Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

J.A.T.U.H

  • 11
  • adra
  • 15 years ago
  • 4,234
  • FREE

 

Aku yang serabai….

 

Orang selalu kata aku macam takde wawasan dalam hidup. Mereka tengok aku serabai macam ni, langsung tak nampak ciri-ciri idola. Aku tak hairan pun. Bukan aku dilahirkan sebagai insan yang meminta untuk jadi contoh pada siapa siapa. Yang penting aku tahu siapa aku, tak buat perkara yang bukan-bukan dan hargai sepenuhnya orang yang aku sayang. Cakap tentang aku, tiada apa yang istimewa pun. Aku ni anak teruna yang tinggi lonjong, berambut lurus dan suka pakai snow cap untuk tutup rambut. Kulit aku sawo matang. Tak gelap sangat tak selepuk sangat. Muka aku…hmm macam mana nak gambarkan ye? Orang sekeliling aku cakap, muka aku ni macam budak Jepun. Entahlah betul ke tidak. Yang pasti, aku seorang yang menggunakan tangan kiri atau lebih jelasnya, dikategorikan kidal.

 

Macam biasalah, kerja aku tak glamor langsung. Asyik kena ‘tendang’ je. Maksudnya buang kerja. Sebab aku ada satu hobi pelik. Mungkin aku dianugerahkan dengan bakat semulajadi untuk menjadi seorang pembancuh air yang hebat. Tapi di sebalik semua tu, aku ni ada satu tabiat yang sukar untuk dikikis. Kalau pelanggan tu pesan air yang tarik-tarik, memang agak kurang baiklah nasib mereka. Sebab apa? Ha… inilah satu perangai aku yang tak pernah berubah. Menjadi punca utama kelingkupan pengaliran mata wang dalam hidup aku atau ringkasnya gaji serta meletakkan aku dalam situasi berkecuali untuk sebarang pekerjaan iaitu, dipecat. Bukan apa, aku ni terlalu obsess dengan buih. Sampai satu tahap pelanggan hentak cawan depan mata aku sebab tensyen yang amat sangat. Ada yang sampai gigit-gigit cawan tu. Susah untuk aku jelaskan. Betapa aku gembira setiap kali menarik air sampai buih lebih banyak berbanding minuman yang dipesan. Aku ada teknik tersendiri untuk melaksanakannya. Jangan berani nak cuba tiru. Tak berkat. Ish ish ish… Pernah mereka komplen macam ni.

“Air apa ni? Minum dua tiga teguk je habis. Jual harga secawan,” aku mendengar leteran mereka dan buat muka poyo. Bos juga yang bengang. Naik merah telinga. Nahaslah aku kena tibai. Tapi aku ada jawapan yang bernas, dijamin pilihan bijak.

“Saya ni jual secawan taklah mahal. Lima puluh sen je. Takkan itu pun encik nak berkira. Dompet tebal,” pergh! Memang bijak. Sampai kepala kena luku dengan bos jam tu juga. Akhirnya, kata putus dah dibuat.

“Ambil gaji untuk hari ni dan berambus,” aku dengan penuh redha, pergi meninggalkannya begitu sahaja. Orang dah tak perlukan khidmat kita. Takkan nak terhegeh-hegeh.

 

Budak Bukit vs Budak Tanah Rendah…

 

Sambil berjalan-jalan, otak aku ni berpusing-pusing. Asyik fikir je. Kenapa aku ni obses sangat dengan buih? Sumber inspirasi aku gamaknya. Pernah juga aku tanya mak, kenapa anak dia ni terlalu mengagumi buih. Jawapan mak senang.

“Sebab Pit suka sangat berendam dengan buih masa kecil dulu,” sememangnya sebagai anak aku sungguh menyayangi mak namun bila menerima jawapan sebegitu membuatkan aku rasa macam nak lompat sampai tembus lantai rumah. Roboh jugak kang.

 

 “Hoi! Budak bukit! Nak gi mana?” Adoyai! Keamanan aku diganggu oleh minah tanah rendah ni. Kenapalah setiap kali aku sibuk mahu bermuhasabah diri, mesti jumpa dia? Tak faham betul. Dahlah nak balik cepat, tersangkut jugak. Nanti hujan makin lebat pulak. Lencun aku.

“Aku nak balik dah. Budak tanah rendah, aku tengah hangin ni,” aku sekadar ingin memberi amaran. Dia tetap tak reti bahasa. Terpacak kat depan aku sambil pegang payung. Rambut kerintingnya sentiasa mencuri perhatian aku. Macam buat kat salun je. Teringin juga nak tanya.

“Eh! Budak tanah rendah, berapa kau buat rambut ni?” ku lihat minah tanah rendah itu tayang gigi, bangga nampak. Kalau aku jadi dia, sahih malu. Kenapa nak bangga dengan barang yang bukan original?

“Sedap je mulut kau budak bukit. Aku ni pentingkan originaliti tau? Tak mainlah pergi salun. Dalam perut mak aku punya bikin,” nampaknya aku yang kena tutup muka. Malu seyh! Sempat lagi dia menjeling manja, tiba-tiba aku rasa macam jantung ni berdegup pantas.

“Dari mana ni? Masam je muka,” soalnya macam detektif. Ada unsur nak korek rahsia nampak.

“Dari mana nak ke mana,” balasku sambil tergelak. Sengaja menjawab pertanyaannya dengan soalan juga. Ku lihat wajahnya mencantum. Lama aku tunggu dia bersuara, tapi tetap keras. Merajuk!

“Alah, melawak sikit pun takleh. Terus tarik muka. Ceh! Kalah muncung monyet tau?” heish sampai ke situ pulak mulut aku ni. Ada makan pelempang kang. Tetapi dia masih pegun. Tiada reaksi.

“Mulut kau ni takde insuran eyh? Sental ngan biji lada baru tahu,” bebelnya marah. Aku tunduk. Sebiji macam orang dah insaf. Padahal dalam hati gelak macam setan. Huhu! Dah memang aku macam ni. Sengal memanjang.  

“Dahlah, aku balik dulu,” ujarnya sambil mulut tetap memuncung. Aku terpaku di situ. Memerhatikan langkahnya. Comel betul caranya berjalan sambil memegang payung. Tetapi baru aku hendak menapak, terdengar suaranya mengaduh kesakitan. Mak ai! Dia terduduk atas jalan. Mesti tergelincir sebab kasut tumit tinggi dia tu buat hal. Aku bergegas menghampirinya. Takkan nak tinggal kot. Bukan lelaki sejati lah kalau macam ni.

“Kau kenapa?” dia hanya mengaduh. Dress yang dipakainya berlubang di bahagian lutut. Ganas betul jatuh.

“Tumit kasut ni patah,” perlahan sahaja suaranya. Kesian pulak aku tengok, lutut dia luka. Sampai naik lebam.

“Biar aku tolong kau,” ucapku ikhlas lalu menghulurkan tangan untuk memapahnya. Pada mulanya dia berkeras dan bangun sendiri. Namun mungkin sebab terpaksa menanggalkan kasut dan lutut masih sakit, dia akhirnya mengalah.

“Janganlah jalan laju sangat,” jeritnya kepada ku yang mendahului di depan. Ingatkan nak blah je tadi. Tak sampai hati pulak.

“Tulah, dah sakit pun nak sombong lagi,” bidasku. Dia tertunduk malu. Hujan makin lebat. Baru aku sedar sesuatu, payung!

“Mana payung?” ujarku kaget.

“Aduh! Tertinggal kat tempat tadi,” aku hanya mampu menggelengkan kepala. Nak patah balik dan tinggal dia sorang? Bahaya! Dah separuh perjalanan ni. Nak tak nak, terpaksalah kami berbasahan. Sambil memapah dia, aku tahan sejuk. Bayangkan macam mana kalau aku tak demam lepas ni. Kira kebal lah.

Sorry,” ucapnya sepatah.

“Takpe,” balasku. Hujan turun mencurah-curah. Aku cepatkan langkah. Minta-minta cepatlah sampai…   

 

 Aku memulas tombol pintu selepas memberi salam. Mulut mak terlopong. Terkejut bila tengok anak terunanya ini basah macam baru lepas mandi. Memang mandi pun, mandi hujan. Tapi kekagetan mak tak lama, dia sambung menjahit semula.

“Pit kena ‘tendang’ lagi,” ujarku sambil menjuihkan mulut. Tak sempat-sempat, terus je bagitahu. Mak yang sedang menjahit zip seluar terjerit. Sah! Tangannya tercucuk jarum. Apalah aku ni, memang tak boleh diharap. Setiap kali kena pecat, mesti akan menyebabkan jari mak luka. Mana taknya, masa aku beritahu mesti mak tengah menjahit. Kalau tak jahit zip, tengah sembat sisi, kalau tidak tengah jahit butang pula. Mak aku memang wanita serba boleh, tapi anaknya ini tidak mewarisi suatu pun kualiti yang ada dalam dirinya.  

“Dah tu lepas ni, Pit nak buat apa?” Soalan mak aku biarkan tanpa jawapan. Masuk bilik sekejap, sangkut tuala pada kepala.

“Pit kena tanam anggur lagilah ni. Duk gaduh mulut dengan budak tanah rendah,” omelku lalu mengundang gelak emak.

“Tak baik panggil si Ily macam tu. Nama cantik,” balas emak pula. Aku yang tengah togok air sejuk tersedak.

Ily nama dia?

“Lah, dia pun panggil Pit budak bukit. Sama je kitorang ni,” balasku selamba lantas melangkah ke bilik air. Dengan muka yakin ala-ala model nak catwalk. Kepala mula rasa berat, hidung pun asyik bersin. Petanda awal demam dah muncul.

 

Kawan-kawan, ada sejarahnya kami berdua menggunakan panggilan tersebut. Mungkin sesetengah orang berpendapat itu adalah ejekan tapi tidak bagi aku. Kami mengeratkan silaturrahim. Ini kerana, setiap kali berjumpa kami pasti akan bertegur sapa. Lihat? Contohnya seperti tadi. Berhasil bukan? Malah kami akan sentiasa ingat kepada tingkat di mana letaknya rumah kami.

Aku tinggal di pangsapuri yang sama dengannya. Cuma beza tempat tinggal kami adalah dia di tingkat bawah manakala aku di atas sedikit. Kerana pernah suatu ketika rumahnya dinaiki air ketika banjir kilat, aku menggelarnya minah tanah rendah. Dan dia menggelar aku sebagai budak bukit sebab pernah semput separuh nyawa naik tangga ke tingkat rumahku lantaran kerosakan lif. Masa tu, dia punyalah tercungap-cungap nak bernafas macam orang baru siap daki bukit. Secara rasminya selepas itu, bermulalah gelaran  budak bukit dan budak tanah rendah antara kami berdua.

Tetapi aku tak pernah mengetahui namanya. Tak terfikir untuk mengambil tahu. Aneh bukan? Salah ke berhubungan dengan seseorang itu tanpa mengetahui namanya? Tidak! Belum ada dalam mana-mana peraturan mengatakan salah berkawan tanpa mengetahui nama. Bagi kami, budak bukit dan budak tanah rendah adalah nama yang cukup unik. Tanpa nama itu besar kemungkinan kami takkan mengenali antara satu sama lain.

Sempat lagi aku merepek pada masa-masa macam ni. Coolfever bertampal atas kepala, pakai selimut berlapis-lapis dengan baju panas tebal tak ingat. Ini semua petang tadi punya pasal. Naik menggigil aku jadinya. Demam cepatlah kau kebah.   

 

 Rezeki terpijak…

 

Aku rasa jenuh betul hujung minggu macam ni. Dah lama dah tak nampak muka minah tanah rendah. Lepas dia buat aku demam hari tu, sekali je kitorang terserempak. Bosan pulak aku tak kelahi mulut dengan dia. Biasa sepatah aku cakap, berpatah-patah dia lawan. Dah sebijik macam machine gun. Tapi hakikatnya aku kadang kala mampu merasakan keamanan yang tiada tolok bandingnya kalau dia takde.

 

Peliklah pulak aku tengok perempuan ni asyik pandang aku dari atas ke bawah. Bukannya aku ni kaki melaram pun. Tahulah selekeh. Pakai baju T, lepas tu seluar jeans lusuh dengan kasut Converse yang aku sayang gila. Dah naik rabak tapak benda alah tu aku pakai. Rambut pula macam biasalah, snow cap baik punya!

“Dik, berminat jadi model tak?” Terkanjal aku mendengar pelawaannya. Dia menghulurkan kad nama. Aku serba salah untuk menerima. Biar betul? Mimpi lagi ke ni? Aku bukan kacak, jauh sekali menepati kriteria seorang model. Mungkin ketinggian aku menarik perhatian akak ni gamaknya.

“Saya tak tahulah nak cakap kak. Tak biasa dengan kerja macam ni. Dunia saya hanya teh, kopi dan segala jenis minuman tarik-tarik,” jujur jawapanku mengundang tawanya. Muka aku ni macam tengah bergurau ke? Padahal memang serius gila. Mentang-mentang mata aku sepet, dia ingat aku buat loyar.

“Habis tu dari tadi saya tengok kamu mengelamun je. Kalau kerja mesti tak duduk sini kan?” Aduh! Kena lagi…

“Kedai tu cuti hari ni. Hari Ahad memang off day saya. Takpelah kak, ya. Saya nak balik,” ujarku cuba melarikan diri.

“Eh! Cepatnya nak balik? Kalau dah berubah fikiran jangan lupa hubungi akak. Awak tu ada pakej untuk jadi model,” sayup-sayup kedengaran suaranya. Aku semakin jauh melangkah.

 

Masuk ke dalam Sunway Pyramid ni, aku sekadar cuci mata. Tengah belek baju kat butik yang menarik perhatian aku timbul pula suatu kesedaran. Cantik baju-bajunya terutama untuk kaum wanita. Otak aku secara automatik teringatkan mak. Tak pernah aku beli baju untuk mak selama ni. Kesian dia. Penat besarkan aku, tapi aku? Selalu menyusahkan. Aku bukan tak nak sambung belajar, tapi dalam proses cari kerja dan kumpul duit untuk tanggung kos pelajaran nanti. Malas nak bebankan mak. Aku satu-satunya harapan dia. Kalau boleh, aku nak jadikan mak ibu yang paling bahagia kat muka bumi ni. Pit sayang mak! Jasanya melahirkan dan membesarkan aku tak mungkin mampu aku balas. Hanya satu cara untuk aku terus membahagiakan dia, iaitu menjadi anak yang berguna.

 

Suara gelak tawa itu macam benar aku kenal. Tergerak hati aku untuk berpaling, ternampak si manis berambut kerinting sedang berbual sambil menjamu selera bersama kawan-kawannya di McD. Semua perempuan. Aku cepat-cepat sembunyi. Kang budak tanah rendah ni nampak aku, segan! Nak tegur dia, malulah.

Dia jugak yang seronok. Duduk kat pangsapuri aku pun, sebab sambung belajar. Mesti keluar dengan budak-budak rumah. Mereka memang kamceng. Asyik berkepit je aku tengok. Adakalanya, aku terhibur tengok gelagat minah tanah rendah ni. Kaki tak jadi melangkah, terpaku kat situ. Entah apa yang buat aku asyik sangat, aku pun tak tahu. Yang pasti, aku seronok tercegat kat situ memerhatikan telatahnya yang suka ketawa. Nampak sahaja mereka bangun daripada tempat duduk masing-masing, aku pun cabut. Masuk tandas sekejap pun bagus jugak. Boleh lepas hajat.

 

Aku menghabiskan masa dengan duduk di ruangan santai yang disediakan sambil memerhati gelagat orang ramai. Ralit aku melihat seorang kanak-kanak Arab berambut kerinting memegang belon. Gayanya persis seseorang.       

“Hai… sorang je?” Sapa satu suara. Aku cam suara dia. Betul tekaan aku bila minah tanah rendah tiba-tiba duduk kat sebelah. Sopan pulak hari ni. Dia demam panas agaknya.

“Ha ah. Kau ada nampak aku bawak orang lain ke?” bidas aku sambil tayang muka eksyen.

“Manalah tahu, tengah dating. Kotlah aku kacau daun,” balasnya. Kembali kasar seperti biasa. Baru betul!

“Tak arh. Dating ngan kerusi ni ha. Kau takkan sorang je kot?” ucapku sambil ketawa. Sempat lagi berpura-pura macam tak perasan kehadirannya di situ bersama beberapa orang rakan. Tapi sekelip mata sorang pulak dah. Mana pergi yang lain aku tak tahu?

“Diorang gi beli tiket wayang. Nak tengok Madagascar,” aku tertarik mendengar tajuk filem animasi berkenaan. Rasa nak join sekaki.

Best ke cerita tu? Macam tak best je,” aku sekadar ingin menunjukkan protes. Mempengaruhinya agar tidak menonton wayang itu. Sebenarnya aku cemburu. Sebab tak dapat tengok. Malas nak bazir duit.

“Kawan aku dah tengok. Dia kata best gila. Takkan nak lepaskan peluang. Tak lama lagi aku dah nak tamat belajar. Tak tentu pulak dihantar ke mana,” ucapnya dalam nada kendur. Aku agak terkejut. Takkan secepat ini dia nak pergi?

“Cepatnya kau habis. Kena hantar ke mana? Kenapa pulak nak kena hantar?” Soalku bodoh-bodoh.

“Tulah kau tak pernah borak lama ngan aku. Tahu ejek je. Nantilah aku bagitahu kau,” ujarnya lalu bangun dan meninggalkan aku terkebil-kebil.

 

Restu seorang ibu…

 

Aku merapati emak yang sedang menyeterika baju. Ku paut bahunya, tanda kasih yang tak pernah luntur.

“Ada apa dengan anak mak ni?” sekilas ikan di laut nyata dia tahu jantan betina. Emak yang membesarkan aku, dia begitu memahami makna yang tersirat di sebalik setiap tindakan aku.

“Mak,” aku diam semula.

“Apa?” dia menyoal kembali. Kali ini dia mematikan suis seterika.

“Pit dapat tawaran jadi model,” ucapku perlahan.

“Ha? Betul ke? Bila?” emak tersenyum. Ku lihat wajahnya berseri-seri. Mungkin doanya agar aku mendapat kerja termakbul. Doa seorang ibu sememangnya mustajab.

“Betul mak. Tadi, masa Pit tengah termenung sorang-sorang ada akak tu datang. Siap kasi kad nama. Cuba mak tengok,” lalu ku hulurkan kad itu kepada emak. Dia membaca satu persatu butiran yang terdapat pada kad tersebut.

“Buatlah apa yang terbaik bagi Pit. Mak sentiasa doakan anak mak,” syahdu pula aku dengar suara mak. Mesti dia betul-betul gembira bila anak terunanya ini dah dapat kerja. Inilah yang dinamakan rezeki.

“Terima kasih mak. Pit akan ingat semua pesan mak,” ucapku sambil mendakap emak. Dapat ku rasakan betapa kasihnya dia terhadap diriku. Dakapan hangat seorang ibu membuatkan aku terasa begitu dilindungi.

 

Aku menunggu agar talian bersambut dengan penuh sabar. Sabar itu kan separuh daripada iman. Betul tak? Mungkin akak ni sibuk. Tapi aku tunggu je.

“Hello,” akhirnya panggilan aku berjawab.

“Hello, saya Pit. Yang lepak petang semalam dekat bus stop. Kan akak kata, kalau dah berubah fikiran boleh hubungi akak,” lancar pula aku menyusun kata.

“Ha, ni dah nekad ke nak terima pelawaan akak? Jangan nak tarik balik persetujuan ya,” selorohnya. Aku tergelak. Pandai jugak akak bergurau.

“Ya, saya dah bincang dengan mak saya. Kalau dia dah merestui, saya nak timba pengalaman,” balasku yakin. Bagai sedang menghadapi sesi temu duga.

“Okey, esok datang ke pejabat akak. Ada test shoot. Kami nak cungkil bakat awak,” aku terangguk-angguk. Merasa begitu teruja.

“Baiklah! Pukul berapa?”

“Pukul sepuluh tepat. Jumpa esok. Pakai macam biasa je,” pesannya sebelum memutuskan talian. Aku senyum lebar sampai ke telinga. Minta-minta semuanya berjalan dengan lancar esok.

 

Kesunyian yang terasa…

 

Banyak perubahan yang aku alami setelah bergelar seorang peragawan. Pakaian yang tidak pernah diimpikan sama sekali, disarungkan ke tubuh demi memenuhi tuntutan tugas. Bermula dengan jenama seperti Tropicana Life, aku diberikan kepercayaan untuk memperagakan himpunan busana daripada jenama terkemuka seperti Chanel, Topman dan Giordano. Muka aku pula acap kali menghiasi majalah seperti CLEO umpamanya. Sekelip mata aku dikenali oleh masyarakat. Begitu hebatnya anjakan paradigma yang melanda hidupku. Namun aku enggan dihanyutkan oleh arus glamor yang mampu melekakan jiwa tidak ditangani dengan kental.

Namun dalam kegembiraan ini, aku tak lupa untuk membelikan beberapa helai baju untuk mak. Kerana doanya aku berada di tempat sekarang. Dalam pada meniti kemashyuran, aku tetap mengingati sesuatu. Sering sahaja minda ini terkenangkan dirinya. Apa yang aku perasan tentangnya, dia tak lagi mesra denganku seperti dulu. Jika kami bertembung, dia akan berpura-pura tidak menyedari kehadiranku. Saat aku cuba menyapa, dia pantas mengelak. Aku merindui kenakalan budak tanah tinggi dan minah tanah rendah yang dulu. Andainya kelompok peminatku mengetahui model yang diminati mereka ini ada nama glamor sebegitu pasti haru jadinya. Tetapi nostalgia ini hanya kami berdua yang tahu.

“Khil,” aku terpana. Wanita berambut keperangan ini semakin menghampiri. Dia kelihatan senang mendampingiku. Rakan-rakan di arena ini senang menggelarkan aku dengan nama pertama. Khil…ringkasan daripada Khil Afiq.

 

Terkaku seketika. Sungguh, dia memang jelita. Namanya Tisha. Secantik orangnya. Aku tak mampu untuk menyangkal atau menidakkan apa yang sepasang mataku lihat. Tetapi aku tidak memasang niat walaupun sebesar zarah untuk mengenalinya dengan lebih rapat.

“I nak cepat. Sekejap lagi show dah nak mula,” aku menggelabah bangun dan meninggalkan dia sendirian. Rasa bersalah mula mengusik, namun aku hanya menginginkan dia berada di sampingku. Hanya dia.

 

Rasa tidak tenteram kuat menguasai diri. Aku tergesa-gesa mengemaskan beg dan pulang. Myvi SE berwarna oren ku pandu penuh berhati-hati. Kini aku mampu untuk memiliki kereta sendiri. Cuma agenda yang masih terbengkalai adalah menyambung pengajian di peringkat ijazah. Lama sungguh hasratku tertunggak setelah menghabiskan matrikulasi dalam bidang Perakaunan dua tahun lalu.

Sesampainya aku di rumah, mak masih berjaga menyiapkan tempahan pelanggan. Kata emak, dia mahu menyiapkan lagi sepasang baju kurung yang ditempah oleh jiran kami. Untuk pergi belajar katanya. Bakal bergelar seorang guru.

“Mak, kenapa beria sangat nak siapkan? Esok kan sempat lagi,” bicaraku lembut. Emak menentang pandangan mataku. Dia tersenyum.

“Kan mak dah biasa berjaga. Pit tak payahlah risau. Nanti tahulah mak tidur. Anak mak ni, kena rehat. Mesti letih kan?” Aku senyum menatap emak. Dia bimbang akan diriku. Perihal kerja yang tidak menentu masa, yang adakalanya menuntut aku untuk berada di luar negara membuatkan mak tambah prihatin. Tapi aku masih muda, kudrat kuat lagi. Sedangkan mak meniti usia senja. Sepatutnya pada usia begini, dia berehat. Bukan lagi mengerah keringat. Tetapi aku memang mengagumi hasil jahitannya, halus dan kemas. Sulaman tangan mak, tinggi kualitinya.

“Siapa jiran kita yang tempah baju dengan mak? Jauh benar ke tempat yang dia nak pergi?” Aku sambung tanya. Mak menggelengkan kepala. Macam nak berahsia pulak.

“Pit tengoklah sendiri esok,” jawab mak bersahaja.

Aku terlena di sofa, sedar sedar mak mengejutkan aku untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah. Setelah menunaikan ibadah wajib itu, aku sambung tidur di dalam bilik.

 

 

Tetamu yang mencuri hati…

 

Dalam mamai aku terdengar suara mak sedang rancak berbual dengan seseorang. Suara dia macam suara yang aku rindu. Takkan minah tanah rendah? Aku tak dapat mengawal otak untuk berfikir waras. Lantas ku pulas tombol pintu bilik dan meluru ke arah ruang tamu. Sungguh lurus, tak belok-belok. Mak tercengang. Tetamu kami terjerit kecil. Aku memerhatikan setiap inci tubuhku. Sudahlah rambut kusut masai, hanya seluar pendek yang melekat di badan. Aku berkejar masuk ke bilik. Malu gila! Memang sah budak tanah rendah datang ke rumah aku. Rupanya dia yang nak jadi cikgu? Nak pergi mana? Kenapa dia tak pernah beritahu aku langsung. Yelah, siapa aku? Hanya seorang lelaki bermulut lancang yang tak penting dalam hidupnya.

“Kau asyik mengelak daripada aku, kenapa?” aku bersuara hambar. Memulakan perbualan setelah berjaya mencuri kesempatan untuk mengiringinya ke tingkat bawah. Kalau aku tak buat macam ni, entah-entah sampai dia pergi pun tak nak cakap apa-apa pada aku.

“Aku tak rasa perlu beritahu kau apa yang aku nak buat. Rancangan hidup aku takde kena mengena dengan kau. Kita kan ada hidup sendiri. Kau dah popular sekarang, tak macam dulu. Aku nak dekat pun takut,” dia gelak. Pura-pura ke serius aku tak tahu? Masih cuba untuk menebak. Namun bening matanya menceritakan segala yang dia rasai.

“Aku tetap orang yang sama Ily,” Buat kali pertama nama itu terlafaz di bibirku. Serta merta damai perasaan ini. Ku lihat dia terpaku.

“Bila kau dah dikenali, aku rasa semua tentang kita dah jadi lain. Aku takut nak panggil kau budak bukit macam biasa. Sebab imej kau kan penting,” aku menghela nafas. Singkatnya dia berfikir. Takkan sampai ke situ aku mahu menjaga imej?

“Terus terang, Ily. Aku suka dengar kau panggil aku macam tu. Aku rasa janggal bila orang panggil aku Khil. Aku rasa macam bukan aku lagi,” aku menatap wajahnya. Ily tertunduk. Aku tahu dia segan.

“Budak bukit,” terus sahaja nama manja itu bermain di bibirnya.

“Budak tanah rendah,” segera aku menyahut. Kami sama-sama tertawa. Indahnya berpeluang bergurau senda seperti ini. Cuaca redup membuatkan aku lebih merasai perasaan aneh ini. Aku merasakan bahawa aku perlu meluahkan sesuatu kepadanya.

“Bila kau nak pergi? Kau nak pergi mana?” Aku berhenti melangkah. Dia juga.

“Jumaat ni. Aku akan mengajar di Inanam, Sabah,” jantungku seakan berhenti berdegup. Jauhnya!

“Boleh tak kau jangan pergi?” Ish! Apa ayat aku ni? Lain macam je bunyinya.

“Ini cita-cita aku, Pit,” akhirnya terlontar juga namaku di bibir nipisnya. Segaris senyuman terukir.

“Tapi aku sayangkan kau. Aku tak nak kau pergi,” spontan! Selamba betul aku mengungkapkan rasa hati. Tanpa selindung. Ku lihat dia terkejut. Mungkin tidak menyangka bahawa ucapan ini yang bakal aku sebut.

“Kau sayang aku, aku sayangkan cita-cita aku,” dia memprovok. Cemas aku dibuatnya. Rasa nak menangis pun ada.

“Aku cintakan kau, Ily. Cinta,” sebak suaraku. Ku lihat air hangat jatuh di pipinya. Katakanlah dia turut merasai apa yang sedang ku rasa ini…

“Aku pun,” dia menangis. Aku meraih jemarinya lalu menyarungkan sebentuk cincin yang terukir namaku di situ. Lalu aku menyerahkan sebentuk lagi yang terukir namanya untuk disarungkan pada jariku. Terlalu lama aku simpan sepasang cincin ini, saat aku merasakan kerinduan yang tak terbendung buatnya.

 

Jadikan awak teman untuk hati…

 

Aku menyerahkan sebotol ‘pil cinta’ kepadanya. Dia menyambut sambil tersenyum penuh makna. Kami saling berpandangan. Kini sudah hampir dua tahun dia mengajar, selama tempoh ini jugalah dia bergelar tunanganku. InsyaAllah tahun hadapan, jika dipanjangkan jodoh kami akan mendirikan rumah tangga.

“Bacalah,” bisikku romantis.

“Banyaknya,” dia membuka satu persatu kapsul yang diisi dengan sebab mengapa aku begitu mencintai dirinya. Ada 50 biji, bermakna 50 sebab semuanya. Aku mahu dia menghayati satu persatu.

“Awak manis,” dia tersengih. Wajahku memerah.

“Awak selamba dan bijak,” dia tergelak.

“Okey, yang lain tu balik nanti baru awak baca. Tapi yang ni paling penting,” aku menghulurkan pil cinta terakhir yang diletakkan dalam telapak tangan. Pil cinta yang paling bererti bagiku.

“Awak dah buat saya jatuh,” ucapku sambil menghulurkan kapsul tersebut kepadanya.

“J.A.T.U.H…. Jadikan awak teman untuk hati?” dia mengulang kembali ayat yang aku tuliskan. Aku meraih jemarinya. Dia kelihatan benar-benar tersentuh. Aku tulus mencintainya dan berharap agar mampu memberi kebahagiaan buatnya sehingga ke akhir hayat kami. Semoga takkan ada air matanya yang menitis demiku, tetapi biarlah hanya senyuman terukir di wajahnya.   

 

 

 

 

 

 

  

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) >kimslm ek kat budak bukit..:D
    >best ah ceta..epy ending...
    >wish my bf like that...huahuahua:D

  • (Penulis)
    2) baiklah! insyaAllah...cari dan doa hehe =)
    saye pun nak mcm tu gak..sbb tu dia jd hero nih. agagaga ;)
  • 3) wah.terasa kemanisannya..

  • (Penulis)
    4) terima kasih bluessie_7. kane sudi bace cerpen sy nih =)
  • 5) sweet !!!!!!!!!!!!!!!!!
    pil cinta?? same like me....

  • (Penulis)
    6) hehehe...
    mls nak panggil love drug..ju.
    heheh pil cinta lg wow! heheh =)
  • 7) oh,okey~~

    tgh tak bernafas time baca babak last~~ :D

    syud penah wat dulu..100 bijik~ *oh kenangan silam..syiohh syiohhhhh huhu
  • 8) wooo aku boleh bagi cerpen ni jadi 100 helai lagi panjang.
    sebab byak sgt cut coner ni.

  • (Penulis)
    9) syud> hehehe...lupekan. jdkan seme tu azimat hehe =) kantoi pnh wat.

    zinggOf>eh? hahaha...up to u la bro. rsnye ni dah paras normal..kang wat meleret org bosan lakz. thanks for dat comment=)
  • 10) hukhuk..best nye bf dier...bg pil cinta lgi..=)

    i wish to have one like this!giler romantik..

  • (Penulis)
    11) hehehe..kamsaheoyo.

    romantik dan nakal...my dream guy..sweet!

    =)

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra