Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

kasih kirana

Cerpen sebelumnya:
Lewat Musim Itu-Episod Akhir
Cerpen selanjutnya:
Kisah Hidupku - Part 1

Kirana, seorang gadis periang yang amat disenangi oleh semua rakan-rakan. Sunyi seharian jika Kirana tidak hadir ke pejabat atas sebab urusan kerja luar. Sememenangnya Kirana bagai seorang penghibur pada semua yang mengenalinya.

Seperti gadis lain, Kirana punya seorang kekasih yang amat menyayanginya.Hampir 6 tahun mereka bercinta, Khairil sedar, dia masih belum lagi mampu untuk menyunting gadis pilihan hatinya ini untuk dijadikan permaisuri hidup. Namun, Kirana tidak pernah mendesak meskipun umur mereka makin meningkat dan ramai di antara rakan-rakan mereka telah punya anak.

“Itulah kau….aku minat dengan kau dulu, kau tergilakan si Khairil jugak. Kalau kita kahwin, dah senang hidup kau…Kalau bandingkan antara aku dengan Khairil, dia ada apa? Aku ada Master, aku kakitangan kerajaan yang berpangkat…pencen ada…rupa lebih kacak lagi dari si Khairil tu…” ejek Ridzuan sewaktu Kirana mengucapkan tahniah sempena pernikahannya.
“Apa la kau ni! Kan Khairil tu kawan baik kau, sejak sekolah lagi…Kau juga yang perkenalkan kami berdua…takkan nak ungkit….pada hari nikah kau pulak tu. Lagipun, kau jugak yang selalu nasihat pada kawan-kawan, setia pada yang satu, kasih pada yang mengasihi kita….Cakap tak serupa bikin! Tahniah atas pernikahan kau!” Kirana merentap tangannya dari genggaman Ridzuan.

Kirana memang tidak selangsing model iklan jika dibandingkan, tidak secantik artis jika di solekkan. Namun, Kirana menjadi gilaan ramai kawan-kawan lelaki Khairil. Itu memang diakui Khairil. Sehingga ada yang berani menyatakannya pada Khairil sendiri. “Kau ingat Kirana tu anak patung ke? Suka hati nak mintak dari aku… Kau tanya lah mak bapak dia dan tuan punya badan sendiri!” bentak Khairil. Jauh di sudut hatinya, Khairil tahu Kirana seorang kekasih yang setia. Setia ketika susah dan senang bersamanya. Biarpun wataknya yang mudah didampingi, Kirana tetap pandai menjaga maruah diri dan perhubungan mereka.


“Berapa lama sayang kena pergi ke sana?” soal Kirana.
“Dua tahun, sayang. Sabarlah.... Khai pergi untuk kebaikan kita juga. Bukannya lama. Balik nanti, kita boleh kahwin. Khai tak nak mensia-siakan sayang...” jelas Khairil sambil mengusap lembut kepala Kirana. Hanya pada Khairil tempat Kirana bermanja. Manja seperti seorang adik pada abangnya, meskipun Kirana lebih tua tiga tahun dari Khairil.

“Dua tahun tu....lama sangat....nanti Ana ada kekasih baru...sayang tak takut?” ugut Kirana.
“Tidak. Khai tahu Ana tidak akan berubah hati pada orang lain sebab Khai tahu yang Ana sayangkan Khai” balas Khairil dengan penuh yakin.

Petang itu, amat berat hati Khairil untuk meninggalkan Kirana demi masa depan mereka berdua. Sayu rasa hati pabila memandang wajah Kirana yang sedang sibuk memeriksa dokumen perjalanan Khairil sebelum berlepas. Buat pertama kalinya, Khairil memegang wajah yang akan dirinduinya. Direnungnya sepasang mata yang redup itu. “Khai sayangkan Ana seorang, tau?” ungkap Khairil. Tergamam Kirana. Sambil memegang dokumen, Kirana meletakkan kedua belah tangannya pada dada Khairil. “Ana pun sayangkan Khai. Jangan lupa itu” balasnya sambil tersenyum dan dengan perlahan menolak tubuh Khairil yang semakin rapat dengan tubuhnya.

Hampir setahun Kirana dan Khairil tidak berjumpa. Hanya panggilan dan sms yang menjadi pengganti diri. Kirana mula memenuhi masa lapangnya dengan menjadi sukarelawan di wad kanak-kanak, sebuah hospital pakar yang tidak jauh dari rumahnya. Kirana memang minat dan mahir dengan aktiviti seni dan kraftangan. Memandangkan tiada galakan dari keluarga, impiannya untuk menjadi seorang aktivis seni, terbantut. Tetapi, di wad kanak-kanak inilah Kirana dapat merealisasikan impiannya walaupun hanya pada peminat cilik. Disinilah Kirana membuat kraftangan, bercerita dan menyanyi bersama kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama. Baginya, tawa riang kanak-kanak dapat mengisi ruang rindunya pada Khairil. Dengan rasa puas kerana dapat menghibur setiap kanak-kanak di wad itu, Kirana bersyukur kerana dia dibesarkan dengan didikan ibu bapanya yang sentiasa mendahulukan orang yang kurang upaya dari diri sendiri.

Pagi itu, seperti biasa Kirana akan bergegas ke hospital untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai sukarelawan sebelum ke pejabat. Tiba-tiba, dadanya menjadi berdebar apabila mendapati Danial, tiada di katilnya.
“Danial ada di unit terapi. Kejap lagi selesai lah tu.” kejut Doktor Amirul, Pakar Saraf di wad kanak-kanak itu.
“Kenapa dengan Danial? Bukan dia hanya sakit dalam perut sahaja ke?” soal Kirana.
“Kami tak mampu nak beritahu pada Kirana semua penyakit yang pesakit kami alami di sini. Ada beratus orang pesakit disini...dan apa yang Kirana boleh buat kalau kami beritahu?” balas Doktor Amirul.
“Sekurang-kurangnya saya tak terkejut sebab Danial yang paling rapat dengan saya dan ibu dia tak punya peluang untuk menjaganya kerana mencari rezeki. Sudah nasibnya tiada ayah...” Kirana menyambung sambil tunduk, menahan sebak. Danial, seorang anak yatim yang sentiasa merajuk setiap kali Kirana terpaksa mengundur diri untuk ke pejabat. Sebenarnya, penyakit Danial hanya dapat diselamatkan dengan ikhsan penderma organ hati. Perkara ini tidak diketahui oleh Kirana. Padanya, Danial adalah diantara pesakit yang paling petah becakap. Bercita-cita untuk menjadi seorang Doktor, Danial tidak pernah melepaskan peluang untuk membaca kesemua buku-buku yang dibawa Kirana. Semangat Danial yang menjadikan Kirana sanggup berkorban masa kerja dan wang ringgit demi untuk kanak-kanak yang berpenyakit kritikal di wad itu.

Jam di tangan menunjukkan waktu untuk Kirana terpaksa mengundur diri ke pejabat. “Mana Danial ni? Aku dah lewat ke pejabat ni.....nak pergi pejabat atau tunggu Danial?” hatinya tertanya. Sekonyong-konyong, kelihatan tubuh seorang wanita bagaikan sedang mencari seseorang. Kirana menghampiri dan menyapa wanita tersebut. “Maaf saya bertanya, Puan ni ibu Danial ke?”
“Ya. Saya Maryam, ibu Danial. Kamu pasti kak Ana yang selalu diceritakan Danial” sambut wanita itu. Mereka bersalaman dan saling membalas cerita tentang Danial.

Sedang mereka asyik berbual, Doktor Amirul muncul lagi. Kali ini wajahnya yang tampak pucat. “Maaf Puan Maryam kerana buat Puan tertunggu. Saya harap puan bersabar dengan perkara yang ingin saya sampaikan......” bagaikan ada sesuatu yang tajam menusuk ke dalam sanubari Kirana, sebaik mendengar kata-kata Doktor Amirul tentang keputusan makmal yang menyatakan bahawa Puan Maryam tidak dapat menderma sebahagian hatinya pada anaknya sendiri. Dengan perasaan yang bercampur baur, Kirana hilang pertimbangan lalu menawarkan dirinya untuk menderma sebahagian hatinya pada Danial. Tanpa berlengah, Doktor Amirul bersetuju untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh pada Kirana meskipun ditegah oleh Puan Maryam.

Sesungguhnya Allah swt lebih mengetahui betapa hancurnya hati Khairil bila mendapat tahu yang Kirana tidak dapat menyambut kepulangannya setiba dia di Lapangan Terbang.
“Sabarlah Khairil, sesungguhnya Allah lebih menyayangi Kirana lebih dari kita.” Pujuk ibu Kirana sambil menghulurkan sepucuk surat pada Khairil. Tanpa berlengah, Khairil mebuka surat yang dilipat kemas dengan tulisan yang sangat dikenalinya.

“Sayangku Khairil, maafkan Kirana hanya surat ini pengganti diri menyambut kepulangan sayang. Apa yang Kirana lakukan adalah kerana redha pada takdir Allah swt. Sepanjang pemergian sayang, hanya Danial yang menemani hati sunyi Kirana. Wajahnya yang mirip dengan wajah sayang, membuatkan Kirana tidak teragak untuk berkorban nyawa demi kebahagiaan dan masa depan kanak-kanak tidak berdosa ini. Harapan Kirana, janganlah sayang menyesali keputusan Kirana ini. Bantulah kanak-kanak ini untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang Doktor dan menyelamatkan banyak nyawa di dunia ini. Percayalah sayangku, hanya inilah sahaja cara untuk kita bersama kerana didalam tubuh kecil Danial, ada cinta sedewasa Kirana. Maafkan Kirana atas segala keterlanjuran perbuatan dan kata-kata sepanjang kita bersama. Ana sayangkan Khai juga......Jangan lupa itu” Khairil terduduk dan buat pertama kali, dia menitiskan air mata selepas membaca surat yang terakhir dari Kirana.

Sejurus Khairil mengesat airmatanya, terasa bagaikan seseorang menepuk bahu kanannya. Lalu Khairil mendongak dan mendapati seorang budak lelaki yang mirip dengan wajahnya sedang menghulurkan tangan.

Khairil melemparkan senyuman dan disambut dengan senyuman persis milik Kirana.

Cerpen sebelumnya:
Lewat Musim Itu-Episod Akhir
Cerpen selanjutnya:
Kisah Hidupku - Part 1

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
2.8
4 Penilai

Info penulis

zeta aziz

zeta | Jadikan zeta rakan anda | Hantar Mesej kepada zeta

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU


komen dari Facebook

14 Komen dalam karya kasih kirana
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik