Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Wuk Ma Nai

Cerpen sebelumnya:
Hadiah dari Syurga II
Cerpen selanjutnya:
Garisan

            “Wuk ma nai wuk ma nai…”

            “Bunyi apa tu mama? Macam jampi orang Asli Jakun je. Bising betul,” tanya Adrian kehairanan kepada ibunya.

            “Alah, jangan pedulikanlah. Mungkin mesin basuh orang sebelah tu buat hal lagi,” jawab Suria kepada anak tunggalnya. “Ha, yang kamu ni sibuk bertanya kenapa? Kerja sekolah dah siap belum? Mama dengan papa nak keluar sekejap ni. Ada ‘function’ di  Royal Selangor Club,” tambah Suria lagi.

            “Jangan risau la ma. Sikit lagi Adrian buat. Adrian nak habiskan buku cerita ‘Eldest’ ni,” jawab Adrian yang khusyuk menatap buku berwarna merah hati itu.

            “Kalau macam tu, buatlah apa Adrian suka tapi jangan tidur lambat ye. Mama tak nak Adrian jumpa benda yang ‘pelik-pelik’ pulak nanti,”

            “Hish mama! Janganlah cakap macam tu, naik seriau Adrian. Zaman sekarang hantu bukannya wujud lagi,” kata Adrian serentak bangun dari tempat pembaringannya yang dibaluti cadar biru laut comel dihiasi gambar Doraemon sebesar rim basikal itu. Adrian tidak lagi dapat menumpukan perhatiannya pada buku yang dibaca. “Mama macam tak tahu je aku ni penakut,” rungutnya lagi dalam hati.

            “Hehe, yelah, yelah. Mama bergurau je. Sudah la, mama pergi dulu ye. Tak payah tunggu mama dan papa. Kami mungkin akan pulang lewat nanti,” Suria bepesan sambil mengucup mesra dahi anak kesayangannya.

            Adrian mengiringi langkah ibunya ke muka pintu dengan pandangan sayu. Tiba-tiba hatinya terasa hiba dan kurang senang. Seperti ada yang tak kena. “Haih, bukannya tak selalu mama dan papa tinggalkan aku seorang di rumah sampai lewat malam. Kenapalah rasa tak sedap je ni,” keluhnya dalam hati. “Ah, pedulilah! Jerangkung ke toyol ke Ju-On ke, aku takut apa,” kata Adrian, megah.

Serentak itu, “BAM!” buku-bukunya yang disusun setinggi Bukit Titiwangsa jatuh berselerakan atas lantai. “Er, okay, okay. Aku main-main jelah,” Adrian lantas memekakkan telinganya dengan lagu Fences dendangan Paramore. Ketakutan yang dirasainya cuba diselindungi dengan nyanyian sumbang ‘off-key’nya.

 

 

“Ggrrrrr…Wuk ma nai wuk ma nai..wuk ma nai,” tersentak Adrian dari lenanya apabila ‘Jampi Orang Jakun’ itu sekali lagi berkumandang memecah keheningan malam. “Wuk ma nai wuk ma nai!” malah semakin kuat pula menyebabkan Adrian tidak senang duduk.

“Erh, gila apa orang sebelah ni! Dah tahu mesin basuh tu rosak, janganlah nak membasuh malam-malam buta macam ni. Tak ada otak ke?!,” marah Adrian. “Aku baru je nak ‘landing’, kacau daun betul.” bisiknya lagi dalam hati. Adrian menjeling jam loceng teddy bearnya, tepat menandakan 1.01 pagi. “Mama dan papa tak balik lagi ke? Aku dah tertidur dekat 4 jam dah ni. Mesti ‘function’ tu meriah, kalau tak masakan sampai lupa nak balik,” Adrian bersoal jawab dengan dirinya sendiri setelah dipastikan memang tiada orang yang akan menjawab soalannya.

Adrian mengerling ke arah mejanya yang sarat dengan buku sekolah. Banyak kerja sekolahnya yang ditangguh. Sesi persekolahan akan bermula 2 minggu saja lagi, tapi kerja sekolah tidak satu pun selesai dibuat. “Nak buat ke tak nak? Nak buat ke tak nak?” Adrian berteka-teki sendiri. Apabila membayangkan muka Cikgu Maria yang menyeringai bagai serigala, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan kerja sekolah Sejarahnya sebelum Cikgu Maria berubah menjadi ‘Pink Hulk’.

Dalam keasyikan Adrian meniru jawapan belakang buku kerja Sejarah itu, tiba-tiba cuping telinganya menangkap suatu bunyi yang kurang enak. “Zzupp..zzupp..” bagai ada sesuatu yang melintasi pintu kamarnya. Dibesarkan lagi cuping telinga untuk memastikan bunyi yang didengar, namun hening pula. Lalu diendahkan sahaja oleh Adrian, “Biasalah duduk di rumah teres bertingkat ini, memang banyak Mak Menti (tikus) bersarang,” fikir Adrian menenangkan hatinya yang berkocak itu. Adrian menyambung semula kerja peniruannya.

“Gereret..gereret..” sekali lagi kesunyian malam terganggu dengan bunyi yang aneh. Tapi kali ini, bunyi itu datangnya dari tingkat bawah. “Haih, bunyi apa pulak kali ni. Entah-entah pencuri,” Adrian berkata sambil menjenguk kepalanya ke tingkat bawah mencari-cari kelibat orang mana-mana tahu rumahnya dipecah masuk penyamun. Adrian menyusun langkah kemas menuruni anak tangga untuk memeriksa namun segera dihentikan langkahnya. “Mainan perasaan aku je ni,” kata Adrian seraya membatalkan niatnya untuk turun ke tingkat bawah. Adrian kembali ke kamar beradunya untuk menyambung kerja sekolah yang belum selesai.

Kurang daripada 15 minit selepas itu, tekak Adrian mula terasa kering. Adrian berkira-kira untuk turun ke tingkat bawah, namun apabila difikirkan semula tentang bunyi yang didengarnya tadi, hatinya mula terasa takut. Dia membuat keputusan untuk bertahan.

1..

2..

3..

4..

“Oh, aku memang tak boleh tahan! Haus gila!”

Setelah penat bertarung dengan perasaan dahaganya itu, Adrian mengalah lalu meluru ke tingkat bawah. Segala perasaan takut, cemas, seramnya sudah tidak diendah. Air sejuk yang menggoda dengan titis-titis basah menyelaputi permukaan botol kaca itu dicapai daripada ruang tepi peti sejuk. Baru sahaja air itu hendak membasahi anak tekaknya, Adrian tersentak apabila tiba-tiba terdengar bunyi derapan bagai ada orang di tingkat atas.

“Mama? Papa? Dah balik ke? Tak perasan pun,” Adrian tertanya-tanya. Adrian lantas meneguk air tersebut dan bergegas ke hadapan. Dipandangnya ke laman luar rumah, kosong. Tiada langsung kelibat kereta MPV hitam bapanya. “Jadi, siapa yang ada di tingkat atas?” Adrian yakin kali ini bunyi yang didengarnya benar-benar wujud. Tiada syak lagi pasti seseorang telah memecah masuk rumah mereka dan naik ke tingkat atas.

Adrian mengatur langkah perlahan ke arah tangga sambil kakinya terhenjut-henjut bagi tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Payung Maybank di sisinya dicapai dan digenggam kemas  ala-ala pemain besbal. Hatinya mula berdegup kencang dan kadang-kadang diselitkan pula dengan irama ‘Goyang Inul’, “Dup,dup,dap..dap,dap,dup..”.

“WUK MA NAI..WUK MA NAI..” hati Adrian terperanjat apabila irama jampi aneh ini sekali lagi bermain sehingga payung yang dipegang terlepas daripada genggamannya. Malah irama ini semakin kuat dan jelas butir-butirnya. Baru sahaja mahu diamati bunyi itu, tiba-tiba “……..”, sepi.

Bunyi ‘wuk ma nai’ diganti pula dengan bunyi derapan kaki. Bunyi itu seakan langkah yang berat sedang perlahan-lahan menuruni anak tangga. Adrian bersedia di bawah tangga menanti apa jua kejutan yang bakal ditemuinya. Bunyi itu semakin hampir dan hampir dan…

“AAAAAAAAHHHHHHH!!!!!!!!!!!!” teriak Adrian sekuat hati.

“AAAAAAAAAAAAAAAA!!!!!!!!!!” makhluk tersebut turut menjerit sama sejurus terpandang Adrian lalu rebah di atas tangga.

Tiba-tiba, ibu dan bapa Adrian muncul di sisi Adrian. “Adrian, janganlah bising sangat. Kita ni menumpang je,” bisik Suria perlahan pada anaknya.

“Apa ni mama?? Kenapa? Kenapa budak perempuan tu ada dalam rumah kita?!” tanya Adrian yang nyata masih kalut akan situasi itu.

“Bukan rumah ‘kita’ Adrian, bukan rumah kita. Ini sememangnya rumah dia,” papa Adrian, Mansur bersuara buat pertama kali.

Adrian yang kehairanan terpana seketika. Tidak mampu mengeluarkan sebarang kata-kata.

“Maafkan kami Adrian. Sepatutnya mama beritahu hal ini lebih awal pada kamu. Mama tahu lambat-laun kamu akan tahu juga. Sebenarnya kita ni adalah golongan makhluk alam kedua, Adrian. Kita sering digelar ‘Orang Brunian’. Hantu-hantu jerangkung yang kau takutkan itu adalah kaum kerabat kita juga. Mama selindungkan hal ni sebab kamu ni memang penakut daripada kecil,” jelas Suria panjang lebar.

“Betul tu. Kita ni Orang Brunian yang dah maju. Sebab tu pemikiran kita pun seakan manusia. Cuma dimensi kita je yang berlainan, Adrian. Kita masih lagi hidup di Alam Krunia,” tambah Mansur.

“Nampaknya Su, kita terpaksalah cari tempat penumpangan yang lain sebab anak tuan rumah ni sudah ternampak Adrian. Nasib baiklah dia terpengsan, jadi dia mungkin tak berapa ingat. Pasti esok hari tok pawang dan dukun akan dipanggil untuk menjampi rumah ni. Lebih baik kita beredar sebelum terlambat,” Mansur meluahkan rancangannya dalam kesal kerana mereka sekeluarga memang sudah sekian lama menetap di situ. Rancangan untuk berpindah memang menyedihkan.

“Yelah, bang. Adrian, pergi kemas barang kamu. Kita bertolak sekarang juga,” arah Suria. Namun tiada sebarang respon diterima daripada anaknya itu. Adrian hanya memandang kosong wajah ibunya. Jelas sekali dia masih belum boleh menerima kenyataan dan masih mengalami sindrom ‘Shock Bangat’. “Adrian, mama cakap dengan Adrian ni kan,” tambah Suria lagi sambil menggoncangkan badan anaknya.

Adrian tersedar daripada lamunan lantas berkata, “Ma, yang bunyi ‘wuk ma nai wuk ma nai’ tu apa pula?”.

“Oh..itu..” mama tergelak kecil sebelum menyambung ayatnya. “Lagu Britney Spears yang baru, ‘Womanizer’,” kata-kata Suria disambut dengan gelak Mansur yang berdekah-dekah. “Memang lagu tu menjadi kegemaran Medina, budak perempuan yang kamu jumpa tadi. Tak sangka Adrian boleh takut dengan lagu,” Suria tidak dapat menahan geli hatinya.

“Apa?? Selama ni aku takut lagu BRITNEY SPEARS????! Huh!” Adrian terduduk sambil digelakkan oleh kedua orang tuanya.

“HAHAHAHHAHAHA HAHAHAHHAHA”.

Cerpen sebelumnya:
Hadiah dari Syurga II
Cerpen selanjutnya:
Garisan

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
22 Penilai

Info penulis

Ungku Mona Asmahan binti Ungku Mohsin

halu~
vintage | Jadikan vintage rakan anda | Hantar Mesej kepada vintage

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU


komen dari Facebook

41 Komen dalam karya Wuk Ma Nai
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik