Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Satira

Si Badut Yang Menangis

Cerpen sebelumnya:
Hanya janji.
Cerpen selanjutnya:
Takdir Zetty

"Tukar wajahmu jika mahukan aku"

 

            Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang sehingga sekarang. Tutur katanya lembut dan bersahaja tetapi maknanya benar-benar menyentap jiwa saya ketika itu.

 

            Selama bertahun-tahun saya menggunakan wajah ini, tergamak dia menyuruh saya menukarnya dengan yang lain. Mungkin ianya lebih baik dan lebih secocok dengan wajahnya.

 

            Adakah saya tidak secocok dengannya? Mungkin juga. Berambut biru gelap, bermuka putih susu, berhidung merah dan bulat serta bibir yang lebar dan besar memang tidak pernah menjanjikan satu keindahan pada wajah saya ini. Cuma ada sedikit keindahan pada mata saya ini yang diakui ibu. Ianya sentiasa bersinar-sinar seolah-olah bintang terang di malam hari.

 

             Sememangnya saya kelihatan pelik bagi dia. Malah saya kelihatan pelik kepada masyarakat di Pekan Hitam Putih ini. Namun begitu, wajah inilah yang menjadi bukti penyatuan cinta ibu dan bapa saya selama bertahun-tahun.

 

            Saya dilahirkan setelah berbelas tahun ibu dan bapa saya menanti dengan penuh harapan. Lahir saja ke dunia, saya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kedua ibu dan bapa saya tidak pernah sekali pun mempertikaikan wajah saya yang sebagini rupa.  Bagi mereka, wajah sayalah wajah  yang paling indah yang pernah mereka tatapi di dunia ini. Lalu, setelah saya dilahirkan, saya telah diberi nama Si Badut oleh ibu dan bapa saya. Saya menyukainya dan nama itu sangat cocok sekali dengan diri saya.

 

            Saya membesar dengan penuh kegembiraan dan kasih sayang. Hidup saya dilimpahi dengan warna-warna kehidupan yang menyenangkan. Namun, ketika umur saya menginjak 20 tahun, saya seolah-olah bagai kehilangan sesuatu. Saya merasakan diri saya kesunyian dan keseorangan.  Saya perlu mengubah hidup saya.

 

            Di tempat yang baru, kehidupan saya benar-benar berubah. Saya berubah kerana seseorang. Saya berubah kerana dia.

 

            "Engkau perlu tukar wajah kerana kita ini ibarat empat susu ,dua perut"

 

            Pertama kali menjejakkan kaki ke Pekan Hitam Putih, terasa benar kelainannya. Adakah pekan ini yang lain atau saya yang kelihatan lain. Kehidupan di sini tenang dan mendamaikan. Cuma mereka tidak seperti saya, Si Badut yang berwarna-warni ini.

 

            Di pekan ini saya mula mencari-cari kerja. Saya tidak tahu kerja apa yang boleh saya lakukan. Masyarakat di pekan ini seolah-olah meminggirkan saya. Adakah kerana rupa saya yang tidak secantik mereka. Entah. Saya sendiri tidak tahu.

 

            "Muka kau yang begini, elok saja jadi penyanyi"

            "Jangan...jangan jadi penyanyi. Jadi pelakon mungkin sesuai"

            "Muka macam ni tak boleh jadi pelakon"

            "Kau sesuai jadi tukang lawak"

            "Ya, jadi tukang lawak!"

 

            Maka sepanjang saya tinggal di pekan ini, saya bekerja sebagai tukang lawak. Pelawak. Penghibur. Di mana-mana saja pesta atau keramaian yang diadakan di pekan ini, saya akan diupah untuk memperdagangkan kisah-kisah lucu kepada penduduk di sini. Saya gembira jika mereka juga gembira.

 

            Pada suatu hari, saya ditugaskan untuk menghiburkan orang ramai di sebuah pesta yang diadakan sempena hari ulangtahun kelahiran anak ketua pekan ini. Seperti biasa, saya datang dengan berpakaian yang berwarna-warni dan ceria.  Sebaik sahaja melangkah di dalam dewan, saya terpandangkan seorang gadis yang tidak keterlaluan saya gelarkan nya sebaagai bidadari. Mukanya sedikit pucat tetapi masih sedap dipandang. Rambutnya hitam mayang mengurai. Matanya bulat dan berseri-seri jika ditatap.

 

            "Min"

            "Hah?"

            "Nama dia Min"

            "Perempuan yang kau tenung tu, namanya Min. Anak ketua pekan ni. Hari ni hari ulangtahunnya yang ke 18"

            "Oh..."

            "Kau suka dia?"

            "Aku tak rasa dia akan suka kau. Dia tak sepadan dengan kau"

            "Yalah. Keadaan kau yang sebegini mungkin tak sesuai dengan Min"

            "Dia mesti suruh kau tukar"

            "Tukar apa?"

            "Tukar wajah. Tukar muka kau yang err...berwarna-warni sangat tu"

            "Tak mungkin. Dia mesti suka dengan wajah aku yang warna-warni. Masakan dia suruh aku datang ke sini kalau dia tak suka dengan wajah aku"

            "Terpulanglah. Aku cuma beritahu saja"

 

            Selepas daripada pesta tersebut. Saya sering terkenangkan Min. Wajahnya yang lembut dan senyumannya yang sentiasa manis membuatkan saya seolah-olah diserang mabuk cinta yang tiada penawarnya. Ah! Cinta? Mungkin memang benar saya dilamun cinta. Saya mesti menemui Min.

 

            Setiap hari saya akan mengayuh basikal ke rumah Min. Min akan selalu berada di luar pada waktu petang. Menghirup udara segar. Saya akan mencuri-curi pandang Min. Sayangnya, saya tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu perasaan saya kepadanya.

 

            "Buang masa kalau suka tapi tak beritahu"

            "Aku takut"

            "Takut apa? Bodohlah kau kalau macam tu!"

 

            Malam itu saya tidak dapat tidur dengan tenang. Saya bangun. Saya ambil kertas dan pensil tulis. Cuba menulis sesuatu kepada Min. Mungkin surat, mungkin nota ringkas atau apa sahaja yang terlintas di fikiran.

 

Kehadapan Min,

Saya manusia

Yang menyukai

Tidak!

Mungkin

Yang menggilai

Anda...!

 

Yang menanti,

Si Badut (yang sanggup memberi warna-warna kehidupan saya kepada anda)

 

            Tidak! Ia tidak membantu. Saya koyakkan kertas itu dan membuangnya. Ah...saya buntu! Saya ambil keputusan muktamad. Esok hari saya akan ke rumah Min. Bukan untuk curi-curi pandang. Saya mahu berdepan dengan Min secara terus. Saya mahu memberitahu dia apa yang saya rasa selama ini. Saya perlu!

 

            "Min, saya hanya mahu berterus-terang"

            "Ya?"

            "Saya manusia yang menyukai. Tidak! Mungkin, menggilai anda...!"

            "Oh..."

 

            Saya pulang ke rumah selepas itu. Menunggu jawapan yang akan diberikannya pada esok hari. Saya menanti dengan sabar tetapi juga di dalam keadaan  yang separuh gila. Ya! Hidup saya benar-benar berubah. Berubah kerana Min!

 

            "Tukar wajahmu jika mahukan aku"

            "Tukar wajah?"

            "Ya. Di hujung pekan ini terdapat kedai menukar wajah. Sila ke sana dan tukar wajah kau jika mahukan aku"

            "Mengapa perlu wajahku ini ditukar? Bukankah..."

            "Wajah seperti badut bukan pilihan aku. Kau memang baik tetapi kau perlukan lebih daripada itu untuk mendapatkanku. Pergilah tukar wajah. Ramai yang sudah menukar wajah mereka yang hodoh kepada yang lebih baik di kedai itu."

            "Mana mungkin..."

            "Jika kau tak mahu, aku tak akan kau miliki. Sampai bila-bila. Sampai mati!"

 

            Hari itu buat pertama kalinya saya merasakan ada titis-titis air keluar dari mata saya. Mata saya menangis. Bukan tangisan gembira. Tangisan itu sangat menyakitkan. Hanya kerana saya Si Badut, saya tidak diterima.

 

            Mungkin saya perlu menukar wajah untuk mendapatkan Min.

 

            Saya menangis lagi...

 

Nota: Empat susu, dua perut- tidak sama taraf dan keturunan

 

 

 

Cerpen sebelumnya:
Hanya janji.
Cerpen selanjutnya:
Takdir Zetty

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.8
12 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni) | 14951 bacaan
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 4840 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 7744 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 4545 bacaan
Stesen Ajaib | 3318 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 5491 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 4725 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 3238 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 3297 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 4229 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

32 Komen dalam karya Si Badut Yang Menangis
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik