Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Derai-derai di mata ibu

 

 

Derai-derai di mata ibu

 

 

Berita bertajuk “Penyanyi Saffiah Idayu kahwin VIP di Siam” di akhbar Harian, benar-benar memeranjatkan kami. Berita perkahwinan adik di selatan Thailand itu bagaikan sebutir bom yang tetiba gugur dari langit meruntuhkan perasaan ibu dan ayah.

 

Laporan akhbar itu, aku baca dengan teliti, ayat demi ayat tidak satu pun yang tertinggal. Gambar adik yang tersenyum di samping seorang lelaki yang bergelar Datuk, terpampang di ruangan gosip hiburan akhbar itu. Aku menarik nafas panjang. Keluh dan sebak di dadaku bercampur.

 

“Sampai hati adikmu, membuat sebegini kepada kami.” kata ayah perlahan.

 

Aku diam. Ibu diam. Kulihat ada manik-manik jernih mengalir dari mata ibu. Sedari aku mulai sampai di rumah lagi, esakan ibu tidak berhenti. Aku sememang bersimpati dengan ibu.

 

”Ayah dan ibu malu dengan tindakan adikmu. Bukankah dia sudah bertunang dengan Hisham. Mana ayah dan ibu kau nak sorokkan muka? Bagaimana kami nak menjawab dengan keluarga Hisham?.“ suara ayah keras. Wajah ayah yang berkerut menahan kemarahan yang terhadap perbuatan adik.

 

Esakan ibu kembali terdengar. Aku pasti ibu amat kecewa kerana impiannya untuk melangsungkan perkahwinan adikku secara besar-besaran musnah. Ibu mahu kalau boleh majlis ini akan dapati dihadiri oleh semua sanak saudara ibu dan ayah yang sememangnya ramai.

 

Malah kata ibu lagi, sebagai seorang penyanyi popular, ibu punya impian supaya majlis perkahwinan itu nanti akan turut dihadiri oleh puluhan ribu peminat-peminat adik. Tapi harapan ibu itu jadi debu-debu yang akhirnya hilang ditiup angin.

 

“Maafkan adik, ibu, ayah!” Aku cuba memujuk walau ku tahu luka ini pasti mendalam untuk mereka. Satu-satunya anak perempuan ibu dan ayah telah melakukan perkara yang tidak disangka-sangka.

 

“Nanti Am telefon, tanya kedudukan yang sebenar.” aku cuba memujuk ayah dan ibu.

 

Ibu menangis.

 

 

…….

 

 

Semenjak berita perkahwinan adikku tersiar, deringan telefon di rumah tak henti-henti berbunyi. Sanak keluarga dan sahabat ibu dan ayah bertanya khabar dan ingin mengetahui kebenaran cerita itu. Ada yang melahirkan simpati dan meminta ibu dan ayah sentiasa dan redha dengan ujian.

 

Aku juga menerima tempias dari peristiwa itu. Panggilan dari sahabat sering ku terima, ramai yang menasihati ku supaya banyak bersabar. Apa lagi yang mampu ku buat selain mengiyakan sahaja.

 

Hisham, tunangan adikku itu pasti lebih menderita. Tunangannya dinikahi oleh orang lain, seorang Datuk yang telah mempunyai 2 orang isteri. Adikku dan Hisham telah ditunangkan setahun lalu. Hisham, anak rakan ayah. Pada aku sesiapa yang memilik Hisham memang seorang yang bertuah. Hisham memang segak orangnya. Percakapannya pun lembut. Baik budi perkertinya dan dari keluarga orang baik-baik, Mungkin itu yang membuat ibu dan ayah tertarik dengan Hisham, lalu adik ditunangkan dengan Hisham.

 

Sebelum ini Hisham selalu menghubungiku, berceritakan tentang hubungannya dengan adikku yang semakin dingin. Katanya, mereka jarang berjumpa sejak beberapa bulan yang lalu. Dia juga mengadukan kononnya ada cerita-cerita adikku ada menjalani hubungan sulit dengan seorang Datuk. Aku hanya mampu menasihat Hisham supaya bersabar dan aku akan menyiasatkan perkara ini, dan dan akhirnya berita-berita itu semuanya benar

 

”Tak apalah bang, dah bukan jodoh saya dan Safiah, saya redha kalau dah itu ketentuan Allah.”  kata Hisham sewaktu kuhubungi. Aku benar-benar kagum dengan ketabahan Hisham menghadapi dugaan hebat ini.

 

 

………………………..

 

 

“Abang, maaf Safiah bang atas perkahwinan ini. Safiah dah tak boleh mengelak lagi.” Esakan Safiah terdengar dalam perbualan telefon kami, dua hari selepas berita pernikahan adik tersiar di akhbar dan juga setelah puas aku menghubunginya tetapi gagal.

 

“Kenapa ambil keputusan terburu-buru! Kenapa tak bincang dulu dengan ibu dan ayah. Adik tahu tak apa yang adik dah buat. Mereka malu dengan perbuatan adik! Malu pada keluarga Hisham. Malu pada orang kampung.” ujarku lagi.

 

“Bang, kami dah terlanjur. Adik hamil 2 bulan. Kami ambil keputusan untuk segera menikah. Tolong bang, jangan beritahu kepada ibu dan ayah.” esakan suara adik makin jelas.

 

“Astargfirullahalazim, Kenapa sampai jadi macam dik?” Jawabku terkejut.

 

“Sampaikan salam adik pada ibu dan ayah. Ampunkan dosa adik.” Kata-kata penamat dari adik dan telefon diletak.

 

Sejak itu tiada lagi berita dari adik, walau ku cuba hubunginya berkali. Nombor telefonnya tidak lagi aktif.

 

 

………………………

 

 

Siapa tak kenal adikku, Saffiah Idayu. Dia di antara penyanyi yang sedang meningkat popular di Malaysia. Sebut sahaja namanya, baik orang dewasa hingga ke anak-anak kecil mengenali dia. Lagu-lagu dendangan adikku itu sering sahaja menjadi siulan anak-anak muda. Berita tentang dirinya juga sering tersiar di dada-dada akhbar dan majalah.

 

 “Ibu mahu perkahwinan kamu dengan Hisham nanti, akan menjadi perkahwinan terhebat abad ini”. kata ibu sambil tersenyum lebar sebaik saja usai majlis perkahwinanku dulu.

 

“Ala… adik tak mahu kahwin lagilah ibu, Adik nak buru cita-cita adik untuk jadi penyanyi tersohor di Malaysia. Adik nak kumpul duit dulu, nak belikan ibu dan ayah sebuah rumah banglow besar di atas bukit.” balas adik, manja.

 

Ibu tersenyum. Rambut adik disisir kemas. Ubun-ubun adik dicium manja. Memang adik menjadi kesayangan ibu. Adik satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami. Kadang-kadang cemburu juga kami, anak-anak lelaki ibu yang lain melihat Saffiah mendapat layanan mesra dan istimewa dari ibu. Masih kuingat, pantang sahaja Saffiah menangis kerana disakat oleh adik-adikku, pastilah berbirat telinga kami dipulas oleh ibu.

 

“Kau tak kesiankan Hisham, tunang adik tu? Dah lama dia minta majlis perkahwinan di segerakan. Adik je yang masih melambat-lambatkan.” kata ibu lembut seolah-olah memujuk.

 

”Tak naklah ibu. Tapi kalau ibu paksa juga, adik nak bersanding atas belakang gajah! Hahaha..!! “ Adik ketawa besar mengusik ibu. Ibu balas dengan ketawa juga.

 

“Nanti sebelum tu, ibu arakan kau dan Hisham atas belakang kerbau! Baru pada muka.” Ujar ibu sambil tersenyum lebar.

 

Ayah  hanya tersenyum. Ayah sebenarnya tidak terlalu berkisah sangat. Kalau Ibu setuju, ayah biasa setuju sahaja. Jarang berbeza pendapat antara ayah dan ibu.

 

”Majlis perkahwinan abangmu, pun ibu dan ayah buat besar-besaran, Ini pula anak perempuan tunggal, ibu mestilah lagi besar-besaran juga.” Tambah ibu lagi tersenyum girang sambil bibirnya dijuih ke arahku.

 

Aku hanya tersenyum. Memang benar, ayah dan ibu berbelanja besar untuk majlis perkahwinanku dahulu.

 

 

…………………….

 

 

Telah lima tahun berlalu, sejak berkahwin, adik tidak lagi pulang ke rumah di kampung. Entah apa sebabnya aku pun tak pasti. Mungkin adik malu berhadapan dengan ibu dan ayah, Mungkin adik juga malu berhadapan dengan Hisham dan keluarganya. Aku tak pasti.

 

Sejak perkahwinan itu juga, berita-berita tentang tidak lagi muncul  di dada-dada akhbar atau di media-media eletronik. Adik hilang terus daripada persada seni tanahair. Malah para wartawan juga tidak dapat menjejak kemana adik menghilang.

 

Ayah telah tiga tahun meninggal dunia. Membawa bersama luka di hati dengan perbuatan adik. Hanya aku, isteri dan anak-anak sahaja yang kerap pulang melawat ibu yang sendirian di kampung hampir setiap bulan. Sengaja aku kerap pulang agar ibu tidak merasakan kesunyian.

 

Walau telah berulangkali ku pujuk ibu pindah ke bandar untuk tinggal bersama aku, tapi ibu enggan, katanya dia sayang meninggalkan rumah yang banyak memberikan kenangan kepadanya. Dua adik aku pula, seorang menetap di Sabah dan seorang lagi menetap di Dubai kerana berkerja di sana.

 

Kasihan ibu. Hari-hari yang dilaluinya dengan air mata. Mungkin ibu masih belum dapat menerima perbuatan adik itu. Sejak peristiwa itu, tiada lagi gambar adik yang tergantung rumah. Semuanya ibu sendiri yang menurunkannya. Setiap apa juga barang-barang yang boleh mengingatkan ibu kepada adik telah disimpan semua didalam bilik setor belakang rumah. Hinggakan lagu-lagu adik yang dulu sering jadi kegemaran ibu tidak lagi terdengar dipasang ibu.

 

Aku juga merasa hairan dengan sikap adik yang langsung tidak menghubungi ibu. Malah semasa ayah meninggal dunia, adik juga tidak pulang. Aku sendiri tidak tahu dimana adik berada untuk memaklumkan kematian ayah. Perbuatan adik ini menambah lagi luka yang telah lama bernanah di hati ibu.

 

Luka di hati ibu memang parah. Menyebut sahaja nama adik pasti akan mengundang air matanya akan mengalir keluar. Sesekali pernah ku cuba berbisik kepada ibu untuk memujuk adik pulang tapi ibu menghalang keras.

 

Aku terkedu dengan sikap keras kepala ibu. Walaupun ibu zahir seorang lembut tapi hati tegas. Sekali membuat keputusan ibu tidak pernah merubahnya. Agaknya sikap inilah yang diwarisi oleh adikku. Malah seingat aku tidak pernah ibu membantah setiap kemahuan adik. Semuanya dituruti. Malah ibu yang pada mulanya menghalang adik menceburi bidang seni juga akhirnya akur juga setelah adik merajuk panjang.

 

Kalau kemudian kesepian itu dianggap sebagai suatu yang rutin, bererti sudah ke sekian kalinya kudapati ibu selalu menyendiri. Dan ibu semakin menyendiri, seperti menciptakan kesepian dalam kehampaan abadi.

 

 

 

 

Petang itu, setelah sekian lamanya, tiba-tiba aku menerima panggilan telefon dari suami adik. Katanya adik sekarang berada di wad ICU Hospital Besar Kuala Lumpur. Sudah hampir seminggu adik dimasukkan ke wad kerana mengalami komplikasi semasa melahirkan anak yang ke dua. Berlaku pendarahan yang teruk dan kini adik masih lagi koma. Hanya mesin penyambung hayat sahaja yang membantu adik untuk terus bernafas.

 

Perkhabaran buruk ni segera ku sampaikan kepada isteriku dan adik-adikku yang lain terlebih dahulu. Semacam ada keresahan di hatiku samada ingin menyampaikan berita ini kepada ibu. Aku khuatir kalau berita ini akan menambahkan lagi kesedihan ibu. Tetapi isteriku mendesak juga agak berita buruk ini disampaikan juga kepada ibu. Kata isteriku, adikku itu juga tetap anak ibu, tiada yang dapat memisahkan, malahan naluri seorang ibu tetap menyayangi anaknya walau apa juga berlaku.

 

Tanpa membuang masa, aku terus ke pejabat isteriku untuk menjemput dia ke Hospital besar Kuala Lumpur. Ketibaan kami disambut oleh suami adik. Inilah pertama kali aku berjumpa dengannya. Aku kira dia berumur di awal 50 an. Disampingnya seorang budak perempuan yang aku rasa berusia dalam  lingkungan umur 4 tahun.

 

“Amirah, ini Pak Long Amirah. Abang mama Amirah.” Kata suami adik kepada budak perempuan itu.

 

Budak perempuan bernama Amirah itu segera mencium tanganku. Aku gosok kepala Amirah. Segera kupeluk Amira erat-erat. Pipinya kucium. Amirah memang comel dan genit, malah benar-benar mewarisi wajah adikku.

 

“Pak Long datang tengok mama ye? Mama tengah tidur. Dah lama mama tidur. Mirah kejut pun mama tak mahu bangun jugak. Nanti Pak Long kejutkan mama ye!” petah anak kecil itu menuturkan kata.

 

Aku hanya menggangguk. Terharu dengan sikap Amirah, yang tidak mengetahui bahawa mamanya sedang koma,

 

“Pak Long nak tengok adik tak? Adik ada dalam bilik satu lagi. Doktor letak adik dalam kota yang ada lampu. Pak Long tahu, banyak wayar kat badan adik. Tapikan Pak Long, Mirah benci adik. Pasal adiklah mama tidur, tak bangun sampai sekarang.”

Perlahan Amirah membisikkan ke telingaku.

 

Aku lepaskan pelukan Amirah perlahan-lahan. Suami adikku segera mencapai Amirah.

 

“Bagaimana Saffiah bang?” aku bertanya kepada suami adikku.

 

“Macam itu jugalah Amran. Tiada apa-apa perubahan sejak dua minggu yang lalu. Doktor pun tak beri banyak harapan.” Kata suami adik perlahan. “Sekarang ini pun, dia hanya bergantung kepada mesin hayat. Tak tahulah sampai bila.”

 

Kami segera berjalan menuju ke wad ICU. Sebaik tiba itu, aku lihat adik sedang terbaring. Matanya terpejam. Ada sarung oksigen yang terletak dihidung dan mulutnya. Dadanya berombak-ombak tak henti-henti. Sekejap kuat dan sekejap perlahan beriring-iringan.

 

Aku segera menarik kerusi dan duduk berhampiran katil adik. Tangannya kupegang erat. Sebak rasa hatiku melihat adik dalam keadaan begitu. Tentu berat seksaan yang ditanggungnya. Aku berdoa dalam hati memohon seksaan adik ini segera hilang.

 

Isteriku yang sedari tadi hanya membisu, membisik agar aku berkata sesuatu kepada adik. Kata isteriku. adik pasti mendengar.

 

“Assalamualaikum adik. Abang datang melawat adik.” Kuluahkan kata-kata yang aku rasakan boleh adik dengari.

 

“Abang datang untuk menyambung semula ikatan kasih sayang kita adik beradik. Lama abang tak jumpa adik dan berbual mesra dengan adik seperti dulu. Ayah dah tiga tahun meninggal, dan ibu seorang di kampung. Tapi jangan bimbang, abang, isteri abang dan anak-anak abang selalu pulang ke kampung menemani ibu. Adik-adik kita yang lain jarang pulang kerana mereka bekerja jauh. Kembalilah adik, Kami menuggu adik sedar. Kita lupakan sahaja perkara yang dah berlalu. Abang rasa ibu pasti memaafkanmu dan menunggu kepulanganmu. Adik bangunlah cepat. Kita pulang ke kampung berjumpa dengan ibu. Kita cium tangan ibu dan mohon kemaafannya. Bangun dik!”

 

Aku terdiam sebentar untuk mengumpul semula kata-kata. Aku lihat isteriku sedang membaca surat yassin di sebelah. Amirah berada dipangkuan isteriku. Suami adik tidak kulihat didalam bilik ini.

 

“Mama, bangun mama. Pak Long datang! Pak Long nak jumpa mama! Bangunlah Mama. Kesian Pak Long.” Amirah berkata-kata sambil mengoncang-goncang badan mamanya. Isteriku segera memeluk Amirah semula.

 

“Pak Long, mama nangis!” jerit Amirah padaku. Ada linangan air mata mengalir dari kedua belah mata adik yang terpejam itu. Aku terharu. Mungkin adik mendengar apa yang aku katakan tadi. Air mata adik mengalir dan terus mengalir.

 

 

 

………………….

 

 

Malam itu juga aku, isteri dan anak-anakku pulang ke kampung. Berita buruk ini perlu kumaklumkan kepada ibu. Aku tidak mahu dihimpit rasa bersalah kepada ibu sekiranya apa-apa yang buruk berlaku kepada adik nanti.

 

Setiba di rumah, kulihat ibu sedang duduk di kerusi malas, sambil membaca Al-Quran. Sebetulnya aku menjadi jengah dan bungkam. Namun rupanya ibu tidak pernah merasa bahawa sikapnya itu telah membuatku selalu merasa bersalah. Ibu selalu diam seperti patung. Hanya mulutnya sahaja terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.. Suasana seperti itu yang selalu kuhadapi dengan rasa kebingungan.

 
"Malam sudah larut, apa ibu tidak mengantuk?" tanyaku ketika beberapa lama kami berdiam diri.


Untuk sejenak ibu menghentikan bacaannya, lalu menoleh kepadaku. Kacamatanya masih bertenggek di hujung hidung, sehingga pandangannya seperti tengah mengintip lewat kacamatanya ke arahku.



"Kamu tidurlah dulu, mata ibu belum mengantuk," jawabnya dengan senyum yang dipaksakan.

 

“ibu nampak kepenatan.” Balasku.

 

"Sebentar lagi. Tinggal beberapa helai muka surat sahaja lagi. Sudahlah, temankan isterimu tidur," jawab ibu yang kini tidak lagi memandangku. Ia kembali meneruskan bacaannya.


Pernyataan ibu itu menghentikan percakapan. Ibu seperti enggan diganggu. Maka aku hanya diam.


Namun aku tidak sampai hati meninggalkan ibu sendirian dan tidak memaklumkan berita buruk, walau cadangnya aku ingin sahaja memaklumkan kepada ibu keesokkan harinya.

 

Kutarik kerusi, dan duduk  di sampingnya. Di bawah cahaya neon, ibu terus tekun dengan bacaannya. Isteriku mungkin sudah lama terlelap di kamar.


“Ibu, Ada sesuatu yang Am ingin sampaikan pada ibu!” Bisikku perlahan.


Ibu berhenti membaca dan menoleh kepadaku. Ditatapnya aku dengan tatapan senja, pandangnya seakan menghujam hatiku.

 

"Tentang adikmu?" Tiba-tiba ibu malah melemparkan pertanyaan yang langsung menikam hulu hatiku.

 

Ibu kembali meneruskan bacaannya. Dan aku kembali terpisah dalam kesendirian. Aku merasa amat sukar sekali untuk melontarkan suara. Aku bagaikan anak kecil yang selalu terdiam ketika ibu berkata, meski di dalam hati aku meronta-ronta untuk berkata.


“Benar ibu. Ini tentang adik!” kataku perlahan agar perasaan ibu tak terusik. Tetapi ibu tidak menyahut. Sepertinya ia memang sudah menciptakan kesendiriannya.


“Ibu tidak mahu mendengarnya.” jawab ibu.

 

“Ibu. Adik sekarang berada di wad ICU. Adik sedang koma. Pendarahan berlaku semasa melahirkan anak keduanya, cucu ibu!” dengan berani ku khabarkan kepada ibu.

 

“Saffiah bukan anak ibu lagi. Dia dah lama mati dalam hati ibu!” jawab ibu perlahan. Tiba-tiba kulihat ada manik-manik jernih mengalir keluar di pipi ibu.

 

Ibu meneruskan bacaan tapi ada getar yang ketara pada suara ibu. Esakan ibu mula terdengar. Manik-manik jernih kian deras mengalir di pipi ibu.

 

Segera kucapai tangan ibu. Kucium tangan ibu bertalu-talu. Tak sedar air mataku sendiri mengalir deras.

 

“Ibu, maafkan adik ibu. Adik sedang menderita sekarang. Ibu ampunkanlah dosa adik. Am sembah ibu. Am cium kaki ibu. Maafkan Saffiah bu!” pintaku pada ibu lalu tunduk mencium kakinya.

 

Ibu diam tidak menjawab. Sebaliknya, ibu teruskan membaca ayat Quran dengan suara yang bergetar. Yang aku amati merupakan surah Al-israa’, ayat 23-24 yang bermaksud,

 

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah Al-Israa’, ayat 23-24)

 

Sehabis membaca surah itu, ibu menutup kitab suci Al-Quran lantas mencium dan memeluknya erat ke dada. Aku lihat derai-derai air mata mengalir terus di mata ibu tanpa henti, sama seperti juga air mata adikku, mengalir dan terus mengalir.



Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Setelah agak lama tenggelam dalam keasyikan menulis puisi-puisi, saya terpanggil untuk kembali kegemaran asal saya dahulu iaitu menulis cerpen dan cerita pendek.

    Atas permintaan seorang sahabat yang meminta saya menulis cerita tentang seorang ibu, terhasillah cerpen ini. Sebuah cerpen yang bersandarkan kepada cerita suasana semasa yang sedang berlaku, fenomena kahwinlari.

    Disclamiar;

    Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati.

    Terima kasih.

  • 2) best. amat menyentuh.. sedikit tempiasnya terasa....
  • 3) sy x baca abis lg...bru baca dalam 6 ayat sj dah tersentuh hati...mmg kit la penulisan ni
  • 4) ya tersentuh saya pada babak-babak akhir cerita ni. pak penyu sesuailah tulis cerpen-cerpen. ;)
  • 5) sekali baca mcm cite dlm mastika.
    tp mmg rasa sayu bila baca kisah2 mcm ni... :)
  • 6) terasa seperti berada di dalam situasi Am..
    dan juga terasa seperti terkena kepada diri sendiri le pulak... namun satu karya yang menyentuh perasaan, disulami dengan petikan ayat Al-Quran...
  • 7) abang sham dulu memang keje dengan mastika :p
    wah abang sham. memang power :)
    sebak membaca
    ending dia pun bijak, mengajak kita berfikir apa kesudahannya.
    ada satu perasaan yang tak tersampai bila dah habis tu. memang pandai menyaiko sungguh. pekat sungguh santan ni (eh?)
    tak tak, bukan kata abang sham tua (sambil teringat lagi anak buah abang sham)

    ha ha!
  • 8) wahh..bestnyer citer nih...
    mak,rindunyer kat mak...
    tp naper endingnya kena pk sndr?
    aduhhh...bleh tak if mak saffiah maafkn dier so dgn sendirinyer riwayat safiah leh tamat..mayb psl dier stil koma psl takdpt restu dr parents dier kn?

  • (Penulis)
    9) Ada beberapa ending pilihan untuk cerita, pertama, ibu maafkan saffiah dan saffiah mati dengan aman( tapi penyelesaian ini memang akan dijangka oleh pembaca), keduanya, saffiah hidup (tapi penamat yg anti klimak), ibu dah saffiah meninggal (terlalu melankolik cam cerita hidustan)atau membiarkan pembaca menentukan apa yang jadi lepas tu (zalim kepada pembaca).

    Maka saya ambil pilihan terakhir iaitu berlaku zalim pada pembaca... hahahaha..!!
  • 10) >adessss...kejam,bg la ending...(:
  • 11) wah...
    kejam sungguh abang penyu..
    huhuhu..
    tp cite abang ni mmg menarik jiwa dan kalbu..
    sedih sekejap..
  • 12) menyentuh hati...mak dia dah redha lah tu.
    serahkan pd Allah..
  • 13) klu lah sy dlu wat mcm ni..
    mst skunk sy xpny sape2..
    hahahaahahha...

Cerpen-cerpen lain nukilan Upenyu

Read all stories by Upenyu