Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

Menjelma

Cerpen sebelumnya:
Aiman
Cerpen selanjutnya:
Sambungan Suite 6019: Erk? Kantoi!

Bisikanmu menyeru diriku
Supaya dekat denganmu
Aku harus mencari sampai ketemu
Mungkin kau tidak jauh dari sisiku
Tuhan bantulah diriku
Agar kami mampu bersatu

Fariel terkejar-kejar menuruni tren komuter. Dia betul-betul menggelabah kerana memikirkan pelbagai kemungkinan termasuklah tertinggal bas untuk pulang ke kampung halaman setelah hampir seminggu meluangkan masa bersama rakan serumah di Shah Alam. Maklumlah tren komuter tu termengah mengalahkan siput. Nasib baik tak terkandas tengah-tengah jalan. Kalau kat stesen Subang Jaya suka sangat stuck!

Sempat lagi dia singgah ke Famous Amos untuk membeli biskut kegemaran sebagai bekal dalam perjalanan nanti. Sambil mengigit biskut berwarna kehitaman itu, dia lekas-lekas mengeluarkan wang untuk ditelan mesin tiket itu. Malas nak beratur panjang, leceh. Fariel terkebil-kebil menunggu tiket dan wang bakinya. Tapi tak semena-mena urusniaganya dibatalkan. Entah apa-apalah mesin ni! Kadang-kadang memudahkan, tapi selalunya menyusahkan juga!

“Hampeh punya mesin!” Agak kuat juga suaranya. Tanpa disedari, seorang jejaka yang berpenampilan kemas sedang memerhatikan reaksinya. Dia buat tak tahu, dan terus mengambil tempat di belakang jejaka tadi.
‘Mesti dia tak faham apa yang aku cakap, muka pun tak macam orang melayu,’ Fariel berkata untuk menyedapkan hati. Muka jejaka itu nampak pelik. Mesti tak tahu maksud ayatnya!

Mesin yang digunakan oleh jejaka itu berfungsi dengan baik. Lega hatinya! Tak payah nak pergi ke kaunter. Setelah mengambil tiketnya, jejaka tadi beredar. Fariel cepat-cepat ambil giliran lalu menyelesaikan urusannya. Beres! Sewaktu dia menunggu ketibaan LRT, kelibat jejaka itu sekali lagi mencuri pandangannya. Jejaka itu juga menyedari kehadirannya. Namun Fariel tak mahu perasan, dia sengaja berdiri agak jauh daripada tempat jejaka itu menunggu.

Fikirannya melayang seketika. Gambaran wajah jejaka itu memenuhi ruang mata. Sekilas pandang, jejaka ini memang tampan. Berwajah macam anak campuran mat saleh, tinggi sedikit daripada dia. Berkemeja oren, tampak secocok dipadankan dengan kulitnya yang putih melepak.

LRT semakin menghampiri. Fariel mengangkat kepalanya yang dari tadi tertunduk sahaja. Kelibat jejaka berkemeja oren itu juga semakin jelas pada pandangannya.
‘Apa motifnya dia nak masuk kat pintu gerabak yang sama dengan aku?’ hati gadisnya mula berbisik tak senang. Jejaka tadi tayang muka selamba. Saat pintu LRT terbuka, Fariel melangkah masuk tanpa mempedulikan jejaka itu.

Sewaktu menanar mencari tempat duduk lantaran bahunya sakit kerana menggalas beg yang berat bagaikan disumbat dengan batu bata, tanpa diduga jejaka itu melanggarnya. Terlepas plastik berisi bungkusan biskut Famous Amos.

Sorry,” hanya sepatah perkataan terucap di bibir jejaka itu. Dia menghulurkan semula plastik itu kepada Fariel. Wajah gadis ini jelas menunjukkan kepenatan.

“Takpe,” balasnya tanpa menyedari adakah jejaka itu faham akan maksud frasa tersebut.

“Nak balik kampung ke?” soalan yang terkeluar dari mulut jejaka itu benar-benar di luar jangkaan Fariel.

Dia hanya mengangguk-angguk. Seterusnya duduk di kerusi kosong dan membisu. Tetapi agak menghairankan apabila penumpang lain mula berbisik-bisik. Ada yang menjeling sinis. Macamlah dia dah buat kesalahan! Banyak lagi orang yang menggatal, tapi tak pula diambil kisah. Dia hanya terjatuh dan dibantu oleh seorang jejaka. Rasanya kelakuan mereka tidaklah keterlaluan.

“Stesen berikutnya, Masjid Jamek,” apabila telinganya mendengar pengumuman itu, bingkas Fariel bangun dan menggalas semula begnya.

Jejaka yang berdiri itu masih memerhatikan setiap tingkahnya. Sebaik Fariel bersedia untuk melangkah keluar dari LRT, jejaka itu melambaikan tangan. Gadis ini sempat membetulkan tudung dan membalas lambaian jejaka tadi. Dia hanya tersengih. Hari ini dah dapat seorang kawan baru. Mungkin di lain masa mereka akan bertemu lagi.

Setibanya di kampung…

Fariel menarik nafas lega. Perjalanan selama lima jam telah berakhir. Dia selamat tiba ke kampung halaman. Segera dia menelefon abang untuk menjemputnya di terminal bas. Hari ini mesti suasana di rumahnya riuh rendah. Mana taknya, kenduri doa selamat telah direncana khas untuk meraikan kejayaannya mendapatkan diploma dalam bidang multimedia. Abang-abang semua bercuti untuk membantu ma dan abah melakukan persiapan. Jiran-jiran mesti turut bergotong royong selain memeriahkan suasana.

“Hey, syoklah adik abang dah habis belajar. So lepas ni plan nak buat apa?” Abang Faris yang memandu Toyota Vios kelihatan bersahaja. Fariel di sebelahnya menggeliat malas.

“Adik nak sambung degree ambik mass com plak kot. Abang Faris rasa camne?” sengaja dia bertanya pendapat abang keduanya yang mengikuti kursus penerbangan sebagai persediaan untuk menjadi juruterbang.

“Bagus. Teruskan cita-cita adik. Abang Faris akan sokong selagi adik tak buat salah. Ingat, jangan langgar batas yang ma dengan abah dah tetapkan. Penat diorang sara kita,” nasihat abangnya diambil sebagai peringatan yang berguna. Terbayang di ruang mata wajah tua ma dan abah. Rindunya pada mereka!

Fariel pandang muka abang Faris. Ternampak-nampak raut wajah dua lagi abang kesayangannya. Wajah tiga saudara lelakinya ini memang seiras. Perbezaan usia pun tidaklah terlalu jauh.

Keluhan terlepas dari bibir nipisnya. Lepas ni, jaranglah dapat berkumpul adik beradik macam selalu. Abang Fahem cikgu, cuti masa budak sekolah cuti je. Abang Faris nak jadi pilot, asyik terbang je lah kerjanya. Abang Fariq tengah habiskan tahun akhir kat UITM Shah Alam. Bertungkus lumus nak jadi wartawan. Tinggal dia yang bongsu, baru habis diploma. Taklah teruk sangat ketinggalan. Cuma jadi satu-satunya anak perempuan, memang mencabar lebih-lebih lagi dikelilingi oleh hero yang semuanya lasak.

“Ma, abah dah sampai pun budak bertuah ni,” ucap Fahem dengan senyuman.

“Anak bongsu dah sampai. Budak paling manja,” usik abah sambil mencuit hidungnya. Fariel lantas tunduk dan menyalami kedua ibu bapa tersayang.

“Masuklah dik. Penat kan naik bas lama-lama?” tanya ma sambil memeluknya erat. Melepaskan rindu dengan anak tunggal perempuan setelah lama tak bertemu. Fariq yang sedang mengangkat kawah tersengih menyambut kepulangan adiknya. Kawan kelahi dah balik, bolehlah menjalankan misi pembulian.

“Bawak balik apa dari sana?” usik Fariq sambil membelek-belek beg adik bongsunya. Tanpa segan silu dia menempel di katil Fariel.

“Ni ha, biskut je. Makanlah,” Fariel mengunjukkan plastik Famous Amos kepada abang ketiganya itu. Tanpa banyak soal, Fariq terus menyumbat kepingan biskut ke dalam mulut.

“Sedapnya! Lama tak makan dik,” mengekek gelak Fariq. Fariel menggeleng kepala. Tak senonoh punya abang! Mulut penuh ada hati nak ketawa. Nasib baik tak merecik sebarang anasir tempias. Fuh!

“Eh? Kertas apa ni?” Pertanyaan Fariq membuatkan pergerakan tangan Fariel yang ligat menyimpan pakaian ke dalam almari terhenti sama sekali. Bila masa pula dia tertinggal kertas? Mungkin pekerja tadi memasukkan resit agaknya.

“Mana?” meliar mata gadis berambut lurus ini mencari-cari kertas yang disebut oleh abangnya tadi.

“Dalam plastik ni ha. Kecik tapi kosong. Nak kata resit bukan,” bertambah hairan bila dia mendengar butir bicara Fariq. Segera digeladah plastik kecil itu. Sekeping kertas putih berukuran kad nama biasa tertancap pada pandangannya. Dia memegang dan membelek kertas itu. Ada nama dan nombor telefon tertulis di situ. Takkan abang Fariq tak perasan kot?

Adam Yusuf
017-XXXXXXX

“Ada nombor fon ni. Tapi entah siapalah agaknya? Macam pelik je nama dia,” gumam Fariel. Fariq garu kepala. Biar betul adik aku ni? Takkan baru dapat diploma dah jadi mereng. Bukankah kertas itu kosong sahaja?

Syukur kepada Allah. Kenduri doa selamat telah berjaya diadakan dengan sempurna. Abang Fahem dan abang Faris telah pulang ke bandar. Masing-masing telah habis tempoh cuti. Tinggallah dia dengan kawan kelahi, abang Fariq yang masih bercuti semester.

Kebetulan yang pelik…

“Dik! Meh sini jap,” Adegan baling kusyen dengan Abang Fariq terpaksa dihentikan buat seketika. Ma memanggil, mesti nak suruh pergi kedai. Abang yang paling nakal antara tiga orang saudara lelakinya ini menjelirkan lidah. Fariel membulatkan mata. Terkocoh-kocoh dia menuju ke dapur.

“Ada apa ma?” Soalnya sebaik sahaja tercegat di depan ma. Tersenyum wanita ini melihat kerenah anak bongsunya.

“Gi kedai jap. Tolong beli rempah kari. Abah teringin nak makan kari ikan tenggiri,”

“Itu je ma? Tak nak benda lain?” si ibu hanya menggeleng.

Fariel gigit-gigit bibir. Dengar nama lauk itu sahaja pun cukup membuatkan kecur liurnya. Pantas dia bergegas ke bilik untuk menyarung tudung, menggantikan kain batik dengan seluar serta mengambil topi keledar dan kunci motor. Tentu ma takkan biar dia pergi sorang. Mesti budak paling nakal dalam rumah tu kena ikut sama. Percayalah!

“Weh! Bawak perlahan sikit lah. Kang masuk parit baru tahu,” rungut Fariel bila Fariq mula hendak memecut.

“Yelah mak nenek. Awak tu peluk pinggang abang Fariq. Kang tergolek ke belakang,” usik Fariq dalam gelaknya. Fariel tarik muka.

“Hai!” Sapaan itu bagaikan mengingatkan dia kepada seseorang. Suaranya macam pernah didengari. Pantas Fariel menoleh. Tumpuannya untuk memilih serbuk kari teralih seketika. Segera bibirnya mengukir senyuman.

“Aik? Awak orang sini ke?” Soal gadis ini ramah. Jejaka itu tersenyum mesra.

“Taklah. Saya bercuti. Mungkin minggu depan baru balik KL,” terang jejaka berkemaja oren itu lagi. Fariel terangguk-angguk.

“Dapat kertas dalam plastik Famous Amos hari tu tak? Ada nama dan nombor fon saya. Jangan lupa contact,” ucap jejaka bernama Adam Yusuf itu sambil tersenyum lebar. Namun wajahnya berubah kelat.

“Saya kena balik dulu. Ramai orang tengah tunggu ni,” ucapnya dalam nada tergesa-gesa.

Adam segera beredar apabila kelibat Fariq mendekati mereka. Tindakannya meninggalkan tanda tanya di benak gadis ini. Fariel mengeluh. Tak sempat dia hendak memperkenalkan kawan barunya kepada Fariq. Mungkin Adam mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.

Pada sebelah malamnya, setelah selesai menikmati pencuci mulut Fariel bergegas masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu. Dia begitu teringin hendak menelefon Adam. Tentu seronok berkongsi cerita dengan jejaka itu. Agak lama dia menunggu, namun panggilan tak juga bersambut. Dia hampa dan mematikan talian. Namun tidak lama kemudian, telefon bimbitnya bergetar. Adam menelefon! Dia tersenyum-senyum.

“Hello, tengah buat apa?” suara Adam kedengaran berbeza berbanding tengahari tadi. Agak serak, diselangi batuk-batuk kecil.

“Hello, tengah bercakap dengan awaklah. Dah makan?” usik Fariel. Adam tergelak.

“Saya tak lapar. Tak rasa nak makan. Sejuk kan malam ni? Saya rasa sunyi betul,” gaya perbualan jejaka itu membuatkan Fariel terkebil-kebil. Nak kata sejuk, tak pula. Kalau sunyi, mungkin Adam menginap di lokasi yang berjauhan daripada keluarga. Tentu jejaka ini bercuti seorang diri.

“Awak bercuti dengan pakej homestay ke? Datang dengan siapa?” rasa ingin tahu Fariel membuak-buak. Dia gagal menahan mulut dari terus bertanya.

“Bukan homestay, tapi sendirian berhad. Papa saya ada rumah kat sini. Tapi kali ni saya sengaja balik sorang. Nak tenangkan fikiran. Banyak sangat perkara yang tak diduga berlaku. Saya tertekan. Lepas ni entah apa yang akan jadi,”
keluh kesah jejaka itu menimbulkan simpati di hati Fariel. Adakah mulutnya terlalu lancang untuk bertanya? Padahal mereka baru sahaja berkenalan.

Adam memandang persekitaran sekeliling. Reranting pohon bertiup lembut dipuput bayu. Sejuk sungguh malam ini. Dia melangkah sambil mendengar omelan Fariel. Terhibur bila melayani bicara gadis tersebut. 

“Awak tak rapat dengan keluarga ke? Minta maaflah kalau soalan saya menyinggung awak. Tapi saya rasa awak macam tengah sedih,” Fariel memberanikan diri untuk bertanya lagi.

“Hubungan kekeluargaan kami sangat rapat. Mama papa terlalu mengasihi kami. Saya anak sulung dari enam beradik. Tapi kadang-kadang, saya rasa mama papa tak memahami saya. Apa yang mereka lakukan nampak bagus pada zahirnya tapi saya yang menderita. Macam sekarang,” lirih nada Adam.

Fariel ketap bibir. Entah mengapa, setiap patah kata yang terucap di bibir jejaka itu meruntun hatinya. Simpatikah dia? Tetapi mengapa perlu merasa demikian sedangkan masalah itu mungkin perkara biasa.

“Boleh saya tahu apa yang dah berlaku pada awak?” Fariel menebalkan muka. Dia ingin mengetahui masalah jejaka itu. Mana tahu, dia berupaya untuk menghulurkan bantuan.

“Belum tiba masanya Fariel. Satu hari nanti awak akan tahu jugak,” lembut suara Adam memujuk. Sebetulnya dia belum bersedia untuk menyampaikan perkara sebenar kepada Fariel. Dia memerlukan masa.

“Mana awak tahu nama saya?” pertanyaannya tidak berjawab.

Hujung talian tiada sebarang nada. Sepi. Serta merta bulu tengkuknya meremang. Siapa Adam sebenarnya? Adakah mereka pernah berkenalan sebelum ini? Selisih bahu pun belum rasanya. Kecuali pertemuan di KL Sentral membuka lembaran segalanya.

Sudah hampir dua minggu Adam mendiamkan diri. Puas Fariel cuba menghubunginya namun gagal. Dia dilanda kebosanan. Abang Fariq dah balik UITM semula. Dia ingin mencari teman berbual. Apatah lagi, Adam merupakan kawan barunya. Tentu banyak pandangan yang boleh dikongsi bersama.

Sewaktu dia sedang duduk di pangkin bawah pokok mempelam menghirup angin petang, deringan telefon bimbit hampir sahaja membuatkan jantungnya gugur. Tengah syok layan perasaan, tiba-tiba ada gangguan. Mahu tak terkejut?

“Helo, awak sihat?” Bicara Adam kedengaran tenang.

“Helo. Alhamdulillah. Awak? Lama mendiamkan diri?” Sengaja Fariel ingin mencungkil ke mana agaknya jejaka ini menghilang dalam tempoh dua minggu. Bertapa kot?

“Saya macam biasalah. Seadanya saja. Tak ke mana pun. Saya nak tenangkan diri. Melawat ahli keluarga. Tu yang lama tu,” luah jejaka itu. Ucap katanya bagai menyimpan sendu.

“Owh! Mesti seronok. Dapat luangkan masa dengan family. Bergurau dengan adik-adik,” Adam telan liur. Sesungguhnya hanya dia yang mengetahui kondisi sebenar dirinya.

“Ha ah. Saya rindu nak buli diorang. Nakal. Mesti diorang rasa aman bila saya takde. Okeylah, Fariel. Saya kena matikan talian. Ada orang panggil,” Fariel terkebil-kebil. Mengapa setiap kali berbual mesti jejaka ini menamatkan panggilan dalam keadaan tergesa-gesa? Runsing dia memikirkannya.

Sedang ralit menonton rancangan televisyen kegemarannya, Fariel menerima kiriman sms daripada Adam Yusuf.

‘Dah tido ke? Sori ganggu. Sy bosan. Esok jumpa leh? Kat air terjun seberang kampung?’

Bersemangat dia membalas sms itu. Siap dengan sengih lebar. Luas mengalahkan kerang busuk.

‘Blom. Tgk tv. Baiklah! Kul bpe? Nak mancing eyh?’
Tidak lama kemudian, balasan diterima olehnya.

‘Nope. Nak hayati keindhn alm. Hehehe… Kul 10. Daaaa…’

Fariel memandang ma dan abah yang masih terpaku menghadap tv. Dia menggeliat seketika sebelum masuk ke bilik. Malam ini bolehlah dia tidur dengan hati yang senang.

Percikan air yang sesekali memercik di wajahnya menimbulkan rasa nyaman. Sudah lama dia merindui suasana sebegini. Kali terakhir berkelah bersama keluarga adalah dua tahun lalu. Gelagat nakal abang-abangnya usahlah dikata lagi. Memeningkan betul! Tanpa sedar, dia tergelak sendiri.

Adam memerhatikan gelagat gadis di depannya. Dia mendapati wajah melayu tulen Fariel sungguh manis dipandang mata. Gaya yang selamba dan bersahaja membuatkan dia senang untuk berbual dengan si gadis.

“Awak tergelak ni apasal?” Usik Adam. Fariel terus-terusan gelak.

“Teringatkan abang-abang saya yang nakal. Saya mula rindu kat diorang,” jawab gadis itu jujur. Pada saat ini dia merasakan betapa bertuah dirinya dikurniakan tiga orang abang yang penyayang dan bersikap melindungi.

“Siapa yang tak sayang adik beradik. Saya teringin nak ajak adik-adik saya datang sini. Nak cakap kat diorang betapa saya sayangkan diorang. Entah bilalah agaknya peluang tu datang,” Fariel tersenyum bila mendengar bicara Adam.

“Mesti awak ni abang yang baik kan? Untung diorang. Saya pun untung sebab jadi kawan awak,” sesungguhnya Fariel jujur memuji kebaikan Adam.

Adam bangun. Dia meniti di atas batu untuk menghampiri rimbunan bunga yang cantik dan unik. Dicium bau harum tumbuhan tersebut. Fariel terpesona melihat gelagat Adam. Jarang ada lelaki yang pandai menghargai bunga.

“Awak suka bunga ke?” Secara automatik meluncur soalan itu di bibir Fariel. Adam mengenyitkan mata.

“Saya suka bunga. Sebab bagi saya, mama ibarat bunga yang memberi keharuman pada kami sekeluarga. Dan bunga menjadi penyeri alam. Saya menghargai kehadirannya,” tersentuh Fariel tatkala bicara tulus Adam membalas setiap pertanyaannya.

Dalam kepalanya dia masih memerah otak. Satu persatu soalan bergilir menanti untuk diluahkan. Namun ada sesuatu yang paling penting. Akhirnya dia dah ingat!

“Dari mana awak dapat tahu nama saya? Saya pernah beritahu ke?” Fariel cuba meneliti kalau-kalau terdapat sebarang kelainan pada tingkah laku Adam. Namun jangkaannya meleset. Jejaka ini kelihatan selamba.

“Saya main teka je. Betul ke tu nama awak?” Fariel menggeleng. Nampaknya jejaka ini cuba bermain helah. Tak boleh jadi!

“Cara awak tu dah lapuklah Adam. Cubalah jujur,” dalam kelembutan itu ada nada sinis. Adam pura-pura tak mengerti.

“Lain kali saya beritahu. Yang penting saya ikhlas nak kawan dengan awak,” berserta kata-kata itu Adam menghulurkan beberapa kuntum bunga yang berlainan jenis kepada Fariel. Tercengang gadis ini menyambutnya.

Semakin mengenali Adam, dia merasa semakin serasi untuk terus bersahabat dengan jejaka itu. Fariel tak mampu menafikan, kebaikan Adam membuatkan naluri wanitanya tertawan. Dia mengagumi perilaku Adam yang bersopan dan bersederhana dalam segala hal. Namun semua itu belum cukup untuk memadamkan kegusarannya. Sepanjang berkawan, Adam tak seperti orang lain. Apabila dipelawa minum, dia menolak. Untuk berkunjung ke rumah untuk berkenalan dengan orang tuanya juga Adam enggan. Adakah kawan barunya ini menyimpan rahsia di luar pengetahuan Fariel?
  

Dua bulan sebelum itu…

Seorang remaja berusia dua puluh satu tahun telah menjadi mangsa langgar lari. Akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, mangsa terlantar di Unit Rawatan Rapi. Dia telah dirempuh oleh sebuah kereta sewaktu hendak melintas jalan menuju ke tapak parkir kereta. Kecederaan pada kepala dan tulang belakang meletakkan dia dalam keadaan parah.

Walaupun darah beku dalam kepala telah berjaya dikeluarkan, harapannya untuk sembuh seperti sediakala terlalu tipis. Keupayaannya untuk berjalan semula hanya tinggal harapan setelah disahkan lumpuh. Ahli keluarga masih belum mahu berputus asa. Mereka mahu dia terus bernyawa dengan menggunakan bantuan mesin penyambung hayat. Tanpa menyedari bahawa keputusan dan kedegilan mereka membuatkan si mangsa menanggung sengsara.

Sementara itu, di sebuah rumah sewa empat orang gadis seronok berbual-bual. Bermacam topik menjadi pilihan. Pelbagai perkara dibualkan. Hingga menyentuh bab mistik pula.

“Korang pernah bayangkan tak kalau tiba-tiba nanti boleh jumpa roh? Maksud aku, kau tolong roh tu buat sesuatu,” tiga sahabatnya menjuihkan mulut. Tak masuk akal betul budak ni. Dahlah malam buta, boleh pulak cakap macam tu.

“Tak ingin aku. Cari nahas namanya tu. Merepeklah kau ni Fariel!” Tempelak salah seorang sahabatnya.

Gadis ini menongkat dagu. Dia masih melayan angan-angan yang mustahil untuk menjadi nyata itu. Keinginan untuk membantu roh membuatkan dia bagai berada dalam dunia sendiri. Rakan serumah yang lain dah masuk rumah. Tinggal dia seorang di luar. Sebenarnya, pada detik itu dia telah mengundang kehadiran tetamu yang tak dapat dilihat oleh mata kasar. Dan dirinya telah berada dalam pemerhatian. Tetamunya memerlukan pertolongan.


Siapa Adam Yusuf…

“Itulah kisahnya, Fariel. Dari situ saya dapat tahu nama awak. Jangan marah ye kalau saya cakap mula-mula saya ingatkan awak ni lelaki. Nama awak unik. Emm, mesti awak rasa semua ni tak masuk akal. Percayalah, saya tak tipu. Saya dapat meninggalkan badan saya bila dengar perbualan awak semua malam tu. Saya tak tahu macam mana saya boleh sampai ke rumah awak,” Fariel terduduk. Dia hampir pengsan mendengar pengakuan Adam. Takkan dia betul-betul kena tolong ‘kawan barunya’ ini?

“Tak hairan pun. Dah ramai orang nama saya macam lelaki. Mana taknya, sebelum kelahiran saya, ma dan abah menjangkakan kelahiran seorang anak lelaki. Doktor pun cakap macam tu. Tapi yang keluarnya, perempuan. Fariel tu memang dah niat ma dengan abah untuk letak nama anak bongsu. Disebabkan saya ni perempuan diorang cari satu lagi nama untuk dikombinasikan. Fariel Hazwani, barulah macam nama perempuan bunyinya. Owh! Patutlah awak pakai baju oren ni je, tak tukar-tukar. Seronok jugak erk? Maknanya saya taklah berangan je seumur hidup ni. Agak-agak kalau saya cuba pegang awak, tembus tak? Dan lagi satu, awak tolong jawab soalan ni dengan jujur. Ada nampak apa-apa yang tak sepatutnya awak nampak tak?”

Soal Fariel dengan penuh kemusykilan. Adam mengetap bibir. Pipinya bertukar kemerahan tiba-tiba. Roh pun pandai malu ke?

“Nice name. Ye Fariel. Apa yang awak angankan dah jadi kenyataan. Saya roh. Sebenarnya baju ni pakaian yang saya pakai masa kena langgar. Awak bernasib baik sebab saya tak menjelma dalam keadaan transparent. Saya tak berniat nak intai, tapi tertengok sikit,” jawab jejaka itu.

Suaranya tersekat-sekat. Payah untuk mengakui hakikat sebenar. Jarinya menunjukkan isyarat jari kelingking. Fariel membulatkan mata. Dah jadi roh pun pandai nak melawak lagi. Dia mengacu-acu jari telunjuk pada lengan Fariel. Namun keadaan yang dialaminya kini nyata berbeza. Tak seperti gambaran yang terdapat dalam filem seram. Berbeza apabila jarinya dapat merasa permukaan kulit jejaka ini. 

“Berdosa awak tahu tak? Bahaya betullah. Eh? Peliknya. Kenapa jari saya tak tembus bila cuba sentuh awak?” Fariel menggigit-gigit bibir. Adam hanya tersenyum.

“Mudah je. Sebab awak percayakan kewujudan roh macam saya, dan saya percaya bahawa ada seseorang yang boleh membantu saya menamatkan penderitaan,” dia terdiam mendengar kata-kata Adam. Rupanya konsep percaya memang memainkan peranan penting.

“Owh! Tapi yang paling penting, awak kena ingat. Walaupun awak roh, awak tetap seorang lelaki. Antara kita ada batasan. Lain kali jangan sesuka hati nak menjelma,” tegas suara Fariel.

Adam mendengar bebelan gadis di hadapannya ini dengan rela hati. Mujurlah di kawasan air terjun yang sunyi ini, mereka dapat berkomunikasi tanpa gangguan sesiapa. Maka Fariel takkan dicop sebagai orang gila. Tempat yang damai menjadi saksi terungkainya suatu misteri. 

“Sekarang awak percaya?” Mahu tak mahu terpaksalah Fariel mengangguk.

“Bagus, sebab kepercayaanlah punca pertemuan kita. Kalau awak hilang rasa percaya tu, saya takkan dapat minta bantuan awak lagi,” Mereka saling berpandangan.

Fariel mengangguk. Hatinya yakin bahawa dia akan berjaya membantu Adam menyelesaikan masalah. Jejaka ini tersenyum. Hanya pada gadis bernama Fariel dia sandarkan harapan agar segalanya berjalan dengan lancar. Dia mahu keluarga memahami dan mengikut kemahuannya untuk sekali ini sahaja.

Setelah berbincang dengan kedua ibu bapanya, mereka memberikan kebenaran untuk Fariel mencari kerja di Shah Alam. Dia ingin mencari ruang untuk membantu Adam. Keluarga jejaka ini perlu melepaskan dirinya dari terus terseksa. Dia akan membantu Adam sehingga saat akhir namun ada satu perjanjian yang telah dipersetujui oleh mereka berdua. Fariel dengan tegasnya meminta agar jejaka itu tidak memunculkan diri di rumah sewanya. Biar mereka bertemu di lokasi lain tanpa pengetahuan rakan-rakan serumahnya. Inilah langkah yang paling selamat.   

Seminggu kemudian…

Adam ketap bibir. Dia memerhatikan Fariel yang sedang menekan suis penggera pintu utama rumahnya. Fariel berdebar-debar. Dalam hatinya tak henti-henti beristighfar agar tiada sebarang perkara yang tak diingini berlaku.

“Awak cakap dekat mama saya, awak teman wanita saya masa menuntut kat UK dulu. Dia tak tahu yang saya pernah couple. Sebab saya tak pernah ceritakan pada family. Awak pura-pura tak tahu menahu fasal kemalangan tu dan saya yakin mama akan ceritakan semuanya pada awak,” bisik Adam.

Semalam dia telah menyenaraikan segala butiran penting berkaitan dirinya untuk meraih kepercayaan mama terhadap Fariel. Bolehlah gadis ini berlakon dengan membicarakan fakta penting berkaitan dengan dirinya andai mama meragui kemunculan Fariel.

“Ya, cik cari siapa?” Terjengul wajah pembantu rumah Adam, Kak Som. Fariel mengukir senyuman. Dia mahu rancangan mereka berdua berjaya.

“Saya nak jumpa dengan Adam Yusuf. Kalau tak silap saya, ini rumah dia kan?” Derapan tapak kaki di belakang Kak Som mula membuatkan jantung Fariel berdegup kencang. Adam merenung wajah ibu yang dirinduinya. Saban waktu dia melihat mama berbicara dengan jasadnya yang terbaring lesu.

“Adam Yusuf terlantar di hospital. Dah dua bulan dia berkeadaan begitu. Awak ni siapa? Adakah anak saya masih ada urusan yang tergendala? ” Ada ketegasan dalam suara wanita bernama Haifa itu. Anggun berambut panjang tanpa sebarang mekap. Wajahnya persis wanita Timur Tengah.

“Ini mama saya. Dia baik, awak jangan takut. Dia lemah lembut dan tak pernah berkasar dengan sesiapa pun. Teruskan lakonan awak. Buat macam awak tak pernah tahu tentang kemalangan tu,” jelas Adam apabila melihat muka Fariel mula pucat lesi.
Gadis ini hanya bertawakal. Tak pernah dia menyangka, betapa cantiknya ibu Adam. Patutlah anaknya pun tampan.

“Saya Fariel Hazwani, teman wanita Adam masa di UK dulu. Saya ingin menziarahinya. Itu pun jika mak cik izinkan,” penuh kesopanan Fariel menjawab. Dia tunduk menyalami wanita itu. Sesuatu di luar jangkaan berlaku apabila wanita ini mendakapnya erat.

“Terima kasih kerana mengambil berat perihal Adam. Mak cik sangkakan selama ini dia tak pernah bercinta. Mari nak, mak cik bawa kamu berjumpa dengannya,” Adam terkesima. Begitu juga dengan Fariel. Dia mengelus belakang badan Puan Haifa. 
 
Sesampainya di wad yang menempatkan Adam, Fariel gagal menahan perasaan. Laju air matanya membasahi pipi. Ini bukan lagi sandiwara. Hatinya dipagut pilu. Apatah lagi bila memandang Adam yang berdiri di sisi mereka, manakala hakikat sebenarnya adalah tubuh jejaka ini berselirat dengan tiub dan bergantung terhadap mesin bantuan hayat. Sukar dipercayai, bahawa dia insan yang terpilih untuk membantu Adam menyampaikan suara hati kepada keluarga tercinta. Simpati melimpah ruah tatkala terpandangkan sekujur tubuh yang lesu di pembaringan.

“Beginilah keadaan saya sejak dua bulan lalu. Mereka tak sedar yang mereka harus relakan saya pergi. Saya tak daya lagi, Fariel. Badan saya dah terlalu lemah. Harapan mereka tak mungkin jadi kenyataan. Saya dah lumpuh separuh badan. Darah beku yang berjaya dikeluarkan terlalu sikit risikonya kalau hendak dibandingkan dengan penderitaan yang terpaksa saya hadapi Fariel. Sakit. Saya hanya mampu berdoa agar nyawa saya segera dicabut. Saya tak nak beri harapan pada mereka. Saya merayu pada awak, tolong yakinkan mama saya yang anaknya perlu tinggalkan dia. Masa saya dah hampir,” berlinangan air mata Adam. Terasa sejuk apabila titisan jernih itu mengenai jemari Fariel. Dikumpul kekuatan untuk menyuarakan pandangan peribadinya terhadap ibu Adam.

“Awak tolong saya ya? Saya nak keluar sekejap. Ada urusan yang lagi penting buat masa ni. Malam nanti kita jumpa,” Fariel terhinggut-hinggut menatap Puan Haifa.

Wanita itu masih setia mengusap kepala anaknya. Tiada lagi rambut lebat Adam Yusuf lantaran kecederaan yang dihadapi memerlukan dia dibedah di kepala untuk mengeluarkan darah beku dalam otak. Makanya rambut milik jejaka ini perlu dicukur.

“Mak cik, saya rasa Adam lebih terseksa jika kita terus biarkan dia begini. Mungkin, apa yang dia mahukan tak sama macam apa yang keluarga mak cik inginkan. Mesin bantuan hayat ni membuatkan Adam lebih sakit. Kita perlu bantu Adam, mak cik. Kita kena sedekahkan ayat-ayat suci kepadanya. Biar dia tenteram dan merasa selamat. Selebihnya kita serahkan kepada Allah,” Puan Haifa terpempan mendengar bicara gadis ini.

“Tidak, Fariel. Adam akan bangun juga suatu hari nanti. Mak cik yakin. Dia anak yang baik. Mesti dia takkan menghampakan ibu bapanya. Dia mesti dengar kata-kata mak cik. Mak cik tak nak dia pergi,” Fariel terkesima.

Begitu sekali reaksi Puan Haifa. Tiada tengkingan, namun bicara wanita ini jelas menunjukkan bahawa dirinya takkan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat.

“Mak cik pernah bayangkan tak, kalau Adam sendiri yang meminta untuk dilepaskan?”

Puan Haifa menggelengkan kepalanya. Dia menutup kedua-dua belah telinga. Fariel merenung Adam yang memerhati kelakuan mamanya di tabir pintu. Hatinya tersentuh. Apakah mama tidak kasihankan dirinya? Dia mengerti, kasih sayang seorang ibu begitu menebal dalam diri mama. Andainya mama mengerti, jika merelakan pemergiannya sudah cukup untuk membuktikan kasih sayang wanita itu?

“Adam anak mak cik. Kamu tak punya hak untuk nasihatkan mak cik. Mak cik lagi tua berbanding kamu. Hal ni, biar keluarga kami yang tentukan,” Fariel ketap bibir.

“Memang Adam anak mak cik. Tapi mak cik jangan lupa, Allah lebih berkuasa atas segalanya. Kalau dia inginkan sesuatu, maka sesuatu itulah yang akan terjadi,” Fariel terhinggut menahan tangis.

Buat masa ini, dia masih belum mampu untuk berhadapan dengan ibu Adam. Dia harus keluar dari wad tersebut sebelum keadaan semakin meruncing. Dia tak sanggup menghampakan Adam.

Fariel melangkah longlai dari wad itu. Adam mengekorinya dari belakang. Titisan manik jernih yang membasahi pipi Fariel membuatkan hati lelakinya bertambah hiba. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ada cinta yang bertunas buat gadis ini. Dia ingin bebas dari penderitaan, namun kini hatinya kuat mengatakan cinta buat Fariel.
“Awak jangan sedih. Lama kelamaan, mesti mama terfikir baik buruk tentang keputusannya. Saya yakin, sebab dia seorang wanita yang lembut hati,”
bisikan Adam sedikit sebanyak mengubat duka di hati Fariel. Dia gelisah. Dia mahu membantu Adam bebas dari derita ini, namun jika waktu yang disebut mereka telah tiba mampukah dia melalui segalanya dengan tabah?

“Saya akan berusaha, Adam,” balas Fariel dalam sendu.

Serak suaranya. Dan dia mohon untuk mereka berpisah di situ. Buat sementara waktu biar dia bersendirian menenangkan hati. Adam faham. Dia sendiri juga perlu mencari inisiatif. Mungkin kehadirannya mampu dirasai oleh naluri keibuan mama. Dia harus mencuba.

Album yang memuatkan gambar enam orang permata hatinya ditatap penuh kasih. Langsung berkaca pandangannya bila tertancap pada wajah keletah Adam yang sedang menggigit coklat. Anak sulungnya ini memang menjadi kebanggaan keluarga. Bijak dan berdisiplin, itulah Adam Yusuf. Kini anak yang dikasihi menjadi penghuni setia hospital. Masa depannya tidak menentu. Entahkan sedar entahkan tidak, bagaimanalah untung nasib Adam andai dia ditakdirkan pergi kelak? Siapa yang akan menjaga Adam?

“Mama… Adam ada kat sini. Adam sayangkan mama. Adam tak pernah kecewakan mama. Tolonglah Adam. Untuk kali ni je, Adam minta mama lepaskanlah Adam. Adam dah tak larat. Tiada harapan yang tinggal untuk Adam lagi, mama,” Puan Haifa terasa bagaikan anak sulungnya memanggil-manggil namanya.

“Adam? Adam anak mama? Mama sayangkan Adam. Tolonglah mama, sayang. Mama tak nak sakiti Adam. Mama cuma mahukan yang terbaik untuk anak mama,”

Adam menahan air mata dari terus membasahi pipinya. Ingin sekali dikucup wajah ibu yang teramat dikasihi. Namun hasrat itu tak mungkin jadi kenyataan. Dia hanya mampu meletakkan jari telunjuk ke bibir si ibu. Isyarat agar wanita ini tidak berkata walau sepatah pun. Puan Haifa bingkas bangun dan mengambil wuduk. Malam ini dia harus mendekatkan diri kepada Allah, memohon petunjuk. Adakah wajar dibiarkan anaknya terus-terusan terlantar begitu?

Panggilan telefon yang diterima daripada Puan Haifa meringankan kepala Fariel yang terasa berat. Nada suara ibu Adam menunjukkan emosi wanita itu berada dalam keadaan stabil.

“Mak cik minta maaf fasal kelmarin. Mak cik terlalu emosional. Harap Fariel tak ambil hati,” Adam merebahkan punggung di sisi Fariel. Gadis ini memandangnya sayu.

“Mak cik rasa, dah tiba masa untuk kita lepaskan Adam. Mak cik dah buat solat isthikarah selama tiga malam berturut turut. Alhamdulillah, Allah telah tunjukkan mana yang benar,” bicara wanita itu sepatutnya disambut dengan kelegaan.
Namun Fariel gagal menahan air matanya. Dia menundukkan wajah. Tidak mahu pandangan mata mereka bersatu. Adam ketap bibir. Dia sedih melihat reaksi Fariel.

“Kalau begitu keputusan mak cik, baiklah. Pastikan tiada kekesalan lepas ni,” kata-kata akhir Fariel membuatkan air mata Adam jatuh. Dadanya terasa berat.

“Mak cik takkan kesal. Kalau cara ini boleh menghilangkan derita Adam. Mak cik sanggup,” ada getar dalam suaranya. Puan Haifa tahu apa yang sedang dilakukan olehnya.

Doktor juga pernah menyatakan bahawa terlalu tipis peluang yang tinggal untuk Adam membuka mata. Adakah dia sekeluarga mahu melihat Adam berkeadaan begini buat seumur hidupnya? Benar kata gadis ini, mereka belum pernah terfikir apa yang sedang ditanggung oleh anak sulungnya. Dia alpa untuk menyedahkan doa. Dia lalai…ibu jenis apakah dirinya? Ditatap wajah Fariel. Sekali lagi, gadis ini mencambahkan naluri keibuannya. Nyata Fariel tak gentar untuk mengingatkan dirinya mengenai erti tanggungjawab.

Setelah bersiap-siap, seluruh ahli keluarga Adam bersedia untuk pergi ke hospital. Di dalam kereta, Fariel hanya mendiamkan diri. Adam masih tak berganjak. Masih setia menemani insan yang terlalu dicintainya.

“Maafkan mama, sayang. Mama lupa. Mama pentingkan diri. Sebab mama tak mahu kehilangan Adam,” manik-manik jernih galak menuruni tubir mata Fariel. Dia memeluk Puan Haifa. Hanya bicara kemaafan itu yang mampu wanita ini ucapkan kepada anak yang terlantar lesu. Kalaulah dia dapat melihat Adam yang berada di situ.

“Mak cik, kita kena percaya pada qada dan qadar. Kalau dah tiba masa untuk Adam pergi, kita kena terima segala ketentuanNya,” ucap Fariel bersama esakan. Hatinya pilu melihat jasad Adam yang terbaring tiada bermaya itu.

Pemergian seorang insan… 
 
Bacaan surah Yasin dan alunan ayat-ayat suci bergema di Unit Rawatan Rapi yang menempatkan Adam Yusuf. Jejaka ini berteleku di sisi jasadnya. Dia memandang Fariel. Sembap mata gadis itu. Dia tahu, Fariel sedih untuk menghadapi perpisahan selepas ini. Detik perpisahan selamanya yang tak mungkin bisa terlewat sesaat pun. Mereka takkan berpeluang untuk bersama lagi. Ingin disekanya air mata yang jatuh di pipi gadis ini. Masih terngiang di telinganya perbualan mereka dua hari lepas.

“Saya bersyukur sebab awak sudi membantu saya. Sebab awak, mama dan ahli keluarga yang lain setuju untuk melepaskan saya. Hanya Allah yang dapat membalas budi awak, Fariel. Sayang sebab kita terlambat untuk kenal antara satu sama lain. Kalau saya mengenali awak dengan lebih awal, mesti awak jadi teman wanita saya. Saya tak sanggup biarkan wanita sebaik awak jatuh ke tangan orang lain, tapi apakan daya. Dah begini takdir kita. Cuma ada satu cara yang membolehkan saya terus ada dengan awak,” mata gadis ini yang tadinya kuyu membulat tiba-tiba.

“Macam mana Adam?” Jejaka ini tersenyum.

“Jantung saya. Hanya ini peninggalan terakhir saya untuk pengorbanan awak Fariel,” lalu pertemuan mereka pada malam tersebut menjadi penutup kepada pertemuan seterusnya. Sehingga ke waktu ini, Fariel tidak lagi dapat melihat Adam Yusuf. Jejaka ini telah kembali ke dalam jasadnya untuk menemui Pencipta Yang Esa.

Bunyi mesin bantuan hayat mula berubah rentak. Fariel terketar-ketar, namun digagahkan juga untuk membaca surah Yassin. Dia mula tercari-cari kelibat Adam, namun matanya hanya mampu melihat sekujur jasad yang lesu. Dalam sendu, gadis ini meneruskan bacaan. Lama kelamaan, bunyi mesin itu semakin mendatar. Makin perlahan dan….
Fariel terhinggut-hinggut di situ. Air matanya usah dikata lagi. Mengalir laju membasahi tubir mata yang sembap. Dia tak berdaya untuk bersuara. Kali ini, Adam benar-benar pergi meninggalkan dirinya. Fariel hampir pitam melihat jasad yang kaku di atas katil. Puan Haifa meraihnya ke dalam pelukan. Mereka berpelukan dan menenangkan antara satu sama lain.

“Adam,” ucapnya dalam gigil.

Sekembalinya dari tanah perkuburan, Fariel perlu menyampaikan amanat terakhir arwah Adam. Dia mengeluarkan sekeping kertas yang bercoret tulisan jejaka itu. Pesanan buat ahli keluarga yang sentiasa dirindui oleh jejaka itu.
 
“Mak cik, pak cik, sebenarnya saya kawan Adam. Bukan teman wanita arwah. Selama ni, dia ada dengan kita. Dia tak pernah lupa melihat mak cik, menjenguk pak cik dan memerhatikan adik-adiknya. Sehinggalah hari dia pergi,” kata-kata Fariel terhenti di situ. Dia menghela nafas dalam-dalam. Puan Haifa dan Encik Ismail mendengar butir bicara Fariel. Adik-adik Adam menanti kata-kata yang bakal terucap di bibir Fariel.

“Kamu jangan nak buat cerita,” sanggah Encik Ismail tak percaya. Kertas yang dari tadi berada dalam pegangannya diunjukkan kepada mereka.

“Ini tulisan Along,” celah Azim, adik kedua Adam. Dia sememangnya rapat dengan abang sulungnya itu.

“Sebenarnya Adam berterima kasih kepada kita kerana menunaikan hasratnya yang terakhir. Melepaskan dia daripada terus menanggung sengsara,” Puan Haifa menyeka air matanya.

Sebetulnya payah untuk dia mempercayai kata-kata Fariel. Namun kehadiran Adam dalam mimpinya setelah melakukan solat isthikarah membuatkan dia mengakui kebenaran kata-kata Fariel. Dalam mimpi itu, anak sulungnya merayu agar dia dilepaskan. Sesungguhnya tiada apa yang mustahil dalam dunia sekiranya Allah menginginkan perkara tersebut berlaku.

“Pesanan untuk mama dan papa. Mama, along tahu selama ni along banyak susahkan mama dan papa. Along nampak, mama tengok gambar along masa kecik. Lepas tu mama menangis. Papa, along tahu papa tak pernah lupa untuk belikan sushi kegemaran along setiap kali lepas balik kerja. Along nampak semua tu. Along minta maaf, sebab terpaksa tinggalkan keluarga kita. Tapi along dah tak daya lagi. Sebab tu along minta bantuan Fariel. Along hargai bantuan dia,” Encik Ismail menenangkan isterinya. Adik-adik Fariel yang semuanya lelaki menunduk sayu.

“Untuk angah, aku tahu kau suka laptop aku kan? Bila aku masuk bilik hari tu, aku tengok kau pegang laptop kesayangan aku. Tapi kau tak tergamak nak sentuh, sebab kau kata aku lagi bermakna dari laptop ni. Sekarang, aku nak kau jaga laptop tu sebagaimana aku jaga kau. Acik, jangan lupa gosok gigi sebelum minum susu. Nanti takde orang nak kongsi makanan dengan kau. Tapi aku tahu, kau dah rajin gosok gisi sekarang. Ateh, kalau main PS2 jangan nak mengelat. Kesian kat alang. Aku nampak kau main tipu masa alang pergi tandas. Alang, belajar rajin-rajin ye. Lepas ni nak UPSR. Along ada janji nak beli remote car. Nanti kalau dapat 5A, kau buka laci along. Ada kotak kat dalam tu. Adik, along sayang adik. Jangan nakal sangat. Jangan jadi mangsa buli tiga lagi abang kau. Along tak dapat nak tolong adik,” adik-adik Adam yang berusia di antara 19 hingga lima tahun itu membaca pesanan yang dikirimkan oleh abang mereka. Tulisan Adam tak pernah berubah. Bersambung dan tampak klasik. Mustahil sangat jika Fariel meniru tulisan abang mereka.

“Kak, terima kasih,” ucap mereka beramai-ramai. Sekali lagi Puan Haifa mendakap Fariel. Terlalu berjasa gadis ini terhadap keluarga mereka. Tidak termampu untuk dia  membalas segalanya.

“Saya minta diri dulu mak cik, pak cik,” ucap Fariel sambil tunduk menyalami ibu dan bapa Adam. Dia melangkah keluar dari banglo itu. Tiada lagi hubungan antara dia dan keluarga arwah Adam, segalanya telah berakhir bersama pemergian jejaka itu. Amanat arwah Adam telah dilunaskan dengan sempurna. 

Tiga bulan kemudian…

Fariel memandang sepi telefon bimbitnya. Dia menahan empangan air mata dari terus pecah. Dia harus menerima kenyataan bahawa Adam Yusuf telah pergi buat selamanya. Sedang asyik melayan perasaan, telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej telah diterima.

‘Trma kasih skli lg sbb awk sanggup tlg saya di saat semua orang tak menyedari kehadiran saya. Dan sy mmg tak salah org bila awk sanggup membantu saya. Kalaulah kita kenal lebih awal, saya akan jadikan awak teman istimewa. Ini ucapan selamat tinggal buat kali terakhir, jangn lupa doakan kesejahteraan saya. With love, Adam Yusuf.’

Membulat mata Fariel. Hatinya terlalu teruja. Mungkin dia masih berpeluang untuk mendengar suara Adam. Pantas dia mendail nombor asing itu.

“Adam! Awak tak payah cakap terima kasih. Saya lakukan segalanya sebagai kawan. Saya pun sayangkan awk. Mungkin cinta,” penuh emosi dia meluahkan perasaan.

“Ha? Eh awk mesti salah orang ni. Saya bukan Adam. Dan saya tak pernah ucapkan terima kasih pada awak,” ujar jejaka itu cuba membetulkan keadaan. Dia pelik dengan pengakuan gadis ini. Berani sungguh!

“Bukan Adam? Emm saya dah salah orang. Maafkan saya,” balas Fariel kecewa. Salahnya juga kerana terlalu berharap. Bukankah dia perlu menerima kenyataan bahawa Adam Yusuf telah meninggal dunia? Lantas dia mematikan talian.

Jejaka ini memandang telefon bimbitnya tanpa perasaan. Siapa Adam? Dia harus menyelidik siapakah tuan empunya nama itu. Adakah mempunyai sebarang hubungan dengannya? Lagipun, dia sangat ingin tahu siapakah penderma berhati mulia yang membolehkan dirinya terus hidup menggunakan jantung baru?

Adam Yusuf dan Huzir Fazril….

Setelah merayu kepada doktor yang bertanggungjawab merawatnya, Huzir mengetahui perkara yang sepatutnya tidak patut didedahkan kepada pesakit. Mujurlah doktor itu bersimpati ke atasnya. Barulah dia bertuah untuk mengenali siapa gerangan pemilik jantung yang berdegup dalam tubuhnya. Segera dia mendail nombor yang pernah menceroboh skrin telefon bimbitnya tidak lama dahulu.

“Hello, cik. Boleh kita jumpa?” suara jejaka ini kedengaran tegang. Fariel kian rawan.

“Jumpa? Kenapa?” Soalnya teragak-agak.

“Jantung saya berdebar semacam bila kali pertama dengar suara awak,” Fariel terpana. Jantung?

“Jantung saya. Hanya ini peninggalan terakhir saya untuk pengorbanan awak Fariel,” Kata-kata Adam kembali mengacah deria dengarnya.

“Baiklah, kat mana?” Fariel mengangguk. Dia mahu bersedia untuk menghadapi pertemuan ini. 

Jururawat menolak kerusi roda yang diduduki oleh seorang jejaka penuh berhati-hati. Pesakit tersebut menderita penyakit jantung berlubang sejak dua tahun lalu. Dan kini, keajaiban muncul bila seorang pemuda sudi mendermakan organ terpenting itu kepada dia yang sedang menderita.

“Assalamualaikum,”

Memerah mata Fariel. Jejaka itu mengamati wajahnya.

“Waalaikumussalam. Adam?” sebut Fariel. Perlahan namun cukup jelas didengari oleh pemuda berkerusi roda ini.  

Jururawat menjauh, meninggalkan mereka berdua di bawah pohon rendang. Di sinilah jejaka yang menderita sakit jantung berlubang menghabiskan masa terluangnya sebelum terlantar koma menanti penderma yang sesuai. Mereka berpandangan sehinggalah Fariel merasakan Adam yang berkerusi roda di depannya. Bunyi LRT terngiang-ngiang di telinga Fariel.  

“Saya tetap hidup dalam diri dia, walaupun saya dah tinggalkan semua yang saya sayangi,” Suara itu suara Adam! Air mata mula mengacah kolam mata Fariel. Dia sebak mengenangkan Adam Yusuf. Sedangkan dia tahu, dunia mereka telah dibatasi alam yang berbeza. Mana mungkin jejaka itu mampu berbicara lagi.

“Saya Huzir Fazril. Mungkin pemilik jantung ni yang sentiasa mencintai awak sehingga terbawa-bawa dalam diri saya. Baru saya faham kenapa jantung ni berdegup pantas bila mendengar suara awak tempoh hari. Adam yang awak maksudkan adalah Adam Yusuf bin Ismail bukan? Insan mulia yang sanggup menderma jantungnya untuk membantu saya terus bernafas,” Fariel kelu.

Dia terdaya mengangguk. Mengakui kata-kata Huzir. Gadis ini sedar, raut wajah mereka berbeza sama sekali. Penjelasan jejaka itu mengembalikan dirinya ke alam nyata. Lupakah dia bahawa Adam salah seorang daripada insan berhati mulia yang tidak kisah untuk mendermakan organ setelah pemergiannya demi membantu penderita sakit kronik meneruskan kelangsungan hidup?

“Saya Fariel Hazwani,” dia cuba untuk mengukir senyum. Wajah pucat di depannya turut tersenyum.

“Fariel, walaupun tuan punya jantung ni dah tiada lagi, tapi jantung ni menjadi bukti bahawa dia takkan lupakan awak. Tidak untuk sesaat sekalipun. Saya hidup atas denyut nadinya yang tak pernah lekang untuk awak. Mungkin orang lain akan kata kita gila, tapi takdir menentukan antara kita bertiga mempunyai perkaitan. Tapi Adam Yusuf, pemilik jantung ni dah pergi buat selama-lamanya. Tentu awak mengenali dia lebih daripada saya kan Fariel? Tentunya saya tak setanding dia. Tapi saya yakin dia mahukan jantungnya berbakti pada orang yang sepatutnya. Bolehkah awak membantu saya untuk mengenali Adam Yusuf?” permintaan Huzir sungguh di luar kotak pemikirannya.

Fariel memberikan persetujuan. Air mata kembali lebat. Dia memandang Huzir, wajah itu tampak pucat. Lemah lantaran baru menjalani pemindahan jantung. Namun Fariel pasti, dalam diri jejaka ini tentunya punya keazaman yang kuat untuk meneruskan hidup. Sesungguhnya Huzir Fazril menunjukkan perkembangan positif terhadap jantung barunya itu. Fariel bersyukur, mudah-mudahan tubuh Huzir tiada sebarang penolakan terhadap jantung Adam. Walaupun Adam telah meninggalkan dirinya, tetapi jantung jejaka itu masih berdegup untuk menemaninya. Fariel Hazwani menyeka air mata dari terus mengalir. Dia harus membuka episod baru dalam hidupnya. Semoga Adam tenang bertemu dengan Pencipta Yang Esa.   

                      

nota kaki: Sesungguhnya kewujudan roh adalah pasti namun terlalu rumit untuk diperjelaskan. Segala komunikasi yang berlaku antara manusia dan yang ghaib tentunya dengan izin Allah. Nukilan ini terhasil berdasarkan imaginasi saya semata-mata. Hanya untuk bacaan bersama. Sekian, terima kasih...

Cerpen sebelumnya:
Aiman
Cerpen selanjutnya:
Sambungan Suite 6019: Erk? Kantoi!

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.8
6 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2474 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6276 bacaan
Berikan Hatimu | 4063 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3593 bacaan
Tiada Sesalku | 2938 bacaan
Laksana Bulan | 2961 bacaan
Seribu Impian | 3960 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3392 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3789 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3474 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

21 Komen dalam karya Menjelma
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik