Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Hujan Itu Cinta

Cerpen sebelumnya:
Bahagiaku Untukmu...(sambungan)
Cerpen selanjutnya:
Tandatangan itu

 

            Saya buka jendela kamar. Saya perhatikan keadaan di luar. Hujan yang sebentar tadi renyai-renyai turun semakin lebat. Kesejukan di luar terus menerjah ke setiap inci tubuh saya. Terlihat juga dua orang penunggang motorsikal yang lalu-lalang di hadapan rumah saya berteduh di bawah perhentian bas yang usang yang boleh dilihat terus melalui jendela kamar saya. Perhentian bas itu mengingatkan saya kepada Shauqi. Bukan perhentian bas itu sahaja tetapi juga hujan yang turun sekarang ini. Kedua-duanya mengembalikan ingatan saya kepada kisah kami.

             Kawasan perumahan kos rendah tempat saya tinggal inilah bermulanya perkenalan saya dan Shauqi. Berkulit hitam manis dengan rambut hitam yang lebat, dia sering berbaju T lengan pendek beserta dengan seluar pendek warna jingga. Saya pula gemar memakai gaun-gaun yang dibeli oleh bapa saya. Kadang-kala Shauqi akan memakai baju Melayu berwarna biru ataupun hijau (kerana dia sememangnya hanya ada dua pasang baju Melayu sahaja) dan saya pula akan berbaju kurung dan bertudung putih. Kami akan sama-sama ke surau berhampiran untuk ke kelas mengaji dan fardu ain bersama rakan-rakan yang lain. Di perhentian bas itulah dia sering menunggu saya untuk ke surau bersama-sama. Kami akan berpayung bersama-sama jika hujan turun. Selalunya dia jugalah yang akan membawa payung kerana seringkali saya terlupa membawa pulang  payung yang diberi oleh ibu saya dari surau. Akhirnya payung itu hilang entah ke mana. Dicuri orang atau dibuang saya pun tidak pasti.

             Kami juga sering bermain layang-layang di waktu petang. Shauqi pandai membuat layang-layang daripada surat khabar lama dan lidi. Dia selalu mengajar saya bagaimana caranya untuk membuat layang-layang, tetapi tidak pernah satu pun layang-layang yang saya hasilkan menjadi. Akhirnya kami hanya bermain layang-layang yang dihasilkan sepenuhnya oleh Shauqi. Namun yang menghairankan kami berdua, jarang sekali layang-layang kami terbang tinggi seperti layang-layang rakan-rakan yang lain. Kalau ada pun hanya sebentar sahaja lalu tersangkut di pohon-pohon berdekatan. Selebihnya layang-layang kami memang "degil" untuk terbang.

             Saya mempunyai andaian sendiri mengapa layang-layang kami tidak mahu terbang.   Saya merasakan mungkin disebabkan Shauqi sering mengambil surat khabar lama untuk membuat layang-layang dari rumah Apek Lee tanpa kebenarannya. Saya juga beranggapan bahawa layang-layang kami mungkin merasakan dirinya seolah-olah dihina apabila diperbuat daripada barang-barang curi, lalu ia pun enggan terbang. Saya pernah memberitahu Shauqi tentang perkara ini, tetapi dia tidak pernah percaya malah mentertawakan saya.

            "Salma, kau ni banyak beranganlah!"

            "Tapi aku rasa layang-layang tu tahu yang badan dia dari barang-barang curi"

            "Kalau kau tak nak main balik rumah"

            Selepas daripada itu saya tidak berkata apa-apa lagi.

             Saya masih ingat lagi semasa Shauqi dimasukkan ke hospital ketika berumur 13 tahun akibat demam denggi. Hanya Tuhan sahajalah yang memahami kerisauan saya pada ketika itu. Saya tahu Shauqi sakit dan saya juga tahu dia seorang yang kuat. Saya hanya mampu melihat kesakitannya dan saya merasakan pada ketika itu saya seolah-olah sahabat yang tidak berguna kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya seboleh-bolehnya mahu membuatnya gembira. Selama 2 minggu Shauqi berada di hospital hanya sekali sahaja saya dapat melawatnya. Memandangkan saya tidak tahu bagaimana membuatnya gembira, saya mengambil keputusan untuk menuliskannya sekeping kad. Kad yang pertama saya tulis kepadanya sepanjang hidup saya. Saya harap dia faham maksud tersirat di sebalik kad tersebut.

 

Kepada: Shauqi

Aku harap kau tak akan selalu

rindukan aku! Semoga

kau cepat sembuh.

 Daripada: Salma

 

            Zaman remaja datang. Saya dan Shauqi menginjak ke usia 18 tahun. Saya dan Shauqi tetap berkawan seperti biasa cuma dia semakin matang. Maksud saya, pemikirannya matang. Lebih matang dari rakan-rakan seusia yang lain. Banyak yang kami bualkan. Banyak yang saya belajar daripadanya. Sains dan seni. Ekonomi dan politik. Semuanya menjadi tajuk perbualan kami. Tidak terkecuali juga berkaitan cinta. Saya seboleh-bolehnya menolak untuk berbicara mengenai cinta kerana merasakan Shauqi bukannya orang yang sesuai. Saya tidak bermaksud dia tidak layak, tetapi saya berasa sedikit segan dengannya.

             Shauqi mempunyai pendapat yang berbeza mengenai cinta. Ramai yang beranggapan cinta itu indah. Dia pula menganggap sebaliknya.

            "Cinta tu tak indah"

            "Habis tu?"

            "Cinta itu merana"

            "Kenapa pula?"

            "Ramai yang jatuh miskin kerana cinta. Gila kerana cinta. Mati kerana cinta. Itukan merana namanya"

            "Tapi betapa meranaya cinta, pasti ada kenangan yang indah-indah kan?"

            "Aku tak percaya tu semua."

            "Tapi aku percaya!"

            "Salma, kau kena realistik. Mungkin kau tak pernah rasa itu semua"

            "Kau pernah rasa?"

            Dia diam. Soalan saya tidak berjawab. Saya juga tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Saya tahu keadaan keluarganya yang tidak aman menyebabkan dia tidak percaya pada cinta.

             Saya tidak pernah memberinya apa-apa pada setiap kali hari lahirnya. Dia juga tidak pernah menghadiahkan apa-apa semasa hari lahir saya. Kami cuma mengucap selamat hari lahir melalui mulut sahaja. Bagi saya itu sudah cukup memadai. Saya harap dia juga begitu. Tetapi pada hari lahirnya yang ke-18 saya telah mengirimkan sekeping kad hari lahir kepadanya. Saya berharap untuk kali keduanya dia memahami maksud sebenar kad yang saya kirimkan kepadanya.

 

Kepada: Shauqi

Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik.

Harap-harapnya kau suka dengan kad ini.

Kita akan terus bersahabat. Semoga kau

Sentiasa dirahmati Tuhan dan bahagia

Bersama keluarga.

 Daripada: Salma

             Keesokkan harinya dia datang bertemu dengan saya di tempat biasa. Di perhentian bas itu. Saya berfikir dia mungkin sudah mengetahui maksud sebenar kad tersebut. Saya menantinya dengan penuh harapan.

            "Terima kasih Salma untuk kad semalam"

            "Sama-sama"

            "Aku  cuma nak beritahu aku akan ke Sabah. Dapat tawaran belajar di sana"

            "Oh. Itu saja?"

            "Kau dapat tawaran di Pulau Pinang kan?. Mesti aku rindukan kau lepas ni. Itu je nak beritahu. Aku kena balik rumah. Nak bersiap untuk ke sana nanti"

             Saya cuma tersenyum. Tawar. Setibanya di rumah saya terus rebahkan badan ke katil. Memandang kipas yang berpusing lemah. Badan saya turut ikut lemah. Saya mula merasakan betapa bodohnya diri ketika itu. Bagaimana saya boleh terlupa bahawa Shauqi tidak pernah percaya pada cinta. Dan bagaimana saya boleh terjatuh cinta kepada sahabat baik saya sendiri.

             Masa berlalu sangat pantas. Kini saya sudah berumur 25 tahun. Begitu juga dengannya. Saya hanya dapat berjumpa dengannya sekali-sekala. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Pada suatu petang saya dan Shauqi keluar bersama dan saya tahu ada sesuatu yang hendak dia beritahu kepada saya. Saya beranggapan mungkin dia sudah mengetahui isi kandungan sebenar dua keping kad yang saya pernah tulis kepadanya suatu ketika dahulu. Mungkin dia sudah percaya pada cinta. Saya bersedia dan saya menanti keputusannya.

            "Salma, aku nak kahwin"

            "Kahwin?"

            "Ya"

            "Dengan siapa?"

            "Kau rasa dengan siapa?"

            "Entah"

            "Kau kenal orang tu"

            "Siapa?"

            Dia pandang mata saya. Hati saya semakin tidak menentu. Lama kemudian dia membuka mulut.

            "Dengan Najihah. Kawan sekolah kita dulu. Aku jumpa semula dia di Sabah. Aku cintakan dia. Aku akan kahwin dengan dia"

            "Tapi kau kata kau tak percaya cinta?"

            "Itu dulu. Dia ubah kepercayaan aku tentang cinta. Hidup aku bahagia bila aku kenal erti cinta"

             Saya hampir-hampir menangis bila mendapat tahu Shauqi mahu berkahwin. Lebih-lebih lagi datang dari mulutnya sendiri. Benar-benar saya ingin menangis pada ketika itu tetapi saya tidak tahu bagaimana saya mampu menahannya. Mungkin ada benarnya kata orang, cinta adalah tenaga pendorong yang sangat kuat. Saya tahan diri semahu-mahunya supaya tidak menangis di hadapannya.

             Sebulan selepas itu saya mendapat tahu daripada ibunya bahawa dia akan melangsungkan pertunangan. Saya langsung tidak dapat tersenyum apabila mendengar berita tersebut. Saya cuma mengangguk lesu. Semasa hari pertunangannya saya masih lagi mengirimkan sekeping kad. Hanya untuk dia sahaja. Saya berharap dia dapat membaca apa yang saya benar-benar rasakan pada ketika itu.

 

Kepada:  Shauqi

Aku tumpang gembira untuk kau dan dia. Tak sangka

Mahu juga kau fikir fasal cinta. Fasal kahwin.

Kau cakap mahu membujang sampai

Mati!

Daripada: Salma

             Seminggu selepas itu saya mendapat tahu Shauqi dimasukkan ke hospital. Dia telah disimbah dengan sejenis cecair berasid di mukanya ketika mahu pulang dari tempat kerja. Saya melawatnya di hospital dan saya yakin sesiapa yang melihat keadaannya dapat merasakan kesengsaraan yang dialaminya. Hampir separuh daripada mukanya melecur dan sebelah matanya juga turut terkena simbahan asid. Saya cuba-cuba bertanyakan tentang Najihah kepadanya.

            "Aku tak tahu di mana dia"

            "Dia tak datang melawat kau?"

            "Dia pernah datang sekali. Sekali saja"

            Selepas beberapa minggu, Shauqi dibenarkan pulang. Mata kirinya buta dan hampir separuh daripada wajahnya hancur. Saya memandangnya sayu tetapi saya dapat melihat kekuatan di dalam dirinya. Semenjak daripada itu dia banyak menghabiskan masanya di rumah. Saya tahu dia menanti kehadiran Najihah. Saya juga tahu dia sangat menyintai Najihah. Najihah tidak pernah menelefonnya malah Shauqi sendiri tidak dapat menghubunginya.

             Pagi itu pagi yang indah tetapi saya tidak dapat merasakannya. Saya ke rumah Shauqi pada pagi itu untuk melawatnya. Sesampainya di sana Shauqi memberitahu saya tentang satu perkara. Perkara yang mengejutkan.

             "Aku tahu siapa yang simbah asid ke muka aku"

            "Siapa?"

            "Aku memang dah lama tahu. Tapi aku tak akan beritahu sesiapa"

            "Habis tu apa kau nak buat dengan orang tu?"

            "Aku akan cuba selesaikan masalah aku dengan dia"

            "Masalah?"

            "Aku dan dia ada masalah sejak dari dulu lagi"

             Mulai dari saat itu barulah saya sedar bahawa dia sudah lama mengetahui apa yang saya tahu. Mungkin salah saya kerana tidak mahu berterus-terang kepadanya. Saya yakin jika saya memberitahunya perkara sebenar keadaan tidak akan jadi begini. Dia tidak akan sengsara begini. Saya harus menebus kembali semua kesilapan saya.

             Hujan masih lagi turun walaupun tidak selebat sebelumnya.. Bau-bau hujan masih lagi terasa. Segar dan nyaman. Saya tidak jemu-jemu memandang hujan yang turun. Hujan mengingatkan saya kepada Shauqi. Sudah hampir 3 bulan berlalu. Saya tidak pernah lagi bersua dengannya semenjak pertemuan kami pada pagi itu. Saya mengalih pula pandangan ke meja tulis yang terletak di sebelah katil. Terdapat sepucuk surat yang terletak elok di atas meja itu. Surat itu masih tidak saya buka sampulnya apatah lagi membacanya sejak dari pagi semalam ia tiba. Saya kenal siapa pengirimnya. Inilah surat pertama yang Shauqi kirimkan kepada saya sepanjang kami berkenalan. Saya mengambil surat itu. Perlahan-lahan saya baca isi kandungannya.

 

Kepada: Salma

 

Selama 3 bulan aku tidak pernah mendengar khabar dari kau. Aku tidak mahu ke rumah kau ataupun cuba-cuba menghubungi kau kerana aku tahu kau sangat sibuk dengan urusan kerja dan peribadi.

 Selama perkenalan kita, terlalu banyak kenangan indah yang kita alami bersama-sama. Begitu juga dengan kenangan-kenangan pahit. Tetapi kita tidak pernah cuba mengingatkannya sebab kau pernah beritahu bahawa tak perlu membebani kenangan kita yang indah dengan kenangan-kenangan yang pahit.

 Mengenai Najihah pula, aku harap dia bahagia dengan hidupnya. Aku tahu dia malu dengan keadaan aku tetapi aku tak pernah menyesal. Sebab kau pernah kata yang sesiapa memberikan harapan akan memiliki harapan dan diberi harapan. Aku sudah memiliki harapan itu. Kaulah harapan aku selama ini.

 Salma,

 Sebenarnya aku tahu kau sudah lama mengetahui aku mempunyai masalah kewangan. Masalah hutang yang berat. Tetapi percayalah Salma aku tak pernah berniat untuk menyembunyikan hal ini kepada kau. Aku tak mahu kau diapa-apakan.  Aku terkejut bila dapat tahu segala hutang yang aku pinjam oleh lintah darat itu telah diselesaikan 100%. Aku tahu siapa yang melangsaikannya tetapi aku tak akan beritahu kau. Biarlah aku sendiri yang tahu.

 Bila aku rindukan kau aku selalu membaca kad-kad yang kau pernah berikan pada aku. Aku benar-benar membacanya! Dan aku benar-benar faham isinya. Ini merupakan surat pertama aku kepada kau. Melalui surat ini aku ingin memohon maaf kerana aku tahu terlalu banyak yang kau pendam kerana aku dan terlalu banyak yang aku tak nampak. Aku berharap kita akan berjumpa seperti dulu. Aku cuma mahu kau tahu, kaulah sahabat sejati aku di dunia dan aku mengharapkan juga di akhirat nanti.

-Shauqi-

 P/S: Aku takut-takut lepas ni aku terjatuh

       Cinta pula dengan

       Kau!  :)

            Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya tersenyum. Baru kini saya boleh tersenyum lebar. Apalah sangat nilai RM 10, 000 yang saya korbankan jika hendak dibandingkan dengan penantian saya selama bertahun-tahun. Menantinya semenjak di usia 7 tahun lagi. Hari ini saya yakin dan pasti dia sudah mengetahui maksud tersirat yang saya ingin sampaikan melalui kad-kad saya. Dia sememangnya sudah mengetahui.

             Hujan sudah mulai berhenti. Saya memandang ke langit. Ada orang mengatakan hujan itu rahmat. Hujan itu sayu. Bagi saya hujan itu kenangan. Hujan itu cinta.

 

 

 

           

 

 

 

           

 

 

 

 

 

 

           

 

Cerpen sebelumnya:
Bahagiaku Untukmu...(sambungan)
Cerpen selanjutnya:
Tandatangan itu

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.6
5 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni) | 14948 bacaan
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 4835 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 7742 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 4544 bacaan
Stesen Ajaib | 3314 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 5487 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 4723 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 3236 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 3295 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 4227 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

10 Komen dalam karya Hujan Itu Cinta
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik