Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Antara Hati

Cerpen sebelumnya:
Titisan air mata ibu - Part 1
Cerpen selanjutnya:
BECKHAM

Ceritera gelabah…

 

Suasana di Dewan Panglima yang menjadi gelanggang rasmi perlawanan bola keranjang antara fakulti sungguh riuh rendah. Seorang gadis yang setia menjadi penonton mula berhajat hendak melarikan diri. Dia tak mahu salah seorang daripada pemain bola keranjang pasukan Cool Shark menyedari kehadirannya di situ. Namun tindakannya sudah terlambat apabila sang jejaka terpandang akan kelibatnya. Si gadis tetap dengan pendiriannya untuk berlalu dari situ.

 

Ketangkasan jejaka itu mula berubah rentak, sedikit terusik dengan perlakuan si gadis. Tetapi dia kembali berpijak di bumi nyata apabila terpandangkan paparan markah. Pasukan fakulti mereka tak boleh kalah! Gelaran juara mesti dipertahankan. Dia harus kuat walaupun tanpa sokongan seseorang. Bukankah sebelum ini dia sememangnya pemain yang hebat mematahkan gerak geri pihak lawan?

 

Daiza berhati-hati memulas tombol pintu dewan, namun tepukan di bahunya membuatkan dia nyaris pengsan. Rasanya dia dah tahu siapa punya kerja ni. Lantas Daiza berpaling. Kan betul? Kawan baik sendiri rupanya. Memang nak kena luku!

 

“Wei, kau nak gi mana?” soalan Haida merangkap rakan sebiliknya dijawab dengan gelengan.

 

“Aik? Takkan kau nak lari kot? Tak syoklah macam ni. Masa kau lawan debat dia lari. Masa dia ada match kau pulak cabut. Apa yang tak kena?”

Daiza menggeleng lagi. Tak tahu apa yang harus diperkatakan.

 

“Aku gelisahlah. Macam tak kena je. Hati jadi tak tenang!” Getus Daiza sambil meraut rambut yang terjurai ke dahi. Haida menepuk bahu sahabatnya berulang kali.

 

Pertama kali Haida berdepan dengan situasi begini. Mungkin ini bukan salah Daiza, tetapi silap mereka yang suka masuk campur dalam urusannya. Mereka? Ya mereka. Merujuk kepada dirinya dan Hanan yang risau mengenai tahap fobia Daiza kepada komitmen. Mereka ingin membantu gadis ini membiasakan diri dalam menangani suatu perhubungan. Ada sesuatu yang tak kena berkaitan psikologi Daiza. Bukanlah bermakna dia gila. Hanya sekadar suatu fobia yang perlu dibendung. Jika dibiarkan boleh mendatangkan prasangka.

 

“Apa yang kau nak risaukan? Dia dah buat mende tak elok ke? Tak payah nak seganlah dengan si Ilham tu. Kau layan dia macam kawan-kawan biasa je,”


Haida membebel namun dalam masa yang sama membelakangi sahabat karibnya. Daiza meneruskan niatnya yang terbantut dari tadi. Sementara mak cik sorang ni tengah syok bersyarah eloklah dia lari dulu. Bunyi pintu terkatup menyedarkan Haida. Dia tahu, Daiza bolos lagi. Malas dia hendak menyelidik ke mana si commitment phobic ni pergi. Mungkin hendak menenangkan diri.

 

Daiza menarik nafas lega bila dia akhirnya berjaya keluar dari dewan yang sesak itu. Sebenarya kesesakan bukanlah suatu perihal yang merimaskannya. Cuma ada seseorang yang membuatkan dia tak senang duduk. Peluhnya akan merembes, jantungnya akan berdegup lebih pantas. Paling seksa, dia rasa hendak terkencing. Anehnya bila menghindari orang tersebut, dia kembali berada dalam zon selesa. Jadi seperti dirinya yang normal.

 

Sebulan yang lalu…

 

“Kau tak kesian ke tengok Ilham tu? Mamat tu dalam fasa ‘penyembuhan’ lagi. Kan aku dah pesan, kau janganlah cakap bukan-bukan depan dia. Tapi tengoklah apa yang dah jadi. Kau ungkit balik pasal perkara sensitif. Jenuh pulak nak pujuk,” suara Hanan, kawan baik Ilham mengundang simpatinya.

 

Dia bukan sengaja hendak mengungkit kisah cinta Ilham Iskandar yang asyik kecundang di tengah jalan. Namun dia terlalu marah tadi, lalu mengamuk tanpa mempedulikan perasaan Ilham yang sedang berduka. Natijahnya, Ilham naik berang dan meninggalkan mereka bersama rakan sekelas yang lain di sini. Daiza mengerti. Jejaka itu tersinggung. Sesungguhnya dia benar-benar keterlaluan. Kerana ikutkan emosi, Ilham yang tak bersalah menjadi mangsa. Tak patut…

 

“Aku tak tahu. Bukan ke dia baru je putus cinta? Sekarang bercinta dan kemudian putus lagi? Aku tak faham. Senangnya dia sayang orang,” keluhan terbit di situ.


Hanan ikut mengeluh. Dia merebahkan punggung di sebelah Daiza. Sambil mata mereka terpaku pada kolam air pancut di sekitar suria KLCC ini.

 

“Kau tahulah, dia tu jadi ‘buaya’ sebab awek lama dia tinggalkan dia. Jadi dia hanya ikut rentak mana-mana awek yang ajak couple. Dia akan buat macam-macam kerja bodoh untuk suruh diorang mintak putus. Walaupun dia tu ‘rejected Ilham’, tapi aku percaya dalam hatinya masih ada cinta yang belum hilang sepenuhnya. Dia belum jumpa perempuan yang sesuai. Orang hanya tahu dia kena reject tapi tak tahu kisah di sebaliknya. Kalau Ilham tunjukkan perangai gentleman dia mesti perempuan-perempuan tu melutut. Dia kekasih yang baik. Lepas putus cinta, dia menangis sesungguh hati. Sebab dia terlalu cintakan ex awek dulu. Sayang kan, lelaki macam dia ditinggalkan?”

 

“Kerja bodoh? Maksud kau?” Daiza gigit bibir. Betul-betul tak faham.

 

“Yelah, contohnya ajak keluar dating. Tapi datang lambat. Lepas tu kata nak belanja makan, tapi tak bawak duit sampai diorang kena cuci pinggan mangkuk,” jelas Hanan sambil memandang Daiza yang dari tadi terpinga-pinga.

 

Dalam minda gadis ini, dia mula membayangkan betapa hodohnya perilaku Ilham yang terpaksa duduk mencangkung sambil membasuh pinggan. Tentu berkerut wajahnya. Tak dapat dibayangkan pula, tahap selamba dan lewa jejaka itu ketika lewat menghadiri temujanji. Hebat! Hanan nak tergelak tengok telatah Daiza yang terteleng membuat andaian sendiri.

 

“Ni kes nak balas dendam ke?” cepat-cepat dia menyoal sebaik selesai membayangkan jejaka innocent seperti Ilham berubah watak menjadi lanun seketika. Pantas Hanan menggeleng.

 

“Dia bukan jenis yang macam tu. Tapi sekadar menguji perangai sebenar perempuan yang nak bercinta dengan dia. Dia dah serik nak menjaga hati orang, sebab dalam bersungguh pun dia terluka. Ilham berpegang pada prinsip what goes around come around,” jelas Hanan panjang lebar.


Dia mengerti hati lelaki sahabatnya cukup terluka. Dan dia tak mahu Daiza menyelahertikan tindakan Ilham yang mudah bertukar teman wanita.

 

Hanan bangun. Dia menggeliat tanpa mempedulikan pengunjung yang bersidai menghayati pemandangan. Daiza menekur kepala. Masih terngiang di telinga, betapa teruknya cara dia menengking Ilham. Sampaikan memerah telinga jejaka itu. Apatah lagi, insiden tersebut berlaku di hadapan orang ramai. Di depan kiosk maklumat berhampiran panggung TGV. Beberapa orang pelancong asing turut tercengang mengikuti pertelingkahan mereka. Puncanya bukanlah besar pun, cuma berebut hendak memilih cerita untuk ditonton bersama rakan sekelas yang lain.

 

“Aku tahulah kau suka tengok cerita cinta macam tu! Sebab kau kebulur sangat nak bercinta. Senang couple senang putus! Suka hati nak tukar pasangan,” peh!

Masa tu memang merah betul telinga Ilham. Tapi Daiza masih memenangkan egonya. Nasib baik tak kena lempang.

 

“Kau melampau!” Hanya perkataan itu yang mampu Ilham ucapkan.

 

Dia tak mahu memandang muka Daiza lagi. Nanti entah apa yang akan jadi. Mungkin pipi perempuan ni akan tebal sepuluh inci kalau lima jarinya melekap elok. Tapi pesanan ibu agar dia menghormati perempuan disemat kemas dalam ingatan. Atas dasar beralah, Ilham beredar dari situ.

 

Lantaran kesilapan yang dilakukan, Daiza memberanikan diri untuk menemui Ilham. Puas pula mindanya mengatur ayat-ayat syahdu. Dia tak pandai menangis, tapi cukuplah kalau Ilham menerima kata maaf darinya. Dengan sokongan dan dorongan yang tak berbelah bagi daripada Hanan dan Haida, dia akur untuk menerima apa sahaja kemungkinan. Terima kasih kepada si kembar itu kerana terus menyokongnya! Kemaafan Ilham lebih penting daripada menjaga air muka.

 

“Ilham,” lemah sahaja suaranya. Jejaka itu sekadar memandangnya sebelah mata. Kemudian meneruskan langkah. Bagai tak perasan kehadirannya di situ. Sakit hati betul!

 

“Kau dah takde telinga ke?” Kuat suaranya kali ini.

Ilham masih seperti tadi. Sedikitpun tidak menyahut. Daiza gigit bibir. Dia dah hilang sabar. Terbang segala ikrar yang diucap dalam hati dan juga di hadapan Haida. Sebiji dua penumbuk hinggap di belakang Ilham.

 

“Wei! Kau tak tahu malu ke? Orang tak layan nak terhegeh-hegeh pulak!” garang betul suara Ilham.

 

Mencerlung biji matanya. Daiza mengepal penumbuk. Ingin dihalakan ke muka bersih jejaka itu pula. Ternyata kening lebat milik Ilham dengan wajah serius persis Joe Jonas tidak menggentarkan Daiza. Malah mengobarkan semangatnya untuk menjuruskan tumbukan padu. Namun pantas Ilham menepis. Jangan ingat dia buta seni mempertahankan diri.

 

Tae kwan do dah pegang tali pinggang hitam. Nyata Ilham tersilap perkiraan bila tertolak tangan Daiza hingga menyebabkan tubuh gadis itu terdorong ke belakang. Tangan mereka yang sedang berpautan menyebabkan Ilham turut terjatuh. Tanpa sengaja, mulutnya tergesel ke pipi Daiza. Apa lagi, menjeritlah gadis itu.

 

“Buekk! Cis! Wekk! Mak tolong!”  

 

Jeritan Daiza membuatkan Ilham kalut. Pantas dia mencari posisi untuk berdiri. Daiza mengibas seluarnya. Mana tahu ada kotoran degil yang terlekat. Berkali-kali dia mengesat pipi. Geli yang amat! Hanan dan Haida yang mengintip entah dari mana meluru ke arah mereka.

 

“Ini boleh jadi sensasi ni,” usik Hanan pada kembarnya. Haida tersengih-sengih.

 

“Nasib korang baik, sebab kitorang je yang nampak kejadian ni. Kalau nak rahsia ditutup, korang kena ikut cakap aku dengan Hanan,”

Haida dah gelak jahat. Tanduk mula tercacak pada dahi kembar tak seiras ini. Daiza dan Ilham berpandangan.

 

“Korang nak suruh aku buat apa?” Serentak mereka bertanya.

 

Couple,” dua remaja itu terlongo.

 

“Tolonglah wei. Tak munasabah langsung. Takde mende lain ke yang boleh kitorang buat?” Soal Daiza.

 

Dia hampir menangis. Betapa dia takut untuk membina suatu perhubungan, hanya Tuhan yang tahu. Ilham pula tunduk. Mengira jari kaki yang terselindung di sebalik kasut Converse nya.

 

“Ada. Kahwin,” selamba kodok betul jawapan Hanan.

 

Haida membisikkan sesuatu ke telinganya. Dia terangguk-angguk. Inilah masanya untuk membantu sahabat mereka menangani commitment phobia yang dihidapi Daiza sejak berada di sekolah menengah lagi. Asal ada lelaki yang ingin menjadikan dia sebagai teman istimewa, gadis ini pantas menolak.

 

Pada pandangannya lelaki semua sama. Semuanya suka mempermainkan! Mungkin kerana melalui detik kepahitan membesar tanpa kasih sayang seorang bapa meninggalkan kesan mendalam pada diri Daiza. Cinta ayahnya yang beralih arah membuatkan Daiza menyemai tanggapan sebegitu. Sehinggalah dia membesar sebagai gadis yang takutkan komitmen.

 

Si kembar itu perasan akan kelainan pada riak wajah sahabat mereka, namun masing-masing buat tak tahu.

 

“Kitorang dah snap apa yang berlaku tadi. Kalau nak selamat, buat je apa yang kitorang suruh. Bukannya nak paksa terjun lombong pun,” gertak Hanan.

 

Membulat mata Ilham. Wajahnya menikam pada kesayuan yang tergambar di sepasang mata bening Daiza. Daiza tiba-tiba terduduk. Dia menangis semahu-mahunya. Jika disuruh melaksanakan perkara lain, pastilah dia akan melakukan dengan rela. Tetapi jika disuruh bercinta? Dia rasakan bagai membunuh perasaan sendiri!

 

Ilham menghela nafas. Agak tegang situasi mereka kali ini. Lama dia berfikir. Menimbal setiap baik buruk. Apa akan jadi jika satu kampus tahu mengenai insiden ini? Nama mereka akan disenarai hitamkan. Lebih teruk, mungkin akan dibuang universiti. Setelah puas berperang dengan perasaan dia sanggup mengenepikan ego. Andai dia perlu bertanggungjawab untuk segalanya, baiklah! Dia akan lakukan tanpa sebarang alasan. Asalkan Daiza tak perlu menderita. Mengapakah begitu malang nasib mereka hari ini?

 

“Aku akan ikut apa je yang korang nak. Tapi jangan sampai nama Daiza tercemar. Daiza, kau dah jadi awek aku sekarang. Susah senang kita tanggung sama-sama. Aku minta maaf,” sungguh tidak romantiknya kata-kata Ilham.

 

Tetapi cukup untuk membungakan gembira di hati Hanan dan Haida. Moga doa mereka selama ini akan termakbul. Bersyukurlah dengan kejadian yang telah berlaku. Semoga cinta benar-benar berputik di hati Daiza dan Ilham suatu hari nanti.

 

Ilham menyeka air mata di pipi Daiza. Gugur air mata gadis ini tanpa dapat ditahan lagi. Dia turut merasakan keperitan itu. Sesungguhnya dipaksa melakukan perkara yang tidak disukai umpama menyatakan sayang kepada orang yang dibenci. Alangkah hipokritnya!

 

“Dah, jangan nangis. Aku tahu susah untuk kau terima aku. Aku ni kan ‘rejected Ilham’. Tak pandai jaga hati perempuan,” lembut suara Ilham. Daiza menggelengkan kepala.

 

“Kau jangan cakap macam tu. Aku tak layak nak kritik kau. Sebab aku bukan betul sangat. Ada commitment phobia. Aku minta maaf sebab banyak sakitkan hati kau. Tapi aku tak sangka, kita kena couple sebab terperangkap macam ni,” ada sendu dalam suaranya.

 

Couple atas nama pun boleh kan? Kalau kau nak, aku fikir enam bulan dah cukup untuk kita ‘bercinta.’ Sekurang-kurangnyanya setengah tahun kita berusaha untuk kenal kualiti diri masing-masing. Dan kalau tak menjadi jugak, enam bulan lagi kita takkan bazirkan dengan sia-sia. Sebab kita masih boleh jadi kawan,” bernas juga idea Ilham.

Daiza mula tersenyum lebar. Dia gembira kerana tidak perlu memaksa diri!

 

Sekarang…

 

Daiza menampar-nampar pipinya.

“Bangun!” dia berkata pada diri sendiri.

 

Namun hanya jasad yang tersedar. Naluri bagai terus-terusan berada dalam khayal. Menyambung igau tentang perkara yang menimpanya selepas peristiwa pergaduhan dengan Ilham. Tanpa sedar, matanya memberat. Daiza diulit lena meski hanya bersandar di sebuah bangku kayu berbumbungkan pepohon rendang.

 

Ilham mengesat peluh yang membasahi badannya. Dia tak ingin berlengah lagi. Selesai sahaja perlawanan, jejaka ini mencampakkan jersi Cool Shark dan menyalin pakaian sepantas mungkin. Panggilan telefon yang diterima daripada Haida membuatkan jiwanya kacau bilau. Hasrat untuk mandi lebur sama sekali.

 

“Kau tolong cari Daiza. Dia hilang. Aku cari tak jumpa. Called pun tak angkat. Mesti kau tahu tempat dia biasa lepak kan?” Sejurus itu Ilham terus memutuskan talian.

 

Ke mana pula ‘teman wanita’nya pergi? Takkan Daiza melarikan diri? Dia tak sanggup andainya berlaku perkara yang bukan-bukan kepada gadis itu. Meskipun cadangan untuk bersama selama enam bulan itu terucap di bibirnya, namun Ilham tak sampai hati. Baki lima bulan yang tinggal akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Dah sampai masa agar dirinya tidak menjadi rejected Ilham lagi! Dan suara cemas Haida membuatkan jantungnya berdegup lebih kencang daripada biasa.

 

“Daiza,” dalam mamai gadis lasak ini terdengar suara garau memanggil.

 

Perlahan matanya dibuka. Dia tergamam apabila memandang ke dada langit. Gelap! Hari dah mendung macam nak hujan. Tapi dia boleh bantai tidur kat bawah pokok. Saat dia berpaling ke kiri, ternampak pula Ilham. Jejaka ini berpenampilan seperti biasa. Jaket, baju T serta seluar jeans. Pandang sahaja pun dah tahu kapten pasukan bola keranjang.

 

“Kenapa kau tidur kat sini? Kalau ya pun baliklah dulu,” bicara Ilham dibiar sepi. Daiza hanya mendiamkan diri.

 

“Jom aku hantar kau balik,” pelawa jejaka itu lalu menunjuk ke arah Satria Neo nya yang diparkir tidak jauh dari situ. Daiza hanya menurut. Tiada mood untuk berbicara. Kang bukak mulut bergaduh lagi.

 

Di dalam kereta, gadis ini diam tak berkutik. Hanya radio yang memecah kesunyian. Ilham menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan. Daiza mula merasakan simptom-simptom yang tidak sihat kembali menyerang. Jantung berdegup dua kali lebih pantas, peluh mula merenik dan keinginan untuk kencing tak dapat ditahan lagi. Walaupun hujan mula turun, dengan kesejukan penghawa dingin Daiza tetap berpeluh.

 

“Berhenti!” Jeritnya tiba-tiba.

 

“Kan tengah hujan ni? Sabarlah dulu,” Pujuk Ilham.

 

“Aku kata berhenti, berhentilah! Tak faham bahasa ke?” jeritnya lagi.

 

“Kenapa tiba-tiba naik angin?” rungut Ilham. Sungguh dia tidak mengerti dengan perubahan mendadak emosi Daiza.

 

“Berhenti. Kalau tak aku bukak pintu kereta!” Tempik Daiza lagi.

 

“Kau jangan buat kerja gila. Tunggu dulu,” Ilham masih cuba berdiplomasi. Nada suaranya berada pada tahap yang terkawal.


Dia enggan memberi peluang untuk Daiza bertindak melulu. Mahu tak mahu, terpaksalah dia memberhentikan Satria Neo kesayangan di bahu jalan. Belum sempat dia menghalang, Daiza terlebih dulu keluar dari kereta. Ilham terkesima. Dia takkan membiarkan gadis itu bersendirian pada saat begini. Meski kalut, keselamatan perlu diutamakan. Setelah pasti tiada kereta di laluan barulah Ilham membuka pintu. Dia sendiri basah kuyup kerana terlupa hendak mencapai payung di bahagian belakang.

 

“Daiza! Kau kenapa? Aku tak faham! Kenapa kau asyik nak marah aku? Aku ni terlalu membencikan ke?” Langkah gadis itu terhenti.

 

Dia masih terpaku. Soalan yang terluah di bibir Ilham bagai belati yang menusuk jantungnya.

 

“Aku tak benci kau. Aku hanya benci tentang sikap kau yang mudah jatuh cinta. Macam bapak aku! Aku benci pada orang yang rasa dirinya hebat dan boleh menjalinkan cinta dengan dua atau lebih wanita dalam satu masa. Aku benci! Aku rasa lelaki macam tu tak patut ada tempat dalam dunia ni! Dan aku tak patut ada hubungan dengan kau! Sebab kau akan tinggalkan aku pada bila-bila masa yang kau suka. Macam yang kau buat pada perempuan lain,”


Bersama jawapannya berderai air mata menyapa pipi Daiza. Tubuhnya menggeletar. Dia tak cukup kuat untuk menatap wajah Ilham. Dia harus akui, dirinya mula belajar untuk memupuk cinta terhadap jejaka ini. Sebab itulah dia tak kisah untuk meluangkan masa demi menyokong Ilham menghadapi perlawanan. Tetapi kehancuran rumah tangga ibu dan bapanya menghakis rasa itu dari terus bercambah.

 

Seperti selalu, fobianya akan menguasai diri hingga dia terpaksa menghindar dari berhadapan dengan perasaan sendiri. Malah, kemungkinan bahawa Ilham akan meninggalkan dirinya setelah berakhirnya tempoh enam bulan turut menjadi punca. Dia tak mahu dirinya dipersiakan sedangkan keinginan untuk dicintai semakin membara.   

 

Mendengar jawapan yang sungguh jujur dari bibir Daiza membuatkan lidah Ilham kelu. Bukan kerana kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitam, namun kerana menyedari sesuatu. Lantas tubuh lampai itu kemas dalam dakapannya.

 

“Daiza, aku tak cintakan mereka. Sebab tu aku fikirkan pelbagai cara untuk paksa mereka pergi dari hidup aku. Tapi kau lain. Makin aku bergaduh dengan kau, makin aku sayang. Kau tahu tak, masa kau blah tadi aku rasa macam tak bersemangat. Tapi aku kuatkan hati, sebab aku teringat tumbukan kau. Aku tahu, dari mula kau tumbuk aku tu kau dah sayangkan aku kan?” Daiza hanya mampu mengangguk. Dia merasa selamat berada dalam kehangatan cinta ini.


"Yo te voy a amar(aku ingin mencintaimu)," bisik Ilham perlahan. Ungkapan itu hanya menerobos pada deria dengarnya seorang. Sedang Daiza lentuk dibuai dakapan kasih yang mula berputik.  


Aik? Gaduh lagi…

 

Haida menghantar sms kepada kembarnya. Dia dah tak reti nak pujuk si Daiza. Makan tak nak, ajak keluar tak nak. Mata dah naik lebam. Ni mesti kes menangis teruk. Bila pandang bunga ros merah yang Ilham hadiahkan dalam pasu kaca, terus tarik muka. Hentak kaki, masuk bilik. Menyesal pula mengatur rancangan yang bukan-bukan dengan Hanan. Tapi siapa yang harus dipersalahkan? Hanya mereka berdua yang terlibat.

 

Jika setakat Daiza bermuram durja, tak mengapa namun apabila diselidik nyata kondisi Ilham juga tidak menyenangkan. Jejaka itu bagaikan hidup dalam dunia sendiri. Latihan bola keranjang tak pergi. Bila sebut nama Daiza, terus naik angin. Apa yang harus mereka lakukan untuk menjernihkan kembali keadaan? Hanan dan Haida mati kutu.

 

Akhirnya kata putus telah dibuat. Mereka akan membawa Ilham dan Daiza ke suatu tempat untuk menerangkan segalanya. Jika kerana singkatnya fikiran mereka, hubungan pasangan kekasih ini terjejas maka sesuatu harus dilakukan. Mungkin masih ada ruang untuk Daiza dan Ilham bersatu.

Ilham mengenyitkan mata kepada kekasih hatinya. Daiza tersipu-sipu. Apabila kelibat si kembar makin menghampiri mereka kembali kepada peranan masing-masing.

 

“Aku ada pengakuan nak dibuat. Pertama sekali aku nak mintak maaf kalau dah huru-harakan hidup korang. Jangan sebab aku korang nak gaduh, masam muka macam ni. Aku tak sedap hati,”

penuh berhati-hati Hanan mengucapkan mukadimah. Haida cuba untuk bertenang namun dia tak dapat lari dari merasa bersalah. Dipandang wajah Ilham dan Daiza.

 

“Aku dengan adik aku tak pernah pun tangkap gambar korang yang tengah ‘tercium’ tu. Kitorang cuma guna kesempatan yang ada untuk ugut korang. Niat aku dan Hanan baik. Kitorang nak tolong kau sembuh dari commitmen phobia. Kan ikhtiar tu wajib? Kalau kitorang biar je mesti keadaan kau lagi teruk,” Haida mula mencemik. Dia tersentuh.

 

“Ha ah. Lagipun aku tak sanggup nak tengok Ilham kena kacau ngan awek-awek yang tak patut. Aku rasa dia dah penat tipu diri sendiri. Jadi kitorang berpakat masa tu, kata dah tangkap gambar korang. Padahal tu niat spontan. Tawakal je lah. Nasib baik jadi. Tapi tak sangka pulak bila couple, korang merana. Bergaduh, makan pun tak lalu,”

Ilham menahan tawa dalam hati. Daiza tersenyum-senyum. Sedang cuba untuk pegunkan muka.

 

“Dah habis dah? Syahdu betul kawan-kawan aku ni,” dengan nada selamba Ilham bersuara.

 

“Akhirnya mengaku pun. Aku dah tahu dah semua tu rancangan sengal korang. Sebab kitorang ada curi-curi belek handphone korang berdua masa korang dalam bilik air. Memang takde pun gamba tu. Dalam laptop pun takde. Nak kata korang buang, rasanya korang hanya akan buang lepas transfer dalam laptop. Jadi, aku dengan Ilham saja nak test. Berhasil gak kan sayang?”

 

“Ha ah honey. Kita dah berjaya kenakan orang. Terbocor jugak rahsia. Tapi kitorang menghargai usaha korang. Aku dan Daiza tetap nak ucapkan terima kasih. Korang memang kawan baik aku,” giat Ilham sambil merenung wajah gadis kesayangannya.

 

Haida dan Hanan saling berpandangan. Mereka gigit bibir. Tanpa berlengah, siap pasangan kekasih itu dikerjakan. Taman permainan kanak-kanak itu riuh rendah dengan gelak tawa mereka. Ada kanak-kanak yang turut sama tertawa.     

 

Akhirnya…

 

Hanan dan Haida memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga. Kad undangan majlis resepsi yang diterima daripada Ilham dan Daiza membuatkan mulut mereka tak henti mengukir senyum. Akhirnya berjaya juga pasangan muda ini menamatkan pengajian.  

 

Mereka terkenang saat Ilham dan Daiza diijabkabulkan sebelum kedua-duanya bertolak ke Seoul National University(SNU) untuk melengkapkan MBA empat tahun lalu. Pada masa tersebut, hanya upacara akad nikah yang dijalankan secara ringkas dan tertutup. Pasangan muda itu mahu mendahulukan perkara wajib. Maklumlah, berdua di luar negara tentu sahaja banyak dugaannya. Lebih elok mengikat janji sebagai suami isteri. Tiada keraguan bila mempunyai ikatan yang sah.

 

Kehadiran kad undangan ini bermakna telah tiba waktunya untuk Ilham Iskandar dan Daiza Amna berkongsi hari bahagia dengan sahabat handai dan saudara mara mereka. Meski hasrat ini dapat ditunaikan hanya setelah memperolehi Master in Business Administration mereka tidak merasakan segalanya telah terlambat untuk dilangsungkan. Malah kian bermakna dan terisi dengan kelahiran cahaya mata pertama, Illiyyin Dania yang kini berusia dua tahun.

 

Bagi Ilham, inilah kejutan teristimewa buat permaisuri hidupnya. Terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan kesanggupan Daiza menghadiahkan bayi yang comel untuk dirinya. Menyaksikan sendiri kepayahan Daiza melahirkan zuriat mereka memberi makna yang sungguh mendalam buat Ilham. Dari situ, dia mengerti betapa mulia dan hebatnya pengorbanan seorang wanita bergelar ibu! Selagi dia mampu membahagiakan Daiza, Ilham takkan ragu untuk menunjukkan penghargaan buat satu-satunya isteri yang bertakhta dalam hatinya ini.       

Cerpen sebelumnya:
Titisan air mata ibu - Part 1
Cerpen selanjutnya:
BECKHAM

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
3 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2174 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 5910 bacaan
Berikan Hatimu | 3771 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3345 bacaan
Tiada Sesalku | 2640 bacaan
Laksana Bulan | 2758 bacaan
Seribu Impian | 3601 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3117 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3503 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3230 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

12 Komen dalam karya Antara Hati
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik