? Adakah semuanya baik?" Soal Azril tidak sabar. Doktor Luqman memegang bahunya.

"Saya terpaksa katakan lebih awal, encik bertenang dulu. Apa yang bakal saya sampaikan, bukanlah berita baik. Sila duduk encik," jantung Azril berdegup kencang. Dia gementar tiba-tiba.

"Maksud doktor? Besar kemungkinan saya menghidap penyakit?" Duga Azril. Keningnya bertaut.

"Encik Azril, ini bukan lagi kemungkinan. Tetapi hasil ujian darah awak menunjukkan awak menghidap barah darah," Mencerlung biji mata Azril. Dia memejamkan mata. Sebagai usaha menenangkan diri di kala ini.

"Terima kasih doktor. Saya balik dulu," Mereka bersalaman. Doktor Luqman menepuk bahu Azril.

"Jangan cepat putus asa." Nasihatnya sebelum Azril berlalu.

Azril memandu Toyota Vios miliknya penuh berhati-hati. Dia perlu kembali semula ke pejabat dan melukis pelan yang masih berlambak untuk disiapkan. Fikirannya yang serabut tidak boleh terlalu dilayan.

"Pak Su kenapa ni? Pak Su sakit ke?" Petah anak kecil itu bertanya. Azril mengusap rambut Faiz Haikal yang memang manja dengannya. Kasihnya tertumpah buat anak kecil ini sejak Haikal masih berada dalam kandungan Sabrina.

"Pak su okey, sayang. Jangan bimbang ya. Kal nak makan tak? Mama dah siapkan biskut tu. Pak su suapkan okey?"

Haikal memaut jemari Pak su nya dengan mesra. Azril menuruti langkah anak kecil itu menuju ke arah buaian di halaman rumah.

"Malam ni Ril keluar akak nak pesan apa-apa tak?" Sabrina menggeleng.

"Rasanya semua masih cukup lagilah Ril. Berseronoklah malam ni. Lakukan apa yang dah Ril rancangkan. Sampaikan berita gembira kat akak nanti."

Azril senyum tawar. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Dia tersedar dari lamunan bila biskut yang hendak disuap ke mulut Haikal terjatuh.

"Emm kak. Ril nak mandi dulu ya."

 

Azril memandang bekas cincin yang berisi sebentuk cincin emas putih. Dia telah membeli cincin itu seminggu lalu. Puas sudah dia memerah otak... Hanya satu persoalan yang memenuhi kotak fikir sekarang ini. Adakah perlu dia meneruskan segalanya? Wajarkah dia melamar Ilyana sedangkan dirinya sendiri tak berupaya. Patutkah dia menabur harapan? Perlukah dia melakukan semua itu sedangkan dirinya kini tak lagi berkemampuan? Menebar seribu mimpi agar gadis itu kekal menjadi miliknya? Mampukah dia memberi kebahagiaan terhadap wanita itu pada masa depan? Azril tak sanggup memikirkan kemungkinan Ilyana terpaksa menderita kerananya. Dia khuatir seandainya mimpi indah yang dibawa dalam hidup Ilyana diganti dengan kenangan tragis seumur hidup. Buat apa mementingkan diri sekiranya perbuatannya mengundang luka parah di hati Ilyana?

 

"Selamat hari lahir, sayang." Azril ketap bibir. Dia menahan sebak di dada. Matanya mula berkaca. Mungkin ini kali terakhir dia berpeluang memanggil Ilyana sebegitu.

"Terima kasih. Ada hadiah tak ni?" Ilyana sekadar mengusik. Dia tak pernah mengharapkan hadiah daripada teman lelaki yang amat dicintai. Yang dia harapkan hanyalah kesetiaan dan kasih sayang serta kepercayaan Azril buatnya.

"Nampaknya tempat ni tak pernah berubah kan, Ril? Dah lima tahun, semuanya tetap indah. Macam cinta kita...mekar." Kata-kata Ilyana membuatkan tekak Azril terasa sebat. Tak tertelan nasi yang sedang dikunyah.

"Banyak yang dah berubah sebenarnya, Yana. Kita aje yang tak perasan. Kalau dulu dekorasinya menggunakan ros merah, sekarang digantikan pula dengan ros ungu,"

Ucap Azril dalam nada selamba. Padahal di dadanya bergoncang, hanya Allah yang tahu.

 

Mereka berjalan seiringan. Menikmati keindahan restoran dalam taman bunga ini pada waktu malam. Cahaya lilin menambah seri dengan hembusan angin malam yang begitu membuai perasaan. Azril terasa begitu syahdu.

 

"Yana, Ril nak cakap sesuatu. Ril perlukan kesudian Yana untuk mendengarnya," Ilyana menghentikan langkahnya. Dia berdebar-debar. Adakah ini detiknya? Saat yang sekian lama dia nantikan. Lamaran yang terucap dari bibir Azril dan disambut penuh kesudian oleh hatinya.

"Ril nak putuskan hubungan kita. Ril dah bosan dengan lima tahun ni. Ril tak boleh nak teruskan, Yana," ucap Azril dalam nada tegas. Dia tak mahu kelihatan seperti seseorang yang ragu dalam membuat keputusan. Biar Ilyana melihatnya sebagai seorang lelaki yang memang nekad memutuskan percintaan.

"Tapi kenapa? Apa yang buat Ril bosan? Ril bosan dengan Yana ke? Yana boleh ubah apa yang Ril nak. Tolonglah Ril, jangan buat Yana macam ni. Yana amat cintakan Ril. Yana harap Ril hanya bergurau,"

Ilyana menatap sedalam-dalamnya wajah Azril. Jejaka itu memalingkan muka. Tolonglah, Yana. Jangan buat macam ni. Ril rasa bersalah. Ril tak nak pandang Yana sebab Ril tahu, Ril akan kalah bila memandang renungan sayu Yana.

"Ril tak ada masa nak main-main. Apa yang Ril cakap ni serius. Keputusan Ril, keputusan muktamad. Ril takkan paling ke belakang lagi," bergetar nalurinya saat dia berkata demikian.

 

Ilyana tergamam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Hanya deraian air mata menjadi jawapan betapa pilu hatinya tika ini.

"Kalau tu keputusan Ril, apa lagi yang boleh Yana cakap. Yana hormati keputusan Ril. Selamat tinggal," Ilyana meletakkan bungkusan yang diberi oleh Azril sebentar tadi.

"Yana tak nak berhutang apa-apa dengan Ril buat kali terakhir, assalamualaikum,"

Gadis itu berlari dari situ. Setelah merasakan dirinya jauh daripada tempat Azril berdiri, Ilyana menangis semahu-mahunya. Bahunya terhinggut-hinggut.

"Sampai hati Ril buat Yana macam ni,"


Azril memaut birai katilnya untuk bangun. Badannya terasa begitu lemah. Bertambah lemah apabila melihat kad undangan perkahwinan di meja kerjanya. Siapa lagi yang bakal mendirikan rumah tangga jika bukan Ilyana? Azril benar-benar bersyukur kerana gadis itu telah menemui pasangan hidup yang serasi dengan dirinya. Bagi Azril, dia telah membuat keputusan yang tepat berkaitan soal hati dan perasaan. Tentang dirinya dan penyakit yang dialami... Dia redha. Meskipun telah berusaha sekuat mungkin melawan penyakit itu, namun telah tertulis di suratan takdir keadaannya semakin kronik.


Azril terbatuk-batuk. Dadanya terasa amat sakit. Seluruh badannya terasa ngilu.

"Ya Allah, aku rela menerima semua ujian ini," Matanya dipejam. Tak terdaya menahan kesakitan, dia rebah.

Sabrina yang sedang menyediakan minum petang bergegas ke bilik adiknya tatkala terdengar bunyi barang terhempas. Haikal menjerit sebaik melihat keadaan Pak su.

"Ril! Ya Allah... adik aku!" Haikal terpinga-pinga di sisi mamanya.

"Kal tolong ambil kunci kereta sayang. Kita kena hantar Pak su ke hospital,"

Terus kanak-kanak itu berlari mendapatkan kunci kereta di meja hadapan.

 

"Akak...tak payah beritahu Yana. Dia tak patut tahu kak. Hari ni hari bahagia Yana. Tolonglah kak, Ril merayu," Azril merengek seperti anak kecil. Dalam keadaan tidak berdaya seperti ini dia hanya mampu merayu. Tak mahu berita penyakitnya menggugat hari bahagia Ilyana.

"Akak bukan nak rosakkan majlis pernikahan dia, Ril. Akak cuma nak jelaskan pada dia perkara yang sebenar. Akak tak nak dia terus salah sangka pada Ril." Sabrina mengusap-usap pipi adik kesayangannya. Meruntun jiwanya bila terpandangkan tiub-tiub yang berselirat pada lengan Azril. Bibir Azril langsung kering. Dia tak mampu membantu apa-apa lagi pada masa ini. Hanya ini satu-satunya cara yang dia ada. Jika Azril ditakdirkan pergi, dia harap Azril meniggalkan dunia yang fana ini bersama kebenaran.

"Kak, tolong jangan," Azril menyentuh lengan Sabrina, namun kakaknya tetap dengan pendirian. Maafkan akak, Ril.

 

 

 

Selesai sudah upacara akad nikah. Kini, telah tiba masanya untuk upacara membatalkan air sembahyang. Ilyana tersenyum bahagia. Adam mencium penuh kasih dahi isterinya.

Deringan telefon bimbit Ilyana membuatkan Puan Ruziah tersentak. Dia bergegas menjawab panggilan. Ilyana turut terkedu. Setahunya semua saudara mara dan sahabat handai telah berada di sini, di kediamannya untuk majlis akad nikah.

Terketar-ketar tangannya menyambut berita di hujung talian.

"Yana... Ril Yana. Kita dah tersilap salahkan dia sayang. Dia..." Ilyana tercengang. Debaran menggila menguasai dirinya bila mendengar sebaris nama itu.

"Apa yang tersilap ma? Hubungan Yana dan Ril dah lama putus. Semuanya tinggal kenangan," lirih Ilyana bersuara.

"Sayang, Ril terlantar di hospital sekarang. Dia tenat, Yana. Selama ni dia rahsiakan penderitaannya daripada pengetahuan kita. Sabrina telefon dari hospital. Dia hanya mahu Yana mengetahui kebenaran," Ilyana serasa hendak pitam. Adam terkesima. Betapa luhurnya pengorbanan seorang lelaki yang membolekan dia menyunting wanita sebaik Ilyana untuk dijadikan isteri.

"Abang, izinkan Yana bertemu dengan Ril?" Ilyana tak terdaya menahan empangan air mata. Habis basah pipinya dek lelehan air mata.

Adam mengangguk. Keluhuran hati jejaka itu perlu dibalas dengan kebaikan.

 

"Yana... buat apa kat sini? Inikan hari bahagia Yana. Ril tak susahkan Yana ke?"

Ilyana hanya mampu menggeleng-geleng sahaja. Adam memandang dari luar bilik. Dia sebak memandang pertemuan menyayat hati kedua-dua insan tersebut.

"Ril, jangan cakap macam tu. Semuanya dah selamat. Ril..Ril tak pernah susahkan Yana tahu." Ilyana tersedu-sedan.

"Sayang, jangan menangis lagi. Ril gembira semua dah selamat. Selamat pengantin baru,"ucapan Azril membuatkan air mata Ilyana bertambah lebat. Azril terbatuk lagi. Kali ini dirasakan dadanya terlalu sakit. Hanya Allah yang tahu...

"Yana nak minta maaf banyak-banyak kat Ril. Yana sayangkan Ril,"

Azril pejam mata. Tak sanggup mendengar Ilyana mengungkap kata maaf.

"Yana... takde salah... apa-apa dengan Ril," Lambat-lambat dia bersuara. Azril kian kelesuan. Dadanya berombak-ombak.

Ilyana menggelebah melihat keadaan Azril. Luluh hatinya di kala ini. Menyedari saatnya semakin hampir, Azril mengucap dua kalimah syahadah dalam hati. Bibirnya tak lagi mampu untuk digerakkan. Ya Allah, semua nikmatMu telah kau ambil. Lailahailallah...

Ilyana Zulaikha tersentak. Fazlan Azrilnya telah pergi buat selamanya. Skuter biru, lopak air dan bunga ros berlayar-layar di ruang matanya. Pandangan Ilyana kelam...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) nape mesti ada kematian setelah bahagia menjengukkan harapan?

  • (Penulis)
    2) sebab hidup tak seindah yang kita sangka, kadangkala apa yang kita nak belum tentu kita boleh dapat. klu boleh dpt pun ade yang untuk seketika shja...

    tapi untunglah sesiapa yang dpt kebahagiaan untuk seumur hidupnya. tapi ini hanyalah sebuah cerita...
  • 3) betul..hidup xseindah yg disangke...
    tp if cite yg ending dgn kematian xbest la...
    hehehehe

  • (Penulis)
    4) heheh...ye btl tu jue. tp tak tahu...idea adra mase tulis citer ni nak wat watak hero yg sanggup berkorban utk org yg dia cintai.
  • 5) huhu..mcm tgk cite kal ho na ho plak~~

    nice try adra..teruskan berusaha!!~ chaiyyokkk

  • (Penulis)
    6) thanks sis!

    aja2 fighting! hehehe..

    owh citer yg shah rukh tu eyh>
    tak pnh tgk sampai abeh lg =)
  • 7) thubms up!!!=)
  • 8) Thumbs up..

  • (Penulis)
    9) thanks nurul =)

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra