Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

Sorakan Buat Natalia

Cerpen sebelumnya:
it's start today...22/12/08
Cerpen selanjutnya:
Kasut,Famous Amos dan Zen

Kumpulan Cantik Menawan vs Kumpulan Skema Sampai Mati…

 

Hari yang sungguh indah, memang sempurna dengan sinaran mentari yang menerangi alam. Persekitaran di Lavender High School tampak tenang. Namun siapa tahu, bagaimana bergolaknya komunikasi antara dua kumpulan yang paling berpengaruh di sekolah berkenaan. Biarlah cerita ini bermula dengan pengenalan terhadap dua golongan yang sentiasa bertelagah serta satu kumpulan yang terletak di antara kedua-duanya…

 

Cantik Menawan:

Kumpulan ini dianggotai oleh mana-mana sahaja gadis yang mementingkan kecantikan. Pandai berfesyen adalah keutamaan mereka. Tidak begitu hebat dalam pelajaran, namun aktif dalam bidang kokurikulum. Biasanya mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian dalam penglibatan pasukan sorak. Menonjolkan sifat lemah lembut, manja dan lincah sebagai aset untuk disanjungi. Secara amnya, kategori ini dimonopoli oleh gadis-gadis yang memiliki susuk tubuh seksi dan terlalu obsess untuk kelihatan popular. Menggantikan ketidakcemerlangan dalam pelajaran dengan kehebatan bersorak. Penerajunya adalah Natalia. Memiliki pasukan sorak yang diberi nama Gadis Matahari.

 

Skema Sampai Mati:

Diketuai oleh ketua pengawas bernama Chaz bersama tiga lagi rakan karibnya iaitu Met, Leo dan Din. Mereka hanya mementingkan pelajaran, penampilan yang segak dan kemas. Suka menonjolkan diri apabila terdapatnya penganjuran aktiviti yang berkaitan dengan ilmu. Ulat buku, tempat yang paling disukai adalah perpustakaan. Memusuhi ahli pasukan sorak Gadis Matahari. Mereka hanya sibuk bergelumang dengan kertas ujian, latihan dan ulangkaji selama tiga jam sehari. Amat pantang diganggu oleh sorakan Gadis Matahari. Tidak hairanlah jika dua ketuanya saling bertelagah.

 

Tak Kisah…

Adalah golongan yang terletak di antara dua kumpulan utama tadi. Mereka yang berada dalam kelompok ini biasanya berfikiran terbuka, dan menerima pengaruh yang dibawa oleh Cantik Menawan dan Skema Sampai Mati dengan seimbang dan memandang segalanya dari sudut yang positif. Berpenampilan yang santai, dinaungi oleh pelajar lelaki dan perempuan secara sama rata. Mengambil langkah bersikap selamba, serta berkecuali sekiranya berlaku sebarang pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan utama tadi.

 

Sengketa Chaz dan Natalia…

 

Chaz menahan degup jantung yang sememangnya kencang daripada tadi. Dia menggenggam penumbuk. Menahan amarah dengan penuh kesabaran. Cermin mata yang dipakai diletakkan ke atas meja. Berombak dadanya menghela nafas.

“Aku dah tak dapat bersabar lagi! Aku tertekan!” Teriak jejaka itu sambil meluru ke arah padang. Terlalu kuat lagu yang dipasang oleh Gadis Matahari. Sehingga mengganggu perhatian mereka yang tengah mengulangkaji.

“Hei! Sila hormat pada orang yang nak belajar. Korang ni nak terloncat-loncat ke, berjentat macam ulat nangka ke pergi jauh sikit,” sinis nada Chaz. Natalia menjungkit kening. Jejaka itu dipandang dari atas ke bawah. Bercermin mata bingkai separuh, rambut pendek kemas, tali leher yang rapi dan kasut berkilat. Dengan penampilan skema, hidup berkepit dengan buku memang menakutkan betul! Siapalah nak dekat dengan golongan Skema Sampai Mati? Dia sendiri ngeri.

 

“Ehemm…,” selamba Natalia berdehem. Dia tampil untuk berdepan dengan Chaz. Dengan berani menentang pandangan mata pelajar paling bijak di sekolah mereka. Tetapi dia tak hairan itu semua, masalahnya sekarang lelaki ni tak pandai nak hormat orang. Dia suka ikut kepala sendiri, untuk tentukan apa yang patut atau tidak. Dan Natalia takkan benarkan sikap Chaz menggoyahkan semangat ahli Gadis Matahari yang lain.

“Tempat kau kan dalam perpustakaan, buat apa nak menyemak kat sini. Pergi baca buku sudah. Aku dengan geng aku nak berlatih, ikut sukalah,” Chaz ketap bibir. Mengada sungguh lagak Natalia di matanya.

“Lagu tu kuat gila, ganggu kitorang nak belajar,” Natalia menjelingnya.

“Kalau lagu ni ada masalah, okey aku perlahankan,” Chaz berlalu dari situ setelah berpuas hati dengan tindakan gadis itu memperlahankan suara lagu Girlfriend, nyanyian Avril Lavigne.

Tetapi itu semua sekejap sahaja. Sekembalinya Chaz ke perpustakaan, gadis itu menguatkan lagu lebih daripada tadi. Dan mereka berlatih sorak dengan penuh bangga. Tambah bermakna, dapat mengenakan manusia seperti Chaz. Dan jejaka itu, menghentak meja dengan penumbuknya. Met dan rakan-rakan yang lain tercengang.

 

Bencana Natalia…

 

Pertandingan pasukan sorak yang dinanti-nanti oleh Lavender High School telah tiba. Hari yang paling gemilang ini dianjurkan oleh sekolah mereka selaku juara selama empat tahun berturut-turut. Dan kali ini merupakan kali kedua mereka diberi penghormatan untuk menganjurkan acara berprestij bagi semua sekolah menengah di zon Astana.

“Saksikan, pembukaan oleh Gadis Matahari. Pasukan sorak kebanggaan sekolah kami,” pengumuman dibuat oleh pengacara rasmi sekolah iaitu Zcha. Seorang pelajar yang berkebolehan membuat ucapan tanpa gentar di hadapan ramai orang. Tegas dan lantang apabila bersuara, fakta yang paling penting adalah dia menganggotai kumpulan Tak Kisah.

 

Upacara pembukaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Lagu Girlfriend nyanyian Avril Lavigne sungguh socok mengiringi langkah demi langkah mereka. Tampak berkeyakinan dan bersungguh-sungguh. Segalanya kelihatan kemas tanpa sebarang kesilapan.

Chaz diam membatu. Dia tak sangka, terpaksa duduk di padang untuk menyaksikan perkara yang menjadi kepantangannya. Habis sahaja upacara pembukaan itu dia mengajak tiga rakan karib yang lain iaitu Met, Leo dan Din untuk pulang ke asrama. Malas nak pandang muka berlagak Gadis Matahari terutama Natalia.

 

Sewaktu Chaz sedang asyik berbaring di dalam biliknya sambil membaca nota ringkas, dia dikejutkan dengan kehadiran Met. Wajah sahabatnya tampak cemas, bagai ada perkara yang tidak elok telah berlaku.

“Eh Met! Kau kenapa?” soal Chaz cemas.

“Natalia masuk hospital,” Chaz tercengang.

“Kenapa?” Tanya Chaz bagaikan tidak percaya. Dia mengenakan kaca mata. Barulah jelas sikit pandangannya.

“Dia jatuh, terlentang. Terus pengsan,” Chaz membuntangkan mata. Ketukan bertalu-talu di pintu biliknya membuatkan dia jadi tak keruan. Terjengul wajah Din depan pintu.

“Natalia jatuh,” ini perkhabaran kedua yang diterima. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Akhirnya penuh bilik yang sederhana besar itu dengan empat sekawan. Leo turut menyertai perbualan mereka. Masing-masing mencari punca, bagaimana insiden itu berlaku terhadap Natalia yang sering berhati-hati selama ini.

“Bukan ke selama ni dorang pentingkan aspek keselamatan? Pelik jugak. Lagipun si Natalia tu kan bukannya biasa memanjat. Yang biasa berdiri atas bahu orang lain biasanya, Hani. Eh mana dia pergi?” Din mula membentang usul. Chaz gigit bibir.

“Ehm, saat akhir boleh pulak diorang tukar posisi. Natalia pijak bahu Hani. Entah macam mana boleh tergelincir. Kurang keseimbangan kaki rasanya,” tokok Leo.

“Mungkin ni semua memang kemalangan. Tapi walaupun kita anti betul dengan Gadis Matahari, aku tak sampai hati pulak tengok Natalia jadi macam tu. Nampaknya sekolah kita dah kalah tanpa bertandinglah ni,” kendur nada Chaz.

 

Dia terkejut apabila menerima berita Natalia dimasukkan ke hospital. Walaupun selalu bertekak dengan gadis itu, Chaz menyanjungi kesungguhan dan komitmen Natalia terhadap pasukan sorak. Sama seperti komitednya dia dan ahli kumpulan Skema Sampai Mati yang lain terhadap pelajaran. Jika ditimbang tara, sama sahaja perhatian yang mereka curahkan.

“Eh Chaz! Diam lagi,” usik Met lalu menepuk bahu Chaz. Dia terkebil macam cicak telan kapur.

“Wei, aku nak pergi makan ni. Lapar gila,” beritahu Leo. Dia bangun dan tanpa sengaja telah menyebabkan kedengaran kesan bunyi yang kurang enak.

“Prap!” mereka semua tersentak.

“Cermin mata aku!” Chaz berteriak. Leo mengalihkan kakinya namun sudah terlambat. Ibaratnya macam gajah memijak sang kancil. Kemek! Walaupun dia betubuh kurus, namun cermin mata itu telah retak seribu. Bingkainya terpelanting entah ke mana. Cedera parah! Tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.

“Rileks, aku ganti. Kau pilih je yang harga berapa pun. Aku sanggup membayarnya,” Chaz mengangguk lemah. Sedihnya! Dia terlalu sayangkan cermin mata daripada jenama Focus Point itu, berat hati untuk memilih yang lain. Terpaksalah dia berkelabu mata buat sementara kerana esok barulah mereka akan keluar dan membeli barang keperluan masing-masing.

“Tulah kau, letak merata-rata lagi,” tempelak Din apabila melihat wajah sedihnya. Budak yang seorang ini memang pendiam. Tapi sekali bukak mulut, ambik kau. Ayat sendiri mau ingat lah.

 

 

Bermula satu kisah…

 

Penglihatannya bertambah jelas dengan adanya cermin mata baru yang diganti oleh Leo. Tidaklah lagi terpaksa mengecilkan mata untuk membaca perkataan yang ditulis oleh guru pada papan hitam. Namun, dalam pada itu hati kecilnya tak lepas daripada memikirkan keadaan Natalia. Belum sekali pun dia melawat gadis itu. Mungkin petang ini, dia akan mengajak Met menemaninya menziarahi rakan sekelas mereka yang sedang terlantar. Walaupun bergaduh, namun dia tak harus membiarkan sengketa menyingkirkan rasa kemanusiaannya. Mereka hanyalah anak remaja yang punya hala tuju masing-masing. Pergaduhan itu sekadar sebahagian daripada rencah meniti alam persekolahan. Mungkin bakal menjadi kenangan manis apabila dikenang kelak.

 

Di saat begini, Natalia akan membaling kapur kepadanya yang ralit membaca. Ketiadaan guru di kelas menjadikan bilik darjah mereka bagaikan dilanda ribut. Sekelip mata sahaja, kapur dan gumpalan kertas berterabur di merata tempat. Roket kertas pula akan meluncur tak mengenal sasaran. Perbuatan nakal ini adalah hobi lazim kumpulan Tak Kisah. Dan bagi Skema Sampai Mati, mereka akan keluar daripada kelas. Menghindari suasana hiruk pikuk yang tentu sekali menganggu keamanan.

 

Chaz berkira-kira sendiri. Hendak ataupun tidak? Dia terpandang pula kelibat Met yang sedang asyik membelek buku rujukan yang baru dibeli tempoh hari. Kebetulan sangatlah Met lalu di depannya. Boleh tahan sekejap. Dia memerlukan sedikit bantuan daripada sahabat karibnya itu.

“Eh Met, kau ada kerja tak petang ni?” Jejaka itu meletakkan tangan ke dagu. Mencongak-congak aktiviti yang bakal mengisi harinya sehingga malam nanti.

“Lepas ulangkaji aku nak tidurlah. Letih ni, semalam tidur lambat. Tolong Zcha siapkan rumus Matematik,” Chaz tak jadi nak memaksa. Kesian melihat mata sembap sahabatnya. Nampak sangat tak cukup tidur. Nak ajak Leo dengan Din, macam diorang tu nak jumpa makwe masing-masing. Pergi sorang je lah. Bukannya salah pun. Akhirnya kata putus telah dibuat. Anak jantan kena yakin dengan diri sendiri!

 

Chaz serba salah untuk memulas tombol pintu wad yang menempatkan Natalia. Sekejap dia berundur, sekejap dia ke depan. Tangan masih tak lekang memegang tombol. Setelah beristighfar banyak-banyak dan menyakinkan dirinya sendiri, dia melangkah masuk. Dia duduk di sisi gadis itu. Sayu melihat keadaan Natalia. Wajahnya pucat, kepalanya berbalut. Alat bantuan pernafasan menjadi peneman setia gadis ini. Hampir menitis air mata Chaz. Tidak dia mengerti mengapa terlalu hiba tatkala melihat sendiri dengan mata kepalanya keadaan Natalia. Mungkin benar kata orang, kawan kelahi itu akan dirindui. Meninggalkan nostalgia yang bukan sedikit. Sebetulnya, dia kagum dengan kesungguhan dan kerja keras Natalia dalam memastikan Gadis Matahari berada pada kedudukan sekarang.

 

“Chaz,” satu suara lembut menyapa pendengarannya. Sentuhan pada bahunya membuatkan tubuhnya serta merta merasa sejuk. Jejaka itu berpaling.

“Terima kasih datang melawat aku,” Chaz menggigil. Dia hampir tergigit lidah kerana terkejut. Kaget tahap ekstrem. Perempuan yang memakai dress putih ini sebiji macam Natalia! Matanya tersalah pandangkah?

“Kau…kau…kau… siapa? Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Terputus-putus. Nafasnya tak tentu hala.

“Aku Natalia,” jawapannya gadis itu langsung membuatkan Chaz membuka langkah. Lintang pukang dia berlari meninggalkan wad tersebut. Sampai nyaris nak tersembam kerana terlalu panik.

Gadis ini mengeluh. Dia sendiri bingung, mengapa perlu memunculkan diri di hadapan Chaz? Sedangkan lelaki ini sama sekali tidak menyenangi dirinya. Malah, mereka selalu bertelingkah hingga menyakitkan hati antara satu sama lain. Dia merenung pula tubuhnya yang kaku itu, tergeleng tanpa harapan.

“Kesian Natalia,” ujarnya sebelum melangkah keluar dari situ. Merenung diri sendiri yang terbujur lesu buat kali terakhir.

 

Berpeluh-peluh jejaka ini berlari di tengah panas. Takut punya pasal sampai tak ingat nak tahan teksi. Renik peluh pada wajah disapu perlahan. Dia menghela nafas, cuba mengumpul ketenangan.

“Aku mimpi, memang mimpi. Mana boleh Natalia bangun. Kan dia tengah terbaring,” seketika kemudian Chaz tergelak sendiri. Dia ingin memujuk dan mengembalikan semangat diri yang hampir melayang tadi. Sedang asyik tergelak sendiri, terasa bagai pahanya ditepuk. Tawanya herhenti. Matanya membuntang. Lidah terkelu tak mampu berkata. Dia kejung buat seketika.

“Chaz!” Natalia menampar lembut pipi jejaka itu. Risau pula melihat rakan sekelasnya yang keras sampai begitu. Dia sudah mendapat jawapan yang pasti, mengapa dia hanya boleh dilihat oleh Chaz. Segalanya berpunca daripada keikhlasan jejaka itu yang sering berfikir mengenai dirinya. Mungkin faktor ini yang mendorongnya bangun, meninggalkan tubuh buat sementara waktu bagi memohon bantuan Chaz memastikan satu perkara. Agar dirinya tidak tersilap menyalahkan sesiapa di atas kemalangan yang telah menimpanya sewaktu pertandingan pasukan sorak kebangsaan.  

Matanya terpandang sebotol air mineral yang berada dalam pegangan Chaz. Segera dia mengambil botol itu dan merenjiskan air ke muka Chaz. Barulah terkerdip-kerdip mata jejaka itu.

“Han….Han…Hantu….Hantu!” Jerit Chaz. Matanya dipejam rapat. Kakinya mula memecut sehingga terlupa bahawa dirinya sedang memejamkan mata. Tanpa sempat brek kecemasan, kepalanya terhantuk ke tiang. Hampir pitam dibuatnya.

 

Penjelasan yang sukar diterima akal…

 

Leo mengeluarkan termometer yang diletakkan ke dalam mulut Chaz. Sejak pulang ke asrama petang tadi, sahabatnya banyak mendiamkan diri. Dan sewaktu makan malam beramai-ramai, jejaka ini jatuh pengsan. Hura-hara dewan makan jadinya. Dan mereka bertiga membawa Chaz pulang ke biliknya dengan segera.

“Dia tak demam, badan je yang sejuk semacam. Dah pakai selimut tebal bukan main,” Leo sekadar menggelengkan kepala.

“Dahi dia berbalut sampai macam ni, langgar besi ke apa?” Omel Met. Nak tergelak pun ada, tapi lebih kesian sebab Chaz nampak begitu lemah. Entah apa yang berlaku pada sahabat mereka, dia pun tak pasti.

“Kita balik bilik masing-masing dulu. Dia kena berehat tu. Esok jumpa lagi,” ujar Din. Lantas dia menutup suis lampu bilik Chaz.

Masing-masing musykil apabila melihat keadaan Chaz yang lesu itu. Mereka mula tertanya-tanya, apakah yang berlaku setelah jejaka ini melawat Natalia di hospital. Takkan terlalu sedih melihat Natalia koma sehingga jatuh sakit, sedangkan mereka bergaduh sakan selama ini. Tetapi tiga sahabat ini hanya mendiamkan diri. Apabila Chaz pulih, mereka akan berusaha untuk mengorek rahsia. Dalam menjalin persahabatan, biarlah berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Segala susah senang patut dikongsi bersama. Inilah gunanya kawan.

 

Chaz memegang kepalanya yang terasa berat. Dia meraba-raba meja untuk mencari kaca mata. Tersenyum apabila teman setianya itu berada dalam pegangan. Dia memandang penampilan di depan cermin. Bukan tak kacak dia berkaca mata, namun dia ingin merasa ringan tanpa kaca mata. Tambahan lagi, dahi yang bertampal dengan plaster menambahkan kelucuan jika dia berkaca mata. Jadi saat ini paling sesuai untuk dia melakukan perubahan. Bagaimanalah perasaan itu agaknya? Berjalan penuh yakin tanpa bantuan kaca mata. Lama dia bermenung. Dengan berat hati, dia menanggalkan semula kaca mata itu. Balik nanti, Chaz mahu singgah ke kedai optik dan membeli kanta lekap jernih yang sesuai dengan dirinya. Dia ingin merasa bebas tanpa perlu mengenakan kaca mata lagi selepas ini.

 

“Ha! Kau terlanggar tiang public phone sebab nak berlatih tanggal cermin mata? Kau waras tak sebenarnya ni?” Jerit Met lantaran terlalu terkejut mendengarkan penjelasan Chaz.

Dia menipu, tidak mahu perkara yang menakutkan itu sampai ke pengetahuan kawan-kawan lain. Apa motifnya Natalia mencari dia? Sepatutnya carilah Gadis Matahari yang lain. Dia bukanlah sasaran yang tepat.

“Ha ah. Aku dah bosanlah pakai spect. Bangun tidur je teraba-raba. Nak jugak nampak kacak kan,” selorohnya mengundang tawa Leo, Met dan Din.

“Asal kau bahagia,” tambah Din sambil menguntum senyum. Leo mengurut-urut bahunya.

“Kitorang ni bimbang gila masa kau pengsan semalam. Lain kali, tolonglah. Jangan buat macam tu lagi,” ucap Leo sambil tergelak-gelak. Chaz terharu. Sungguh dia merasa dihargai oleh sahabat-sahabat karibnya.

“Maksud dia, langgar tiang. Kitorang boleh jadi tutor kau kalau nak jadi kacak,” pintas Met mengundang tawa semua. Mereka berjalan seiringan menuju ke kedai optik. Bagi Chaz, pakar perunding terhebat adalah mereka bertiga yang tetap setia bersahabat dengannya.

 

Chaz menggeliat malas. Setelah beberapa minit berjalan kaki daripada kawasan sekolah, akhirnya sampai juga ke bilik. Mengantuk betul tengahari begini. Otak penat, badan letih. Maklumlah baru habis kelas.

Sampul surat berwarna merah jambu yang terselit di bawah buku notanya mengundang perhatian Chaz. Tanpa berlengah dia membuka sampul itu. Terketar-ketar tangannya memegang sehelai kertas yang berlipat elok. Penuh debaran, dia membuka lipatan itu. Daripada peminat misteri ke?

 

Chaz,

 

Aku dah tahu kenapa aku boleh muncul depan kau. Sebab kau kawan yang ikhlas, hati kau baik walaupun kau asyik marah aku. Sebab sikap ambil berat kau, aku dapat bangun walaupun badan aku masih terlantar koma. Aku perlukan bantuan kau, Chaz. Aku nak kau tolong aku selesaikan satu perkara ni. Kalau apa-apa jadi pada aku, aku takkan menyesal lagi. Aku rasa kemalangan yang menimpa aku tu adalah dirancang. Aku tak mampu nak tuduh sesiapa, tapi apa yang aku ingat sebelum aku jatuh, tapak kasut aku licin sangat. Bila aku cuba nak seimbangkan badan semula, aku terus jatuh. Lepas tu aku tak ingat apa lagi, sampai aku tersedar masa kau melawat aku masa kat hospital dulu.

 

                                                                                                Gadis Matahari,

Natalia

 

Terlepas kertas itu daripada pegangannya. Chaz ketap bibir. Dia cuba mengawal pernafasan. Sebagai langkah untuk bertenang.

“Aku tertekan! Tidak!” Jeritnya tanpa dapat ditahan-tahan.

“Kalau betul kau ada kat sini, keluar! Aku tak takut!” Bentaknya sambil merenyukkan kertas tadi.

“Hai!” Serentak dengan ucapan itu, Natalia memunculkan dirinya di hadapan Chaz. Seperti yang dijangka, jejaka ini pengsan. Natalia menggeleng-geleng kepala. Gadis ini mengerahkan kudratnya untuk mendudukkan Chaz di atas kerusi, kemudian kedua belah tangan Chaz diletakkan ke atas meja. Kepala jejaka itu dilentukkan di atas tangannya. Biar Chaz kelihatan bagai tertidur kerana asyik mengulang kaji pelajaran.

“Bilalah kau nak berani, kan aku Natalia. Bukannya hantu. Kau sepatutnya bangga sebab dapat tolong aku,” bicara gadis itu sambil menanggalkan beg galas yang masih melekat di bahu Chaz. Dia membelek buku latihan jejaka itu, kemasnya tulisan. Setiap latihan yang dibuat, semua betul. Patutlah setiap kali periksa, dapat keputusan cemerlang. Dia mengagumi kebijaksanaan Chaz. Namun bagi Natalia, Gadis Matahari adalah sebahagian daripada dirinya. Dia terlalui mencintai pasukan sorak.

 

Lama kelamaan, Chaz dapat menerima kehadiran Natalia yang sering mengganggu keamanannya. Bila dia tekun mengulangkaji pelajaran, gadis ini akan menyanyi-nyanyi. Nakal betul. Dan dia ingin sangat mengetahui kebenaran di sebalik kemalangan yang menimpa Natalia dua bulan lalu. Kini mereka sudah boleh bergurau mesra, melupakan sengketa yang melanda Skema Sampai Mati dengan Gadis Matahari. Natalia hanya menjelma apabila dia bersendirian. Seperti sekarang, dia sedang berbaring di dalam bilik sambil mendengar lagu.

“Woit!” Usik Natalia. Gadis itu menanggalkan earphone yang terlekap di telinga Chaz. Jejaka ini sekadar tersenyum.

“Macam mana penyiasatan kau hari ni? Berjaya? Nak aku tolong?” Soal Chaz tak sabar. Kelmarin Natalia meluahkan hasrat untuk menjejaki seorang demi seorang Gadis Matahari untuk mengesan kelainan tingkah laku mereka. Dan semalam gadis itu menghilang tanpa khabar berita, hari ini muncul pula sewaktu dia sedang beristirahat mententeramkan fikiran.

“Aku tak tahu betul ke tak apa yang aku jumpa. Aku takut, Chaz,” kendur nada Natalia. Chaz jungkit kening.

“Maksud kau? Apa yang nak ditakutkan? Bukan kau yang bersalah,”

kata-kata Chaz mengembalikan semangat gadis itu. Kini, hanya pada Chaz dapat dia luahkan segala kesedihan yang bersarang di hati.

 “Hani… Aku ikut dia daripada kelas, sampai waktu latihan. Dia dah jadi ketua sekarang. Semua Gadis Matahari kena ikut cakap dia,” diam. Mendung terlukis pada wajah Natalia.

“Ke kau cemburu?” usik Chaz pula. Natalia gigit bibir.

“Ini bukan masalah cemburu, Chaz. Aku terjumpa kasut aku dalam almari dia,” Chaz terpempan.

“Apa yang dia buat dengan kasut kau?” wajah Chaz mula serius. Dia tak senang duduk memikirkan segala kemungkinan. Hani, gadis yang kelihatan lemah lembut dan sopan itu? Takkan menyimpan muslihat terhadap kawan baik sendiri?

”Kan aku cakap, kasut aku licin. Aku rasa ada orang sapu minyak kat tapak kasut tu. Tapi apa motifnya Hani nak simpan? Sepatutnya dia boleh pulangkan pada keluarga aku,” Natalia semakin bingung. Dia memandang wajah Chaz mengharapkan pengertian.

“Melainkan kalau dia yang rancang semua tu,” spontan ayat itu meniti di bibir Chaz. Mereka tergamam. Saling berpandangan.

“Tu yang aku takut,” gugup suara Natalia.

“Takpe. Kau serahkan semua pada aku. Biar otak geliga Skema Sampai Mati buat siasatan. Tapi aku nak mintak tolong seperkara dengan kau,” penuh yakin Chaz bersuara. Seketika kemudian, dia membisikkan sesuatu ke telinga Natalia. Gadis itu mengenyitkan mata tanda setuju. Dia akan menghimpunkan tiga lagi sahabat karibnya secepat mungkin. Jika mereka enggan pun, dia akan berusaha sendiri. Lebih baik bertindak daripada melangut tanpa melakukan apa-apa.

 

Empat detektif skema…

 

“Aku ajak korang berkumpul ni sebab, aku ada perkara penting yang aku nak bagitahu. Korang tahu kan Natalia masuk hospital?” Masing-masing mengeluh. Jika perkara ini yang hendak dibincangkan, sambil berjalan pun boleh. Cerita lama yang dah basi.

“Pasal ni je ke kau panggil kitorang?” tanya Leo sambil menelan liur.

“Korang tahu kan dia koma, tak bangun-bangun lagi?” Chaz terus menyoal tanpa mempedulikan rungutan Leo.

“Yup! Sebab dia belum pulih, sebab tu tak bangun,” sela Met. Din meraup rambutnya.

“Ada kepentingan ke semua ni, Chaz?” Selamba dan telus nada Din. Chaz mengangguk. Dia perlu jelaskan segalanya pada mereka sekarang juga.

“Aku pernah jumpa Natalia. Aku bercakap dengan dia. Dia perlukan bantuan kita,” Hanya gelak tawa daripada mereka yang dia terima. Chaz sudah menjangkakan reaksi sebegini. Jangan pula mereka pengsan kerana sebentar lagi…

“Hai!” suara manjanya mengetuk gegendang telinga empat jejaka terbabit. Chaz sengih sahaja. Sudah lali dengan kemunculan Natalia.

“Argh!” Terjerit mereka bertiga. Masing-masing cabut lari. Tak tentu arah asalkan tembus ke pintu, jumpa jalan keluar. Sehingga terlanggar kerusi yang ada depan mata.

 

“Betul ke apa yang kita tengok tadi?” soal Met dengan nafas yang tercungap-cungap. Leo terduduk di depan pintu tandas. Tenaganya macam dah hilang. Bayangkan, naik tangga tiga tingkat pun tak sedar, kerana terlalu terperanjat. Bila sedar mulalah rasa nak tercabut urat kaki.

“Aku tak tahulah kalau mata kita tengah menipu,” balas Din yang sedang terbatuk-batuk. Dia menapak ke dalam tandas. Hasratnya hanya satu, hendak basuh muka.

“Aku nak cuci mata ni betul-betul. Basuh muka, kasi terang sikit. Semputlah lari macam ni,” omel Leo. Met dan Din tersandar kepenatan pada sinki.

“Nak turun balik ke?” Soalan Met dibiar sepi. Masing-masing berfikir panjang untuk mengiyakan. Tetapi jika tak menyertai Chaz mereka telah mengabaikan sikap setiakawan yang menjadi tunggak utama setiap ahli Skema Sampai Mati. Malah andai mereka terus mengelak berdepan dengan kenyataan, sampai bila-bila pun perkara yang sebenar takkan dapat diketahui. Dengan berat hati, tiga jejaka ini kuatkan semangat. Semuanya demi sahabat mereka yang bernama Chaz. Lambat-lambat mereka mengatur langkah.

 

Met mendahului dua lagi sahabatnya masuk ke bilik darjah kosong itu. Dia terhendap-hendap, bagai perompak yang hendak masuk ke dalam rumah.

“Aiyyak! Jangan!” Dia terjerit apabila Natalia menghampiri. Tangannya menutup muka. Din dan Leo beranikan diri. Mereka nekad untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang muncul.

“Tak takut….tak takut…” dua jejaka ini asyik mengulangi ayat yang sama. Tak takut tapi suara ketar. Chaz menahan gelak dalam hati. Nasib baik tiga sahabat karibnya ini tidak pulang terus ke asrama. Ini bermakna, mereka akan terus bersamanya. Dan tentunya dia amat memerlukan sokongan Leo, Met dan Din untuk merungkai segalanya.

 

Natalia tersenyum. Met memegang dadanya. Jantung berdegup lebih pantas daripada biasa. Leo terduduk tak bangun-bangun, manakala Din pucat lesi. Terkejut yang amat melihat kedatangan Natalia yang memakai dress putih. Sempat gadis ini mengenyit nakal. Chaz telan liur.

 

“Aku tak nak tuduh sesiapa dalam hal ni. Hanya korang yang boleh tolong aku. Aku harap korang dapat buktikan kalau betul Hani terlibat dengan rancangan mencederakan aku. Kalau ya, aku harap korang boleh singkirkan dia daripada Gadis Matahari. Aku tak nak kawan-kawan lain terima nasib yang sama macam aku,” tanpa Natalia sedari, air matanya menitis. Dia jadi tersentuh bila menyebut nama Hani. Dia sedih, kerana keakraban mereka menjadikan gadis itu sebagai orang yang paling disyaki atas peristiwa yang menyebabkan dia koma sehingga sekarang.

“Natalia, klu apa yang kau boleh bagi untuk kami?” Soal Met. Cukup tenang.

 

“Dia simpan kasut aku, sebelah daripada tapaknya mesti ada kesan minyak. Sebab aku musykil kenapa dia tak serahkan kasut tu pada keluarga aku. Kenapa dia mesti simpan?” Din terdiam. Dia bagaikan menemui persoalan paling penting di situ.

“Maknanya, dia nak tutup kesalahan dengan ambil kasut kau? Tapi kenapa dia tak hapuskan je bukti tu?” Leo ketap bibir. Rasanya dia dapat melengkapkan persoalan Din.

“Sebab dia tak tahu, Natalia boleh jadi macam ni,” mereka semua mengangguk.

“Tepat sekali,” tambah Natalia. Dan mereka berjanji untuk menyelesaikan perkara ini secara tertutup dan terancang tanpa pengetahuan pelajar lain. Semuanya demi menjaga air muka Hani. Walaupun dia bersalah, namun tak bererti dia wajar dimalukan.

 

Kepastian yang mengejutkan…

 

Met membawa peranannya dengan begitu baik sekali. Hanya seminggu menjadi ‘kekasih’ Hani, dia dapat meraih kepercayaan gadis itu untuk menceritakan segala perihal mengenai kemalangan yang berlaku terhadap Natalia. Tepat seperti jangkaan mereka, gadis itu dengki dengan pencapaian Natalia yang berjaya menjadi ketua pasukan sorak. Met berjaya menyakinkan Hani bahawa dia seorang yang patut dipercayai untuk menyimpan bukti tersebut dengan alasan akan membakar kasut itu. Malah, minyak yang digunakan turut diserahkan kepadanya.

“Ha! Inilah bukti-buktinya. Dia terlalu mudah percayakan orang. Dia ingat aku ni jahat macam dia. Dia ingat dia licik, tapi kita lagi licik,” geram nada Met. Chaz terkesima. Leo dan Din memerhatikan Natalia yang memegang kasut kesayangannya. Wajahnya kelihatan sayu dan polos. Hati mereka jadi tersentuh.

“Kalau dia beritahu aku, kan senang. Tak payah nak buat aku sampai macam ni. Koma tak bangun-bangun. Terima kasih sebab korang tolong aku. Aku tak tahu nak balas macam mana,” Chaz mengusap rambut Natalia. Dia akan berusaha untuk membantu Natalia sedar. Dia akan!

“Aku ada cara untuk singkirkan dia daripada Gadis Matahari. Walaupun kita kena dapatkan persetujuan pengetua tapi tak jadi hal. Aku kan murid kesayangan. Tentang Hani pulak, mesti dia akan mengakui kekalahannya kalau pasukan sorak yang dia bimbing kecundang. Apa kata korang?” Mereka meletakkan telapak tangan di atas telapak antara satu sama lain.

“Setuju!” Natalia terkebil.

“Apa yang kau nak buat, Chaz?” jejaka itu berbisik. Natalia terlopong. Menarik! Mereka kemudian saling tersenyum.

 

Agenda memecah tradisi…

 

Seluruh Lavender High School gempar dengan tersebarnya poster pencarian ahli pasukan sorak lelaki yang belum diberi nama. Lebih mengejutkan, peneraju pasukan sorak tersebut adalah Chaz. Ketua pengawas yang sememangnya cukup terkenal dengan kepantangan terhadap pasukan sorak sekolah mereka, Gadis Matahari. Dan panel yang akan menentukan kelayakan mana-mana pelajar lelaki yang berminat pula terdiri daripada anggota-anggota Skema Sampai Mati.

Met, Leo dan Din dipertanggungjawabkan untuk mencari seramai lapan belas orang lagi rakan yang dirasakan layak untuk menyertai misi mustahil mereka. Pelbagai kriteria perlu diambil kira untuk membentuk satu pasukan sorak lelaki yang mantap. Kebolehan dalam tarian, minat mendengar muzik dan memiliki tubuh yang kurus. Mereka berempat juga masih perlu melengkapkan diri bagi menghadapi pertandingan pasukan sorak pada tahun hadapan. Walaupun harinya masih terlalu jauh, mereka perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk bersaing dengan Gadis Matahari pada acara saringan. Kemaraan mereka harus diberi perhatian. Setiap strategi perlu dilaksanakan dengan cemerlang untuk memberi saingan dan mencetuskan perang psikologi dengan Hani terutamanya. Kalah Gadis Matahari, bererti tewaslah Hani.

 

Dua puluh dua orang jejaka akhirnya membarisi satu pasukan sorak yang lengkap. Masing-masing sepakat menamakan pasukan itu sebagai Jejaka Lava. Lapan orang peserta yang dipilih secara sama rata daripada kumpulan Skema Sampai Mati dan Tak Kisah akhirnya melepasi ujian kelayakan bagi melengkapkan pencarian lapan belas ahli. Mereka akan berganding bahu dengan Chaz dan tiga lagi kawan baiknya Leo, Din dan Met. Daripada jejaka skema yang berpenampilan kemas dan segak, mereka bersedia untuk mengubah karakter kepada jejaka-jejaka sempoi dan ceria. Malah, masing-masing sudah mengenepikan gelaran ulat buku. Jurulatihnya tak lain tak bukan adalah Natalia. Menyampaikan segala gerak langkah yang sesuai dengan lagu melalui Chaz.

 

Latihan demi latihan mereka jalani. Hari ini, lagu nyanyian kumpulan Bunkface berjudul Bunk Anthem akan menjadi penentu sama ada layakkah mereka melepasi ujian saringan dan mengatasi saingan terdekat iaitu, Gadis Matahari. Sebenarnya, lebih tepat merujuk kepada Hani. Gadis ini pesaing licik yang harus mereka kalahkan.

“Gempur! Kita! Redah!” Mereka bersorak.

Gamat persekitaran padang apabila pasukan sorak lelaki pertama Lavender High School mencuba nasib. Kesemua dua puluh dua orang jejaka ini bersedia untuk menghadapi penilaian daripada juri-juri.

Natalia memerhatikan gerak langkah anak buahnya dengan perasaan bangga. Dia sungguh berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Chaz dan rakan-rakan yang lain. Kesemua mereka mempamerkan langkah yang bertenaga, jika ditakdirkan kalah pun hanya kerana nasib yang tidak menyebelahi. Jejaka Lava telah berusaha sebaik mungkin.

 

“Pasukan yang berjaya mewakili sekolah kita, untuk pertandingan kebangsaan buat julung kalinya adalah…” Debaran kian terasa. Jejaka-jejaka ini berpelukan. Tak henti bermohon agar laluan mereka dipermudahkan. Semuanya untuk Natalia.

“Jejaka Lava!” Pelajar lain yang menyaksikan acara saringan itu menjerit keriangan.

“Hoorey!” Sorakan memenuhi ruang padang. Mereka melompat sambil melambung pom yang berada dalam pegangan. Langkah seterusnya akan mereka hadapi penuh yakin. Ada rezeki boleh jadi juara kebangsaan pula.

 

Setahun berlalu…

 

Chaz mengenggam jemari Natalia yang terbaring lesu. Kelibat gadis itu tak lagi menemaninya sejak kebelakangan ini. Sejak memenangi ujian saringan tahun lepas, Natalia menghilangkan diri. Mungkin roh nya telah masuk semula ke dalam jasad.

“Natalia, bangunlah. Esok hari yang jadi penentu segalanya,” bisik Chaz ke telinga rakan sekelasnya itu. Dia mengharapkan agar keajaiban datang dan dapatlah Natalia menyedarkan diri.

 

“Gempur! Kita! Redah!” kata-kata keramat itu bergema di segenap ruang bilik persalinan. Riuh apabila padang Lavender High School dibanjiri oleh pelajar daripada sekolah menengah lain. Sesak jadinya!

Debaran perlu diatasi, mereka melangkah dengan penuh yakin. Keazaman yang membara mengetepikan persoalan menang kalah. Fikiran sebegitu hanya akan menjejaskan mutu persembahan.

 

Sebaik sahaja mendengar isyarat untuk memulakan persembahan, lagu Burnin’ Up nyanyian Jonas Brothers mengiringi langkah Jejaka Lava. Mereka tampak serasi dengan lagu itu, malah gerak yang diciptakan memperlihatkan betapa mereka berusaha untuk melaksanakan yang terbaik.

Gerakan Chaz, Met, Leo dan Din yang beraksi bagai penari Break Dance apabila masuk bahagian rap, membuatkan semua hadirin terpaku. Mereka teruja menyaksikan kelainan yang dipersembahkan oleh jejaka-jejaka ini. Jangan pandang rendah pada pasukan tunggal lelaki yang bertanding buat kali pertama. Mereka berjaya membuktikannya!

Gamat padang pada tengahari itu. Meski tercungap-cungap setelah melakukan persembahan yang sememangnya mencabar keupayaan diri sendiri, mereka puas. Masing-masing tersenyum. Biarlah juri memutuskan pasukan mana yang layak bergelar juara peringkat kebangsaan.

 

Natalia menggerakkan kerusi rodanya menghampiri Chaz. Dia menggagahkan diri untuk pergi ke Lavender High School untuk menemui rakan-rakan yang membantunya selama ini walaupun baru sahaja tersedar dari lena yang panjang. Setelah mendapat persetujuan daripada doktor, dia dinasihatkan untuk menggunakan kerusi roda kerana badannya masih lemah lantaran terlalu lama tidak sedarkan diri.

“Terima kasih, Chaz,” hanya ucapan itu yang mampu dilafazkan oleh Natalia. Mengalir air mata di pipinya. Chaz menyeka manik jernih itu. Met, Leo dan Din menghampiri Natalia. Kawan-kawan sepasukan mereka seramai lapan belas orang turut mengelilingi Natalia.

“Gempur! Kita! Redah!” kali ini sorakan semangat turut disertai oleh Natalia. Setelah mengharungi pelbagai suka dan duka bersama, takkan ada lagi diskriminasi antara Skema Sampai Mati dengan Cantik Menawan. Dua golongan ini telah disatukan oleh semangat setiakawan yang luar biasa. Sesungguhnya kebencian boleh diatasi sekiranya kita memahami sesuatu perkara dengan mendalam. Mungkin yang tinggal selepas ini hanya persaingan antara Gadis Matahari dan Jejaka Lava. Maklumlah, ketua pasukan sorak perempuan sekolah mereka telah sedarkan diri.

Jejaka Lava tersenyum puas meskipun gelaran juara kebangsaan tidak menjadi milik mereka. Berjaya menempatkan diri bersama empat lagi pasukan terbaik, merupakan kenangan terhebat yang pernah dicipta. Terlalu bermakna untuk mengisi epilog persahabatan yang telah dicoret oleh mereka semua.     

 

       

 

 

 

Cerpen sebelumnya:
it's start today...22/12/08
Cerpen selanjutnya:
Kasut,Famous Amos dan Zen

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.5
6 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2420 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6174 bacaan
Berikan Hatimu | 3987 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3535 bacaan
Tiada Sesalku | 2852 bacaan
Laksana Bulan | 2912 bacaan
Seribu Impian | 3872 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3320 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3710 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3411 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

17 Komen dalam karya Sorakan Buat Natalia
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik