Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Aiman

Cerpen sebelumnya:
M01S09 - Arukh Safuna (i) (re-production)
Cerpen selanjutnya:
Menjelma

"Sayang, abang janji lepas ni kita kahwin. Jangan risau k sayang, abang sanggup bertanggungjawab. Sepenuh hati abang cintakan sayang." aku memandang wajah kekasihku tepat ke dalam anak matanya. Terasa seperti melayang terus ke dalam angkasa cintanya.

"Tapi,kalau..." belumpun sempat sebaris keraguan kuucapkan, bibirnya terlebih dahulu menjamah bibirku. Aku terdiam. Tepisanku kian ringan lalu lengan tegarnya menjelajah seluruh pelusuk tubuhku. Dan malam itu aku kehilangan mahkota diriku kepada insan yang sangat-sangat aku cintai. Ikhwan Hafiz.

Terngiang-ngiang lagi bisikan keramat itu ditelingaku. Aku memekup kedua-dua belah telingaku dengan telapak tangan. Mahu rasanya aku menjerit agar suara lembut itu tidak lagi menghantui aku. Sejak bila air mataku mengalir membasahi pipi gebuku, tidak aku endahkan. Hingus di dalam hidung sudah tidak dapat menampung kuantitinya, lalu mengalir keluar. Pun aku tidak hiraukan juga. Segalanya sudah menjadi tidak bermakna. Sia-sia sahaja untuk aku kenang. Yang pecah, tak mungkin dapat aku tampal semula. Yang ternoda manakan mungkinkan suci semula.

Aku memandang siling, kipas berputar perlahan bagai tak berdaya seperti aku. Lampu kuning di dinding sudah tidak cerah seperti semalam, sudah malap seperti kehidupanku. Aku memandang sisi. Sekujur tubuh itu masih lagi kejar di sebelahku. Lena dibuai mimpi, bagaikan tidak pernah ada dosa yang berlaku. Sangat selesa melayan kantuk sedangkan mungkin esok panggilan maut bakal menjelma. Masih belum sedar ada salah yang perlu dipohon ampun. Sesekali, lenanya berselang dengkur. Sangat damai bagaikan si kecil yang tak perlu memikirkan apa-apa.

Aku bangun dari pembaringanku. Melangkah perlahan terus menuju ke bilik air. Aku bersihkan diri. Aku berus setiap inci tubuhku sekuat mungkin. Kemerah-merahan jadinya, bagai mahu tercabut kulit. Berkali-kali aku bilas dengan air sabun, tapi masih loya tekakku. Bau busuk entah dari mana aku tak tahu. Lagi aku simbah air sabun ke badanku, lagi hanyir baunya. Lagi sesak nafasku. Sudahnya, aku terduduk kepenatan sedangkan air masih lagi menyembah bumi, menyirami sekujur tubuhku yang menggigil kesejukan. Aku meratap sendiri, dan air mataku berpadu bersama limpahan air. Hilang. Sirna. Bagai hilangnya kegadisanku semalam.

*****

"Lin, apa kenanya dengan kau ni? Kau makan apa tadi?" Syikin terkejut melihat aku termuntah-monggek di longkang tepi jalan. Sudah beberapa kali isi perutku keluar. Wajahku pucat, bagaikan hilang semua darah.

"Aku rasa masuk angin kot." Aku cuba berlagak biasa. Cuba menyembunyikan rasa gementar yang berlegar di dada. Sudahku kira, hampir-hampir empat bulan aku tidak datang bulan. Sepanjang empat bulan ini solatku penuh. Setiap malam aku bertafakur memohon keampunan dari Yang Esa. Begitu takut aku bila terkenangkan dosaku itu. Dosa besar yang begitu azab siksaannya. Aku takut, sangat takut.

"Dah, jom kita pergi klinik. Risaulah aku tengok keadaan kau macam ni. Nanti tak pasal-pasal gastrik kau datang balik. Kau tu, kalau dah sakit bukan tau sekejap-sekejap. Melarat-larat jadinya." Bebelan Syikin entah mengapa mendatangkan sebak di dadaku. Terus mengalir air mataku laju. Syikin yang melihat perubahan emosiku secara mendadak itu tiba-tiba sahaja tergamam. Wajahku di pandangnya penuh curiga.

"Kau ni kenapa? Apa masalah kau sebenarnya Lin? Cuba cerita dengan aku." Lembut sekali ucapan yang terluah, bagaikan sedang memujuk kanak-kanak kecil yang menangis mahukan gula-gula. Kalaulah Syikin tahu bebanan yang tergalas di bahuku, tentu bukan begini ucapannya. Syikin, tangisan aku bukan kerana derita yang sedikit-sedikit. Aku terseksa, ada nyawa yang bersemadi dalam rahimku kini. Aku akan menjadi seorang ibu, melahirkan seorang anak yang tidak berketurunan. Aku manusia yang alpa, hilang arah dan tuju, tenggelam dalam hasutan syaitan juga berkawan dengan nafsu. Kau faham tak Syikin derita aku? Derita seorang bakal ibu tanpa akad dan nikah. Aku malu! Aku buntu!

Namun, aku cuma menggeleng sahaja menjawab soalan yang sama diulang tanya oleh Syikin kepadaku. Tidak terkeluar dek kata-kata siksaan yangku tanggung kini. Tambahan pula, sejak penolakan hak seorang bapa dari Ikhwan. Semenjak itu, aku sudahpun sendirian tak berteman. Sudah menjadi seorang ibu tunggal tanpa sempat mendengar lafaz akad sah dalam majlis keramaian perkahwinanku.

Sudahnya, petang itu aku terlantar di bilik sendirian. Sengaja aku kunci pintu bilikku agar tidak diganggu. Aku memencilkan diriku untuk kesekian kalinya.

***** 

Aku terdiam mendengar permintaan emak dan abah saat aku pulang ke kampung minggu lalu. Abah beritakan kepadaku tentang majlis perkahwinan aku bulan depan. Semuanya sudah siap diatur katanya. Menurut abah lagi, pihak lelaki yang mahukan begitu. Kepala aku buntu, serabut mengenangkan masalah yang sentiasa kunjung tiba. Mungkin inilah bayaran terhadap kelakuan sumbangku. Mungkin.

Bagaikan hilang rentak pernafasanku. Telefon bimbit di tangan aku genggam sekuat mungkin demi mencari semangat dalam kegoyahan hati. Aku sudah bertekad untuk menceritakan kebenaran kepada bakal suamiku. Menurut emak, namanya Saiful, seorang guru agama di sebuah sekolah pondok berdekatan kawasan rumahku.

Nombor telefon bimbitnya aku dail. Dan saat suara di sebelah sana membalas panggilanku, aku hilang kata. Terdiam seketika. Suasana pada ketika itu terasa sangat terasing. Namun, pihaknya cepat mencari tapak.

"Lin? Ada apa telefon saya ni? Ada perkara yang nak dibincangkan ke?" Lembut suaranya mendamaikan perasaanku. Sebaris ucapannya itu bagaikan meniup semangat kepadaku.

"Saya nak bagitahu sesuatu." dan ayatku tergantung di situ.

"Bagitahulah, saya dengar ni."

"Kita batalkan perkahwinan ni boleh tak? Saya dah tak suci. Saya tengah mengandung." Air mataku dan tangisanku selepas itu sudah cukup menceritakan segalanya. Masing-masing mendiamkan diri. Cuma tangisan dan senduku yang melagukan suasana pada waktu itu.

Hampir sejam keadaan begitu. Saat senduku semakin surut, aku memohon untuk memutuskan talian. Namun, terasa begitu berat. Aku malu tapi dalam masa yang sama aku mahu berkongsi cerita lukaku. Sudah tak tertahan rasanya bebanan yang kutanggung ini.

"Lin, tunggu dulu. Jangan matikan panggilan. Ada sesuatu yang Saiful nak cakap sikit." Aku menarik nafas dalam-dalam, bersedia mendengar ceritanya.

"Lin percaya pada qada' dan qadar?" aku mengangguk walau aku tahu dia tidakpun dapat melihat anggukanku itu.

"Lin, sebelum saya datang ke rumah awak, saya dah pun buat solat hajat mohon kepada Allah agar ditunjukkan kepada saya seorang isteri yang dapat menjaga iman saya. Alhamdulillah, saya bermimpi melihat seorang gadis. Sangat anggun orangnya. Saya telahpun terpikat padanya sejak kali pertama terpandang wajahnya. Tapi, dalam mimpi saya gadis tu bukan berseorangan. Dia mendukung seorang bayi. Comel. Saya mendengar ketawa bayi itu, seolah-olah dia bahagia bersama gadis itu. Mendengar ketawa si bayi itu menambahkan lagi rasa sayang saya kepada mereka. Saya merasakan seolah-olah ingin menumpang kasih dan cinta mereka. Saya ingin hidup di antara mereka.Saya terlalu ingin menikmati cinta mereka. Dan seminggu sebelum ke rumah Lin, saya terlihat gambar Lin dalam album keluarga Pak Saat, bapa saudara Lin. Terus saya teruja. Rupanya jodoh saya sudah sampai. Saya bahagia dan teruja." ceritanya terhenti di situ. Lambat-lambat, Saiful menyambung lagi. Kali ini suaranya sedikit mendayu.

"Lin, sudikah Lin berkongsi kasih Lin dan bayi dalam kandungan Lin tu bersama-sama saya?Izinkanlah saya menikmati cinta itu."

Aku tergamam. Air mataku tak sudah-sudah mengalir. Sudahnya,panggilan telefon aku matikan begitu sahaja. Sudah hilang segala kata untuk aku tuturkan. Sejak itu, Saiful sentiasa menelefonku, memujuk agar aku dapat menerima kehadirannya dalam kehidupanku.

*****

Seperti kata orang tua-tua, sekeras-keras seorang wanita, kerasnya seperti kerak nasi. Disiram air, lama-lama lembut kembali. Akhirnya, aku yakin akan keputusanku. Aku berkahwin dengan Saiful dan menjalani kehidupan yang bahagia. Kini, beberapa hari sahaja lagi merupakan hari kelahiran anak di dalam rahimku. Anak ini seorang lelaki. Baguslah, dapat juga dia menjaga aku dan adik-adiknya bila besar nanti. Kebahagiaan aku dan Saiful bagaikan cinta di padang sahara kemarukkan air. Berlimpahan rasa cinta antara kami. Sesungguhnya, aku bersyukur terhadap nikmat cinta ini.

"Ma, Pa nak pergi kerja ni. Jaga diri tau. Kirim salam dekat Aiman.Cakap dekat Aiman, Pa sayang dia sangat-sangat, sama macam Pa sayang Ma." sebuah kucupan hinggap di dahiku. Aku tersenyum bahagia. Aku melihat Saiful, suamiku masuk ke dalam kereta lalu berlalu pergi ke tempat kerja. Aku masih lagi berdiri di halaman rumah, memandang kejauhan seolah-olah masih terlihat Saiful di dalam kereta. Aku tersenyum.

Aku usap perutku. Perlahan-lahan aku bisikkan,"Aiman dah bangun ke sayang? Papa dah pergi kerja. Papa kirim salam pada Aiman. Papa pesan, Papa sayang Aiman sangat-sangat macam Papa sayang Mama." Lembut sekali baris-baris ucapan itu aku bisikkan berharap agar Aiman tahu betapa cintanya aku dan Saiful kepadanya.

"Lagi satu, Mamapun sayang Aiman sangat-sangat. Aiman jangan lupa tau!"

Tiba-tiba aku terasa air ketuban pecah. Rasa sakit tidak tapi tiba-tiba air ketuban mengalir. Aku hilang arah. Aku cuba berjalan masuk ke rumah, berniat mahu menelefon ambulans. Namun, tiba-tiba kakiku tersadung pada pasu bunga. Aku terjatuh. Entah bila, aku semakin longlai. Mataku berpinar-pinar. Kelabu. Gelap. Hitam.

*****

"Aiman, sedekahkan al-fatihah pada arwah papa dan mama." Aiman mengangguk. Bagaikan mengerti kehilangan kedua orang tuanya. Sudah enam tahun hidupnya bersama Atuk dan Opah, menumpang kasih setelah Mama meninggal ketika melahirkannya. Papa juga pergi bersama-sama Mama, pada hari yang sama. Papa mengalami kemalangan jalan raya ketika mahu pergi ke tempat kerja. Begitulah cerita yang diberitahu oleh Atuk. Setiap minggu dia ke tanah perkuburan bersama-sama Atuk dan Opah. Tapi, Aiman tahu Mama dan Papa sangat sayang pada Aiman macam Atuk dan Opah.

Aiman menggaru-garu kegatalan. Sudah beberapa ekor nyamuk ditamparnya sehingga mati. Berbirat merah badannya dupulun nyamuk-nyamuk jahat itu.

"Atuk, nyamuk banyaklah. Jom kita balik." Atuk mengangguk lalu mereka bersama-sama beriringan ke kereta. Sayup-sayup ada air mata yang bergenang dipelupuk dua pasang mata tua. Aiman dipandang dengan sayu tapi penuh dengan kasih sayang. 'Berbahagialah anak-anakku. Aiman selamat bersama kami di sini.'

 

 

 

Cerpen sebelumnya:
M01S09 - Arukh Safuna (i) (re-production)
Cerpen selanjutnya:
Menjelma

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.7
13 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2334 bacaan
Kanibal Malaya | 2821 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4030 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9959 bacaan
Naskah | 2241 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3452 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2753 bacaan
Tuhan itu cinta | 2752 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2812 bacaan
no title | bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

25 Komen dalam karya Aiman
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik